ISNIN, 6 Julai 2020
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bagi kebanyakan daripada kita, jati diri atau jati diri
nasional bukanlah sesuatu yang asing sama sekali. Tambahan pula, sejak beberapa
tahun kebelakangan ini, politik jati diri pula muncul dalam arena politik
antarabangsa. Dari segi sejarah, menurut Stanford Encyclopedia of
Philosophy, pada bahagian kedua abad
ke-20, menyaksikan kemunculan gerakan politik skala besar, misalnya feminisme
gelombang kedua, Hak Sivil Orang Kulit Hitam di Amerika Syarikat, pembebasan gay dan lesbian, dan gerakan Kaum India Amerika, berasaskan
dakwaan tentang ketidakadilan yang dilakukan oleh kumpulan sosial tertentu. Politik jati diri sebagai ragam pengaturan
ialah hubungan rapat dengan idea yang sesetengah kumpulan sosial yang ditindas; maksudnya,
bahawa jati diri seseorang sebagai wanita atau Peribumi Amerika misalnya,
menjadikan seseorang itu agak aneh terdedah pada imperialisme budaya,
keganasan, eksploitasi, peminggiran, atau tidak ketakberkuasaan.
Kemunculan
Francis Fukuyama dengan buku terbaharunya, Identity: The Demand for Dignity
and Politics of Resentment seolah-olahnya membayangkan bahawa beliau mula berundur
daripada demokrasi liberal dan tunduk
pada politik jati diri yang melanda
banyak negara demokrasi. “Tuntutan terhadap pengiktirafan jati diri seseorang,”
tulis Fukuyama, “merupakan politik jati diri berkembang kepada fenomena yang
lebih luas, sebagai kebangkitan nasionalisme gaya lama dan Islam yang
dipolitikkan.
Bagi Fukuyama,
politik jati diri berkait rapat dengan
maruah dan pengiktirafan, seperti yang
ditegaskan oleh beliau: “Politik jati
diri sezaman dipacu oleh pencarian untuk pengiktirafan yang sama oleh kumpulan
yang dipinggirkan oleh masyarakat mereka. Akan tetapi, keinginan itu untuk
pengiktirafan yang sama boleh mudah terjebak ke dalam tuntutan terhadap
pengiktirafan penguasaan kumpulan (group superiority)”. Beliau
menegaskan bahawa kedua-duanya, iaitu
nasionalisme dan Islam boleh dilihat sebagai spesies politik jati diri.
Seterusnya,
Fukuyama mendedahkan kemerosotan puak kiri lama berasaskan kelas yang
memang memeranjatkan memandangkan kebangkitan ketidaksamaan global yang gagal
dimanfaatkan oleh puak kiri. Beliau
menjelaskan puak kiri memberikan laluan kepada politik jati diri akibat
mereka kurang memberikan tumpuan
terhadap kesamaan ekonomi yang lebih luas dan lebih mempromosikan kepentingan
pelbagai kumpulan yang lebih luas, yang dianggap sebagai terpinggir, seperti
kaum kulit hitam, golongan imigran, wanita, orang Hispanic, komuniti LGBT, dan
sebagainya. Sementara itu, puak kanan mentakrifkan semula diri mereka sebagai
patriot yang cuba melindungi jati diri nasional tradisional, iaitu jati diri
yang secara eksplisit, dikaitkan dengan ras, etnisiti, atau agama.
Tan Sri
Andrew Cheng, yang menulis dalam South China Morning Post, “How
Malaysia Can Overcome Identity Politics and Create Inclusive Growth Amid Diversity”,
bersempena 55 tahun pembentukan Malaysia,
menegaskan bahawa di Malaysia, politik jati diri menjadikan nationhood lebih kompleks. Sheng seterusnya memetik pemerhatian Fukuyama yang menulis dalam Foreign
Affairs: “satu-satu kumpulan terpaksa mempercayai bahawa jati diri, sama
ada nasional, agama, etnik, seksual, gender, atau sebagai tidak menerima
perhatian yang cukup”.
Sebenarnya, politik jati diri berasaskan bangsa wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua,
bermula dengan penubuhan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) pada tahun 1929,
pimpinan Muhmmad Eunos Abdullah. KMS dikatakan mempengaruhi penubuhan parti
politik di Semenanjung, misalnya
Kesatuan Melayu Selangor. Syed Muhd Khairudin Aljunied dalam bukunya, Radicals: Resistance and Protest in
Colonial Malaya, menyatakan “di
balik keterbatasannya, KMS berjaya
meninggalkan impak yang tidak dapat dikikis terhadap golongan radikal yang
bercita-cita tinggi. Pengasas organisasi
baharu ini memilih nama yang hampir sama dengan KMS, iaitu Kesatuan Melayu Muda
(KMM)”. KMM ditubuhkan pada April 1938,
ialah hasil daripada pakatan beberapa orang pemuda Melayu nasionalis kiri yang
berjiwa radikal dan revolusioner.
Rustam A. Sani dalam bukunya, Asal Usul Sosial
Golongan Kiri Melayu: Satu Analisis Berkenaan Kesatuan Melayu Muda, membayangkan
hakikat kewujudan politik jati diri di negara ini. Rustam mengingatkan supaya
aspek ideologi tidak terlalu ditekankan pada konsep, seperti “golongan kiri
Melayu”, yang merujuk kepada KMM, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pusat
Tenaga Rakyat (Putera), dan Parti Rakyat Malaya (PRM). Tegas beliau, “sifat politik Melayu (bahkan, politik
Malaysia secara keseluruhan) dalam pelbagai manifestasi adalah lebih ‘bersifat
perkauman’ daripada ‘bersifat ideologi’.”
Di
Malaysia, sejak akhir-akhir ini, berikutan kerjasama yang terjalin antara UMNO
dengan PAS sehingga melahirkan “Muafakat Nasional”, bagi sesetengah cerdik
pandai politik, boleh membawa kepada politik jati diri: bangsa dan agama.
Pandangan tersebut bertitik tolak daripada beberapa pilihan raya kecil (PRK)
yang berlangsung hanya beberapa bulan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14,
yang menyaksikan kerjasama antara kedua-dua parti itu mula terjalin. PRK itu bermula dengan kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Selangor, iaitu Sungai Kandis, Seri Setia, dan Balakong. Kemudian
di Parlimen Port Dickson dan Cameron Highlands, balik semula ke DUN Semenyih di
Selangor dan seterusnya di Rantau Negeri Sembilan. PRK yang sebelum ini
tertumpu di Semenanjung beralih ke Sandakan, Sabah.
Walau
bagaimanapun, pada mulanya kerjasama antara UMNO dengan PAS yang memberikan
laluan antara satu sama lain tidak
membuahkan hasil. Di Sungai Kandis misalnya, semasa PRU ke-14, daripada jumlah
50,800 pengundi yang berdaftar, seramai 43,470 telah keluar untuk mengundi,
iaitu 85 peratus. Daripada jumlah ini,
calon Pakatan Harapan (PH) memperoleh
23,998 undi (55.5 peratus), UMNO memperoleh 11,518 undi (26.5 peratus), PAS memperoleh
7573 undi (17.5 peratus), dan Parti Rakyat
Malaysia (PRM) memperoleh hanya 76 undi. Sementara itu, dalam PRK, yang
berlangsung pada Ogos 2018, calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperoleh 15,427 undi, menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam
yang memperoleh 9585 undi. Keputusan dengan
majoriti 5842 undi, ditafsirkan sebagai
penolakan rakyat terhadap politik bangsa dan agama yang dilaung-laungkan oleh
UMNO dan PAS.
Di Seri
Setia yang berlangsung pada awal
September 2018, menyaksikan pertandingan antara calon PH, Halimey Abu Bakar dengan calon PAS, Dr.
Halimah Ali. Keputusannya, Halimey
memperoleh 13,725 undi mengalahkan Halimah yang memperoleh 9868 undi, dengan majoriti 4027 undi. Dengan jumlah undi yang diperoleh calon PAS itu
menunjukkan bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS mula mencipta
rentaknya. Dalam PRK itu kerjasama melonjak ke tahap lebih tinggi apabila
UMNO menurunkan jenteranya bagi membantu
PAS sepanjang tempoh 21 hari kempen. PAS mula mara di Seri Setia yang merupakan kubu
kuat PH selama tiga penggal dan PH
mempunyai kekuatan 3M, iaitu “money”
(wang), “media,” dan “machinery”
(jentera).
Oleh sebab tiga PRK di Selangor itu berkeputusan calon PH
daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP meraih kemenangan yang boleh
dikatakan selesa, menunduk calon Barisan Nasional (BN), PAS, dan MCA (di
Balakong, MCA bertanding menggunakan simbol sendiri), maka riak politik jati diri sukar dikesan. Rentak PH ini berterusan ke Port Dickson yang
menyaksikan kepulangan semula Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam
arena politik tanah air. Seperti yang
dijangkakan, dalam PRK yang berlangsung
pada Oktober 2018, bekas Timbalan Perdana Menteri itu meraih kemenangan yang
selesa, memperoleh 31,016 undi, dengan majoriti 23,560 undi, dan sekali gus,
mengaburkan politik jati diri.
Meskipun kerjasama UMNO dengan PAS itu pada mulanya menghadapi halangan dan menempuh laluan sukar,
kedua-dua parti itu tidak berundur meninggalkan kerjasama yang terjalin. Para
pemimpin kedua-dua parti itu kerap kali muncul bersama-sama di khalayak ramai
dan menunjukkan kesepakatan mereka di Dewan Rakyat, meskipun disindir dan diperlekeh oleh pihak
lawan dan dikritik oleh cerdik pandai politik.
Ibarat “tuah dalam kemalangan” bagi BN, berlaku PRK di Cameron Higlands, meskipun pada mulanya
dijangkakan, PH akan meneruskan rentaknya. Walau bagaimanapun, BN membuat keputusan yang strategik dengan
meletakkan calon daripada UMNO dan bukan daripada MIC. Dalam PRK yang berlangsung pada Januari 2019,
calon BN, Ramli Mohd Nor telah meraih 12,038 undi berbanding dengan Manogaran Marimuthu daripada DAP yang memperoleh
8800 undi. Dengan undi majoriti 3238, satu angka yang begitu besar jika dibandingkan
dengan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen itu dalam PRU ke-14, iaitu sebanyak
597 undi. Meskipun beberapa faktor menyumbang kepada kemenangan calon BN itu,
antaranya Ramli ialah anak tempatan daripada suku Orang Asli, disebabkan beliau
menentang calon DAP dan PAS pula
berkempen bersungguh-sungguh, maka bangsa dan agama dikatakan mewarnai
PRK itu.
BN meneruskan rentak kemenangannya dalam PRK Semenyih dan
Rantau. Di Semenyih yang berlangsung pada Mac 2019, calon BN, Zakaria Haji
Hanafi memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PH daripada Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu), Aiman Zainali
yang memperoleh 17,866 undi. Dengan kemenangan itu, BN berjaya merampas semula
kerusi daripada PH dan memadamkan majoriti 8964 undi yang diperoleh oleh PH
dalam PRU lalu. Dalam PRK itu juga, Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan
calonnya, Nik Aziz Afiq Abdul yang sekadar
memperoleh 847 undi. Tindakan PSM meletakkan calon Melayu, menggambarkan bahawa
parti itu seakan-akan cuba bermain politik jati diri dan
bukannya menegakkan perjuangan kelas yang merentasi garis kaum, semata-mata
untuk meraih undi Melayu yang merupakan pengundi majoriti. Bahkan,
jika diperhatikan penampilan calon PRM sepanjang kempen,
iaitu cara berpakaian seakan-akan dia calon parti agama.
Sebagaimana di Cameron Highlands, di Semenyih, PAS
bekerja keras berkempen untuk calon BN. Akibatnya, kempen PH, termasuk yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim,
menyasarkan serangan terhadap parti itu. Tanpa disedari atau mungkin
disengajakan, kempen seperti itu merangsang
kebangkitan politik jati diri kerana para penyokong PAS, memberikan
sokongan padu terhadap calon BN.
Dalam PRK Rantau yang berlangsung pada April 2019, calon
BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi, mengatasi pesaing terdekatnya, Dr. S Streram
daripada PKR mewakili PH yang memperoleh 5887 undi, dengan majoriti 4510 undi. Oleh
sebab Mohamad memperoleh sokongan daripada pengundi Melayu, Cina, dan India, atau
dengan kata lain, pengundi “buta warna”, maka sukar untuk mengatakan bahawa
politik jati diri mencorakkan PRK itu. Pertarungan antara calon BN dengan calon
DAP tidak boleh dianggap sebagai pertarungan antara Melayu dengan bukan Melayu.
Sebaliknya, kemenangan beliau itu dikaitkan dengan pelbagai ketidakpuasan rakyat terhadap manifesto, sama ada lambat ataupun gagal dilaksanakan.
Yang paling menarik, ialah BN menang di semua saluran pengundi muda
kerana mereka berhadapan dengan peluang pekerjaan yang gagal disediakan
berbanding manifesto terdahulu PH mahu menyediakan satu juta peluang
pekerjaan yang berkualiti.
Tatkala tahun 2019 bersiap sedia untuk melabuhkan
tirainya, berlaku satu lagi PRK, iaitu di Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16
November, berikutan kematian anggota Parlimen daripada Bersatu. Menepati jangkaan banyak pihak, keputusan menunjukkan bahawa calon BN, Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi menewaskan calon Bersatu, Karmaine Sardini
yang memperoleh 10,380 undi. Keputusan majoriti 15,086 undi memang di luar
jangkaan pemimpin politik, pemerhati
politik, dan pekerja parti yang bertanding dan merupakan tamparan hebat
terhadap PH yang jelas menampakkan bukan politik jati diri.
Kemenangan Wee itu disumbangkan oleh pengundi Melayu dan
pengundi Cina yang membentuk jumlah pengundi terbesar, iaitu hampir 100
peratus. Meskipun semasa kempen, “BMF”
(kempen yang mengutamakan produk Islam) turut dijajakan dan UMNO serta PAS yang baru sahaja
memperkenalkan “Muafakat Nasional” disindir kerana berkempen bersungguh-sungguh
untuk memastikan kemenangan calon bukan Melayu, bukan Islam daripada MCA itu, terbukti
bahawa pengundi Melayu tidak mudah
terpengaruh. Di Tanjung Piai, sekali lagi para pengundi ‘buta warna”, dan
dengan itu, bayang-bayang politik jati diri tidak kelihatan.
Selain Wee dan Karmine, terdapat calon Gerakan, Wendy
Subramanian yang memperoleh 1707 undi
dan calon Berjasa, Datuk Dr.
Badrulhisham Abdul Aziz yang hanya memperoleh
850 undi. Wendy pada mulanya diramalkan memperoleh sokongan daripada pengundi Cina yang meskipun mula
berang terhadap PH, mereka dijangkakan,
tidak mengundi calon MCA. Sementara Badrulhisham pula akan “menuai” daripada kempen “BMF”, tetapi akhirnya
hilang wang pertaruhan. Kedua-duanya,
iaitu Wendy dan Badruhisham dibayangkan muncul sebagai “kuasa ketiga”, namun bayangan
itu
meleset sama sekali.
Berdasarkan keputusan beberapa PRK di Semenanjung,
kebangkitan politik jati diri boleh dikatakan tidak merata. Sambutan para
pengundi terhadap politik jati diri pula tidak memberikan gambaran yang jelas. Kemenangan
calon BN dalam empat PRK itu sukar untuk ditafsirkan sebagai kebangkitan
politik jati diri, kerana terdapat beberapa faktor yang turut menyumbang. Namun
begitu, kita tidak dapat menafikan
bahawa beberapa buah parti di negara ini bukannya UMNO dan PAS semata-mata, secara
terancang atau tidak, terjebak dalam
politik jati diri: kaum dan agama. Pastinya, para pemimpin parti politik akan melayang-layang ke dalam politik jati
diri sekiranya mereka menjangkakan politik jati diri membuahkan hasil lumayan
untuk dituai.
No comments:
Post a Comment