Pages

Friday, November 27, 2020

Rejim Ketidaksamaan

 JUMAAT, 27 November 2020

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Penerbitan  Capital in the Twenty-First Century pada tahun 2014   menyebabkan penulisnya, Thomas Piketty, muncul sebagai ahli ekonomi terkenal dan  dinobatkan sebagai “bintang Rock.” Buku magnum opus tentang ketidaksamaan pendapatan ini diulas dan dibahaskan secara meluas, manakala ahli ekonomi pula muncul di sebelah menyebelah Antlantik dalam pelbagai program yang wacana  idea beliau. 

    Penerbitan buku itu juga memperkukuh kedudukan   ekonomi politik sebagai salah satu bidang ilmu yang penting. Hal ini demikian kerana persoalan tentang evolusi ketidaksamaan jangka panjang, penumpuan kekayaan, dan prospek untuk pertumbuhan ekonomi yang dibincangkan dan dibahaskan buku terlaris The New York Times itu terletak pada nadi  ekonomi politik. Dalam halaman awal buku tersebut, Piketty  menulis bahawa apabila ekonomi politik klasik lahir di England dan Perancis pada akhir ke-18 dan awal abad ke-19, isu pengagihan telah pun merupakan salah satu persoalan utama. Ahli ekonomi politik yang mendapat perhatian beliau, ialah Thomas Malthus, Arthur Young, David Ricardo, dan Karl Marx. Pada halaman hujung beliau menegaskan bahawa daripada mula,  ekonomi politik cuba mengkaji secara saintifik, atau mana-mana kadar secara rasional, secara sistematik, secara berkaedah, peranan unggul negara dalam ekonomi dan organisasi sosial di sesebuah negara.

Pada tahun ini, Piketty muncul dengan  Capital and Ideology,  memperkenalkan konsep “rejim ketidaksamaan.” Apabila disebut “ideologi,” maka lazimnya, orang merujuk kepada konservatisme (kanan), liberalisme (tengah),  radikalisme (kiri), dan rekaan baharu pada abad ke-20, Fasisme. Dari segi teori, ideologi selalunya dikaitkan dengan Louis Althusser yang menganalisis hubungan perlu antara negara dengan rakyat, seperti ragam pengeluaran (modes of production) ekonomi tertentu mungkin wujud. Teori ini termasuk bukan sahaja analisis negara dan perundangan dan sistem pendidikannya, tetapi juga hubungan psikologi yang wujud antara rakyat dengan negara sebagai ideologi. Althusser menegaskan bahawa rejim atau negara mampu mengekalkan kawalan dengan mengeluarkan semula (reproducing)  rakyat yang percaya bahawa kedudukan mereka dalam struktur sosial adalah sesuatu yang semula jadi.

Walau bagaimanapun, dalam Capital and Ideology konsep ideologi boleh dikatakan berbeza daripada teori ideologi Althusser. Seperti yang dijelaskan oleh Piketty, “saya menggunakan ‘ideologi’  dalam maksud positif dan konstruktif untuk merujuk set idea dan wacana  yang boleh dipercayai a priori yang menjelaskan bagaimana masyarakat sepatutnya disusun. Ideologi mempunyai dimensi sosial,  ekonomi, dan politik. Ideologi merupakan percubaan untuk memberikan respons terhadap set persoalan yang lebih luas berhubung dengan organisasi masyarakat yang dingini atau unggul.”

Piketty  mentakrifkan “rejim ketidaksamaan,” iaitu set wacana dan pengaturan institusi yang bertujuan untuk diwajarkan dan struktur ketidaksamaan  ekonomi, sosial, dan politik dalam masyarakat tertentu. Setiap rejim tersebut mempunyai kelemahannya. Untuk takat (survive) rejim ini mesti secara kekal, mentakrifkan semula sendiri, selalunya melalui konflik ganas, tetapi juga dengan menggunakan sendiri setiap kesempatan pengalaman dan pengetahuan yang dikongsi. Subjek buku ini ialah sejarah dan evolusi rejim ketidaksamaan.

Beliau juga mentakrifkan “rejim politik,” yang bermaksud  set peraturan yang menjelaskan sempadan komuniti dan wilayahnya, mekanisme pembuatan keputusan kolektif, dan hak politik anggota komuniti. Peraturan ini menentukan bentuk penyertaan politik dan menjelaskan peranan masing-masing warganegara dan orang asing, di samping fungsi eksekutif dan anggota perundangan, para menteri dan raja, parti dan pilihan raya, empayar dan koloni.

Seterusnya, Piketty mentakrifkan “rejim harta,” yang beliau maksudkan  “set peraturan yang menjelaskan bentuk pemilikan yang mungkin berbeza, di samping tatacara perundangan dan praktik untuk mengawal selia hubungan harta antara kumpulan sosial berbeza. Peraturan sedemikian mungkin merupakan sebahagian harta persendirian atau awam, hartanah, aset kewangan, tanah atau sumber mineral, hamba atau khadam, intelektual dan bentuk harta lain yang tidak penting, dan hubungan antara tuan tanah dengan penyewa, kaum bangsawan dengan kaum tani, tuan dengan hamba, atau pemegang saham dengan pekerja upah.”

Setiap masyarakat, setiap rejim ketidaksamaan, dicirikan oleh  set  lebih atau kurang koheren dan jawapan yang berkekalan untuk persoalan ini tentang rejim politik dan rejim harta ini. Dua set jawapan ini selalunya berkait rapat  kerana set berkenaan bergantung sebahagian besar pada beberapa teori ketidaksamaan antara kumpulan sosial yang berbeza. Jawapannya pada amnya bermaksud julat intelektual dan komitmen institusi lain. Jawapan untuk persoalan ini berbeza dengan meluas. Orang ramai boleh bersetuju tentang rejim politik, tetapi bukannya dengan rejim harta atau tentang pengaturan fiskal atau pengaturan pendidikan, tetapi bukan dengan yang lain.

Setelah menegaskan bahawa “setiap rejim ketidaksamaan, setiap ideologi ketidakegalitarian, terletak pada kedua-duanya, iaitu teori sempadan dan teori harta,” Piketty seterusnya menjelaskan “ketidaksamaan bukannya ekonomi dan  bukannya teknologi; ketidaksamaan ialah ideologi dan politik.” Untuk itu, beliau mengambil pendekatan sejarah untuk menjejak asal-usul dan perkembangan rejim  ketidaksamaan. Pendekatan yang diambil berdasarkan ideologi, institusi, dan kemungkinan laluan alternatif, juga berbeza daripada pendekatan yang kadang kala dicirikan oleh “Marxis,” yang menurut pendekatan ini, negara kuasa ekonomi dan hubungan pengeluaran menentukan “superstruktur” ideologi masyarakat dalam gaya paling mekanikal. Sebaliknya, Piketty menegaskan bahawa alam idea, iaitu lingkungan ideologi-budaya adalah benar-benar autonomi.  Walau bagaimanapun, Paul Collier yang muncul dalam NewStatesman, “How Thomas Piketty Lost Touch with Reality” menjelaskan bahawa Capital and Ideology adalah panjang kerana buku ini penuh sejarah sosial global. Puak Marxis akan tertarik sedikit kerana mereka tidak menyukainya: daripada sejarah itu Piketty mengakui bahawa komunisme adalah  kegagalan  yang membawa bencana.

Perlu dicatatkan bahawa konsep rejim ketidaksamaan pernah diperkenalkan oleh Joan Acker dalam  makalahnya, “Inequality Regimes.” Acker mengemukakan idea rejim ketiidaksamaan sebagai pendekatan analisis untuk memahami pewujudan ketidaksamaan dalam organisasi kerja. Rejim ketidaksamaan merupakan amalan dan proses berpanca amalan dan proses yang mengakibatkan ketidaksamaan berterusan dalam semua organisasi kerja. Berbeza dengan konsep rejim ketidaksamaan Piketty yang melihat rejim ketidaksamaan yang lebih luas, iaitu masyarakat dan negara. Beliau cuba menawarkan sejarah ekonomi, sosial, intelektual, dan politik rejim ketidaksamaan: maksudnya, sejarah sistem yang ketidaksamaan diwajarkan dan disusun, dari trifunctional pramoden dan masyarakat hamba ke pascakolonial moden dan hiferkapitalis.    

