Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selepas menyorot idea radikalisme yang tentunya tercetus
daripada gerakan di Barat, iaitu idea yang dimulakan oleh gerakan politik di
Perancis pada abad ke-19, Ramlah Adam, menegaskan bahawa pada tahun 1930-an,
gerakan radikalisme tercetus dengan penubuhan KMM (Ramlah, 2009: xiv). Wujud
konsensus bahawa KMM ialah organisasi
“sayap kiri” Melayu pertama (Rustam, 2011: 26).
Terdapat percanggahan yang jelas dalam kalangan
penyelidik tentang tarikh penubuhan KMM, iaitu antara tahun 1937 dengan 1938
(Ramlah, 2009: 4). Menurut Mustapha
Hussain, salah seorang pengasasnya, KMM ditubuhkan pada April 1938 di Kuala Lumpur, di rumah Hassan Haji Manan,
iaitu sebuah rumah kerajaan di Jalan Pasar yang menandakan detik permulaan
usaha berorganisasi untuk menyebarkan idea politik dalam kalangan orang Melayu
(Insun Sony, 1999: 198). KMM ialah hasil daripada pakatan beberapa pemuda
Melayu nasionalis kiri yang berjiwa radikal dan revolusionari. Pemuda nasionalis tulen yang dalam usia akhir
20-an, mahukan KMM mencontohi Turki Muda (Young
Turks). KMM memasuki alam politik
dengan hasrat menyelamatkan bangsa dan nusa sebelum datangnya “kehancuran”
kepada negeri yang dahulunya terkenal sebagai Semenanjung Tanah Melayu, dengan
orang Melayu sebagai tuan punya, tetapi kini telah bertukar menjadi “Malaya”
dengan satu rupa bangsa “Malayan” (Insun Sony, 1999: 195). KMM ialah suatu revolusi senyap yang bermula
di Tanah Melayu, yang dipelopori oleh satu gerakan nasionalis, pimpinan Ibrahim
Hai Yaacob. Tujuannya adalah untuk
memerdekakan Tanah Melayu daripada belenggu kolonialisme British (Mohd. Salleh,
1998: 1). Ibrahim Haji Yaacob dalam
bukunya, Nusa dan Bangsa Melayu,
dalam penubuhan KMM “tidak menyebutkan
setia kepada Sultan dan kerajaan Inggeris, tetapi tidak pula menyebutkan tidak
mahu bekerjasama, bekerja membangkitkan kesedaran bangsa dan pelajaran dalam
kalangan anggotanya yang terdiri daripada kalangan bawahan...” (dipetik daripada Roff, 2014: 244). Dengan
berlatarbelakangkan bukan golongan aristokrat dan dipengaruhi oleh idea
Indonesia, pemuda KMM juga menjadi republikan yang kuat. Walau bagaimanapun, mereka keberatan untuk
menyingkirkan Sultan atau aristokrasi tradisional atas alasan rakyat Melayu
belum lagi bersedia untuk menghapuskan institusi ini (Cheah, 2014: 12).
Selain Ibrahim, selaku
presiden dan pengasas KMM, anggota
yang turut mengasaskan pertubuhan pemuda nasionalis kiri itu terdiri
daripada, Mustapha Hussain (naib presiden),
Hassan Haji Manan (setiausaha agung), Othman Mohd. Noor yang dikenali
juga sebagai M.N. Othman (setiausaha), dan Idris Hakim (bendahari). Sementara anggota jawatankuasa pusat terdiri
daripada Abdul Karim Rashid, Bahar Abik, Sulung Chik, Onan Haji Siraj, Ishak
Haji Muhammad (Pak Sako), Abdul Samad Ahmad, dan Abdullah Kamil (Insun Sony, 1999: 197). Pengasas KMM datang daripada pelbagai latar
belakang pendidikan, misalnya Ibrahim Haji Yaacob dan Hassan Haji Manan lepasan
Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI),
Ishak Haji Muhammad lepasan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MMKK), Sulung
Chik lulusan Sekolah Teknik, dan Onan
Haji Siraj penuntut Sekolah Teknik. Mereka juga mempunyai pelbagai pekerjaan,
misalnya Ibrahim bekas guru sekolah Melayu dan wartawan, Mustapha pensyarah
Sekolah Pertanian Serdang, Hassan dan Abdul Karim Rashid guru sekolah Melayu,
Othman Mohd. Noor kerani, Sulung Chik
pegawai rendah Keretapi Tanah Melayu, Bahar Abik pegawai bawahan Jabatan
Percetakan Kerajaan, Idris Hakim kerani Jabatan Kastam, dan Abdullah Kamil,
Abdul Samad Ahmad, dan Mohamad
Sallehudin sebagai wartawan. Ishak pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir
rendah dan majistret (Insun Sony, 1999: 197;
rujuk juga Roff, 2014: 251). Yang tercicir dalam senarai ialah Haji
Othman Abdullah (pernah menuntut di Kaherah), yang pernah berkhidmat sebagai bendahari KMM, dan
Isa Mohamad Mahmud, guru dan bekas penuntut MPSI (rujuk Roff, 2014: 251).
