Artikel Popular

Saturday, July 27, 2019

Kesatuan Melayu Muda: Turki Muda, Marxisme, dan Parti Nasional Indonesia

SABTU, 27 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selepas menyorot  idea radikalisme yang tentunya tercetus daripada gerakan di Barat, iaitu idea yang dimulakan oleh gerakan politik di Perancis pada abad ke-19, Ramlah Adam, menegaskan bahawa pada tahun 1930-an, gerakan radikalisme tercetus dengan penubuhan KMM (Ramlah, 2009: xiv). Wujud konsensus bahawa  KMM ialah organisasi “sayap kiri” Melayu pertama (Rustam, 2011: 26). 
Terdapat percanggahan yang jelas dalam kalangan penyelidik tentang tarikh penubuhan KMM, iaitu antara tahun 1937 dengan 1938 (Ramlah, 2009: 4).  Menurut Mustapha Hussain, salah seorang pengasasnya, KMM ditubuhkan pada April 1938  di Kuala Lumpur, di rumah Hassan Haji Manan, iaitu sebuah rumah kerajaan di Jalan Pasar yang menandakan detik permulaan usaha berorganisasi untuk menyebarkan idea politik dalam kalangan orang Melayu (Insun Sony, 1999: 198). KMM ialah hasil daripada pakatan beberapa pemuda Melayu nasionalis kiri yang berjiwa radikal dan revolusionari.  Pemuda nasionalis tulen yang dalam usia akhir 20-an, mahukan KMM mencontohi Turki Muda (Young Turks).  KMM memasuki alam politik dengan hasrat menyelamatkan bangsa dan nusa sebelum datangnya “kehancuran” kepada negeri yang dahulunya terkenal sebagai Semenanjung Tanah Melayu, dengan orang Melayu sebagai tuan punya, tetapi kini telah bertukar menjadi “Malaya” dengan satu rupa bangsa “Malayan” (Insun Sony, 1999: 195).  KMM ialah suatu revolusi senyap yang bermula di Tanah Melayu, yang dipelopori oleh satu gerakan nasionalis, pimpinan Ibrahim Hai Yaacob.  Tujuannya adalah untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada belenggu kolonialisme British (Mohd. Salleh, 1998: 1).  Ibrahim Haji Yaacob dalam bukunya, Nusa dan Bangsa Melayu, dalam penubuhan KMM  “tidak menyebutkan setia kepada Sultan dan kerajaan Inggeris, tetapi tidak pula menyebutkan tidak mahu bekerjasama, bekerja membangkitkan kesedaran bangsa dan pelajaran dalam kalangan anggotanya yang terdiri daripada kalangan bawahan...”  (dipetik daripada Roff, 2014: 244). Dengan berlatarbelakangkan bukan golongan aristokrat dan dipengaruhi oleh idea Indonesia, pemuda KMM juga menjadi republikan yang kuat.  Walau bagaimanapun, mereka keberatan untuk menyingkirkan Sultan atau aristokrasi tradisional atas alasan rakyat Melayu belum lagi bersedia untuk menghapuskan institusi ini (Cheah, 2014: 12).
Selain Ibrahim, selaku  presiden dan pengasas KMM, anggota  yang turut mengasaskan pertubuhan pemuda nasionalis kiri itu terdiri daripada, Mustapha Hussain (naib presiden),  Hassan Haji Manan (setiausaha agung), Othman Mohd. Noor yang dikenali juga sebagai M.N. Othman (setiausaha), dan Idris Hakim (bendahari).  Sementara anggota jawatankuasa pusat terdiri daripada Abdul Karim Rashid, Bahar Abik, Sulung Chik, Onan Haji Siraj, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Abdul Samad Ahmad, dan Abdullah Kamil  (Insun Sony, 1999: 197).  Pengasas KMM datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan, misalnya Ibrahim Haji Yaacob dan Hassan Haji Manan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI),   Ishak Haji Muhammad lepasan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MMKK), Sulung Chik lulusan Sekolah Teknik, dan  Onan Haji Siraj  penuntut Sekolah Teknik.  Mereka juga mempunyai pelbagai pekerjaan, misalnya Ibrahim bekas guru sekolah Melayu dan wartawan, Mustapha pensyarah Sekolah Pertanian Serdang, Hassan dan Abdul Karim Rashid guru sekolah Melayu, Othman Mohd. Noor  kerani, Sulung Chik pegawai rendah Keretapi Tanah Melayu, Bahar Abik pegawai bawahan Jabatan Percetakan Kerajaan, Idris Hakim kerani Jabatan Kastam, dan Abdullah Kamil, Abdul Samad Ahmad,  dan Mohamad Sallehudin sebagai wartawan. Ishak pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir rendah dan majistret (Insun Sony, 1999: 197;  rujuk juga Roff, 2014: 251). Yang tercicir dalam senarai ialah Haji Othman Abdullah (pernah menuntut di Kaherah), yang  pernah berkhidmat sebagai bendahari KMM, dan Isa Mohamad Mahmud, guru dan bekas penuntut MPSI (rujuk Roff, 2014: 251). Sementara itu,   Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin – dua tokoh raksasa dalam perjuangan sayap kiri orang Melayu, bukan pengasas KMM dan tidak menganggotai jawatankuasa pusat yang asal (Insun Sony, 1999: 197).
