Pages

Monday, May 27, 2019

Keranamu Malaysia


ISNIN, 27 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Malaysia telah menyambut Hari Kemerdekaan ke-43 dan bendera Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh tanah air. Sesuai dengan tema, “Keranamu Malaysia,” ditegaskan betapa pentingnya kestabilan serta perpaduan dan diperingatkan bahaya perkauman. Penegasan dan peringatan itu memang wajar kerana satu demi satu ketidakpastian berlaku di Malaysia dan di dunia. Jika ketidakpastian berleluasa, nescaya situasi itu akan mengundang ketidakstabilan. Misalnya, ketidakpastian dari segi perkauman dan perpaduan kaum setelah 43 tahun merdeka dan setelah rakyat serta negara amat bersemangat menyambut alaf baharu.
            Walaupun Malaysia sentiasa disebut sebagai negara yang aman dan stabil dan rakyatnya pula hidup harmoni tanpa mengira keturunan dan anutan agama, sekali-sekala tercetus perkauman dan perpaduan tergugat. Ketegangan ini bukannya dicetuskan oleh golongan bawahan, tetapi oleh segelintir individu atau kumpulan yang terpelajar dan lebih bijaksana. Meskipun golongan ini memang arif tentang kepekaan dan perasaan setiap kaum di negara ini, mereka sengaja dengan pelbagai alasan yang retorik dan bersifat meminta maaf membangkitkan  isu tertentu.
            Ketegangan yang tercetus sekali-sekala mencerminkan bahawa perpaduan kaum dibuat-buat dan tidak didukung oleh asas yang kukuh. Banyak asas yang kukuh yang dibina sejak merdeka, tetapi kian dilupakan. Misalnya, Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970-an sebagai ekoran Peristiwa 13 Mei,  kini jarang-jarang disebut, apatah lagi dihayati. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1971 mengalami nasib yang sama kerana sering dibayangi oleh kejayaan (dan kegagalan) Dasar Ekonomi Baru (DEB).
            Malahan, Dasar Bahasa Kebangsaan yang merupakan teras perpaduan dan semakin mantap, mula  tergugat sejak tahun 1993, apabila kerajaan membenarkan kursus sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi diajarkan dalam bahasa Inggeris. Sejak itu, kedaulatan bahasa kebangsaan kian  tercabar bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi bidang lain, termasuk dalam urusan rasmi dan media.
            Memang benar bahawa di Malaysia, perbezaan budaya bukan sahaja diterima, malahan dihayati, seperti iklan yang disiarkan pada kaca televisyen menjelang Hari Kebangsaan ke-43. Namun begitu, penerimaan dan penghayatan itu tidak perlu ditonjolkan berlebih-lebihan sehingga mengorbankan yang hakiki, iaitu bahasa. Apabila satu bahasa sahaja ditonjolkan dalam iklan tersebut dan seperti, “ayam bercakap dengan itik,” maka wujudlah gambaran bahawa kaum tertentu yang terpaksa berkorban demi toleransi.
            Dari segi yang lain, hak keistimewaan orang Melayu dicabul oleh orang Melayu sendiri yang terdiri daripada pemimpin, birokrat, cendekiawan, dan ahli korporat. Golongan ini tidak menunjukkan iltizam dan teladan tentang cara memupuk dan mempertahankan hak keistimewaan dari semasa ke semasa. Misalnya, demi kepentingan ekonomi, sains, dan teknologi, kedaulatan bahasa kebangsaan diperlekeh dengan sewenang-wenangnya. Tindak-tanduk orang Melayu sendiri  yang mudah leka dan lupa daratan melemahkan kedudukan hak keistimewaan tersebut.
            Sebenarnya, Datuk Davi Chua dan Suqui merupakan pendatang baharu yang sekadar mempersoalkan dan bukannya mengkhianati hak keistimewaan orang Melayu. Orang Melayu yang berfikiran waras dan rasional sepatutnya berterima kasih kepada David Chuan dan Suqui kerana rela membangkitkan isu itu tanpa berselindung. Setidak-tidaknya mereka membangunkan orang Melayu daripada tidur nyenyak dan dibuai mimpi  alaf baharu yang menjanjikan kehadiran “dewa” baharu.
Jalur Gemilang akan terkoyak dan lampu akan terpadam sekiranya yang hakiki sentiasa diremehkan.  “Keranamu Malaysia” bergantung pada kedaulatan bahasa dan penghayatan kebudayaan kebangsaan. Jika perkauman ingin dibanteras dan perpaduan ingin dipupuk, bahasa dan kebudayaan kebangsaan perlu diletakkan di landasan yang betul sebelum majoriti senyap semakin meluat dan terus menyisihkan diri mereka daripada arus perdana.

(“Memo Ketua Editor,” Dewan Budaya, Oktober 2000.)

No comments:

Post a Comment