Pages

Friday, December 7, 2012

Demokrat Tumbang?

JUMAAT, 7 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada awal November ini, Pilihan Raya Separuh Penggal 2010 berlangsung di Amerika Syarikat.  Bagi mana-mana parti yang memerintah, pilihan raya yang diadakan  ketika kemelesetan adalah penuh dengan kesukaran atau kepayahan.  Demikian juga Parti Demokratik  yang terpaksa bertarung dengan Parti Republikan tatkala sinar pemulihan masih  suram, sedangkan  kadar pengangguran masih tinggi, iaitu hampir 10  peratus. Orang yang kehilangan pekerjaan yang  jumlahnya kira-kira lapan juta orang pastinya menggunakan peti undi  untuk menterjemahkan kesengsaraan  dan kekecewaan mereka.   Apabila Ben Bernanke, Pengerusi Rizab Persekutuan memberitahu jawatankuasa Senat pada akhir Julai lalu bahawa ekonomi Amerika bertambah baik, tetapi tidak dengan cepat, sesungguhnya, ini menandakan Parti  Demokratik  dalam kesusahan, iaitu  bermaksud suatu berita buruk. 
  Menurut pandangan umum, Parti Demokratik   bertarung dalam pilihan raya tanpa mesej bersatu padu untuk menangani ekonomi yang muram. Sebilangan calon yang bertanding mencuba untuk menjauhkan diri mereka daripada  Obama yang popularitinya  merosot.  Dalam perang iklan,   beberapa anggota Perwakilan Demokrat, seperti Mark Schauer (Michigan), Glenn Nye (Virginia), dan Suzanne M. Kosmas (Florida),  menjauhkan diri daripada parti mereka.  Yang terbaharu, dengan penangguhan pengundian hingga  selepas pilihan raya untuk menamatkan potongan cukai pendapatan yang diperkenalkan oleh bekas Presiden George W. Bush yang akan tamat pada 31 Disember ini, sebenarnya tindakan itu  memecahbelahkan Demokrat. Bahkan, ahli strategi parti itu memberikan amaran bahawa dengan penangguhan itu, Demokrat  melepaskan peluang untuk memperlihatkan diri mereka menentang Republikan.   
Demokrat  seolah-olah  kalah sebelum berjuang, gagal menggembleng kekuatan.  Dalam pilihan raya ini, Demokrat akan bergantung pada kesatuan sekerja, iaitu pasukan kejutan (shock troops)  kempen mereka demi mengimbangi keghairahan Tea Party dan kemampuan perbadanan untuk berbelanja dengan  jumlah tanpa had, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Agung.  Para pemimpin kesatuan berasa bimbang kemungkinan Republikan mengambil alih satu atau kedua-dua Dewan Kongres, berjanji membelanja sejumlah wang dan mengerahkan tenaga manusia untuk membantu Demokrat daripada terjebak dalam bencana. 
Walau bagaimanapun, menurut penganalisis politik, dan pemimpin kesatuan sendiri, usaha mereka tidak mencukupi kerana ahli kesatuan, sebagaimana golongan lain di peringkat akar umbi  dalam Parti Demokratik, tidak berasa terlalu ghairah terhadap parti, suatu hakikat yang menjejaskan peluang Demokrat untuk mengekalkan kedudukan majoriti dalam Kongres.  Golongan berpangkat rendah dalam kesatuan sekerja  dilaporkan berasa kecewa kerana Dewan Perwakilan dan Senat tidak banyak berusaha, terutamanya untuk mewujudkan pekerjaan.
Kebanyakan penganalisis politik  dan tinjauan pendapat di Amerika menjangkakan  Demokrat akan kehilangan sebilangan kerusi Senat, Dewan Perwakilan, dan gabenor.   Ketidakpuasan dalam kalangan rakyat Amerika terhadap ekonomi dan hala tuju negara itu dikatakan melemahkan  penguasaan  Demokrat dalam Dewan Perwakilan dan Senat. Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat sejak beberapa  bulan lalu menunjukkan Republikan akan menikmati faedah daripada kemungkinan berlakunya tsunami politik.  Pilihan raya yang membawa perubahan paling  dramatik untuk menguasai Washington sejak kempen tahun 1994, apabila Grand Old Party (GOP) mengejutkan negara dengan menguasai semula majoriti Kongres untuk kali pertama dalam tempoh 40 tahun.  Demokrat dijangkakan kehilangan lebih 40 kerusi  dalam Dewan Perwakilan menyebabkan mereka kehilangan majoriti.  Untuk kehilangan majoriti Senat, yang memerlukan Republikan memenangi 10 kerusi lagi, dijangkakan agak tipis.
 Tinjauan pendapat  Associated Press-Gfk pada bulan September  menjangkakan Republikan berjaya menawan semula Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya ini.  Tinjauan itu menunjukkan bahawa 60 peratus orang  tidak menyetujui kerja yang dilakukan oleh anggota Kongres Demokrat, tetapi 68 peratus  tidak pasti bagaimana anggota Republikan menjalankan  tugas mereka.  Meskipun lebih separuh mempunyai pandangan yang tidak memuaskan terhadap setiap parti, namun menurut tinjauan pendapat itu, orang ramai yang tidak menyukai Demokrat  kelihatan bersedia untuk mengundi dalam jumlah yang sangat besar jika dibandingkan dengan mereka yang tidak menyukai Republikan.  Kebanyakannya berkata Presiden Barack Obama tidak memberikan kerjasama yang cukup terhadap ekonomi; namun, lebih  banyak yang mengatakan Republikan melakukan perkara  yang sama.
Angin para pengundi, menurut tinjauan pendapat New York Times/CBS News, lelaki meradang, wanita putus asa.  Tinjauan yang dilaporkan pada  September itu menunjukkan bahawa lelaki berkata bahawa mereka akan mengundi calon Republikan berbanding dengan calon Demokrat di daerah mereka dengan margin 45 peratus berbanding dengan 32 peratus.  Bilangan ini hampir terbalik untuk wanita dengan 36 peratus berkata mereka akan mengundi Republikan dan 43 peratus berkata mereka akan mengundi Demokrat.  Berdasarkan tinjauan pendapat itu, beberapa penganalisis politik menegaskan bahawa kedua-dua parti mempunyai peluang yang sama.
 FiveThirtyEight  pada 25 September  lalu mengunjurkan  Republikan mempunyai 65 peratus peluang untuk mengambil alih Dewan Perwakilan, meningkat sedikit  daripada 62 peratus minggu lalu.  Republikan dijangkakan menguasai 224 kerusi Dewan Perwakilan dalam Kongres baru, bertambah satu kerusi daripada 223 kerusi minggu lalu; dan ini bermakna parti itu dijangkakan memenangi 45 kerusi lagi daripada 179 kerusi yang dimiliki sekarang. FiveThirtyEight  melalui Pusat Ramalannya  yang dikemaskinikan dari semasa ke semasa memperincikan kerusi dan jawatan gabenor  yang akan dimenangi oleh Demokrat dan Republikan dalam Pilihan Raya Separuh Penggal (rujuk  jadual di bawah):

Hasil purata selepas 100,000 simulasi
                                                Dikemaskinikan            Demokrat         Republikan       Lain-lain
            Senat                              24 September                51.7                    48.1                0.1
            Dewan Perwakilan           24 September               210.8                  224.2               0.0
            Gabenor                         28 September                 19.3                    30.4               0.3    


“Orang Muda dan Golongan Minoriti   Semuanya  Presiden Ketepikan”  ialah tajuk berita yang menarik perhatian dalam tinjauan pendapat yang baru  dalam  National Journal yang dipetik oleh The Wall Street Journal  dalam keluaran 30 September.  Kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center mendapati Presiden Obama masih mendapat sokongan dalam kalangan pengundi yang berumur 30 tahun ke bawah yang membantu memenangkan beliau pada tahun 2008, sebaliknya pengundi yang berumur antara 50 hingga 64 tahun, hanya 34 peratus yang menilai beliau secara positif.  Para pengundi majoriti masih padu di belakang presiden, dengan 76 peratus pengundi kulit hitam menyokong beliau.  Majoriti pengundi Hispanic juga masih menyokong Obama,  tetapi dalam kalangan kulit putih bukan Hispanic, hanya 30 peratus menilai  beliau secara positif, sedangkan 66 peratus menilai beliau baik  atau teruk.
Tidak semua orang akur  dengan gembar-gembur kemaraan  Republikan untuk menawan semula Senat dan Dewan Perwakilan.  Kemungkinan besar beberapa kerusi akan bertukar tangan, tetapi tidaklah sampai memberikan kemenangan besar kepada Republikan, terutamanya jika Demokrat mengubah nada dan memperkuat kedudukan mereka. Sementara di peringkat gabenor pula, calon Republikan  untuk gabenor California,  Meg Whitman, misalnya, yang membelanjakan wangnya sendiri sebanyak AS$119 untuk kempen – mengatasi rekod Datuk Bandar Michael R. Bloomberg dari New York –  dijangkakan menghadapi kesukaran untuk menewaskan calon Demokrat yang lebih berpengalaman, Jerry Brown.
Republikan  memasuki enam minggu akhir pilihan raya dengan angin politik di belakang mereka dan peluang untuk meraih kemenangan merentas negara, tetapi di  beberapa buah negeri, parti itu bergelut dengan belanjawan kempen yang ketat.  Kekurangan ini sekali gus membangkitkan persoalan, sama ada Republikan mampu menggunakan  sepenuhnya suasana yang memihak kepada mereka.
Sebagaimana  Parti Demokratik, Republikan juga menghadapi masalah dalaman, terutamanya kemunculan gerakan Tea Party  yang menjadi  “duri dalam daging.”  Kemenangan calon Tea Party dalam pemilihan awal Republikan, mendedahkan perselisihan antara golongan  Republikan sederhana dengan Republikan konservatif.  Di Delaware misalnya, Christine O’Donnell  terbabit dalam kata mengata antara beliau  dengan  Karl Rove, ahli strategi Republikan; manakala di Alaska, Lisa Murkowski yang tewas, mencari beberapa cara untuk mempertahankan kerusi Senatnya, termasuk sebagai   write-in candidate  atau sebagai Libertarian.  “Perang saudara” yang meletus dalam parti pada peringkat pemilihan awal dikatakan memberikan keuntungan kepada Demokrat.
Ada orang berpesan, “jika anda tidak mempunyai kekuatan untuk melawan beruang, gunakan kekuatan beruang untuk melawannya.”  Hal yang sama dilakukan oleh Demokrat, iaitu mereka berharap mengambil kesempatan daripada kekuatan GOP.  “Dengan beberapa tanda kemunculan  dalam kekuatan dalam parti mereka sendiri,” tulis John Harwood dalam akhbar The New York Times pada pertengahan September, “Demokrat menetapkan minggu ini tentang usaha mencari dua bulan untuk menuaskan atau mengumpilkan kekuatan Republikan dalam menentang mereka.  Sebut ini Jujitsu Campaign.”
Meskipun tinjauan pendapat menjangkakan Pilihan Raya Separuh Penggal ini memihak kepada Republikan, tetapi Demokrat akhir-akhir ini berkata bahawa mereka semakin optimistik untuk mengekalkan majoriti dalam Senat dan Dewan Perwakilan.  Sebelum ini, iaitu  pada pertengahan Ogos lalu, Tim Kaine, Pengerusi Parti Demokrat memberitahu ahli Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat, “Wujud banyak malapetaka dan kekelaman, tetapi saya fikir kita akan melakukan sesuatu yang lebih baik daripada yang difikirkan oleh orang ramai.  Kita terpaksa menempuh perjalanan yang jauh, tetapi saya fikir beberapa faktor sedang memihak kepada kita.”
Para pengundi, menurut komentar,  tidak meninggalkan Demokrat,   sebaliknya Demokrat meninggalkan pengundi mereka.  Demokrat tidak menumpukan  masa dan tenaga yang secukupnya terhadap ekonomi dan pewujudan pekerjaan, iaitu dua perkara yang responden nyatakan dalam tinjuan pendapat New York Times/CBS News yang dikenal pasti sebagai isu paling penting mendepani negara itu.  Apabila ditanya antara kedua-dua parti itu, parti mana yang melaksanakan tugas paling baik dalam menangani isu ekonomi, seperti kemelesetan, mewujudkan pekerjaan, dan membantu golongan kelas menengah dan perniagaan kecil, orang ramai lebih menyenangi Demokrat berbanding dengan Republikan. 
Sememangnya, silap untuk mengatakan bahawa Demokrat turun bertarung tanpa perancangan strategi.  Dengan hanya tinggal enam minggu untuk mengelakkan kemungkinan malapetaka pilihan raya, Demokrat mencuba untuk mengurangkan kerosakan dengan cara lebih merayu.  Mereka tahu bahawa para pengundi  mungkin benci  terhadap mereka, tetapi mereka hanya perlu menjelaskan mengapa Republikan adalah lebih teruk.  “Ini perlu menjadi pilihan, bukan referendum,” terhadap Kongres yang diterajui oleh Demokrat dan Pentadbiran Obama,” kata Erik Smith, Penasihat Kempen parti itu.  Presiden Obama pula menuduh Republikan:  “Semua mereka akan memberi kita kemarahan dan rasa geram dan tidak banyak idea baru.  Akan tetapi, cara ini berkesan   apabila orang ramai berasa takut dan mereka berasa sakit hati.”
Perunding Parti Demokratik veteran, Chris Kofinis dilaporkan menulis memo mengingatkan calon-calon  dan para pegawai parti supaya melipatgandakan usaha mereka dengan menggambarkan GOP sebagai parti yang ditawan oleh golongan ekstremis dengan idea bukan ortodoks, seperti memasuhkan Keselamatan Sosial.  Calon-calon  Parti Demokratik sepatutnya memujuk dua kumpulan penting, iaitu pengundi bebas yang boleh diyakini dan golongan liberal yang kecewa dengan mendedahkan ancaman  “puak pinggir radikal,  puak ekstrem yang akan menguasai dan telah menguasai Parti Republikan,” tegas Kofinis.
Dengan merujuk kepada perundangan penjagaan kesihatan, langkah rangsangan ekonomi, rang undang-undang mengawal selia Wall Street, Speaker Nancy Pelosi dilaporkan berkata bahawa anggota Demokrat berpangkat rendah bertolak dari Washington untuk berkempen “dengan keghairahan optimisme, sangat berasa senang  tentang mengambil mesej  berjuang untuk golongan kelas menengah, menggerakkan rakyat Amerika untuk terus mara, dan  bukannya mengambil langkah mundur.”
 Demokrat  berusaha meningkatkan sokongan dalam  kalangan kumpulan pengundi penting, iaitu Hispanic yang merupakan golongan minoriti terbesar di Amerika.  Untuk itu, mereka bercadang untuk meluluskan Rang Undang-undang Imigresen.   Dalam kalangan Demokrat, Senator Harry Reid dari Nevada, pemimpin majoriti, dan Senator Robert Menendez dari New Jersey, yang hanya satu-satu Latino dalam Senat, memainkan peranan untuk mendekati Hispanic. 
Pastinya, tidak ketinggalan Presiden Obama.  Untuk menegaskan komitmen terhadap rang  undang-undang itu, beliau  mengadakan pertemuan di Oval Office dengan tiga anggota Demokrat Hispanic yang penting, iaitu Senator Robert Menendez, dan  anggota Perwakilan  Nydia M. Velázquez  dari  New York  dan  Luis V. Gutierrez  dari Illinois.   Ketika  berucap dalam makan malam anugerah Congressional Hispanic Caucus Institute pada pertengahan September, Obama bertindak menyerang Republikan:  “Jangan lupa siapakah yang berdiri bersama-sama anda dan siapakah yang berdiri menentang anda”  -  untuk  memujuk Latino.
Dalam usaha mengekalkan majoriti dalam Kongres, selain berusaha mempengaruhi Hispanic, Demokrat, melalui Senat meluluskan pakej berbilion dolar  pecahan cukai dan pinjaman yang disokong kerajaan untuk perniagaan kecil.  Selepas berbulan-bulan mendapat tentangan Republikan, akhirnya langkah-langkah untuk  membantu perniagaan kecil.  Selain itu, Rang Undang-undang Dasar Pentagon yang turut menyentuh isu yang dibangkitkan dari segi politik mengenai imigresen, lelaki gay, golongan lesbian dan dwiseksual dalam tentera, dijangkakan sedikit sebanyak membantu  Demokrat.
Sememangnya, juga silap untuk mengatakan Demokrat turun bertarung bagaikan “tentera tanpa jeneral.”  Jika ketika Pilihan Raya Presiden yang lalu, Bill Clinton sentiasa bersikap marah terhadap lelaki yang menewaskan isterinya, Hillary, kini, dalam minggu terakhir kempen Pilihan Raya Separuh Penggal 2010,  beliau bekerja keras untuk membantu musuhnya pada suatu ketika dahulu.  Bahkan, Clinton muncul sebagai pembela paling penting terhadap majoriti  Kongres Presiden Obama.  Sesetengah calon Demokrat meminta bantuan beliau dalam jejak kempen berbanding dengan presiden.  Meskipun Clinton menegaskan bahawa beliau sekadar “di pinggiran dan hanya muncul seketika”  dalam politik, namun beliau sering mendapat liputan berita dalam rapat umum dan pungutan dana merentas negara.   Dalam politik, pengaruhnya masih belum luntur.
Demikian juga Speaker Nancy Pelosi yang kini menjadi sasaran serangan GOP,   turun padang untuk mengumpulkan wang untuk calon individu Demokrat dan untuk partinya secara keseluruhan dalam minggu-minggu penutup kempen.  Sepanjang bulan Oktober, beliau muncul  dalam acara pungutan dana di New York, Los Angeles, Coral Gables, Minneapolis, dan San Francisco.  Demokrat, seperti yang dilaporkan oleh  The New York Times, mendapati banyak penyumbang besar memotong sokongan kewangan, antaranya George Soros.
Walaupun dirinya sering dijadikan “tebusan” oleh Republikan sejak beliau menduduki Rumah Putih, tetapi Presiden Barack Obama, seperti  lazim, tidak mudah mengaku kalah.  Sebagaimana lazim, ketika berhadapan dengan detik genting dan runcing, beliau akan kembali ke jejak kempen. Kira-kira sebulan sebelum pilihan raya,  pegawai Demokrat  dalam mesyuarat di Rumah Putih menggesa Presiden Obama memberikan perhatian khusus terhadap para pengundi bebas  yang meninggalkan Republikan dalam pilihan raya tahun 2006 dan 2008,  kini kelihatan menyokong semula GOP.
Pada akhir September, beliau membuka perjalanan ke empat buah negeri dengan acara untuk menarik dua kumpulan, iaitu Hispanic dan pelajar kolej dalam usaha mempertahankan kerusi Kongres Demokratik pada November ini.  Beliau bercakap tentang ekonomi dan pendidikan di New Mexico. Untuk menguasai keghairahan Hispanic New Mexico, yang kira-kira 45 peratus penduduk negeri itu, dipercayai bukanlah tugas mudah.  Selepas itu, Obama menghadiri kempen gaya rapat umum di University of Wisconsin di Madison yang disiarkan serentak ke kampus-kampus lain, dalam usaha untuk menggalakkan pengundi muda keluar mengundi.  Kemudian, beliau menghadiri acara ekonomi di Iowa dan Virginia. 
Sesetengah cerdik pandai berkata bahawa parti politik ibarat bas, dengan orang ramai selalu naik turun. Selepas Pilihan Raya Presiden 2008, Karl Rove menulis dalam The Wall Street Journal,  “perlumbaan politik adalah mengenai calon dan isu.  Akan tetapi, keputusan pilihan raya, akhirnya adalah mengenai  angka.”  Selepas kelam berlalu, angka  muktamad dan bukannya angka unjuran tinjauan pendapat memberitahu mana parti yang memperoleh angka yang lebih banyak.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, November 2010.)

No comments:

Post a Comment