ISNIN, 13 Mei 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Perikatan pimpinan Tunku
Abdul Rahman mencapai kemenangan cemerlang dalam pilihan raya umum tahun 1964,
terutamanya kerana ancaman Konfrontasi Sukarno yang mendorong rakyat berdiri
teguh di belakang kerajaan. Namun
begitu, selepas itu, Tunku mula menempuh
perjalanan yang berliku. Daripada penyingkiran Singapura kepada soal bahasa
kebangsaan, perkauman semakin runcing, Tunku bagaikan dihimpit dari segenap
penjuru: orang Melayu dan bukan Melayu, dalam
dan luar UMNO. Semuanya terpaksa
dibayar oleh harga yang tinggi oleh Perikatan.
Pada bulan Mei 1969, Tunku
menghadapi detik penentuan apabila pada
10 Mei 1969 berlangsung pilihan raya umum.
Seperti biasa ketika itu, keputusannya diketahui lewat malam dan
selalunya membawa ke awal pagi. Waktu itu, siaran televisyen belum menyeluruh,
maka orang ramai hanya bergantung pada siaran radio, atau berkumpul di bandar
tertentu di setiap negeri atau daerah untuk mendengar pengumuman keputusan
pilihan raya. Di Kuala Terengganu
misalnya, orang ramai berkumpul di Padang
Maziah; pada malam itu, tindak-tanduk
penyokong PAS memang jelas: bersorak
keriangan setiap kali calon parti pembangkang, tidak kira apa parti
sekalipun, diumumkan menang.
Pastinya, suasana seperti itu juga wujud di tempat-tempat
lain di Semenanjung Malaysia: keriangan yang berlebih-lebihan terhadap kekalahan calon-calon Perikatan.
Jauh dari situ, Tun Abdul Razak
berada di rumah rehat lama di Pekan
dari malam 10 Mei sehingga pagi 11 Mei, menunggu dengan cemas keputusan
pilihan raya. “Pada mulanya Tun Razak kelihatan tenang dan masih boleh
berjenaka. Keputusan yang pertama
diumumkan, iaitu Dewan Undangan Negeri
bagi Cameroon Highlands jatuh ke tangan pembangkang” (Tunku Shahriman, 2006:
170 – 171). Satu petanda bahawa Tun Abdul Razak akan menempuh “malam yang
panjang” yang di luar jangkaan beliau
sama sekali, meskipun beliau menjangkakan bahawa pilihan raya 1969 yang amat
sukar bagi Perikatan, yang menang cemerlang pada tahun 1964. “Beliau terkejut dengan keputusan itu kerana
kawasan tersebut terletak dalam negerinya sendiri, negeri Pahang yang merupakan
kubu kuat Perikatan. Berita buruk ini
merupakan permulaan bagi kekalahan lain Perikatan: Pulau Pinang jatuh ke tangan
pembangkang, begitu juga Perak dan Selangor (Tunku Shahriman 2006: 171).
Walaupun menjelang subuh, apabila hampir semua keputusan diperoleh,
Perikatan akan terus memerintah dengan majoriti sederhana, Tun Razak tidak ada
minat untuk meraikan kemenangan. Beliau
sangat kecewa dengan keputusan secara keseluruhannya. Beliau kelihatan sungguh
murung. Dalam penerbangan pulang ke
Kuala Lumpur, beliau mendiamkan diri dan seolah-olah dapat merasakan sesuatu
yang buruk akan berlaku. Hal ini nyata
terbukti apabila dua hari selepas itu rusuhan berlaku (Tunku Shahriman 2006:
171).
Bab ini tidak bertujuan mengungkit
dan membahaskan sejarah hitam Malaysia
pascamerdeka, kerana peristiwa itu telah
pun disentuh dalam bab lain dalam buku ini,
lagipun banyak buku tentang
Peristiwa 13 Mei telah diterbitkan, termasuk penerbitan kerajaan. Sebilangan penulis bukan Melayu cenderung
menyalahkan orang Melayu dan UMNO Selangor pimpinan Dato’ Harun Idris. Memadai
jika dipetik catatan ringkas oleh
Mohd. Salleh Daud: Soal bahasa, kerakyatan, diskriminasi, “Malaysian
Malaysia,” imigrasi, kebudayaan, ekonomi, hak istimewa orang Melayu, dan soal
pelajaran, menjadi “api dalam sekam” antara orang Melayu dengan bukan Melayu
menjelang pilihan raya umum 1969 (Mohd. Salleh, 1998: 151). Sebenarnya, benih subur perkauman telah
disemaikan sejak sekian lama oleh banyak individu dan parti politik, memuncak semasa Singapura dalam Malaysia, dan
terus memuncak, meskipun Singapura
disingkirkan daripada Malaysia pada tahun 1965.
Perarakan kemenangan di Kuala
Lumpur pada 11 Mei oleh DAP dan Gerakan,
kemudian disambut oleh orang Melayu yang digerakkan dan diketuai oleh Harun Idris.
