SELASA, 28 Mei 2009
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kegirangan untuk menyambut alaf baharu dan abad ke-21
diselang-seli oleh kerisauan terhadap ancaman pepijat alaf (Y2K). Mulai tahun
2000, penduduk dunia berhadapan dengan ketakutan, keraguan, dan ketidakpastian yang
menghantui mereka sejak penghujung abad ke-20. Krisis kewangan yang melanda
Asia sejak Julai 1997 yang merebak ke Amerika Latin dan Rusia bukan sahaja meletakkan
dunia pada ambang Kemelesetan Besar yang berlaku pada tahun 1930-an, bahkan mencetuskan
ketegangan politik dan kegelisahan sosial. Kenaikan harga minyak pada tahun ini
menambah penderitaan dan kesengsaraan rakyat di sesetengah negara. Sebenanyarnya,
abad ke-20 yang dianggap seabgai “abad Amerika Syarikat” membawa kegelapan di
kebanyakan negara.
Kegelapan
ini terus berpanjangan pada abad ke-21 dan turut dirasai di Malaysia. Sejak krisis
kewangan, Malaysia terpaksa berhadapan dengan satu demi satu kesukaran. Pilihan
raya umum 1999 jelas meletakkan Malaysia dalam ketidakpastian, walaupun mungkin
tidak mencetuskan ketidakstabilan. Meskipun pilihan raya telah setahun berlalu,
pertentangan politik semakin sengit. Antara parti politik yang bertelegah, amalan
toleransi dan politik yang beradab terhakis sama sekali. Sejak kebelakangan
ini, politik di negara ini merupakan rangsangan untuk menyerang pihak lawan
tanpa rasa bertanggungjawab dan hormat menghormati. Sementara rakyat pula amat ketagi
dan taksub terhadap politik sehingga mencapai tahap fanatik.
Sejak
Malaysia merdeka dan rakyatnya mengenali demokrasi, tidak pernah berlaku pertentangan
politik yang sesengit kini. Kehadiran golongan yang berpendidikan tinggi dalam parti
politik bukannya melestarikan kemurnian demokrasi, tetapi menambah kebiadaban. Ahli
politik yang bertarung dalam satu-satu isu, seperti menentukan sama ada royalti
ataupun wang ihsan, seakan-akan berhadapan dengan satu masalah tanpa
penyelesaian sehingga hilang rasa hormat dalam kalangan mereka.
Di peringkat
antarabangsa, Malaysia menghadapi situasi yang genting lagi runcing. Beberapa
buah negara jiran yang dianggap sebagai serantau sering menyindir dan mencabar
Malaysia. Selain itu, hubungan dengan Amerika Syarikat dalam keadaan dingin. Keputusan
pilhan raya presiden 2000 tidak banyak membantu memulihkan keadaan kerana,
walaupun seluruh dunia menumpukan perhatian terhadap pilihan raya tersebut dengan
penuh minat dan harapan, kedua-dua calon yang bertanding tidak mempedulikan
segala perhatian itu.
Oleh
sebab pertentangan yang berpanjangan, maka campur tangan asing semakin menjadi-jadi
dan maruah negara terjejas di mata dunia. Kini, kedaulatan negara sedang dipertaruhkan
dan kesejahteraan sedang diperdagangkan demi kepentingan politik.
Perselisihan
kaum dan agama yang melibatkan pertumphan darah yang pernah tercetus di Eropah,
Afrika, Asia Barat, dan Asia Selatan, kini merebak ke Indonesia. Kesan daripada
pergaduhan itu sedkit banyak akan melimpah ke Malaysia. Ketidakpastian dan
ketidakstabilan di Indonesia akan mendorong sebilangan rakyatnya menjadi
pelarian ke Malaysia. Keadaan ini menyebabkan banyak pengorbanan yang perlu
ditanggung oleh negara. Robohnya Indonesia sebagai negara Islam terbesar turut
mengancam kedaulatan Malaysia.
Yang
lebih merisaukan ialah tiada jaminan bahawa ketegangan tidak tercetus di negara
ini. Kalau ahli politik sendiri berperangai liar, apatah lagi rakyat jelata yang
perasaan mereka sentiasa dibakar. Isu hak keistimewaan orang Melayu dan Sekolah
Wawasan merupakan bibit ketegangan yang
menandakan bahawa masih wujud “api dalam sekam.”
Kini,
bahasa diperlekeh, agama diperalat dan dipersenda, ketuanan dicabar, hak
dicabul, undang-undang dilanggar, Dewan Rakyat dicemari, dan mahkamah diperolok.
Apabila melihat segala galau, timbul persoalan: Siapakah pemenang sebenar, walaupun
pilihan raya telah berlalu? Yang pasti, negara kini sedang di ambang “menang
jadi arang, kalah jadi abu,” atau lebih teruk, “menang sorok kampung tergadai.”
Percakaran lebih dipentingkan daripada mengejar kemajuan pada abad ke-21.
(“Memo Ketua
Editor,” Dewan Budaya, Disember 2000.)
No comments:
Post a Comment