KHAMIS, 2 April 2020
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selepas
Pemberontakan Arab yang berlaku hampir satu dekad lalu, yang menyaksikan
pemimpin Tunisia, Mesir, Libya, dan Yaman tumbang, sebelum terkandas di Syria, dunia boleh dikatakan tidak ada lagi dilanda
gelombang besar seperti itu. Kalaupun berlaku protes yang hanya terbatas di sesebuah negara atau
wilayah, seperti rompi kuning di
Perancis yang berlaku sejak Oktober 2018 hingga kini belum reda, dan di
Hong Kong yang berlaku sejak Jun tahun lalu, yang semakin hari semakin tegang.
Namun
begitu, dalam detik kesepian itu dan menjelang 30 tahun kejatuhan Tembok
Belrin, pada September lalu, dunia
bagaikan meledak dengan protes di sana sini: Haiti, Ecuador, Peru, Bolivia,
Chile, Rusia, Belanda, Catalonia (Sepanyol), Lubnan, Algeria, Mesir, Iraq, Hong
Kong, dan Indonesia. Meskipun tidak boleh dikatakan menyerupai revolusi dunia
tahun 1968, di sesetengah tempat, protes berlaku terutamanya kerana tuntutan kebebasan
politik yang lebih banyak, manakala di tempat lain, kerana sakit dan penat
terhadap rasuah dan pengangguran. Dari jalan-jalan yang kebanjiran darah di
Baghdad ke taman-taman yang dipenuhi oleh payung di Hong Kong, dari Haiti ke
Ukraine, dan Bolivia ke Zimbabwe, penunjuk perasaan muncul dengan penuh tenaga
hampir di setiap wilayah di dunia.
“Menyusuli kebangkitan massa di Algeria dan Sudan
pada musim panas ini, penunjuk perasaan
turun ke jalan-jalan raya di Lubnan dan
Iraq untuk menuntut keadaan ekonomi yang lebih dan menamatkan salah tadbir
urus. Meskipun situasi hari ini jelas selari dengan Pemberontakan Arab tahun
2011, wujud perbezaan yang ketara,” tulis Ishac Diwan untuk Project
Syndicate, “The Arab Winter of Discontent.” Tulis Diwan lagi, “gelombang pemberontakan baharu menggoncangkan dunia Arab, dengan Lubnan dan
Iraq kini menyertai Sudan dan Algeria. Protes massa terbaharu di setiap negara
menggerakkan berjuta-juta orang daripada setiap lapisan, kesemuanya mereka yang
marah terhadap kemerosotan keadaan
ekonomi, yang dianggap sebagai menjadi bertambah buruk akibat salah urus dan
tadbir urus yang lemah.”
Kedua-duanya, iaitu Lubnan dan Iraq masih rapat dengan
Algeria berbanding dengan Sudan, tetapi ekonomi dua buah negara itu merosot
dengan pantas. Iraq terhuyung-hayang akibat kemerosotan hasil minyak, manakala
Lubnan terjejas akibat kejatuhan aliran masuk modal, negara ini sewa luaran merupakan sumber utama. Kejutan ekonomi mendedahkan kos yang sangat
besar setiap negara yang berasaskan sistem politik sektarian. Para penunjuk
perasaan pula dipacu oleh kilanan ekonomi, diberanikan oleh peningkatan keadaan
keselamatan yang lebih luas, berikutan kekalahan Negara Islam (IS) dan
pengurangan perang di Syria.
Empat buah negara ini, menurut Diwan, keterukan salah
urus ekonomi mencerminkan penggunaan perbelanjaan negara yang berlanjutan untuk
membiayai sekutu dan klien rejim, dan bukannya untuk faedah seluruh penduduk.
Rejim ini menguasai setiap sektor swasta
negara menerusi kronisme, bukan sekadar mengambil dan mengagihkan sewa
kepada klien, tetapi juga menyekat kemunculan entiti autonomi yang boleh
membiayai gerakan pembangkang. Akibatnya, modal dan kemahiran salah diuntukkan,
iklim perniagaan merosot, dan persaingan, inovasi dan pertumbuhan sengsara.
Antara semua protes itu, dikatakan bahawa empat protes
yang perlu diberikan perhatian, iaitu di Iraq, Algeria, Hong Kong, dan Haiti. Pada awal Oktober, dunia
menyaksikan berpuluh-puluh ribu orang turun di jalan-jalan raya di Baghdad dan
kota lain, melancarkan tunjuk perasaan secara aman, menuntut agar amalan rasuah dan kadar pengangguran tinggi
dihentikan. Tunjuk perasaan itu, yang
pertama sejak Perdana Menteri Adil Abdul Mahdi berkuasa sejak setahun lalu,
dikatakan berlaku secara spontan dan dipacu terutamanya oleh orang muda.
Di Algeria, berlaku lebih lama daripada Hong Kong, setakat
November 2019, selama lapan bulan,
apabila penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan raya menuntut penyingkiran bekas
Presiden
Abdelaziz Bouteflika. Presiden yang berusia 82 tahun disingkirkan pada bulan April selepas 20
tahun berkuasa, digantikan oleh ketua tentera, Ahmed Gaid Salah, kerajaan yang disokong tentera. Penunjuk perasan memberitahu bahawa
mereka tidak akan berhenti sehinggalah demokrasi awam dibentuk, tetapi setakat
ini, orang kuat politik dan tentera yang dianggap broker kuasa sebenar Algeria
sebenar, enggan bertolak ansur.
Di Hong Kong, dari minggu berganti bulan, tunjuk perasaan
belum reda, bahkan semakin teruk. Portal berita CNN melaporkan pada 18
November bahawa polis rusuhan cuba melancarkan operasi pemugaran di Hong Kong
Polytechnic University. Pelajar yang melancarkan tunjuk perasaan direbat di dalam kampus universiti itu selama
berhari-hari dan melawan pihak berkuasa dengan bom botol dan bata. Apa yang
berlaku itu menyusuli salah satu yang paling ganas, minggu-minggu dramatik
dalam gerakan ini. Perkelahian yang membawa kepada kematian dan beberapa orang
yang cedera teruk, melumpuhkan sebahagian besar kota itu. Bermula dengan
bantahan rang undang-undang serah balik
yang tercetus berbelas minggu lalu, dan kini rang undang-udang itu ditarik
balik, berkembang menjadi gerakan prodemokrasi menentang cerobohan Beijing
terhadap kebebasan unik wilayah separuh
autonomi itu. Beberapa minggu kebelakangan menyaksikan tunjuk perasaan semakin
panas, apabila penunjuk perasaan menghidupkan api dan dalam beberapa keadaan,
menggunakan bom petrol, yang akhirnya mendorong pihak polis bertindak lebih
keras.
Sementara Haiti yang jelas terjebak dalam kancah krisis,
menyaksikan selama berminggu-minggu, beribu-ribu orang membanjiri jalan-jalan
di ibu negara Port-au-Prince, menuntut
agar Presiden Jovenel Moise meletakkan jawatan. Mereka naik berang akibat rasuah
politik, inflasi yang meningkat, dan kekurangan bekalan keperluan asas, termasuk
bahan api dan makanan.
Tumpuan juga diberikan terhadap gelombang protes yang melanda
Amerika Latin. Meskipun di setiap pelosok dunia, orang ramai turun ke jalan-jalan
raya menuntut perubahan daripada kerajaan mereka, sebuah wilayah yang perasaan
tidak puas hati terhadap pemimpin semasa terutamanya, tersebar pada akhir tahun
2019 di Amerika Latin. Selain Haiti, Chile
juga dilanda protes pada bulan Oktober hampir selama dua minggu. Protes itu adalah terhadap kos sara hidup yang tinggi dan
terhadap ketidaksamaan. Tidak balas Presiden Sebastian Pinera terhadap protes mencetuskan kemarahan
mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan mendesak beliau meletakkan jawatan.
Meskipun negara itu tidak lagi di bawah darurat, yang pada awalnya
diisytiharkan selepas demonstrasi bermula, protes masih berterusan, yang
menyaksikan perkelahian antara polis dengan penunjuk perasaan. Pada pertengahan November, Chile mengumumkan
bahawa negara itu akan mengadakan pungutan suara terhadap perlembagaan negara
berikutan berminggu-minggu protes antikerajaan. Penunjuk perasaan menuntut
pembaharuan sosial dan perubahan perlembagaan. Sekurang-kurangnya 20 orang awam
terbunuh dalam keganasan terburuk sejak tahun kediktatoran tentera di bawah
Augusto Pinochet selama 17 tahun berakhir pada tahun 1990. Penjarahan juga
berlaku di pasar raya dan pembakaran stesen minyak.
Di Bolivia, penunjuk perasaan dan pemogok umum mendesak supaya
dihitung semula undi pilihan raya presiden yang berkeputusan kemenangan Presiden Evo Morales, untuk memerintah negara
itu untuk penggal keempat. Protes tercetus oleh pertikaian terhadap keputusan
pilihan raya pada 20 Oktober akhirnya menyebabkan Morales mengumumkan
perletakan jawatan pada 17 November. Naib Presiden Senat dan pemimpin
pembangkang, Jeanine Anez, mengisytiharkan dirinya presiden interim selepas
Morales mencari suaka di Mexico. Morale, presiden pertama daripada kaum peribumi menuduh lawannya, termasuk seteru
pilihan raya, Carlos Mesa dan pemimpin protes, Luis Fernando Camacho bersubahat menentang kerajaan. Presiden sayap kiri
dipercayai hilang kepopularan secara signifikan, termasuk dalam kalangan para
penyokong sendiri selepas enggan mematuhi keputusan pungutan suara berhubung dengan
had tempoh pemerintahan presiden dan menegaskan bahawa beliau akan memerintah
untuk penggal keempat.
Negara lain di Amerika Selatan, ialah Argentina,
Honduras, Ecuador, dan Uruguay. Di Argentina, para pengundi menendang keluar Presiden
Mauricio Macri, yang ramah pasaran, selepas satu penggal, memberikan peluang
baharu kepada puak Peronis populis kiri yang memerintah negara itu sebelum Macri
berkuasa mulai tahun 2015. Mereka dipimpin oleh Alberto Fernández. Di Honduras,
penunjuk perasaan mahu penyingkiran Presiden Juan Orlando Hernandez, yang adik
beradik lelakinya, baru sahaja didapati bersalah oleh mahkamah Amerika Syarikat
kerana “mengedar dadah yang ditaja oleh negara.” Di Ecuador, beratus-ratus ribu
orang turun ke jalan-jalan untuk menunjukkan
kemarahan kerana subsidi bahan api yang dipotong yang bertujuan
mengimbangi belanjawan dan mengurangkan pancaran. Meskipun subsidi dipulihkan
dan protes berakhir, kerajaan dalam kedudukan yang sukar sama dengan sebelum
ini, iaitu bagaimana mengimbangi belanjawannya tanpa kemarahan penduduk yang
enggan melakukan pengorbanan baharu, manakala golong elit hidup dalam
kemewahan. Sementara di Uruguay, pakatan Barisan Lebar yang progresif yang
memerintah sejak tahun 2005, tetapi dengan ekonomi keletihan dan jenayah
meningkat, calon Presiden Daniel Martinez gagal mencapai kemenangan mutlak dalam
pusingan pertama pilihan raya presiden negara itu. Akibatnya, calon kanan
tengah, Luis Alberto Lacalle yang masih remaja, mempunyai peluang untuk
mencetuskan kejutan dalam larian pada 24 November.
Fareed Zakaria yang muncul melalui kolumnya dalam The
Washington Post, “Why Are There So Many Protests Across the Globe Right
Now?”, pada 25 Oktober, mengimbas protes
jalanan di seluruh Timur Tengah bermula di Tunisia sembilan tahun lalu.
Sekarang dalam beberapa minggu ini, kelihatan sesuatu yang sama dengan
Pemberontakan Arab, meledak di seluruh dunia. Dari Chile ke Lubnan, Iraq ke
India, kita melihat mogok, perarakan, dan rusuhan. Walau bagaimanapun, Zakaria
memberitahu bahawa unsur protes berbeza-beza. Sepintas lalu, setiap gerakan ini
agak berbeza, tetapi mereka semua
berlaku terhadap latar belakang yang merisaukan, iaitu keruntuhan pertumbuhan
ekonomi. Sepanjang tahun lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memotong
dengan ketara anggaran untuk tahun 2019, memberikan amaran bahawa “ekonomi
global adalah perlahan,” tumbuh “secara perlahan sejak krisis kewangan global.”
“Apabila pertumbuhan runtuh, kerisauan meningkat,
terutamanya dalam kalangan kelas menengah yang berasa terhimpit, naik berang
oleh rasuah dan ketidaksamaan, dan mempunyai kapasiti untuk menyuarakan
kemarahan mereka,” ulas Zakaria. Perhatikan Chile, yang tambang laluan bawah
tanah naik membawa kepada keganasan jalanan yang teruk dalam berdekad-dekad. Walau
bagaimanapun, kekacauan berlaku dala atmosfera harapan menurun. Tidak berapa
lama dahulu, Chile merupakan ekonomi bintang Amerika Latin, tumbuh enam peratus
pada tahun 1990-an dan empat peratus pada tahun 2000-an. Sepanjang lima tahun
lalu, pertumbuhan secara purata, dua peratus. IMF memotong anggaran untuk
Amerika Latin secara keseluruhan daripada dua peratus kepada 0.2 peratus tahun
lalu. Kemerosotan ekonomi melampaui Amerika Latin. Lubnan yang juga terjebak
dalam protes, menyaksikan pertumbuhan jatuh kepada sifar peratus.
Zakaria menjelaskan bahawa wujud banyak punca yang
mencetuskan protes di dunia sekarang,
dan keadaannya berbeza antara sebuah tempat dengan sebuah tempat. “Akan tetapi,
sejak beberapa tahun lalu, kita melihat kebangkitan populisme dan nasionalisme
di seluruh dunia dan dengan kebangkitan muncul dasar yang berpandangan singkat
yang mengejutkan pertumbuhan jangka panjang.”
Apabila melihat protes yang berlaku di seluruh dunia
sekarang, pastinya mengingatkan kita tentang kata-kata Francis Fukuyama,
“maruah dan pengiktirafan.” Dalam bukunya, Identity: The Demand for Dignity
and the Politics of Resentment, mengesan tuntutan pengiktirafan yang sama
terhadap maruah berlaku sejak Revolusi Perancis dan berlanjutan hingga ke hari
ini, dengan merujuk Pemberontakan Arab pada tahun 2011, yang bermula di
Tunisia. Juga protes yang berlaku sebelum itu menentang yang membawa kejatuhan rejim
komunis pada tahun 1989, di Afrika Selatan dan di Sub-Sahara pada tahun
1990-an, seterusnya “revolusi warna” di Georgia dan Ukraine pada awal tahun
2000-an, yang pengiktirafan maruah manusia asas merupakan isu utama.
No comments:
Post a Comment