Pages

Tuesday, January 24, 2023

Sejarah Buku

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Selasa, 24 Januari 2023

Boleh dikatakan bahawa semua orang, termasuk orang yang buta huruf, pernah  melihat dan mengenali buku.  Buku merupakan sebahagian hidup manusia, meskipun  buku  bukan dianggap sebagai keperluan asas, seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Selain di perpustakaan, sekolah, universiti, pejabat, di kedai buku,  dan di rumah, kita pernah  melihat orang membawa dan membaca buku di pelbagai tempat, seperti dalam bas, kereta api, kapal terbang, dan di taman rekreasi, meskipun  buku   tidak setanding orang membawa dan menggunakan telefon bimbit.

Apakah Buku?

Oleh sebab kebanyakan kita mengenali buku, maka bertanyakan soalan sedemikian seakan-akan “sudah terang lagi bersuluh.” Buku merupakan helaian kertas yang ditulis atau dicetak atau bahan lain yang dikepilkan bersama-sama di sebelah tepi supaya dapat dibuka pada mana-mana bahagian.  Kebanyakan buku mempunyai kulit yang melindunginya. Buku merupakan satu cara yang agak murah dan  mudah untuk menyimpan, membawa, dan memperoleh pengetahuan dan maklumat.  Dengan demikian, buku merupakan salah satu ciptaan manusia yang paling hebat.

            Menurut Ensiklopedia Dunia (jilid 4),  book berasal daripada perkataan Inggeris lama boc, yang bermaksud batu bersurat  atau helaian bertulis.  Walau bagaimanapun, buku  mempunyai takrif rasminya. Bagi  Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), buku ialah karya kesusasteraan  atau kesarjanaan (scholarship) yang diterbitkan.  Untuk tujuan statistik, buku ialah penerbitan bercetak bukan berkala  yang mengandungi sekurang-kurangnya 49 halaman, tidak termasuk kulit. Akan tetapi, tidak ada takrif ketat yang memuaskan yang merangkumi keanekaan penerbitan yang dikenal pasti. Bagi para editor buku, takrif UNESCO ini lazimnya menjadi pegangan atau rujukan mereka.

            Berdasarkan takrif UNESCO itu, majalah dan jurnal, yang merupakan terbitan bercetak dan  ketebalannya biasanya lebih  49 halaman atau lebih tidak  dianggap sebagai buku.  Oleh itu, memang aneh dan lucu pernah berlaku dalam program “derma buku,” ada sebilangan tamu yang dijemput membawa dan mendermakan majalah! 

UNESCO mengemukakan takrif buku itu pada tahun 1964, iaitu ketika penerbitan bercetak mendominasi dan mengungguli dunia penerbitan.  Meskipun ketika itu juga wujud media elektronik, seperti filem dan  televisyen dan mendapat sambutan khalayak, tidak dibayangkan sama sekali akan kemunculan penerbitan elektronik untuk bahan bercetak, seperti buku, kamus, ensiklopedia, kamus, dan majalah. Kemunculan penerbitan ini yang bagi buku dikenali sebagai e-buku,  pastinya mengesani takrif buku oleh UNESCO itu.

Berikutan kemajuan dalam penerbitan buku, maka wujud usaha untuk mentakrifkan semula  buku, antaranya oleh  Alexis C.  Madrigal (2014). Beliau menegaskan bahawa “pada era Kindle,  takrif buku seakan-akan cukup jelas. Wujud penghujahan implisit dari segi tindakan pendigitan buku dan mengalihkan buku dari rak:  buku ialah teksnya. Buku adalah untai  (string) perkataan yang unik, sebaik bitnya.”  Bagi Madrigal, buku bercetak juga merupakan objek, objek yang dikilangkan, objek yang dimiliki, objek yang ditandakan oleh pensel dan masa dan cawan kopi dan minyak dari kulit kita.  “Buku lebih daripada beg perkataan,” Madrigal memetik pengasas projek Book Traces di University of Virginia,  Andrew Stauffer, yang memaklumi beliau.  “Buku ini sebagai objek.”

Madrigal seterusnya menyatakan bahawa  setiap objek buku mempunyai dua kategori cerita utama untuk beritahu.  Yang pertama, berkait dengan sejarah resepsi buku itu sendiri.  Apakah anotasi yang dilakukan oleh manusia terhadap teks? Apakah penandaan aftermarket beritahu kita tentang bagaimana buku dibaca?  Bagaimanakah buku difahami?

“Dalam cara yang pasti, projek seperti Rap Genius merupakan kesetaraan zaman moden yang Book Traces mungkin temui bagi abad ke-19,” kata Stauffer.

Stauffer memberitahu bahawa keseluruhan abad ke-19 merupakan  cerita kertas semakin murah, seperti akses digital  lebar jalur  semakin bertambah baik.  Ketika itu, kertas semakin dapat diperoleh. Pada hari awal abad itu, orang menggunakan apa-apa sahaja skrap yang dapat digunakan oleh mereka kerana kertas sukar diperoleh. Akan tetapi, pada pertengahan abad ke-19,  tidak dapat dipastikan bahawa kita tahu apakah orang fikir tentang buku. Mereka perlu fikir bahan yang amat murah yang dapat  digunakan oleh mereka untuk tulis, tetapi tidak semurah seperti menulis dalam majalah atau akhbar The New York Times.

Dengan pertumbuhan lebar jalur digital bermakna bahawa ini akan mengesani ke detik kita - abad ke-21 awal ini – untuk memutuskan masa depan jangka panjang rekod bercetak ini. Bagi Stauffer, kita mustahil hilang buku sebagai beg perkataan.  Akan tetapi, kita kemungkinan besar hilang buku sebagai objek.

Stauffer mengingatkan bahawa pada beberapa tahun akan datang akan menentukan sekiranya kita tidak memelihara sejarah budaya bercetak, tetapi bagaimana? Objek ini mengandungi “semua struktur sosial, bahasa, asal usul teknologi, semuanya laluan yang diharunginya dari detik buku  keluar daripada percetakan ke detik buku dalam tangan kita.

Bagi Miriam J. Johnson (2019),  takrif buku dipinda sepanjang masa kerana teknologi bertambah maju dan para penulis sendiri mula mempunyai hubungan yang berbeza dengan buku dan industri. Buku itu sendiri dipinda dari segi format,  daripada bercetak kepada digital, dengan edisi audio, dan hubungan  dari segi sosial dengan kebangkitan media sosial dan bentuk baharu para pengarang yang pilih untuk tulis dan kongsikan karya mereka secara langsung di dalam platform sosial.

 Johnson menegaskan oleh sebab teknologi baharu dan liputan media dan pertumbuhan kedua-duanya, iaitu dari segi menegak dan mendatar, maka takrif buku mesti  menguasai inti pati kandungan, dan pada masa yang sama, masih dapat cukup  berubah untuk merangkumi pembungkusan  yang wujud dan masa depan. Beliau menegaskan bahawa sejak zaman tertulis pada  batu bersurat tanah liat (2500 tahun Sebelum Masihi) hingga revolusi digital (tahun 1990-an), buku merupakan objek fizikal yang biasanya mudah alih, selalunya dihimpunkan, dan dianugerahi sebagai “khazanah ilmu pengetahuan manusia.”  Buku itu sendiri mengalami perubahan fizikal sepanjang masa dan sejarawan buku sekarang menggunakan “perkataan ‘buku’  dalam maksudnya yang amat luas, boleh dikatakan merangkumi mana-mana cebisan bertulis atau teks bercetak yang digandakan, diedarkan, atau dalam sesetengah cara untuk orang awam.

Dari segi sejarah, Johnson memberitahu bahawa industri penerbitan buku mengalami tempoh  kestabilan yang panjang disusuli oleh pergolakan revolusioner yang menyebabkan perubahan radikal dari segi cara buku ditulis, diterbitkan, dan diedarkan. Anjakan yang paling mudah dikenal pasti adalah daripada kodeks  (tahun 150 Masihi), yang membawa kepada kelahiran buku berjilid secara tradisional yang kita miliki hari ini. Kemajuan teknologi lain, seperti percetakan majalah, kulit lembut pasaran massa, dan e-buku juga muncul pada dekad baru-baru ini dan menyumbang kepada perkembangan  takrif buku dengan mengubah format buku, tetapi masih  mengekalkan perkaitan ketat, benar atau maya, dengan buku fizikal.  Penerbitan fizikal dan penggabungan teknologi baharu telah mengubah format buku yang dapat diperoleh, dan kita, mesti seterusnya, mengubah wacana yang mengelilingi buku untuk mencerminkan perubahan ini.

Untuk mentakrifkan buku berikutan perkembangan terkini yang berlaku, Johnson bermula dengan merujuk buku Archaeology of Knowledge Foucault, yang menyatakan bahawa persediaan terbaik kita untuk memahami wacana “kita mesti melepaskan diri kita daripada tanggapan  yang banyak sekali,” dalam kes ini, set pemerihal buku.  Foucault seterusnya menjelaskan tanggapan spesifik “yang mesti digantungkan ialah tanggapan yang muncul dalam cara yang paling segera, iaitu tentang buku dan karya.”

Bagi Foucault, “buku bukan hanya objek yang kita pegang di dalam tangan kita;  dan buku tidak boleh kekal di dalam parallelepiped kecil yang mengandunginya.” Dengan melucutkan “tafsiran fakta” tentang apakah buku, kita dapat mentakrifkan buku secara  lebih baik dengan melihat “peraturan kemunculan serentak atau berturutan pelbagai objek  yang dinamai, dijelaskan, dianalisis, dihargai, atau dinilai dalam hubungan itu. Jo

Johnson mengingatkan bahawa dalam mentakrifkan buku, kita mesti menanyakan: Bagaimanakah perubahannya, dan bagaimanakah buku berkait dengan kandungan, kontena, dan kesosialan  digital?  Bagaimanakah buku berubah? Beliau seterusnya merujuk  “Shenzhen-UNESCO International Conference on Digital Books and Future Technology,”  tentang evolusi buku apabila diramalkan bahawa penerbit dan pengedar akan “berkembang daripada peranan yang lebih tradisionalnya sebagai penerbit buku kepada penyedia kandungan dalam bentuk e-buku dan e-penerbitan.” Perkara ini dibuktikan dengan pembaca e-buku yang meningkat pada tahun 2012 ke tahun 2014, dan dijangkakan meningkat sekali lagi untuk menyaksikan bahagian hasil buku pengguna melebih 40 peratus dalam pasaran dengan penerobosan tablet tinggi.

Takrif buku diperluas sejajar dengan perubahan dalam kuasa strategi, komuniti, dan pengarang.  Perubahan di dalam industri penerbitan, menurut Johnson, yang kemudiannya, impak takrif “buku,” tidak selalunya diterima dengan mudah. Secara tradisional, setiap benda yang dijilid di antara dua kulit dan diagihkan berpotensi dianggap sebagai buku. Ini termasuklah buku tanpa perkataan, seperti buku bergambar, buku mewah, buku fotografi.  Dengan bergerak jauh daripada format tradisional, sekiranya kita mengambil keluar kandungan daripada kontena, maka apakah takrif “buku?” Sebagai contoh, buku terlaris perdagangan.  Penerbit mengedarkan buku dalam bentuk kulit keras, kulit lembut, format e-buku, kesemuanya padan dianggap “buku.”

Akan tetapi, apakah yang berlaku apabila penerbit menumpukan media dan mencipta buku audio yang menyerupai buku terlaris hanya dalam kandungan itu, bukannya format, adalah (kebanyakannya) sama?  Adakah audio masih buku?

Berikutan kemunculan  e-buku, takrif buku menjadi semakin mendapat perhatian dan wujud usaha untuk mentakrifkan semula buku.  Dari segi takrif, semakin rumit, yang mendorong Miha Kovač, Angus Phillips, Adriaan van der Weel, dan Ruediger Wischenbart (2019), mengemukakan kejelasan konsep tentang apa yang kita sebut buku. Bagi mereka, dalam persekitaran pembacaan digital, unsur asas takrif UNESCO itu (jumlah minimum halaman bercetak perlu diketepikan. Bersama-sama dengan ketibaan model perniagaan penerbitan baharu, tanggapan keseluruhan tentang buku dalam bahaya.  Set perkembangan ini menggesa pertimbangan semula fundamental bagaimana kita mentakrifkan buku dalam hubungan dengan objek seperti buku dan bentuk teks lain, dengan mengambil kira ketibaan zuriat (offspring), seperti e-buku dan buku audio.

Kovač,  Phillips,  Weel, dan  Wischenbart menegaskan bahawa takrif buku terutamanya penting bagi perangkawan penerbitan dan pembacaan, kerana salah unit utama pengukuran mereka menjadi sukar untuk difahami. Bagi  Kovač,  Phillips,  Weel, dan  Wischenbart, isu di sekitar perangkaan buku bukan sekadar merupakan minat bagi industri buku. Hal ini demikian kerana kita membaca buku bercetak dalam cara yang berbeza jika dibandingkan dengan kandungan tekstual  pada sesawang. Buku bercetak (dan buku digital) masih merupakan salah satu benteng lampau (bastions of deep) yang utama atau pembacaan yang mengasyikkan, manakala kandungan sesawang adalah terutamanya dirancang.  Apabila kita meneliti  bersama-sama perangkaan media lain, perangkaan dan pembacaan memberitahu kita bukan hanya perubahan  alat yang kita gunakan untuk menerbitkan, menyimpan, mendapat kembali, dan mencernakan maklumat, tetapi juga secara tidak langsung tentang cara kita baca dan fikir  yang sedang berubah akibat penggunaan alat ini.

Kovač,  Phillips,  Weel, dan  Wischenbart memberitahu bahawa perbincangan tentang buku mempunyai sekurang-kurangnya tiga lapisan. Pertama, perbincangan ini  menjadikan sumbangan penting untuk mendebatkan pentingnya pembacaan bentuk linear panjang dalam masyarakat sezaman. Kedua, perbincangan ini mendasari mekanisme dasar kawal selia, kadar cukai nilai ditambah (VAT) dan harga tetap yang dilaksanakan kerana status khusus ini sejajar dengan buku selama dua abad lalu. Ketiga, debat ini memberi kita wawasan sifat kontingen dari segi sejarah tentang fenomena buku dan pembacaan dalam peradaban manusia.

Sebagai permulaan, mereka mengemukakan persoalan mengapa kita sebut objek berlainan,  seperti  batu bersurat tanah liat dan kodeks  itu “buku?” Kekaburan dan ketidakpastian berhubung dengan takrif buku wujud sejak lama dalam sejarah dan masalah yang kita hadapi tentang  takrif hari ini ialah masalah cermin dengan takrif buku sebagai objek sejarah.

Mengenali secara tampak atau visual skrol purba sebagai pendahulu buku bercetak memerlukan lompatan imaginasi atau setidak-tidaknya amaun pasti pengetahuan sejarah. Di samping mengemukakan teks pada permukaan datar, skrol purba dan buku bercetak hari ini berkongsi beberapa sifat fizikal bersama. Demikian juga leluhur yang lebih tua, iaitu batu bersurat tanah liat, berbanding dengan keturunan yang baru lahir, iaitu e-buku. Meskipun dari segi persepsi sejarah  buku merupakan objek yang sangat berbeza dilahirkan secara amat jela dalam pernyataan “bahawa buku menjalankan tugas yang sama (buku dibaca, dibeli, dijual, dikumpulkan) pada zaman yang berbeza, bahkan sekiranya bentuk fizikal buku awal adalah berbeza daripada bentuk fizikal buku hari ini.

Jelas bahawa  buku dari semasa ke semasa ditakrifkan semula berikutan perubahan bentuk fizikalnya. Dengan itu, takrif buku bukannya sesuatu yang tegar, sebaliknya sentiasa berubah.  Kewujudan takrif buku ini jelas menunjukkan bentuk fizikal berubah hasil kemajuan teknologi dalam penerbitan buku.

Sejarah Awal

Manusia telah menggunakan buku lebih 5000 tahun lalu.  Pada masa silam, manusia menulis di atas batu bersurat daripada tanah liat, keping papan, atau bahan lain. Buku pertama yang dicetak di Eropah terbit pada pertengahan tahun 1400-an.  Semenjak itu, berjuta-juta buku telah dicetak tentang hampir semua perkara dan ditulis dalam setiap bahasa.

            Walau bagaimanapun, menurut Ensiklopedia Dunia (jilid 4), ahli sejarah tidak tahu bilakah buku yang pertama wujud, tetapi ada bukti bahawa buku ditulis di Mesir seawal tahun 2700 Sebelum Masihi.  Di Mesir, manusia dahulu kala menulis di atas papirus, iaitu bahan untuk menulis yang dibuat daripada batang pokok papirus yang tumbuh di sepanjang Sungai Nil.  Perkataan paper berasal daripada papyrus.  Buku orang Mesir terdiri daripada skrol yang merupakan papirus panjang yang digolek rata. 

            Akan tetapi, buku bukanlah rekaan pada sesuatu masa dan di sesebuah tempat. Buku juga di tempat lain, seperti di Babylon (kini, tenggara Iraq), manusia menulis dengan menekankan tanda di atas kepingan batu daripada tanah liat hampir pada masa yang sama dengan orang Mesir menulis di atas skrol papirus.  Orang Babylon menggunakan kaedah ini untuk mencatatkan hal ehwal perniagaan  dan kerajaan, cerita, dan sejarah. Mereka membakar atau mengeringkan tanah liat untuk mengeraskannya.  Pada kira-kira 3000 tahun dahulu, orang Cina membuat buku dengan menulis di atas jalur kayu atau buluh yang panjang dan memberkaskannya.

            Kemudian, iaitu kira-kira tahun 500 Sebelum Masihi, orang Yunani purba menggunakan skrol papirus orang Mesir sebagai bahan tulisan utama mereka. Mereka menggunakan kepingan kayu yang diselaputi lilin sebagai buku nota.  Dari tahun 300 hingga 100 Sebelum Masihi, orang Rom menggunakan buku skrol dan kepingan kayu berlilin yang digunakan oleh orang Yunani.

            Pada peringkat awal, buku dibuat daripada tanah liat dan daripada papirus.  Penggunaan papirus   di Mesir  kemudiannya tersebar ke  Yunani dan Rom.  Selain papirus, seperti yang berlaku di China, buku dibuat daripada buluh. Papirus dan buluh merupakan sumber yang dapat diperoleh di negara berkenaan.  Meskipun wujud perbezaan pembuatan buku, yang jelas, buku menggunakan tulisan dan dapat dibaca oleh segolongan orang. 

            Secara beransur-ansur, papirus digantikan dengan pacmen (kertas  kulit kambing), bermula sekitar tahun 200 Sebelum Masihi.  Penciptaan pacmen ialah kulit haiwan yang dirawat dan  dianggap merupakan langkah penting dalam penciptaan bentuk buku moden. Pacmen lebih kuat, lebih licin berbanding dengan papirus, dan tahan lebih  lama dalam iklim negara Eropah yang lembap.  Pacmen juga lebih murah berbanding dengan papirus, yang terpaksa diimport dari Mesir.

Inovasi dalam pembuatan buku terus berlaku, apabila pada tahun 300-an Masihi, orang Rom mereka sejenis buku baharu yang dikenali sebagai kodeks. Melalui penciptaan ini, pembuat buku memotong papirus dan kulit menjadi helaian yang dijahit di sepanjang lipatan  dan bukannya menyambung papirus atau kulit kertas menjadi gulungan panjang.  Mereka menjilid  halaman-halaman itu dengan kayu yang nipis yang dilapikkan  dengan kulit.  Kodeks lebih mudah digunakan berbanding dengan skrol keran  pembaca dapat membukanya di mana-mana halaman, dan bukannya menggulung dan membukanya.  Kodeks juga memberikan ruang penulisan yang lebih luas, kerana seseorang dapat menulis pada kedua-dua belah halaman. Kini, kodeks kekal sebagai bentuk utama buku. Walau bagaimanapun,  “dalam cara yang sama, misalnya kerusi merupakan simbol jawatan tinggi dan status di Mesir, Yunani, dan Rom purba, skrol purba merupakan simbol status dan autoriti juga” (Kovač, Miha,  Phillips,  Weel, dan Wischenbart, 2019:  12 – 13). 

            Orang India dan negara di sekelilingnya telah menggunakan daun palma sebagai manuskrip sejak zaman purba hingga ke hari ini.  Tulisan agama Hindu purba yang dikenali sebagai Veda.  Daun yang telah  dipotong ialah empat sentimeter hingga lapan sentimeter lebar dan 60 sentimeter atau lebih panjang dan mempunyai lubang yang ditebuk supaya lubang itu dapat dicantumkan untuk dijadikan buku. 

            Perlu diingat bahawa Mesir, Babylon,  Yunani, Rom,  China, dan India  merupakan sebuah peradaban yang besar pada suatu ketika dahulu. Sejak dahulu kala lagi, berlaku inovasi dalam pembuatan buku demi keselesaan, ketahanan, kecepatan,   dan penjimatan kos. Oleh itu, penggunaan  buku dan kos pembuatannya dititikberatkan oleh orang zaman dahulu.  Selain itu,  penggunaan belulang merupakan titik tolak  ke arah penciptaan buku bentuk moden.

Zaman Pertengahan

Semasa Zaman Pertengahan,  iaitu dari tahun 400-an hingga 1500-an, gereja Kristian ialah pusat pembelajaran di Eropah.  Paderi dan rahib yang bekerja di gereja da biara mengekalkan kemahiran menulis dan membuat buku.  Menurut Ensiklopedia Dunia (jilid 4),  mereka membuat buku dengan tangan dan menjilidnya dalam bentuk kodeks.  Penulis profesional yang dikenali sebagai katib, menulis banyak buku.  Kebanyakan kerja mereka  terdiri daripada membuat salinan buku-buku agama, terutamanya Bible.  Mereka juga menyalin sesetengah karya agung zaman Yunani dan Rom purba.  Di samping itu, mereka menulis buku baharu tentang sejarah, tradisi, dan pemikiran Kristian.

            Kebanyakan buku pada Zaman Pertengahan merupakan manuskrip berwarna-warni dengan reka bentuk dan gambar yang cantik dan berwarna-warni yang dilukis pada setiap halaman.   Pelukis yang disebut illuminator biasanya melukis reka bentuk yang berwarna-warni, malah dengan dakwat emas.  Jilid kulit yang dihiasi emas, perak, dan batu permata menunjukkan kepentingan dan nilai buku.  Book of Kells,  yang dicipta di biara di Kells, Ireland, mungkin yang paling cantik antara manuskrip warna-warni.    

            Pada akhir tahun 700-an, katib mencipta gaya tulisan yang menjadikan buku lebih mudah dibaca.  Mereka menggunakan huruf besar dan huruf kecil, mewujudkan sistem tanda baca, dan meninggalkan ruang di antara setiap perkataan.  Gaya tulisan dahulu menggunakan semua huruf besar dan ditulis rapat.  Gaya penulisan baharu lebih mirip jenis tulisan dalam buku bercetak yang moden. 

            Seperti yang berlaku sepanjang tahun 1200, penggunaan pacmen mula digantikan oleh kertas yang dibuat daripada kapas dan  linen, sebagai bahan tulisan.  Meskipun kertas tidak setahan pacmen, bahan ini lebih murah. Menjelang tahun 1300-an, permintaan terhadap buku bertambah dengan pesat dengan bertambahnya penduduk kelas menengah yang celik huruf di bandar.  Manusia mula mencari cara yang lebih murah dan lebih  cepat untuk membuat buku bagi memenuhi pasaran baharu. Pada Zaman Pertengahan, seperti yang dicatatkan oleh David Landes dalam bukunya, The Wealth and Poverty of Nations, minat terhadap perkataan bertulis tumbuh dengan pesat, terutamanya selepas birokrasi dan kemunculan bandar telah meningkatkan permintaan terhadap rekod dan dokumen.  Kerajaan bergantung pada kertas (Landes, 1999:   52).

Buku Bercetak

Percetakan direka di China (yang juga mereka kertas) pada abad  kesembilan dan didapati  digunakan secara meluas  pada abad ke-10.  Pencapaian ini adalah lebih mengagumkan dalam bahasa Cina, yang ditulis dalam ideograf (bukan abjad), tidak menyokong China dengan mudah kepada taip cerai (Landes, 1999: 52).  Yang cuba dihujahkan oleh Landes, adalah bahawa meskipun China mereka percetakan dan kertas, negara itu kemudiannya ketinggalan dalam bidang  percetakan  jika dibandingkan dengan Eropah yang memasuki abad  percetakan selepas  China: ditinggalkan oleh teknologi yang pernah diasaskannya.

            Menurut Ensiklopedia Dunia (jilid 4), orang Cina ialah orang pertama membuat buku bercetak, yang dikenali sebagai Diamond Sutra pada tahun 868 Masihi. Mereka mencetak setiap halaman daripada blok kayu yang diukir.  Dakwat disapu pada permukaan yang timbul di atas blok dan imej yang berdakwat dicetak di atas kertas.  Cetakan ini dikenali sebagai cetak blok, wujud di Eropah pada akhir tahun 1300-an.  Manusia menggunakan teknik ini untuk menghasilkan salinan kad permainan, gambar keagamaan, dan bahan bercetak yang lain.  Kadang-kadang mereka membuat buku dengan menjilid beberapa halaman teks.  Dengan cetak blok, manusia dapat membuat salinan  sesuatu halaman dengan cepat berbanding dengan tulisan tangan, tetapi mereka masih  perlu mengukir setiap halaman secara terpisah. 

            Namun begitu, cetak blok mengehadkan julat dan difusi penerbitan.  Teknik lebih sesuai untuk menyebarkan teks klasik dan kudus, mantera Buddha,  dan sebagainya, tetapi meningkat kos dan risiko penerbitan karya terbaru dan cenderung kepada percetakan kecil. Sesetengah pencetak Cina menggunakan taip cerai, tetapi memandangkan aksara bahasa bertulis dan pelaburan yang diperlukan, maka teknik ini tidak pernah setanding  dan semaju penggunaannya di Eropah (Landes, 1999:  51). Orang Cina mereka sejenis percetakan taip cerai sepanjang tahun 1000-an, dan orang Korea mula menggunakannya pada tahun 1300-an. Orang Eropah mereka pencetak taip cerai secara berasingan pada pertengahan tahun 1400-an.  Korea, seperti yang dicatatkan oleh Fernand Braudel, yang perpaduannya dipulihkan oleh Unitary State, iaitu Koryo  (913 – 1392), “peradabannya berkembang mekar, dibantu oleh perkembangan percetakan”  (Braudel,  1995: 274).  Percetakan ini ialah hadiah dari China, yang mereka mesin cetak pada abad kesembilan, tetapi orang Korea yang pada tahun 1234, mereka taip logam.

            Buku yang kita kenali hari ini ialah hasil daripada percetakan taip cerai, dengan setiap huruf abjad dibuat daripada logam yang berasingan.  Pencetak dapat menyusun jenis logam mengikut mana-mana kombinasi untuk menghasilkan teks yang dikehendaki mereka.  Mereka juga dapat menggunakan semula jenis ini. Kaedah ini membolehkan pencetak menghasilkan lebih banyak halaman yang berbeza pada masa yang lebih singkat berbanding dengan sistem percetakan yang sebelumnya.

            Menurut Britannica,  sebelum rekaan percetakan, bilangan buku manuskrip di Eropah boleh dihitung dalam ribu-ribu. Pada tahun 1500, hanya selepas 50 tahun percetakan, lebih 9,000,000 buku dihasilkan.  Angka ini menunjukkan impak percetakan, kepesatan dengan penyebarannya, keperluan terhadap skrip artifisial, dan kerentanan budaya penulisan hingga masa itu.

Buku bercetak pada zaman permulaan ini hingga tahun 1500, dikenali sebagai incunabula, misalnya ‘”pakaian lindung” atau “endul,” berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud permulaan. Perkataan ini digunakan untuk menjelaskan permulaan tipografi. Buku-buku ini dicetak semasa bermulanya percetakan. Para pencetak pada masa itu membuat buku yang masih mirip buku Zaman Pertengahan yang mahal, iaitu manuskrip yang berwarna-warni.  Mereka menggunakan huruf cetak yang menyerupai huruf tulisan tangan pada  buku yang lebih awal yang dicetak di atas kertas buatan tangan yang halus atau di atas kulit haiwan yang dirawat dan berkualiti tinggi. Tidak lama selepas perkembangan taip cerai,  para pencetak mendapati bahawa mereka dapat memasukkan ilustrasi blok kayu dan cetakan blok dengan mudah ke dalam buku.  Potongan blok kayu menjadi ilustrasi yang lazim digunakan pada tahun 1500-an. 

Menurut Britannica, zaman permulaan percetakan, terlalu bebas-bebas bersaing, berpanjangan hingga abad ke-16.  Percetakan mula tenang, untuk menjadi dikawal selia dari dalam dan dikawal dari luar, hanya selepas tahun 1550.  Dalam masa 100 tahun pertama, pencetak mendominasi perdagangan buku.  Pencetak selalunya memiliki sendiri  taip ruang (typefounder), editor, penerbit, dan penjual buku;  hanya pembuatan kertas dan biasanya penjilidan buku bukan milik pencetak.

Buku pertama yang dicetak di Eropah menggunakan taip cerai muncul di Mainz, Jerman antara tahun 1453 hingga tahun 1456. Di sana, tukang emas yang bernama Johannes Gutenburg dan rakan kongsinya, Johann Fust berusaha untuk memajukan proses percetakan.  Salah sebuah buku pertama yang dicetak ialah Bible dalam bahasa Latin, yang dikenali sebagai Bible Gutenburg, meskipun mungkin pekerjanya,  Peter Schöffer (kemudiannya, menjadi menantu Fust), yang mencetaknya.  Gutenburg, Fust, dan Schöffer, terus bersama-sama dalam perniagaan selepas tahun 1455.

Mereka mencetak kira-kira 200 naskhah dan daripada jumlah itu, 21 naskhah yang sempurna masih wujud.  Bible Gutenburg ini memerlukan enam mesin pencetak, banyak pekerja, dan beberapa bulan untuk menghasilkannya.  Buku  ini juga dikenali sebagai Bible 42 baris kerana  kebanyakan halaman buku ini mempunyai 42 baris huruf cetak dalam setiap lajur. “Oleh itu,  apabila Gutenburg menerbitkan Bible beliau pada tahun 1452 – 1455, iaitu buku  pertama di Barat dicetak oleh taip cerai, beliau membawa teknik baharu kepada masyarakat yang telah pun meningkatkan output penulisan  dengan amat banyak.  Dalam separuh abad berikutnya, percetakan tersebar dari Rhineland ke seluruh Eropah Barat.  Dianggarkan output incunabula  dicetak berjuta-juta – dua juta di Itali sahaja” (Landes,  1999:  52).

Walau bagaimanapun,  Landes memberitahu bahawa meskipun percetakan menunjukkan kelebihan, teknologi ini tidak diterima di setiap tempat.  Negara Islam sejak sekian lama menentang, keseluruhannya atas alasan agama: idea al-Qur’an dicetak tidak boleh diterima.  Orang Yahudi dan Kristian mempunyai mesin cetak di Istanbul, tetapi orang Islam tidak mempunyainya.  Demikian juga di India,  tidak hingga awal abad ke-19, apabila mesin  pertama dipasang.  Sebaliknya di Eropah, tiada sesiapa pun boleh mengetatkan  teknologi baharu ini. Pihak berkuasa politik terlalu berpecah-pecah. Pihak gereja cuba membendung terjemahan vernakular terhadap writ kudus dan cuba melarang penyebaran teks kanun dan bukan kanun.

Bagi Robert D. Kaplan, penyebaran maklumat tidak semestinya menggalakkan kestabilan.  Rekaan taip cerai Gutenburg bukan hanya membawa kepada Reformasi, tetapi juga membawa kepada perang agama yang menyusulinya, kerana percambahan tiba-tiba  bagi teks mencetuskan kontroversi doktrin dan membangkitkan kilanan yang lama terpendam (Kaplan, 2002: 5).

Percetakan boleh dikatakan berkembang pesat di Eropah yang menyaksikan bahawa menjelang tahun 1500-an, hampir semua negara itu mempunyai  sekurang-kurangnya sebuah mesin cetak. Pencetak Jerman melakukan kerja awal.  Dari Jerman ke Itali, apabila dua orang Jerman menubuhkan percetakan pada tahun 1465.  Mainz tempat lahir taip cerai kurang terkenal dengan perdagangan buku, sebaliknya kota Venice yang terletak di utara Itali, muncul sebagai pusat percetakan buku dan perdagangan buku.

Kepesatan ini berlanjutan dari tahun 1600-an hingga tahun 1900-an.  Pada tahun 1600-an, bilangan orang celik huruf bertambah dengan pesat.  Pertambahan ini mendorong pencetak buku dengan lebih banyak, termasuklah buku kecil, jilid murah, seperti yang dicetak oleh Aldus Manutius pada tahun 1500-an.  Manutius menubuhkan Percetakan Aldine di Venice pada tahun 1490-an.  Pada tahun 1700-an, beberapa pencetak memulihkan minat  dalam pembuatan buku.  Pereka bentuk huruf cetak, seperti William Caslon di England dan Pierre-Simon Fournier di Perancis menghasilkan gaya huruf cetak yang cantik yang digunakan oleh pencetak selama beberapa tahun. Dari Dunia Lama ke Dunia Baharu, apabila sebuah mesin cetak yang pertama dibina di Kota Mexico pada tahun 1539.  Pada tahun 1600-an, percetakan menjadi mantap di Amerika Syarikat.  