Mengimbas kembali peristiwa tahun 1969 itu, Tun Abdul Ghafar pernah
menulis: (Di Sri Taman, kediaman rasmi
Timbalan Perdana Menteri.) Kira-kira jam 7.00 malam sedang kami berdua
berbincang menganalisis kemerosotan sokongan rakyat kepada Perikatan tiba-tiba
datang panggilan telefon daripada Residency (kediaman rasmi Perdana Menteri),
Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri mahu Tun Razak ke sana. Saya ikut serta. Tunku memberitahu kami
pergaduhan kaum sudah tercetus di Kuala Lumpur. Kami bertiga ke Balai Polis
Dang Wangi untuk mendapatkan maklumat terperinci. Keadaan sudah jadi buruk dan
tidak terkawal (Abdul Ghafar, 2006a: 73).
Akibat rusuhan kaum itu, Darurat diisytiharkan pada 15 Mei oleh Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen digantung (Ooi, 2007: 187; Paridah,
2009: 109; Ramlah, 2014: 37; Ahmad Sarji, 2016: 25). Pada 17 Mei, diumumkan bahawa Tun Abdul Razak
dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara
(Mageran) untuk mentadbir Darurat (Ahmad Sarji, 2016: 25), dan pilihan raya di
Sabah dan Sarawak ditangguhkan. Dalam
pada itu, “pada 20 Mei, Tunku membentuk
barisan Kabinetnya, yang menyaksikan kepulangan semula Tun Dr. Ismail
Abdul Rahman yang meletakkan jawatan pada tahun 1967 atas alasan kesihatan,
dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal
Dalam Negeri (sekarang, Menteri Dalam Negeri).
Tunku kekal sebagai Perdana Menteri manakala Tun Abdul Razak dilantik
sebagai Timbalan Perdana Menteri juga sebagai Menteri Pertahanan dan pemangku
Menteri Kewangan. MCA yang kalah teruk dalam pilihan raya itu enggan menyertai
Kabinet, tetapi keesokannya tiga orang anggota parti itu dilantik sebagai
Menteri Tanpa Jabatan, iaitu Tun Tan Siew Sin, Khaw Kai Boh, dan Lee Siok Yew”
(Comber, 2007: 144).
Meskipun Tunku terang-terang menyatakan bahawa beliau kekal sebagai Perdana
Menteri, masih berkuasa di seluruh negara, dan Mageran bertanggungjawab kepada
beliau, prestasi buruk Perikatan dalam pilihan raya itu dan Peristiwa 13 Mei
memberikan isyarat yang jelas kepada beliau bahawa masa semakin suntuk,
perjalanan politiknya sudah tiba di penghujung.
Beliau boleh dikatakan hilang kuasa, hilang wibawa. Semasa negara dilanda krisis, rakyat
Malaysia, terutamanya orang Melayu meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada
Tun Abdul Razak. Pendek kata, masa pasca-Peristiwa 13 Mei, adalah untuk
beliau.
Namun begitu, tugas berat menunggu Tun Abdul Razak, dan beliau terpaksa
mengharungi detik runcing. “Masa yang paling rumit dalam kehidupan Tun Razak
adalah antara malam pilihan raya tahun 1969 hingga selepas kejadian 13 Mei
1969” (Tunku Shahriman, 2006: 170). Beliau bukan sahaja terpaksa bekerja keras
untuk memulihkan ketenteraman dan keamanan, bahkan memastikan detik hitam itu tidak berulang lagi. Beliau agak bernasib baik kerana Tun Dr.
Ismail Abdul Rahman yang menawarkan dirinya untuk berkhidmat semula kepada
negara, menganggotai Mageran. Anggota
lain yang menganggotai Mageran yang diberikan kuasa penuh untuk mentadbir
negara, terdiri daripada Dato’ Hamzah
Abu Samah (Menteri Penerangan dan Penyiaran), Tan Sri Ghazali Shafie
(setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri), Tan Sri Abdul Kadir
Shamsuddin (pengarah Perkhidmatan Awam),
Tunku Osman Jiwa (Ketua Turus Angkatan
Tentera), Tan Sri Mohammed Salleh Ismael (Ketua Polis Negara), dan Leftenan
Jeneral Dato’ Ibrahim Ismail selaku
ketua pegawai eksekutif. Turut
dilantik, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan (Milne dan Mauzy,
1982: 110; Comber, 2007: 143 – 144; Paridah, 2009: 110).
Tun Abdul Razak bertungkus-lumus untuk mengeluarkan
negara daripada kancah krisis yang teruk ini, dan oleh itu, beliau memerlukan
kepercayaan dan sokongan semua pihak, orang bukan Melayu dikatakan melihat
Mageran dan beliau selaku pengarahnya, dengan perspektif negatif. Namun begitu,
“seorang pemimpin pembangkang meluahkan kebimbangannya kepada seorang pegawai
Kedutaan Amerika Syarikat tentang beberapa kemungkinan yang akan berlaku sekiranya orang Cina
ditindas. Satu kemungkinannya, mereka
berjuang bersama-sama dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Dia merayu campur
tangan Amerika Syarikat dan Malaysia diletakkan di bawah pengawasan
antarabangsa (Nik Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 277). Dia bukan sahaja
tidak memberikan kepercayaan kepada Tun Abdul Razak, bahkan dia
membayangkan Malaysia, iaitu
“negeri-negeri di Pantai Barat yang
majoriti penduduknya terdiri daripada kaum bukan Melayu hendaklah dipisahkan
dan dicantumkan dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara baharu, seperti
yang dicadangkan oleh Lee Kuan Yew” (Nik
Anuar, Muhammad, dan Abd. Ghapa, 2011: 277).
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment