Pages

Thursday, August 11, 2011

Bunga Melati di Kota London?

KHAMIS,  11  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Rusuhan  berlaku hampir seminggu, tetapi belum dapat dikawal oleh pihak berkuasa, seolah-olah menampakkan negara dunia pertama itu jatuh kepada tahap "negara gagal."  Anarki di United Kingdom, tulis The Economist bahawa wujud sesuatu yang sangat-sangat mengganggu tentang idea bahawa kota anda sendiri tidak terkawal.  Dalam keluaran yang sama, majalah itu muncul dengan  "London Burns"  sesuatu yang amat mencemaskan telah berlaku di kota itu.  

Perdana Menteri David Cameron dilaporkan  mengeluarkan amaran keras bahawa Britian tidak akan membenarkan budaya ketakutan mengambil alih jalan-jalan, dan berkata, polis menyediakan rancangan kontingensi untuk menggunakan meriam air jika perlu. "Kita akan melakukan apa-apa sahaja untuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman."  David Cameron juga mengisytiharkan bahawa polis "lawan balas" sedang dirancang selepas penjarahan dan jenayah gerombolan merebak ke seluruh negara pada malam keempat rusuhan.  Sementara polis memaklumkan bahawa mereka melawan api dengan api dengan arahan diberikan untuk mereka menggunakan peluru plastik.  "Polis diberikan peluang untuk membuktikan bahawa mereka dapat mengawal keadaan dengan kaedah tradisional dan memaksimumkan kekuatan mereka di jalan-jalan."

Editorial The Washington Post membuat perbandingan yang menarik antara Pemberontakan Arab dengan rusuhan di kota-kota British.  Rakyat Arab bertujuan menggulingkan pemerintah yang zalim dan korup,  manakala perusuh bertujuan mencuri, menjarah, dan membakar.  Walau bagaimanapun, editorial itu mengakui wujud kemungkinan untuk melihat hubungan antara orang muda yang kali pertama berkumpul di luar balai polis di utara London pada Sabtu lalu, yang sangat marah kerana pegawai polis membunuh lelaki kulit hitam berusia 29 tahun, dengan mereka yang mula mencetuskan rusuhan di pekan Sidi Bouzid di Tunisia berikutan pengorbanan diri penjual buah yang kecewa pada Disember lalu.  "Faktor bersama, termasuk pengangguran yang tinggi, rasa geram terhadap golongan kelas atasan yang mewah dan tampak pada lahirnya tidak boleh ditembusi, dan kebencian terhadap polis.  Dalam kes Britain, sebagaimana di sesetengah negara Arab, kesusahan diapi-apikan seterusnya oleh ketegangan kaum dan etnik."

Di Britain, sebagaimana di Timur Tengah, tambah editorial itu lagi, para pemimpin politik terkejut dengan ledakan kekacauan.   Di Britain, kekacauan merebak dari balai polis Tottenham mara ke Lodon dan kemudian ke Birmingham dan kota lain pada tiga malam pertama.  Akan tetapi, orang ramai yang tinggi di beberapa kawasan kejiranan yang terjejas atau bekerja dengan belia mereka berkata keadaan ini bergolak untuk masa yang panjang, bahkan kerana parti-parti politik di negara itu sebahagian besarnya mengabaikan masalah golongan bawahan yang kesusahan.

Ini merupakan kemunculan tahun pemberontakan oleh golongan yang telah dirampas harta, pertama di Timur Tengah Arab, kemudian di Israel, dan kini di sebuah negara demokrasi terkaya di dunia.  Tulis editorial itu, "pada masa gangguan ekonomi, tiada negara kebal daripada pergolakan sedemikian." Ketika berlangsungnya  Hay Festival dua tahun lalu, sejarawan Niall Ferguson pernah mengingatkan bahawa krisis ekonomi merupakan tanda akan datangnya zaman ketidakstabilan dan "siri krisis politik."  Lupakan paksi kejahatan, selamat datang paksi pergolakan.  Beliau mengingatkan bahawa akan berlaku lebih banyak rusuhan pada  tahun itu.  Jika anda tidak mempercayai perundangan, anda melakukan rusuhan jalanan.  Kini, peringatan Ferguson menjadi kenyataan, rusuhan berlaku  di mana-mana dengan beberapa nama:  Revolusi Melati, Dataran Tahrir.  


