Pages

Wednesday, November 4, 2020

Wabak: Sebuah Jurnal Sejarah

 RABU, 4 November 2020

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Lama sebelum manusia dan barang menjelajah dunia tanpa henti, pandemik telah pun merupakan ciri yang sebati dalam peradaban manusia. Dan tragedi yang dibawanya cenderung mempunyai sinar harapan: ditanggapi sebagai misteri, peristiwa sejarah meta, kerebakan penyakit skala besar selalunya memusnahkan kepercayaan dan pendekatan lama, menandakan anjakan besar dalam kelakuan hal ehwal  manusia.

            Wabak atau hawar yang dalam bahasa Inggeris disebut plague, biasanya merujuk kepada penyakit berjangkit, epidemik, dan pandemik yang dikaitkan dengan jangkitan, penularan, dan kerebakan. Oleh sebab kini virus korona COVID-19 sedang melanda kira-kira 200 buah negara dan wilayah, seperti pada  21 April, melibatkan 2.5 juta kes dan lebih 175,000 kematian, maka semua istilah tersebut sering berlegar-legar dalam media konvensional dan media sosial.

            Menurut Ensiklopedia Dunia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2005), wabak ialah penyakit yang tercetus yang menyerang ramai orang pada masa yang hampir sama. Wabak boleh tersebar melalui seseorang atau beberapa orang anggota masyarakat. Apabila penyakit terus kekal di sesebuah kawasan dikatakan, endemik. Jika penyakit merebak ke seluruh dunia, dikenali sebagai pandemik.

            Wabak besar ialah wabak bubonik yang melanda London pada tahun1665. Dalam masa seminggu, 7165 orang mati akibat wabak ini. Jumlah kematian kira-kira 70,000 orang. Wabak bubonik merupakan salah satu wabak yang menggerunkan. Dari  segi sejarah, catatan pertama tentang wabak di Eropah ialah wabak di Athens pada tahun 430 S.M. dan yang paling teruk berlaku di Rom pada 262 M., membunuh 5000 orang  sehari. Para salibi membawa penyakit itu ke Eropah. Dari tahun 1334 hingga 1354, Maut Hitam melanda China, India, Parsi, Rusia, Itali, Perancis, England, Jerman, dan Norway.

Ibn Khaldun ketika  mencapai umur 18 tahun, pernah menyaksikan  Afrika Utara menderita bencana besar yang telah menimpa seluruh dunia Islam dari Samarkand ke Mauritinia, iaitu Maut Hitam,  atau “wabak penyapu,” seperti yang dinamakan oleh beliau. Bencana  ini ialah epidemik yang sama yang telah melanda Itali dan kebanyakan negara Eropah, menimpa Timur dan juga Barat pada tahun 1349M./749H.

Dengan merujuk Maut Hitam dan epidemik yang menyusul, Fernand Braudel, dalam bukunya, A History of Civilizations, menegaskan bahawa setiap masyarakat, setiap peradaban, bergantung pada keadaan ekonomi, teknologi, biologi, dan demografi. Keadaan material dan biologi selalu membantu menentukan destini atau masa depan peradaban. Kebangkitan dan kejatuhan penduduk, kesihatan dan penyakit, pertumbuhan dan kemerosotan ekonomi dan  - semua ini  kesan mendalam budaya, di samping struktur sosial.

Sememangnya, wabak menempuh perjalanan sejarah yang panjang, mungkin sepanjang peradaban manusia itu sendiri, seperti yang dapat diperhatikan dalam catatan James C. Scott dalam Against the Grain: A Deep History of the Earliest States. “Sumber bertulis pertama juga menjadikannya jelas bahawa penduduk Mesopotamia memahami prinsip ‘penularan’, iaitu penyakit epidemik yang merebak. Sekiranya mungkin, mereka mengambil langkah kuarantin kes yang dicerap  pertama, mengurung mereka di kediaman mereka, tidak membenarkan sesiapa pun keluar masuk.” Tambah Scott: “Mereka tahu bahawa pengembara jarak jauh, pedagang, dan tentera berkemungkinan membawa penyakit. Amalan pengasingan dan pengelakan mereka memberikan gambaran tatacara kuarantin  lazaretti pelabuhan-pelabuhan Zaman Pembaharuan (Renaissance). Pemahaman tentang penularan adalah implisit bukan hanya pengelakan orang yang dijangkiti, tetapi pengelakan cawan, ceper, pakaian, dan cadar mereka. Tentera yang pulang dari perkhemahan dan disyaki membawa penyakit dikehendaki membakar pakaian dan perisai  mereka sebelum memasuki kota. Apabila pengasingan dan kuarantin gagal, mereka yang dapat meninggalkan kota, meninggalkan yang tenat dan yang sakit, dan pulang jika berkemungkinan, hanya selepas epidemik benar-benar berlalu.”

            Dalam  bukunya yang lain, The Art of Not Being Governed: An Anarchist of Upland Southeast Asia, Scott memberitahu kekerapan berlakunya epidemik di kota-kota Asia Tenggara pramoden. “Kelihatan bahawa boleh dikatakan, setiap orang faham bahawa dalam kes epidemik, jalan selamat adalah meninggalkan kota dengan segera  dan  bertaburan ke kawasan luar bandar atau ke  bukit. Meskipun orang tidak pada amnya sedar  akan vektor penyakit sebenar, mereka secara implisit tahu bahawa pertaburan dan pengasingan menghalang penyakit daripada merebak. Bagi orang bukit secara umum, orang tanah pamah difikirkan tidak sihat. Perseikatan sedemikian mungkin, bagi orang yang tinggal pada ketinggian 1000 meter, dikaitkan dengan tersebar luas malaria di altitud atau ketinggian rendah, atau boleh menggambarkan ketakutan terhadap epidemik bandar dan risiko penyakit shipborne yang dibawa oleh pedagang. Di Luzon, orang Igorot yang tinggal di ketinggian rendah, tahu bahawa sebaik-baik sahaja epidemik meletus, bahawa mereka mesti pulang ke bukit, bertaburan,  dan menutup laluan sekiranya mereka mahu kekal selamat daripada wabak yang membinasakan.” Walau bagaimanapun, Scott yang tidak asing bagi ahli akademik di Malaysia, menyatakan bagaimana pentingnya dari segi demografi, pelarian ke bukit sebagai respons terhadap epidemik, atau apakah perkadaran mereka yang melarikan diri pulang semula apabila bahaya berlalu, mustahil untuk diberitahu.

Dipercayai bahawa wabak  mungkin menjatuhkan  Empayar Rom. Meskipun sukar untuk  mengenal pasti satu alasan kematian Empayar Rom, sejarawan semakin memahami apakah kehidupan yang dialami penduduknya ketika dunia runtuh. Untuk memahami punca kejatuhan empayar itu, Caroline Wazer yang muncul dengan “The Plagues That Might Have Brought Down the Roman Empire” dalam The Atlantic, merujuk dua kertas kerja yang diterbitkan dalam Journal of Roman Archaeology menanyakan apakah peranan penyakit epidemik mainkan dalam masa-masa akhir Empayar Roman. Kertas kerja pertama, oleh sejarawan University of Oklahoma, Kyle Harper, mengutarakan apa yang disebut Wabak  Cyprian pada pertengahan gelora abad ketiga Masihi. Satu lagi ditulis oleh bekas profesor Harper, Michael McCormick, profesor sejarah zaman pertengahan di Harvard University, meneliti Wabak Justinian pada abad keenam Masihi.

 Wazer memberitahu bahawa wabak dalam kepurbaan Mediterranean, seperti dalam banyak zaman sejarah, sering kali difahami sebagai supernatural atau kuasa ghaib, di samping sebagai bencana fizikal. Oleh sebab abad ketiga merupakan masa penting pertumbuhan dan takrif  untuk gereja awal Kristian, Wabak Cyprian datang mengambil bentuk makna kerohanian yang mendalam bagi jahiliah (pagan) dan juga Kristian. Bagi Biskop Cyprian, wabak yang datang membawa nama beliau merupakan bukti keras kedudukan yang lebih tinggi agama Kristian ke atas agama tradisional Roman. Dengan melihat wabak sebagai peluang untuk meletakkan kepercayaan yang mereka secara paling  mendalam menjadi tindakan, orang Kristian awal secara tenang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap orang yang sakit dan melaksanakan upacara pengebumian yang betul untuk orang yang mati.

Pada sebelah lain agama yang berpecah-belah, penubuhan jahiliah dibebani oleh ketakutan.  Secara tradisional, paderi Roman mentafsirkan epidemik sebagai tanda kemurkaan tuhan-tuhan.  Bukti dalam bentuk ikonografi baharu pada duit siling dan rujukan kepada acara korban luar biasa yang dianjurkan oleh negara menunjukkan bahawa Wabak Cyprian tidak berbeza.  Seperti yang dicatatkan oleh Harper, sumber  bersetuju bahawa, “wabak melemahkan  fabrik sosial masyarakat jahiliah,” manakala respons tersusun komuniti Kristian, terutamanya dalam pengebumian  orang mati, menunjukkan perbezaan yang ketara.

Menurut Wazer, bahasa yang  jelas bias pada sumber Kristian dan sumber jahiliah menyebabkan banyak sarjana tidak menganggapnya sebagai propaganda agama, meskipun pada hakikatnya bahawa, jika anda melucutkan percakapan, laporan Kristian dan jahiliah bersetuju tentang semua isi utama, paling penting, bagaimana penularan, kesakitan, dan  bagaimana membunuhnya penyakit itu. Wazer memetik kesimpulan Harper bahawa “penyakit ini, merupakan satu paku dalam keranda Empayar Rom, dan merupakan peristiwa penting dalam pertumbuhan agama Kristian awal. Bagi agama Kristian awal, kemusnahan ini merupakan sesuatu peluang, tetapi bagi para pengikut agama tradisional Rom, gelombang penyakit yang tidak henti-henti melanda dunia Mediterranean hanyalah berakhirnya dunia ini.

            Lama sebelum The Plague, novel  karya Albert Camus, dan bahkan lama sebelum Daniel Defoe muncul dengan A Journal of the Plague Year tahun 1722,  sejarawan Rom,  Livy (59 atau 64 S.M. – 17 M.) dan sejarawan Yunani,  Thucydides (460  -  404 S.M) telah pun memerhatikan wabak pada zaman mereka.  Menurut Effie Coughanowr dalam The Plague in Livy and Thucydides, Livy mencatatkan wabak berlaku di Rom pada 433 S.M. kemungkinan musim panas: orang ramai di kota dan di desa dijangkiti. Lembu juga dijangkiti teruk.

            Walau bagaimanapun,  akibat kerebakan virus korona,  pemerian Thucydides dalam History of the Peloponnesian War mendapat  perhatian para pengkaji masa kini. “Wabak Athens” (“Plague of Athens”) merupakan epidemik yang teruk, yang menyerang kota itu pada tahun 430 S.M.; muncul semula pada tahun 425 S.M. Wabak ini dipercayai berasal dari Ethiopia, dan kemudian merebak ke seluruh Mediterranean. Namun begitu, setakat mana wabak ini mungkin menyumbang kepada kemenangan mutlak orang Sparta  dalam perang tersebut, atau menyumbang kepada akhirnya kemerosotan empayar Athens, tidak diketahui.