Sementara itu, Ahmad Boestamam dan Dr.
Burhanuddin – dua tokoh raksasa dalam perjuangan sayap kiri orang Melayu, bukan
pengasas KMM dan tidak menganggotai jawatankuasa pusat yang asal (Insun Sony,
1999: 197).
Kebanyakan pemuda ini terdiri daripada golongan
berpengetahuan Melayu, tetapi ada juga yang berpendidikan Inggeris (Insun Sony,
1999: 197). Rustam A. Sani yang tidak
bersetuju dengan banyak penulis yang membesarkan secara berlebihan akan
kepentingan MPSI sebagai kemungkinan akar umbi pembentukan KMM, mengingatkan bahawa selain Ishak Haji
Muhammad, Ahmad Boestamam juga berpendidikan Inggeris, manakala Onan Haji Siraj, dan Mustapha Hussain
pastinya mendapat pendidikan moden Barat tertentu (Rustam, 2011: 49).
Penubuhan KMM turut dikaitkan dengan peranan Sutan
Djenain “yang sering menasihati para pemuda KMM supaya menubuhkan satu badan politik Melayu untuk tujuan mencapai
kemerdekaan turut hadir pada hari penubuhan itu” (Insun Sony, 1999: 197). Sebelum penubuhan KMM, beliau diundangkan untuk menyampaikan “ceramah
politik” tentang perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu, di samping menerangkan
susunan dan cara pentadbiran organisasi.
Sutan Djenain juga mempunyai
kematangan dan pengalaman politik, ketika
menyampaikan ceramah beliau
menggunakan istilah yang sukar difahami oleh anggota KMM yang dewasa itu tidak berilmu politik, seperti
imperialisme, kolonialisme, nasionalisme, komunisme, kapitalisme, borjuis,
oportunisme, dan lain-lain, yang boleh menumpaskan anggota KMM jika tidak ada
mentor politik untuk menjelaskan maksudnya. Syarahan beliau amat menarik minat
para hadirin, ramai yang terpesona dengan cerita perjuangan puak nasionalis di
Indonesia, tuan dan muda, kiri dan kanan, Islam dan bukan Islam, asalkan
bertujuan untuk menghalau penjajah Belanda dari tanah Indonesia (Insun Sony,
1999: 190 - 191). Anak perempuannya
berkahwin dengan Abu Bakar Baginda, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar
Selangor.
Menurut catatan Syed Husin Ali, Sutan Djenain sering
memberikan kursus politik, yang pernah diikuti
oleh Abu Bakar dan (Tan Sri) Melan Abdullah yang pada ketika itu pengarang Utusan Melayu. Sutan Djenain turut bersama-sama dalam usaha membentuk KMM
dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dipercayai seorang yang mula-mula berpegang
pada ideologi Trosky (Syed Husin, 2012: 113).
Leon Trosky adalah antara pemimpin penting bersama-sama Lenin dalam Revolusi
Rusia tahun 1917. Dengan mengembangkan idea Karl Marx, Revolusi
Kekal yang merupakan sumbangan terpenting beliau bagi Marxisme. Dalam teori tersebut beliau menyatakan bahawa
kaum buruh Rusia mampu merebut kekuasaan
(Trosky, 2013).
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana
ideologi Trosky ini diserapkan oleh Sutan Djenain ke dalam pemikiran anggota
KMM. Oleh sebab wujud keterbatasan ilmu politik dalam kalangan ahli KMM,
maka mungkin menyukarkan pemahaman dan
penghayatan. Tambahan pula, KMM
dikatakan tidak ada kecenderungan kepada fahaman komunisme. “Sungguhpun sesetengah dasarnya sama dengan
dasar beberapa buah parti di Indonesia, KMM tidak sedikit pun dipengaruhi oleh
parti-parti politik dari Indonesia.
Tujuan atau objektif utama KMM adalah untuk memberi tempat yang
sewajarnya kepada bangsa Melayu yang tertindas oleh kaum-kaum lain yang
menumpang di negeri ini akibat kegagalan kerajaan British menyekat bangsa-bangsa daripada membuat
tuntutan, hinggalah kepada hak ketuanan negeri ini. KMM ingin menjalankan
ideologi nasionalis yang luas dan berjuang bersungguh-sungguh untuk bangsa dan
negara” (Insun Sony, 1999: 198 - 199).