Bagi Piketty, ketidaksamaan yang semakin melebar dijelaskan oleh politik dan bukannya ekonomi, dengan  menawarkan beberapa penyelesaian radikal. Dalam Capital and Ideology, “beliau cuba melakukan beberapa perkara yang beliau tidak lakukan dalam  bukunya sebelum ini, iaitu penjelasan yang lebih baik mengapa dan bagaimana ketidaksamaan terus wujud dan mengapa bahkan  penyelesaian yang lebih radikal adalah perlu untuk menterbalikkan trend ini,” tegas Keith Johnson yang muncul dalam Foreign Policy dengan The Tyranny of Property.” Rejim ketidaksamaan yang diutarakan oleh Piketty, iaitu sistem yang membenamkan kitaran ketidaksamaan, pada amnya wujud hampir di setiap tempat di sepanjang peta dan dalam buku sejarah sehingga dalam beberapa kes gembira, rejim itu disapu ke tepi. Dan rejim ketidaksamaan itu tidak berlaku secara kebetulan, tetapi secara reka bentuk. Sama ada Perancis prarevolusi dan pascarevolusi, Haiti kolonial, Eropah belle epoque, atau Amerika Ronald Reagan, peraturan  permainan politik dan ekonomi  ditentukan oleh orang berharta dan mempunyai hak istimewa dalam usaha untuk membiakkan lebih banyak harta dan hak istimewa.

Piketty, seperti yang diperhatikan oleh Paul Collier, mengutarakan bagaimana mewajarkan ketidaksamaan yang terus wujud, salah satu kewajaran itu, pada hakikatnya, feudalisme menugasi anggota masyarakat satu daripada tiga peranan: keselamatan, komuniti, dan pengeluaran. Setiap satu memerlukan yang dua lagi, dan ketidaksamaan dalam sesetengah maksud menunjukkan tiga nilai relatif tiga peranan itu. Kewajaran lain ialah kesahan atau legitimasi harta persendirian, yang tumpuan buku ini ialah kritikan tentang bagaimana Revolusi Perancis mengalami kesilapan dengan menaikkan hak harta mengatasi konsep feudal bahawa hak disusuli daripada status dalam sistem kasta. Kemahiran teras ialah penyusunan teliti angka yang menunjukkan bagaimana ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan berubah. Beliau menegaskan secara meyakinkan bahawa bertukar kepada masyarakat yang  dibina sekitar hak harta mengakibatkan peningkatan yang sangat besar dalam ketidaksamaan pada abad ke-19, kerana kekayaan dikumpulkan tanpa perubahan etika yang signifikan.

Piketty menjejaki rejim ketidaksamaan dalam perjalanan sejarah yang panjang, bermula dengan mengkaji apa yang beliau sebut “masyarakat ternar,” yang paling tua dan jenis rejim ketidaksamaan paling biasa. Secara mudah, masyarakat ternar terdiri daripada tiga kumpulan sosial yang berbeza, setiap kumpulan itu memenuhi fungsi penting khidmat untuk masyarakat, iaitu golongan paderi, kaum bangsawan, dan estet ketiga. Daripada masyarakat ternar, Piketty meneliti ketidaksamaan dalam masyarakat hamba dan kolonial.

Berbeza dengan  Capital in the Twenty-First Century yang kajiannya tertumpu pada negara Eropah dan Amerika Syarikat, tumpuan buku terbaru Piketty ini lebih luas, antaranya Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, China, India, negara Timur Tengah,  negara komunis, dan bekas komunis, negara Afrika, negara Amerika Latin, dan negara Indo-China. Capital and Ideology bahkan lebih bercita-cita tinggi jika dibandingkan dengan Capital in the Twenty-First Century, yang memberikan tumpuan pada “trend ketidaksamaan dalam kapitalisme Barat selama 200 tahun lalu, manakala buku baharu ini mengemukakan sejarah hampir segala-galanya. Kronologi bermula dengan menyorot secara meluas ekonomi feudal dan ekonomi pramoden lain, dan berakhir dengan dilema yang dihadapi oleh gilets jaunes. Deretan geografi adalah global, dengan menambah Brazil, India, dan Cina (‘BRICS) untuk analisis beliau sebelum ini tentang  tentang  Eropah dan Amerika Syarikat. Perhambaan dan kolonialisme diliputi dengan mendalam,” tulis William Davies dalam The Guardian.

Sebagaimana Capital in the Twenty-First Century, Capital and Ideology yang tebalnya lebih 1000 halaman juga mendapat ulasan dan perbahasan yang  meluas. Paul Krugman yang mengulas buku itu dalam The New York Times, “Thomas Piketty Turns Marx on His Head,” menegaskan untuk bersikap adil, buku ini memajukan sekurang-kurangnya kerangka teori agung ketidaksamaan, yang mungkin dijelaskan sebagai Marx dalam kepalanya. Dalam dogma Marxian, struktur kelas masyarakat ditentukan dengan mendasari, kuasa bukan peribadi, teknologi dan ragam pengeluaran  yang teknologi imlak atau tentukan. 

Konsep   ragam pengeluaran  berasal daripada idea Karl Marx, mengandungi dua aspek utama, iaitu kuasa pengeluaran dan hubungan pengeluaran. Kuasa pengeluaran termasuk semua unsur yang dibawa bersama-sama dalam pengeluaran, seperti tanah, bahan mentah, bahan api, kemahiran manusia, buruh, jentera, alat, dan kilang. Hubungan pengeluaran pula termasuk perhubungan dalam kalangan orang dan perhubungan orang dengan kuasa pengeluaran yang menerusinya keputusan dibuat tentang apakah yang akan dilakukan terhadap hasil. Ragam pengeluaran merujuk kepada pelbagai cara manusia secara kolektif mengeluarkan atau menghasilkan alat sara diri  untuk hidup dan mempertingkatkan manusia  sosial.

Dakwaan Krugman bahawa Piketty memikir-mikirkan Marx mungkin ada benarnya juga kerana beliau (Piketty)  memetik penegasan Karl Marx dan Friedrich Engels dalam The Communist Manifesto: “Sejarah semua masyarakat yang ada hingga sekarang ialah sejarah perjuangan kelas.” Akan tetapi,  beliau cuba merumuskan penegasan itu semula, iaitu “sejarah semua masyarakat yang wujud  hingga  sekarang ialah sejarah perjuangan ideologi dan berusaha mencari keadilan. Dalam kata lain, idea dan ideologi dihitung dalam sejarah.” Beliau, bagaimanapun, menjelaskan bahawa perjuangan ideologi dan berusaha mencari  keadilan juga memerlukan pernyataan pendirian yang ditakrifkan dengan jelas dan antagonis yang direka dengan jelas. Tegas  Piketty, “berdasarkan pengalaman yang dianalisis dalam  buku ini, saya yakin bahawa kapitalisme dan harta persendirian  boleh digantikan dan bahawa masyarakat adil dapat diwujudkan pada asas sosialisme penyertaan  dan federalisme sosial.” Dalam Capital in the Twenty-first Century, beliau pernah  menegaskan bahawa “ahli ekonomi hari ini akan melakukan lebih baik untuk mengambil inspirasi daripada contoh Marx.”

Walau bagaimanapun, Krugman berhujah bahawa  Piketty melihat ketidaksamaan sebagai fenomena sosial, dipacu oleh institusi manusia. Perubahan institusi seterusnya, mencerminkan ideologi yang menguasai masyarakat: “Ketidaksamaan bukannya ekonomi dan bukannya teknologi; ketidaksamaan ialah ideologi dan politik.” Akan tetapi, dari mana datangnya ideologi?

Piketty cuba menjelaskan apakah punca pusuan baru-baru ini dalam ketidaksamaan dan apakah yang perlu dilakukan. Bagi Piketty, ketidaksamaan yang meningkat adalah pada akar umbi fenomena sosial. Rangka demokratik sosial yang menjadikan masyarakat secara relatifnya sama untuk beberapa generasi selepas Perang Dunia Kedua, telah dirombak, kerana kebangkitan ideologi “neo-proprietarian.”