            Thucydides  memberikan pemerian yang dilihat sendiri tentang Wabak Athens. Pemerian Thucydides merupakan kepentingan sejarah yang besar. Thucydides juga memberikan wawasan yang menakjubkan tentang epidemiologi wabak itu. Beliau mencatatkan bahawa bahagian penduduk paling padat di Athens mempunyai kekerapan mangsa wabak yang paling tinggi. Pemimpin Athens dikatakan, bertindak balas  terhadap kepungan orang Sparta dengan memindah orang ke Athens dari kawasan luar bandar. Tindakan ini menyebabkan berlaku keadaan yang terlampau sesak, termasuk perangkap teruk wabak. Thucydides juga mencatatkan pakar perubatan mempunyai kemungkinan yang tinggi berbanding dengan mana-mana kumpulan dalam penduduk itu tunduk pada wabak.

Tambahan pula, Thucydides melaporkan bahawa wabak boleh dipindahkan dari sebuah tempat ke sebuah tempat lain; pemerhatian yang beliau lakukan ketika kepungan  di Poteida (430/429 S.M), apabila timbunan  mayat tentera Athens  memindahkan wabak kepada tentera yang telah pun berada di Poteida. Daripada pemerhatiannya, Thucydides menyimpulkan bahawa wabak bukannya kerana beberapa “pengaruh jahat” yang terbatas di  Athens dan di persekitaran yang berdekatan. Berdasarkan pemerhatian itu, Thucydides berpendapat, mungkin kali pertama, pandangan bahawa individu yang dijangkiti mungkin memindahkan penyakit secara langsung kepada orang lain.

Penyakit ini, pada keseluruhannya dipercayai oleh para sarjana moden, sama ada tifus ataupun tifoid, bahkan membunuh jeneral dan negarawan Athens, Pericles, isterinya, dan dua orang anak lelaki mereka, Paralus dan Xanthippus. Apakah yang dapat dipelajari daripada Wabak Athens yang diperhatikan oleh Thucydides itu?

Katherine Keladis yang menulis dalam The Atlantic, “What the Great Plague of Athens Can Teach Us Now,” menegaskan bahawa penyakit ini mengubah perjalanan perang tersebut, dan membentuk keamanan yang datang selepas itu, menyemai benih yang memusnahkan demokrasi Athens yang merupakan korban besar Perang Peloponnesian. Selepas orang Athens menyerah kalah, oligarki pro-Sparta, dikenali sebagai Thirty Tyrants, menguasai kota itu. Meskipun mereka kemudiannya diusir oleh  Thrasybulus yang prodemokrasi dalam pernah terlibat dalam peperangan itu yang tidak dapat terima bahawa kekalahan Athens bermakna berakhirnya demokrasi, yang berlaku, demokrasi Athens tidak pernah pulih semula dari segi keyakinan kendirinya dan bermain-main dengan kematiannya sendiri.

“Demokrasi akan berkembang subur dalam masyarakat yang secara kolektif percaya bahawa mereka sangat penting, kerana demokrasi memberikan tanggungjawab besar kerajaan. Keyakinan kendiri memerlukan keyakinan diri. Demokrasi mustahil takat (survive) apabila orang ramai semakin tidak pasti tentang diri mereka dan pemimpin mereka, undang-undang, dan institusi,” tulis Keladis.

Akibat wabak yang melanda dan kekalahan dalam peperangan, suatu tragedi yang datang bertalu-talu yang tidak pernah dialami oleh orang Athens sebelum ini, maka mereka  hilang keyakinan, dan bagi mereka, dunia telah berakhir. Mungkinkah kerebakan virus korona akan membawa akibat  terhadap tatanan atau orde dunia dan demokrasi? Secara khusus, apakah kerebakan virus korona memberikan peluang keemasan kepada negara autoritarian China untuk menundukkan negara demokrasi Amerika Syarikat? Baik sebagai kuasa besar dunia mahupun kuasa ekonomi global.

Wabak Athens yang diperhatikan oleh Thucydides dengan penuh wawasan sememangnya, banyak memberikan pengajaran kepada  kita tentang apakah yang berlaku selepas virus korona berlalu pergi. Mungkin ketakutan pandemik akan sentiasa menghantui kita semua untuk beberapa tahun mendatang.

No comments:

Post a Comment