William R. Roff meragui peranan Sutan Djenain dalam
urusan KMM dan mungkin tidak ada apa-apa yang dibuatnya selain mengapi-apikan
perasaan bencikan Inggeris dalam kalangan anggotanya dan memberi mereka istilah
politik Marxis untuk digunakan apabila mereka membincangkan tujuan mereka (Roff, 2014: 270, nota 62). Dalam pada itu, ada catatan lain yang nampaknya bercanggah dengan
penjelasan Mustapha Hussain – orang kuat KMM. “Sebagai pohon yang tumbuh
daripada benih yang kecil dan tidak begitu rasmi yang bernama Belia Malaya yang
terbentuk di MPSI pada tahun 1930 dahulu, KMM secara langsung mencontohi
gerakan Jong Jawa dan Jong Sumatera di Hindia Timur Belanda” (Roff, 2014: 244). Ibrahim Haji Yaacob dalam bukunya, Sekitar Malaya Merdeka, menegaskan bahawa “KMM menganut ideologi Marx
yang samar-samar, dan melambangkan semangat antikolonial yang kuat serta
penentangan terhadap pimpinan ‘borjuis-feudalis’ yang dipegang oleh golongan
atasan tradisional” (dipetik daripada
Roff, 2014: 244). Cara berfikir dan aktiviti anggota kumpulan ini kuat
dipengaruhi oleh sayap kiri, terutamanya yang terdapat dalam gerakan kebangsaan
Indonesia (Roff, 2014: 244).
Hujah lain mengatakan bahawa “tidak pernah ditunjukkan
secara meyakinkan bahawa terdapat persamaan yang jelas antara tujuan dan
aspirasi kepimpinan KMM dengan tujuan dan aspirasi pergerakan komunis di
Indonesia atau belahan lain di negara Asia Tenggara” (Rustam, 2011: 9). Penggunaan pemahaman sempit istilah
“golongan kiri” adalah berpunca daripada
pergantungan yang tidak wajar pada penulisan Ibrahim Haji Yaacob yang diterbitkan pada dekad
1950-an berkaitan persoalan ideologi KMM.
Pada waktu itu, beliau begitu mengaitkan dirinya dengan ideologi sayap
kiri dan hidup di bawah rejim Sukarno di Indonesia (Rustam, 2011: 9).
Pengaruh beberapa pemimpin Indonesia terhadap Ibrahim berlaku lebih
awal, bahkan sebelum penubuhan KMM. Seperti yang diperhatikan oleh Cheah Boon
Kheng, pemimpin nasionalis Indonesia, terutamanya Sukarno dan Hatta mempunyai
impak besar terhadap kumpulan pelajar
MPSI, yang termasuk Ibrahim Haji
Yaacob dan Hassan Haji Manan. Pelajar
ini juga dipengaruhi oleh emigre komunis Indonesia, seperti Alimin, Musso, dan Tan Malaka, yang merupakan
pelarian sementara di Malaya selepas kegagalan pemberontakan pada tahun 1926 –
1927 untuk menggulingkan rejim Belanda di Indonesia (Cheah, 2014: 10). Seperti yang diakui oleh Ibrahim sendiri,
“akan tetapi pengaruh Sukarno terhadap pelajar MPSI sangat besar, antara
tahun 1928 hingga 1930, sesetengah pelajar, termasuk Ibrahim,
menganggotai Parti Nasional Indonesia (PNI) pimpinan Sukarno” (dipetik daripada
Cheah, 2014: 10).
Menurut Datuk Mohamed Nor Ahmad dari Pulau Pinang, ada
tiga orang yang diketahuinya menjadi anggota PNI di Tanjong Malim, iaitu Harun Aminurrashid, Ibrahim Haji
Yaacob, dan beliau sendiri. Pada masa itu, MPSI seolah-olah ada semacam gerakan
di bawah tanah (Abdullah, 2006: 29).
Harun Aminurrashid atau nama sebenarnya Harun Mohamed Amin, yang pernah
berkhidmat sebagai guru di MPSI dalam suratnya kepada Mustapha Hussain pada 9
November 1975, mengaku bahawa muridnya,
Ibrahim Haji Yaacob, “condong kepada politik dan selalu mengikuti syarahan-syarahan
dan pandangan-pandangan mengenai pergerakan kemerdekaan Indonesia yang saya
berikan...” Walau bagaimanapun, beliau tidak mengetahui keanggotaan Ibrahim
dalam PNI (Insun Sony, 1999: 578, Lampiran 2).