Kebanyakan pemuda ini terdiri daripada golongan berpengetahuan Melayu, tetapi ada juga yang berpendidikan Inggeris (Insun Sony, 1999: 197).  Rustam A. Sani yang tidak bersetuju dengan banyak penulis yang membesarkan secara berlebihan akan kepentingan MPSI sebagai kemungkinan akar umbi pembentukan KMM,  mengingatkan bahawa selain Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam juga berpendidikan Inggeris, manakala  Onan Haji Siraj, dan Mustapha Hussain pastinya mendapat pendidikan moden Barat tertentu (Rustam, 2011: 49).
Penubuhan KMM turut dikaitkan dengan peranan Sutan Djenain “yang sering menasihati para pemuda KMM supaya menubuhkan satu  badan politik Melayu untuk tujuan mencapai kemerdekaan turut hadir pada hari penubuhan itu” (Insun Sony, 1999: 197).  Sebelum penubuhan KMM, beliau  diundangkan untuk menyampaikan “ceramah politik” tentang perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu, di samping menerangkan susunan dan cara pentadbiran organisasi.  Sutan Djenain juga  mempunyai kematangan dan pengalaman politik, ketika  menyampaikan  ceramah beliau menggunakan istilah yang sukar difahami oleh anggota KMM  yang dewasa itu tidak berilmu politik, seperti imperialisme, kolonialisme, nasionalisme, komunisme, kapitalisme, borjuis, oportunisme, dan lain-lain, yang boleh menumpaskan anggota KMM jika tidak ada mentor politik untuk menjelaskan maksudnya. Syarahan beliau amat menarik minat para hadirin, ramai yang terpesona dengan cerita perjuangan puak nasionalis di Indonesia, tuan dan muda, kiri dan kanan, Islam dan bukan Islam, asalkan bertujuan untuk menghalau penjajah Belanda dari tanah Indonesia (Insun Sony, 1999: 190 - 191).  Anak perempuannya berkahwin dengan Abu Bakar Baginda, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor. 
Menurut catatan Syed Husin Ali, Sutan Djenain sering memberikan kursus politik, yang pernah diikuti  oleh Abu Bakar dan (Tan Sri) Melan Abdullah yang  pada ketika itu pengarang Utusan Melayu.   Sutan Djenain  turut bersama-sama dalam usaha  membentuk KMM  dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),  dipercayai seorang yang mula-mula berpegang pada ideologi Trosky (Syed Husin, 2012: 113).  Leon Trosky adalah antara pemimpin penting bersama-sama Lenin dalam Revolusi Rusia tahun  1917.  Dengan mengembangkan idea Karl Marx, Revolusi Kekal yang merupakan sumbangan terpenting beliau bagi Marxisme.  Dalam teori tersebut beliau menyatakan bahawa kaum buruh Rusia mampu merebut kekuasaan  (Trosky, 2013).
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana ideologi Trosky ini diserapkan oleh Sutan Djenain ke dalam pemikiran anggota KMM. Oleh sebab wujud keterbatasan ilmu politik dalam kalangan ahli KMM, maka  mungkin menyukarkan pemahaman dan penghayatan.  Tambahan pula, KMM dikatakan tidak ada kecenderungan kepada fahaman komunisme.  “Sungguhpun sesetengah dasarnya sama dengan dasar beberapa buah parti di Indonesia, KMM tidak sedikit pun dipengaruhi oleh parti-parti politik dari Indonesia.  Tujuan atau objektif utama KMM adalah untuk memberi tempat yang sewajarnya kepada bangsa Melayu yang tertindas oleh kaum-kaum lain yang menumpang di negeri ini akibat kegagalan kerajaan British  menyekat bangsa-bangsa daripada membuat tuntutan, hinggalah kepada hak ketuanan negeri ini. KMM ingin menjalankan ideologi nasionalis yang luas dan berjuang bersungguh-sungguh untuk bangsa dan negara”  (Insun Sony, 1999: 198 - 199).