Pemberontakan Arab kedua merentas sempadan, dan   semangat Pemberontakan Arab melanda dunia.Pendek kata, Revolusi Melati, Dataran Tahrir, dunia Arab, dan jalan Arab sentiasa menjadi sebutan orang dengan penuh kekaguman, tidak kurang kebimbangan dan kesinisan.  Selepas berlakunya Perhimpunan Bersih (media arus perdana menyebut perhimpunan haram) pada awal Julai lalu, gambaran dunia Arab seakan-akan menjelma di Malaysia jika diperhatikan media asing:  "Malaysia's Leader Warned: Reform Elections or Risk Revolution," tulis Kate Hodal dalam The Guardian;  "Malaysia's Najib Must Abandon the Mubarak Model," tulis Simon Tisdall dalam akhbar yang sama.  


"Kita semua tahu bahawa Pemberontakan Arab merebak melampaui Timur Tengah.  Bahkan, Georgia, bahawa api isyarat harapan demokrasi probarat Amerika Syarikat merebak ke Rusia, berlakunya protes terhadap rasuah dan menuntut perubahan rejim.  Tulis Adrian Hamilton dalam The Independent, "yang paling memeranjatkan setakat ini mesti protes hujung minggu di Malaysia.  Lebih 20,000 orang menyertai perarakan di jalan-jalan di ibu negara, Kuala Lumpur.  Sejumlah 1667 orang ditahan."  Meskipun sukar untuk dinyatakan bahawa Malaysia mengikuti jejak Tunisia, Hamilton mengakhiri penulisannya dengan    "persoalannya gerakan protes di seluruh dunia bukannya mereka tidak mempunyai pola tunggal, tetapi bahawa mereka mewakili peralihan tektonik saduran politik.  Di mana-mana sahaja, demokratik dan autoritarian, Muslim, Kristian, dan sekular, orang ramai nampaknya berasa letih terhadap  sistem lama pemerintahan.  Akan tetapi, bagaimana rejim bertindak balas terlalu berbeza."  


Hanya tidak dapat dipastikan, sama ada rumusan menarik yang dibuat oleh Hamilton itu membayangkan bahawa protes itu juga merebak ke negaranya sendiri.  Juga bahawa, sama ada beliau sedari bahawa Pemberontakan Arab juga mara ke Britain.  Demikian juga dengan Simon Tisdall, apakah kata duanya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak supaya jangan meniru model bekas Presiden Hosni Mubarak, akan beliau sampaikan kepada Perdana Menteri David Cameron yang semakin berang terhadap perusuh, lalu   mengarahkan polis "melawan balas."


Ulasan atau komen tentang rusuhan di London dan kota-kota lain di Britain setakat ini memang banyak, ada yang melihatnya rusuhan itu berlaku berpunca daripada faktor perkauman.  Sementara Shaun Bailey menganggap rusuhan itu tanpa tanggungjawab bahawa kegagalan masyarakat British mendidik anak-anak mereka bahawa budaya hak kelayakan adalah salah. Penjarahan dan rusuhan sepanjang beberapa hari lalu dilakukan oleh sebilangan kecil orang muda di negara itu.  Mereka menunjukkan kepada "orang dewasa"  apakah yang boleh berlaku apabila golongan minoriti memutuskan untuk mengambil barang yang bukan kepunyaan mereka, menggunakan kekerasan sebagai taktik ugutan.


Namun, editorial The Washington Post yang dipetik sebelum ini  mengemukakan sesuatu yang menarik bahawa sedikit sebanyak ada persamaannya dengan apa yang berlaku di Tunisia.  Maksudnya, bunga melati kini harum dan mekar di kota London - sesuatu yang tidak dibayangkan sama sekali sebelum ini.  Selama ini, selain di dunia Arab dan Afrika, bunga Melati  tersebar ke negara paling jauh, iaitu  China yang telah diperkatakan oleh James Fallows, "Arab Spring, Chines Winter" dalam The Atlantic, keluaran September 2011.


  















No comments:

Post a Comment