William Davies yang juga menjangkakan Piketty dalam keadaan tertentu cenderung pada Marxis, menegaskan premis beliau dalam Capital and Ideology ialah soal moral: ketidaksamaan adalah haram, dan dengan itu, memerlukan ideologi untuk diwajarkan dan disederhanakan. “Semua sejarah menunjukkan bahawa pencarian agihan kekayaan untuk majoriti orang ialah tema yang berulang-ulang pada semua zaman dan semua budaya.” Oleh sebab berlaku pengagihan pendapatan, kekayaan, dan pendidikan secara lebih meluas, maka mereka menjadi lebih makmur.

Secara kebetulan Capital dan Ideology  diterbitkan ketika  wabak pandemik COVID-19  melanda dunia dan mendedahkan disfungsi dalam demokrasi kapitalis Barat. Oleh yang demikian, maka kita dapat menyaksikan kepulangan semula kerajaan, manakala revolusi Reagan-Thatcher dengan mantera “konsensus Washington” dan “neoliberalisme” telah mati. Wabak ini menyebabkan kerajaan mula memainkan peranan penting dalam kesihatan awam dan kerana  mengakibatkan ekonomi berubah turun, yang akhirnya mendorong kerajaan di banyak negara memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi. Selain itu, wabak yang melanda juga berkemungkinan mendorong kerajaan terlibat secara aktif  dalam pengagihan semula dan tidak boleh membiarkan pasaran yang menentukan segala-galanya.

Walau bagaimanapun, Piketty dalam buku yang sungguh tebal itu dan dengan  rangkuman yang luas, iaitu sejak  zaman pramoden,  terlepas pandang akan isu “wabak dan ketidaksamaan,” yang pernah diperhatikan oleh Walter Scheidel. Dalam bukunya, The Great Leveller: Violence and the History of Inequality from the Stone Age to the Twenty-First Century. Scheidel  menegaskan “dalam jangka panjang, 2000 tahun lalu menghasilkan ‘puncak kembar’ ketidaksamaan selepas empayar purba asal runtuh; masyarakat Zaman Pertengahan di ambang Maut Hitam, dan masyarakat moden di ambang Perang Dunia Pertama. Dengan melenyapkan satu pertiga penduduk Eropah menerusi wabak dicerminkan di Amerika Selatan oleh pengurangan penduduk akibat genosid, sebenarnya menekan ketidaksamaan, dengan meningkatkan harga tenaga kerja.”

N.B. yang memetik  buku itu dan menemu bual penulisnya  Scheidel muncul dalam The Economist, “Can Inequality Only be Fixed by War, Revolution or Plague?” Menurut N.B., profesor Stanford itu menganjurkan bahawa sepanjang sejarah, ketidaksamaan ekonomi hanya dibetulkan oleh salah satu “Four Horsemen of Leveling”: peperangan, revolusi, keruntuhan negara, dan wabakThe Great Leveller menyatakan sepanjang sejarah yang direkodkan, pemampatan berkala ketidaksamaan disebabkan oleh peperangan mobilisasi massa, revolusi transformatif,  kegagalan negara, dan pandemik selalunya membantutkan mana-mana contoh kesamaan yang diketahui  melalui cara aman keseluruhannya.

Dalam buku ini, Thomas Piketty memperlihatkan dirinya sebagai pendukung  sains sosial dan ekonomi politik. Beliau  yang berasa tidak selesa apabila sejarawan, ahli sosiologi, ahli sains politik, dan ahli falsafah terlalu kerap meninggalkan kajian persoalan ekonomi kepada ahli ekonomi, menegaskan “akan tetapi, ekonomi politik dan sejarah ekonomi melibatkan semua sains sosial, seperti yang saya cuba tunjukkan dalam buku ini. Semua ahli sains sosial sepatutnya cuba memasukkan trend sosioekonomi dalam analisis mereka dan mengumpulkan data kuantitatif dan data sejarah bila-bila masa sahaja berguna dan sepatutnya bergantung pada kaedah dan sumber lain apabila perlu."





No comments:

Post a Comment