Menjelang tahun 1800-an, pasaran buku melampaui jumlah buku yang dihasilkan.  Percetakan mengambil masa yang lama, kerana pencetak terpaksa mengatur huruf bagi setiap halaman dan mencetaknya dengan menggunakan tangan.  Pembuatan buku direvolusionerkan oleh beberapa rekaan sepanjang tempoh itu. Salah satu rekaan ialah linotaip, yang mengatur huruf dengan menggunakan jentera.  Rekaan lain, termasuk mesin cetak berkuasa wap, dan mesin membuat kertas dan menjilid buku.  Dengan rekaan ini, maka pencetak dapat menghasilkan  buku  yang lebih banyak dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan sebelum ini.

Pada tahun 1900-an, dengan penciptaan komputer, penerbitan buku semakin pesat.  Kerja atur huruf menggunakan komputer dan bukan lagi secara “tampal-menampal.”  Kebanyakan buku dicetak daripada plat fotografik dengan kaedah yang dikenali sebagai litografi ofset.  Penggunaan komputer untuk penerbitan buku turut berkembang ke Malaysia, yang menyaksikan kemunculan syarikat pengatur huruf sejak pertengahan tahun 1980-an.  Kebanyakan syarikat ini mengambil kerja atur huruf daripada penerbit besar, seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, dan sesetengahnya pula ada yang menjadi penerbit. Agensi kerajaan, seperti universiti awam ketika itu menggunakan kelengkapan komputer untuk mengatur huruf sebelum dihantar kepada pencetak untuk kerja percetakan.

Ketika itu juga, penerbitan atas meja atau dalam bahasa Inggeris disebut, desktop publishing (DTP) diperkenalkan dan menjadi popular.  DTP ialah pengeluaran reka bentuk halaman dengan  komputer yang menggunakan perisian DTP khusus yang menggabungkan teks dan imej. Perisian DTP pertama dikeluarkan pada pertengahan tahun 1980-an, dan sejak itu, penerbitan atas meja meningkat tinggi.  Pada awal tahun 1990-an, penerbitan atas meja hampir keseluruhannya menggantikan teknologi sebelum ini yang digunakan bagi tujuan. Meskipun pada tahun 1980-an dan 1990-an, penerbitan atas meja hampir secara eksklusif digunakan oleh golongan profesional dan bagi cetak, kini teknologi ini digunakan bagi produk digital, seperti e-buku, laman sesawang, dan banyak lagi.

Kita dapat merumuskan bahawa  di peringkat huluan,  berlaku inovasi dari segi  rekaan  mesin cetak yang  membolehkan buku dihasilkan dalam jumlah yang lebih banyak, dengan pantas, dan secara relatifnya,  pada kos yang rendah. Di  peringkat hiliran pula, ialah kelahiran golongan kelas menengah dan peningkatan jumlah orang celik huruf.  Kewujudan golongan ini menyebabkan  buku semakin diperlukan  dan  pada suatu ketika, permintaan mengatasi penawaran buku. Perkembangan positif di peringkat huluan dan hiliran membolehkan penerbitan buku berkembang dengan pesat. Dalam penerbitan buku, tidak berlaku apa yang diistilahkan dalam ekonomi, “pengeluaran berlebihan.”

Sejarah Pembacaan

Kemajuan pesat dalam penerbitan buku berkait rapat dengan  minat pembacaan buku dalam kalangan orang ramai. Tanpa minat mereka, nescaya penerbitan buku mungkin “tidak akan pergi jauh.” Dipercayai bahawa sejarah pembacaan muncul bersama-sama rekaan penulisan.  Senjuti Patra (2021), menjelaskan bahawa  sejarah pembacaan merupakan topik yang berkemungkinan menarik minat semua pembaca.  Membaca apa-apa yang ditulis oleh seseorang lain membawa bersama-samanya rasa kesinambungan dan solidariti. Rasa solidariti ini diperkuat apabila kita mengetahui bagaimana orang lain membaca.  Apa-apa yang kita baca dan bagaimana pembacaan itu mengesani kita dapat mencerminkan personaliti kita.  Sejarah pembaca dan pembacaan dapat menawarkan wawasan yang banyak tentang sifat dan sejarah masyarakat secara keseluruhan. Topik ini  merupakan sesuatu yang menakjubkan, dan sesuatu yang mempunyai beberapa aspek yang mengasyikkan.

            Patra menoleh sejarah silam pada alaf keempat Sebelum Masihi, ketika kemakmuran pertanian dan kekompleksan meningkat dari segi struktur sosial, pusat bandar membangun di Mesopotomia dan individu yang tidak diketahui mengubah perjalanan sejarah manusia dengan menggunakan beberapa tulisan cacing kerawit pada tanah liat untuk menunjukkan kambing dan lembu jantan. Di situ, tempat kelahiran konsep penulisan, iaitu pernyataan suara yang dituturkan yang menggunakan tanda visual – kembarnya yang tidak boleh dipisahkan, seni pembacaan juga lahir.  Penulisan pada mulanya digunakan untuk menyimpan rekod transaksi yang melibatkan beberapa entiti dan dibawa merentas tempat yang amat jauh. Batu bersurat tanah liat yang terawal menggunakan tanda seperti gambar untuk menggambarkan senarai barang.

            Sekitar tahun 2600 Sebelum Masihi, skrip baji (cuneiform) dimajukan dan penulisan menjadi lebih serba guna. Skrip ini digunakan untuk mendokumenkan undang-undang dan menceritakan surat ikatan (deeds) raja, selain untuk menyimpan rekod transaksi.  Dalam skrip baji, setiap suku kata diwakili oleh tanda yang berbeza, dan bilangan aksara yang orang perlu belajar supaya dapat baca. Untuk menjadi katib di Mesopotamia purba merupakan pencapaian yang amat besar. Sekiranya raja dapat baca, pastinya katib berdegar-degar tentang perkara itu dalam prasastinya.

            Teks tertulis paling awal bermaksud untuk dibaca dengan kuat. Aksara ditulis dalam aliran selanjar, untuk diuraikan oleh pembaca yang mahir apabila membaca dengan kuat. Tanda baca, menurut Patra, digunakan kali pertama sekitar tahun 200 Sebelum Masihi, dan sangat tidak menentu hingga Zaman Pertengahan. Rakyat jelata masih buta huruf, dan material bertulis hanya sampai kepada mereka menerusi  pembacaan awam.  Pembacaan awam berlangsung di istana diraja dan biara.  Persembahan penjugel dan penglipur lara menjadi ikut-ikutan pada abad ke-11 dan ke-12 Masihi. Pembacaan daripada buku dianggap hiburan yang enak ketika makan malam, bahkan di rumah  orang berketurunan rendah, dari masa Rom hingga abad ke-19.

            Patra memberitahu bahawa pada abad kelima Sebelum Masihi, sejarawan  Yunani yang terkenal, iaitu Herodotus menggunakan platform Olimpik untuk membaca karya terkini beliau.  Pembacaan pengarang merupakan konvensyen sosial di Rom  seawal abad pertama Masihi. Perasaan ghairah orang ramai terhadap pembacaan ini mungkin turun naik sepanjang abad.

            Maria Popova (2012), memetik Steven Roger Fischer, dalam  bukunya,  A History of Reading, yang mengatakan bahawa meskipun pembacaan dan penulisan bergerak seiringan, pembacaan sebenarnya antitesis penulisan. Penulisan ialah kemahiran,  pembacaan ialah fikiran (faculty), yang  berkembang bersama-sama pemahaman mendalam manusia tentang kemampuan terpendam perkataan bertulis.  Penulisan ialah penglahiran, pembacaan ialah tanggapan.  Penulisan ialah awam, pembacaan ialah peribadi. Penulisan adalah terhad, pembacaan adalah terbuka.  Penulisan membekukan gerakan.  Pembacaan adalah selama-lamanya. Pada hakikatnya, fikiran pembacaan amat kurang kena mengena dengan kemahiran penulisan.

            Walau bagaimanapun, Popova memberitahu bahawa tiada jawapan  mudah apabila ditanya “apakah pembacaan?”   Hal ini demikian kerana tindakan pembacaan adalah berubah-ubah, bukan mutlak.  Dalam takrif moden yang paling umum, pembacaan pastinya keupayaan untuk memberi makna simbol bertulis atau bercetak. Para pembaca menggunakan simbol untuk menuntun atau membimbing pemulihan maklumat daripada memori mereka dan kemudiannya menggunakan maklumat untuk membina tafsiran yang nampaknya boleh dipercayai tentang mesej penulis. 

            Colin Steele (2019), yang mengulas buku  itu menegaskan bahawa Fischer mengakui perubahan dramatik dalam pembacaan buku dalam prakata baharu untuk sejarah meluas beliau tentang pembacaan.  Fischer membariskan  landskap pembacaan secara meluas, terutamanya dalam konteks Barat,  meskipun wujud bab signifikan tentang perkembangan pembacaan di China, Korea, Mesoamerica, dan India.

            Kemudian, Steele merujuk kepada  Alberto Manguel dalam bukunya, A History of Reading, yang mentakrifkan pembacaan dengan luas sebagai  mentafsirkan tanda.  Fischer meletakkan analisis pembacaannya dalam konteks luas yang serupa, menanyakan soalan:  Apakah sifat penulisan dan material penulisan yang digunakan? Bagaimanakah pembacaan diajarkan, dan untuk siapa? Adakah orang membaca kuat atau senyap?  Apakah sifat dan status pembaca dan penulis?

            Terbukti bagaimana roda pembacaan berubah sepanjang alaf; daripada tafsiran tanda dan simbol, kepada pembacaan senyap, kepada pemindahan lisan teks, kepada pelebaran askes  pembacaan menerusi mesin  cetak dan kemudian pembaharuan pendidikan untuk menyediakan   akses meluas dan perpustakaan percuma dan kepada anarki maklumat kini.

            Jika pada suatu dahulu, permintaan melebihi penawaran buku, kini keadaan sudah berubah. Pembacaan buku, seperti yang diperhatikan oleh Gabriel Zaid, “tumbuh secara aritmetik, penulisan buku tumbuh secara eksponen” (Zaid, 2003: 9).  Pertumbuhan secara aritmetik (1, 2, 3, 4, 5), dan secara eksponen (1, 2, 4, 8, 16), pernah digunakan ahli ekonomi klasik, iaitu Thomas Robert Malthus, yang menunjukkan pengeluaran makanan  rendah jika dibandingkan dengan  pertumbuhan penduduk. Zaid seterusnya mengingatkan bahawa sekiranya nyala rasa kita terhadap penulisan dibiarkan tanpa disemak, nescaya pada masa terdekat, akan wujud lebih banyak orang menulis buku daripada orang membaca buku.

            “Pertengahan abad ke-15,” hujah Zaid, “apabila buku pertama dicetak,  hanya beberapa judul diterbitkan setiap tahun, dalam edisi beratus-ratus naskhah.” Tambah beliau, pada permulaan abad ke-21, grafomania universal kita mengeluarkan satu juta judul setahun, yang dicetak dalam beribu-ribu naskhah. Amat kurang buku dicetak ulang, bahkan terlalu kurang diterjemahkan. Banyak pengarang tidak menulis untuk pembaca mereka, tetapi untuk memenuhkan resume mereka.  Dan pada ekstrem lain, ialah mereka yang menulis untuk pasaran, dan bikin wang dengan mendidik, memaklum, dan menghibur.

 



No comments:

Post a Comment