William R. Roff meragui peranan Sutan Djenain dalam urusan KMM dan mungkin tidak ada apa-apa yang dibuatnya selain mengapi-apikan perasaan bencikan Inggeris dalam kalangan anggotanya dan memberi mereka istilah politik Marxis untuk digunakan apabila mereka membincangkan tujuan  mereka (Roff, 2014: 270, nota 62).  Dalam pada itu, ada  catatan lain yang nampaknya bercanggah dengan penjelasan Mustapha Hussain – orang kuat KMM. “Sebagai pohon yang tumbuh daripada benih yang kecil dan tidak begitu rasmi yang bernama Belia Malaya yang terbentuk di MPSI pada tahun 1930 dahulu, KMM secara langsung mencontohi gerakan Jong Jawa dan Jong Sumatera di Hindia Timur Belanda” (Roff, 2014: 244).   Ibrahim Haji Yaacob dalam bukunya, Sekitar Malaya Merdeka,  menegaskan bahawa “KMM menganut ideologi Marx yang samar-samar, dan melambangkan semangat antikolonial yang kuat serta penentangan terhadap pimpinan ‘borjuis-feudalis’ yang dipegang oleh golongan atasan tradisional”  (dipetik daripada Roff, 2014: 244). Cara berfikir dan aktiviti anggota kumpulan ini kuat dipengaruhi oleh sayap kiri, terutamanya yang terdapat dalam gerakan kebangsaan Indonesia (Roff, 2014: 244). 
Hujah lain mengatakan bahawa “tidak pernah ditunjukkan secara meyakinkan bahawa terdapat persamaan yang jelas antara tujuan dan aspirasi kepimpinan KMM dengan tujuan dan aspirasi pergerakan komunis di Indonesia atau belahan lain di negara Asia Tenggara”  (Rustam, 2011: 9).  Penggunaan pemahaman sempit istilah “golongan  kiri” adalah berpunca daripada pergantungan yang tidak wajar pada penulisan Ibrahim  Haji Yaacob yang diterbitkan pada dekad 1950-an berkaitan persoalan ideologi KMM.  Pada waktu itu, beliau begitu mengaitkan dirinya dengan ideologi sayap kiri dan hidup di bawah rejim Sukarno di Indonesia (Rustam, 2011: 9).
Pengaruh beberapa pemimpin  Indonesia terhadap Ibrahim berlaku lebih awal, bahkan sebelum penubuhan KMM. Seperti yang diperhatikan oleh Cheah Boon Kheng, pemimpin nasionalis Indonesia, terutamanya Sukarno dan Hatta mempunyai impak besar terhadap kumpulan pelajar  MPSI,  yang termasuk Ibrahim Haji Yaacob dan Hassan Haji Manan.  Pelajar ini juga dipengaruhi oleh emigre komunis Indonesia, seperti Alimin,  Musso, dan Tan Malaka, yang merupakan pelarian sementara di Malaya selepas kegagalan pemberontakan pada tahun 1926 – 1927 untuk menggulingkan rejim Belanda di Indonesia  (Cheah, 2014: 10).  Seperti yang diakui oleh Ibrahim sendiri, “akan tetapi pengaruh Sukarno terhadap pelajar MPSI sangat besar, antara tahun  1928 hingga  1930, sesetengah pelajar, termasuk Ibrahim, menganggotai Parti Nasional Indonesia (PNI) pimpinan Sukarno” (dipetik daripada Cheah, 2014: 10). 
Menurut Datuk Mohamed Nor Ahmad dari Pulau Pinang, ada tiga orang yang diketahuinya menjadi anggota PNI di Tanjong Malim,  iaitu Harun Aminurrashid, Ibrahim Haji Yaacob, dan beliau sendiri. Pada masa itu, MPSI seolah-olah ada semacam gerakan di bawah tanah (Abdullah, 2006: 29).  Harun Aminurrashid atau nama sebenarnya Harun Mohamed Amin, yang pernah berkhidmat sebagai guru di MPSI dalam suratnya kepada Mustapha Hussain pada 9 November 1975, mengaku  bahawa muridnya, Ibrahim Haji Yaacob, “condong kepada politik dan selalu mengikuti syarahan-syarahan dan pandangan-pandangan mengenai pergerakan kemerdekaan Indonesia yang saya berikan...” Walau bagaimanapun, beliau tidak mengetahui keanggotaan Ibrahim dalam PNI (Insun Sony, 1999: 578, Lampiran 2).
 Mustapha yang jelas kelihatan tidak sehaluan kalaupun tidak mahu disebut bersengketa   dengan Ibrahim semasa mereka berdua dalam KMM, cuba membuktikan bahawa Ibrahim tidak pernah menganggotai PNI, dengan  mendapatkan  pengesahan Dahalan Haji Hussain, dari Ipoh, senior Ibrahim semasa di MPSI antara tahun 1929 – 1931.  Menurut cikgu Dahalan, pada waktu itu tidak mungkin seorang pelajar bergiat dalam “gerakan rahsia,” apalagi bagi seorang budak yang baru berusia 17 tahun – yang datang dari sebuah kampung terpencil dari Pahang – untuk memasuki PNI yang baru sahaja ditubuhkan kira-kira dua tahun (Insun Sony, 1999: 207).  Untuk menunjukkan keraguan terhadap hubungan Ibrahim dengan Indonesia, Mustapha memetik Dahalan, “...betapakan pula kalau ada membuat hubungan dengan luar negeri atau jiran tetangga yang dekat  seperti Indonesia, maka hal ini tidak termimpi atau terlintas bahkan sangat ditakuti oleh semua lapisan pelajar walaupun mereka terdiri dari tahun tiga, tahun dua, atau tahun satu” (Insun Sony, 1999: 580, Lampiran 3).
Meskipun Mustapha Hussain dalam memoirnya itu menyentuh penubuhan, pengasasan,  dan aktiviti KMM dengan panjang lebar (Bab 18 – Bab 22), beliau seakan-akan cuba menyepi tentang hubungan antara KMM dengan Indonesia.  Sebaliknya, Cheah Boon Kheng mendedahkan “antara tahun 1938 hingga 1941, KMM menjadi sangat terpengaruh oleh dasar ‘tidak bekerjasama’ PNI Sukarno dan menerima pakai dasar yang sama.  Ibrahim dan pemimpin lain KMM memulakan propaganda menyerang dasar British dan terhadap ‘pihak yang bekerjasama’, iaitu kumpulan birokrat dan aristokrat Melayu, dalam pelbagai akhbar dan penerbitan (Cheah, 2014: 12).
Setelah KMM ditubuhkan, maka  Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad pulang ke Singapura kerana mereka berkhidmat sebagai wartawan di sebuah akhbar di sana (Insun Sony, 1999:  199).   Mesyuarat yang biasanya berlangsung di rumah Hassan Haji Manan, kadang-kadang dihadiri juga oleh Ibrahim, tetapi Ishak tidak pernah kelihatan bersama kerana beliau tidak duduk dalam badan yang dinamakan inner circle (Insun Sony, 1999: 200). 
Wujud  keraguan tentang dakwaan Mustapha bahawa “Ibrahim pulang ke Singapura,” kerana ada  catatan yang menunjukkan waktu itu (1938 – 1939), beliau berkhidmat dengan akhbar Majlis di Kuala Lumpur (Hamedi, 2015:  66), bahkan Mustapha sendiri menyatakan bahawa pada tahun penubuhan KMM, iaitu tahun 1938, Ibrahim berkhidmat sebagai penolong pengarang akhbar itu (Insun Sony, 1999: 208). Sumber lain mengatakan Ibrahim mengambil alih tugas pengarang daripada Othman Kalam dari tahun 1939 – 1941 (Roff, 2014: 180). Ibrahim menggunakan Majlis  untuk memasukkan jarum parti politiknya, termasuk sentimen anti-British (Mohd. Salleh, 1998: 20 – 21).  Pada awal penubuhannya, Ibrahim  berusaha melebarkan sayap KMM yang mustahil dapat dilakukan sekiranya beliau bekerja dan tinggal di Singapura.  “Pada tahun 1940, Ibrahim menjelajah ke seluruh Tanah Melayu untuk mendapatkan sokongan rakyat. Hasil lawatan itu, KMM ditubuhkan di beberapa buah negeri, termasuk Singapura dan Patani” (Mohamed Salleh, 2016: 41). Kemudian, Ibrahim menyertai Warta Malaya di Singapura, sebagai pengarang  dari tahun 1941 – 1942 (Hamedi, 2015: 7).  Tentang Ishak mungkin  ada kebenarannya kerana antara tahun 1936 hingga 1939, beliau berkhidmat sebagai pengarang   Warta Jnaka di Singapura.  Ibrahim juga pernah berkhidmat sebagai pengarang akhbar ini untuk beberapa bulan, iaitu Ogos – Disember 1941 (Hamedi, 2015: 87).  Walau apa-apa pun penglibatan Ibrahim dan Ishak, mereka ialah “dua tokoh penting dalam kepimpinan organisasi ini sejak penubuhannya” (Rustam, 2011: 27). 
(Dipetik daripada Bab Tujuh  Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...