Mustapha yang
jelas kelihatan tidak sehaluan kalaupun tidak mahu disebut bersengketa dengan
Ibrahim semasa mereka berdua dalam KMM, cuba membuktikan bahawa Ibrahim tidak
pernah menganggotai PNI, dengan
mendapatkan pengesahan Dahalan
Haji Hussain, dari Ipoh, senior Ibrahim semasa di MPSI antara tahun 1929 –
1931. Menurut cikgu Dahalan, pada waktu
itu tidak mungkin seorang pelajar bergiat dalam “gerakan rahsia,” apalagi bagi
seorang budak yang baru berusia 17 tahun – yang datang dari sebuah kampung
terpencil dari Pahang – untuk memasuki PNI yang baru sahaja ditubuhkan
kira-kira dua tahun (Insun Sony, 1999: 207).
Untuk menunjukkan keraguan terhadap hubungan Ibrahim dengan Indonesia,
Mustapha memetik Dahalan, “...betapakan pula kalau ada membuat hubungan dengan
luar negeri atau jiran tetangga yang dekat
seperti Indonesia, maka hal ini tidak termimpi atau terlintas bahkan
sangat ditakuti oleh semua lapisan pelajar walaupun mereka terdiri dari tahun
tiga, tahun dua, atau tahun satu” (Insun Sony, 1999: 580, Lampiran 3).
Meskipun Mustapha Hussain dalam memoirnya itu menyentuh
penubuhan, pengasasan, dan aktiviti KMM
dengan panjang lebar (Bab 18 – Bab 22), beliau seakan-akan cuba menyepi tentang
hubungan antara KMM dengan Indonesia.
Sebaliknya, Cheah Boon Kheng mendedahkan “antara tahun 1938 hingga 1941,
KMM menjadi sangat terpengaruh oleh dasar ‘tidak bekerjasama’ PNI Sukarno dan
menerima pakai dasar yang sama. Ibrahim
dan pemimpin lain KMM memulakan propaganda menyerang dasar British dan terhadap
‘pihak yang bekerjasama’, iaitu kumpulan birokrat dan aristokrat Melayu, dalam
pelbagai akhbar dan penerbitan (Cheah, 2014: 12).
Setelah KMM ditubuhkan, maka Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad
pulang ke Singapura kerana mereka berkhidmat sebagai wartawan di sebuah akhbar di
sana (Insun Sony, 1999: 199). Mesyuarat yang biasanya berlangsung di rumah
Hassan Haji Manan, kadang-kadang dihadiri juga oleh Ibrahim, tetapi Ishak tidak
pernah kelihatan bersama kerana beliau tidak duduk dalam badan yang dinamakan inner circle (Insun Sony, 1999:
200).
Wujud keraguan
tentang dakwaan Mustapha bahawa “Ibrahim pulang ke Singapura,” kerana ada catatan yang menunjukkan waktu itu (1938 –
1939), beliau berkhidmat dengan akhbar Majlis
di Kuala Lumpur (Hamedi, 2015: 66),
bahkan Mustapha sendiri menyatakan bahawa pada tahun penubuhan KMM, iaitu tahun
1938, Ibrahim berkhidmat sebagai penolong pengarang akhbar itu (Insun Sony,
1999: 208). Sumber lain mengatakan Ibrahim mengambil alih tugas pengarang
daripada Othman Kalam dari tahun 1939 – 1941 (Roff, 2014: 180). Ibrahim
menggunakan Majlis untuk
memasukkan jarum parti politiknya, termasuk sentimen anti-British (Mohd.
Salleh, 1998: 20 – 21). Pada awal
penubuhannya, Ibrahim berusaha
melebarkan sayap KMM yang mustahil dapat dilakukan sekiranya beliau bekerja dan
tinggal di Singapura. “Pada tahun 1940,
Ibrahim menjelajah ke seluruh Tanah Melayu untuk mendapatkan sokongan rakyat.
Hasil lawatan itu, KMM ditubuhkan di beberapa buah negeri, termasuk Singapura
dan Patani” (Mohamed Salleh, 2016: 41). Kemudian, Ibrahim menyertai Warta Malaya di Singapura, sebagai
pengarang dari tahun 1941 – 1942
(Hamedi, 2015: 7). Tentang Ishak
mungkin ada kebenarannya kerana antara
tahun 1936 hingga 1939, beliau berkhidmat sebagai pengarang Warta
Jnaka di Singapura. Ibrahim juga
pernah berkhidmat sebagai pengarang akhbar ini untuk beberapa bulan, iaitu Ogos
– Disember 1941 (Hamedi, 2015: 87).
Walau apa-apa pun penglibatan Ibrahim dan Ishak, mereka ialah “dua tokoh
penting dalam kepimpinan organisasi ini sejak penubuhannya” (Rustam, 2011:
27).
(Dipetik daripada Bab Tujuh Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment