Pages

Thursday, December 6, 2012

Perang Mata Wang

KHAMIS, 6 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Dunia dalam kancah peperangan lagi sekali, meskipun pada awal September lalu Amerika Syarikat mengisytiharkan  berakhirnya perang tujuh tahun di Iraq.   Pastinya, perang yang baru meletus ini bukannya peperangan di Afghanistan.  Juga  tidak ada kaitannya dengan buku terbaharu Bob Woodward yang banyak diperkatakan dan diulas,  iaitu Obama Wars
Tatkala dunia masih dihantui oleh bayang-bayang yang menakutkan, iaitu  kemelesetan curam berganda, tiba-tiba dunia dicengkam oleh “perang mata wang antarabangsa”  kerana kerajaan memaksa turun nilai mata wang mereka untuk merangsang  ekonomi mereka.  Kenyataan yang dibuat oleh Guido Mantega, Menteri Kewangan Brazil ketika berucap di hadapan para pemimpin perindustrian negara itu  di Sao Paulo pada akhir September lalu sebelum pilihan raya presiden,  mengakui bahawa amalan itu semakin menjadi-jadi sejak kemelesetan ekonomi global.
“Kita di tengah-tengah perang mata wang antarabangsa, iaitu setiap negara  melemahkan mata wang masing-masing.  Tindakan  ini melemahkan kita kerana menghilangkan daya saing kita.”   Kata Mantega, “Ini merupakan jenis tindakan terdesak yang dilakukan  oleh negara-negara untuk mengaktifkan  ekonomi mereka.  Oleh sebab mereka tidak mampu untuk mengaktifkan pasaran dalaman  mereka, maka jalan keluar ialah eksport.  Justeru, negara maju menurunkan nilai mata wang mereka supaya menjadi berdaya saing dalam sebilangan kecil pasaran dinamik di dunia.”
Ungkapan yang diperkenalkan oleh Menteri Kewangan Brazil membawa maksud bahawa di seluruh dunia, negara-negara memanipulasikan mata wang mereka untuk mendapat kelebihan bersaing dalam perdagangan.  Amerika mencetak wang dalam jumlah yang banyak untuk keluar daripada ekonominya yang beku, dan tindakan ini dikatakan melemahkan dolar, dan dengan itu, menjadikan mata wang itu aset kurang menarik untuk para pelabur asing.  Justeru, dalam mengejar pulangan yang tinggi, semua wang panas ini mengalir ke dalam pasaran yang sedang muncul, seperti Brazil yang dapat melepasi krisis global secara relatif  tidak cedera.  Pasaran sedang muncul, dari Brazil ke Taiwan secara terdesak mencuba untuk menahan aliran masuk modal demi mencegah mata wang mereka meningkat lebih tinggi.
Dalam tindakan berasingan untuk melemahkan mata wang, Bank of Japan kembali semula kepada  dasar kadar faedah sifarnya. Bank pusat itu baru-baru ini campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk menjual yen, Switzerland mula menjual francs Swiss dalam pertukaran asing tahun lalu, dan Israel juga mengaku bahawa tanpa campur tangan, mata wangnya akan menjadi semakin kuat.  Bersama-sama Amerika, Britain membanjiri ekonomi dengan kecairan menerusi quantitative easing dan mengekalkan kadar faedah terlalu rendah, pada hakikatnya, menurunkan nilai mata masing-masing.  
Sementara Brazil, meskipun Menteri Kewangannya memperkenalkan ungkapan perang mata wang,  menggandakan cukai terhadap pelabur asing yang membeli bon tempatan untuk mengekang kerancakan baru-baru ini dalam mata wangnya.   Bank pusat Korea Selatan dan Taiwan turut campur tangan untuk memastkan mata wang mereka lebih murah.  Bimbang akan manipulasi mata wang yang diserlahkan oleh kemelesetan global, banyak negara, termasuk Britain melihat pertumbuhan eksport sebagai cara untuk pemulihan.  Mata wang yang lemah bermakna eksport negara berkenaan menjadi lebih berdaya saing.
Banyak  negara, terutamanya China, diperhatikan melemahkan mata wang mereka dengan sengaja dengan menjual mata wang  dalam pertukaran asing atau memastikan  kadar faedah rendah secara dibuat-buat  demi memastikan eksport negara berkenaan   lebih murah. Output kilang di Britain, Amerika Syarikat, Sepanyol, Ireland, dan Greece semuanya jatuh semula dengan ketara pada bulan September, manakala di China, output pembuatan melantum semula dengan lebih pantas berbanding dengan jangkaan ahli ekonomi. 
Enam belas buah negara dalam zon euro sekali lagi  mendesak China supaya membenarkan mata wangnya naik nilai, mengadu bahawa Beijing berkeras mahu mengekalkan mata wangnya,  renminbi lemah menjejaskan pertumbuhan global dengan mewujudkan defisit perdagangan di Amerika dan Eropah. Pendirian China yang berkeras memperlihatkan penentangannya terhadap kenaikan nilai yang pantas mata wangnya,   mungkin diperkukuhkan lagi baru-baru ini oleh kesediaan Jepun, Brazil, Switzerland, dan negara-negara lain untuk mengurangkan kekuatan mata wang mereka menerusi campur tangan. 
 Ahli-ahli ekonomi dikatakan berasa takut bahawa langkah itu akan mengakibatkan turun naik dan ketidakstabilan mata wang semakin bertambah.  Persaingan yang kian menjadi-jadi dalam kalangan setiap negara untuk menurunkan nilai mata wang juga menimbulkan kesukaran untuk meningkatkan dasar terselaras sebagai respons terhadap kemerosotan ekonomi, terutamanya di tengah-tengah ketakutan bahawa kelembapan akan  berlaku semula.
Apabila Timothy Geithner, Setiausaha Perbendaraan Amerika bercakap tentang pemulihan ekonomi global,  yang sebenarnya amaran tentang bahaya perang mata wang, ada yang  menganggap bahawa sasaran beliau ialah China, meskipun beliau tidak sekalipun menyebut negara itu.  Ya, pastinya China. Tulis Nils Pratley dalam “Undeclared Currency War”  yang ingin menegaskan bahawa   Geithner tidak perlu “berlapik” dengan  menggunakan bahasa diplomasi hanya kerana pendirian rasminya bahawa kerjasama  ialah cara terbaik untuk setiap orang.    Dalam makalahnya yang  diterbitkan  dalam guardian.co.uk  pada awal Oktober, Pratley menulis:  “Malangnya, kerjasama seakan-akan mustahil menjadi kenyataan berbanding dengan yang dilakukan sebulan lalu apabila Geithner bersedia mengkritik China dengan menyebut namanya.  Hari ini, Perdana Menteri Wen Jiabao mempertahankan dasarnya tentang kenaikan nilai renminbi  dan memberitahu para pemimpin Kesatuan Eropah supaya menghentikan tindakan mereka membuli China. Bagi beliau, kenaikan nilai yang lebih pantas boleh mencetuskan kacau-bilau sosial.”  
Melihat  pertikaian menuju titik krisis, Pratley mencadangkan, “Amerika mesti segera memutuskan sama ada untuk melabelkan China ‘pemutar belit mata wang,”  perbincangan yang dilakukan setiap enam bulan.  Ramuan yang tiada dalam pemulihan global ialah menyeimbangkan semula perdagangan.  Dan selagi China membantu dirinya untuk kelebihan eksport bersaing, keadaan ini tidak akan bertambah baik.”
Ekonomi kedua terbesar di dunia ini masih menjadi sasaran kritkan yang  sangat hebat.  Kebanyakan  kerajaan Barat dan banyak ahli ekonomi, melemparkan kesalahan yang mencetuskan pergeseran mata wang terhadap China yang  enggan membiarkan renminbi diniagakan pada kadar yang menghampiri nilai benarnya.   Lagipun, China mensubsidikan eksportnya dengan kadar faedah rendah yang dibuat-buat  yang mengalih wang daripada deposit bank  para pengguna kepada pinjaman murah untuk perniagaan. Ketegangan antara Beijing dengan Washington memuncak tentang isu mata wang,  dan  Kongres baru-baru ini meluluskan perundangan yang membolehkan  Amerika mengenakan sekatan perdagangan terhadap China dan negara-negara lain yang memanipulasikan mata wang untuk memenangi kelebihan bersaing. 
 “Tatkala Pentadbiran Barack Obama menghangatkan lagi peperangannya dengan para pemimpin China tentang nilai rendah mata wang China yang dibuat-buat,” tulis David E. Sanger dan Michael Wines, “semakin banyak negara berundur daripada beberapa peraturan pasaran bebas yang membimbing perdagangan antarabangsa sejak beberapa dekad  dan mula bermain dengan peraturan China.”  Dalam  makalah yang diterbitkan dalam The New York Times  itu, Sanger dan Wines mengakui bahawa   tidak jelas jika hasilnya mencetuskan “perang mata wang,” seperti yang diberikan amaran oleh Menteri Kewangan Brazil baru-baru ini, atau jika ini hanya sekadar tembakan amaran, tembakan untuk memaksa kepimpinan Beijing menunaikan tahun demi tahun janji  yang akan membenarkan mata wang China naik nilai.  Beberapa ahli ekonomi menegaskan bahawa persengketaan terhadap mata wang China akan bermulanya era baru fahaman perlindungan mengingatkan tahun 1920-an dan 1930-an, yang mereka kata mereka takut boleh melemahkan perdagangan dan pemulihan yang lemah semakin lemah.
Kenyataan Guido Mantega tentang perang mata wang  menarik  perhatian banyak pihak, lebih-lebih lagi tatkala ekonomi dunia masih terumbang-ambing.  Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengambil serius hal ini dengan mengeluarkan amaran kepada kerajaan terhadap menggunakan kadar faedah sebagai “senjata dasar” dengan berkata,  perang mata wang membawa risiko yang melemahkan pemulihan ekonomi global. 
Sementara  Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi memberitahu  Forum Ekonomi Dunia di New York bahawa beliau bimbang tentang tahap ketidakstabilan dalam ekonomi global yang boleh menyebabkan krisis lain, seperti perang mata wang dalam kalangan negara yang kelihatan menjadikan mereka lebih berdaya saing yang semakin diburukkan lagi oleh pelaburan dari luar.   “Yang boleh menambahkan lagi kacau-bilau,” kata beliau. 
Turut  berkongsi kebimbangan tentang perang mata wang ialah  hartawan George Soros,  dan beliau menegaskan bahawa China mesti melakukan lebih banyak untuk memikul tanggungjawab dalam sistem monetari global.  Soros  dipetik sebagai berkata, “Menteri Kewangan Brazil bercakap tentang perang mata wang terpendam, dan beliau tidak terpesong jauh dari sasaran.  Sememangnya, dalam pasaran mata wang tempat dasar ekonomi yang berbeza dan sistem ekonomi serta politik yang berbeza berinteraksi dan bertembung.  Beliau juga menyentuh  pendirian   China yang terus berkeras dengan  dasar peningkatan kebolehubahan mata wang secara beransur-ansur dan tidak mahu tunduk pada tekanan para pemimpin Kesatuan Eropah yang bersekutu dengan Amerika untuk mendesak kerajaan negara itu:  “Sama ada disedari ataupun tidak, China muncul sebagai pemimpin dunia.  Jika China gagal memikul tanggungjawab kepimpinan, sistem mata wang boleh runtuh dan turut mengheret  ekonomi global bersama-samanya.” 
Kuasa dunia mesti banyak berusaha untuk menghalang kemungkinan  perang mata wang. Desak  Institute of International Finance (IIF) tatkala Menteri-menteri Kewangan dan ketua-ketua  bank pusat  bersiap untuk ke Washington untuk menghadiri mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF pada awal Oktober.   Setiap penjuru dunia kini dilanda oleh peperangan mata wangnya sendiri, kerana setiap negara bersaing untuk memperoleh sebahagian pemulihan global yang terbukti lebih kuat di ekonomi sedang muncul utama berbanding dengan Barat.  “Kita memerlukan perkembangan segera dalam rundingan pelbagai pihak tentang isu mata wang utam,” tegas IIF yang juga meramalkan aliran modal ke dalam pasaran sedang muncul akan meningkat kepada AS$825 bilion pada tahun ini daripada AS$581 bilion pada 2009.  
Ketegangan  menjadi-jadi ketika Menteri-menteri Kewangan G-7 akan mengadakan pertemuan tidak rasmi di Washington sempena mesyuarat tahunan yang dinyatakan di atas, tentang perang mata wang antarabangsa kerana banyak  kerajaan memanipulasikan mata mereka untuk merangsang eksport.  Para pemimpin di IMF dan Bank Dunia dilaporkan berkata bahawa “konflik antara China dengan Amerika berhubung dengan renminbi boleh merebak menjadi masalah ekonomi yang lebih serius. “Ketegangan terhadap mata wang boleh melemahkan keyakinan para pelabur pada masa apabila dunia memerlukan sektor swasta untuk merangsang pertumbuhan,”  kata Robert Zoellick, Presiden Bank Dunia.   Selain itu, banyak negara di dunia berasa takut  terhimpit  kerana Amerika dan China berperang antara satu sama lain. 
Walau bagaimanapun, ahli panel semasa persidangan mata wang Bloomberg di New York    berpendapat  bahawa negara-negara tidak terlibat dalam perang mata wang.  Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com,  “sekarang bukannya perang mata wang,” meskipun negara membangun di seluruh dunia membeli dolar dan mengambil langkah lain untuk membendung mata wang daripada meningkat.  “Retorik boleh menjadi perang mata wang jika kemerosotan ekonomi semakin dalam.”
Dalam  “Financial Shock and Awe” Barry Eichengreen melihat  persamaan antara Perang Dunia Pertama dengan perang mata wang sekarang: salah faham.  Bukannya berpunca daripada perjuangan untuk penguasaan antara kuasa yang sedang bangkit dengan musuhnya yang telah bertapak, perang itu merupakan hasil sampingan siri salah faham.  Hari ini, titik pancaran mungkin mata wang berbanding dengan Balkan, tetapi bahaya salah faham  menjurus kepada keadaan  menjadi  buruk dan tindakan  balas – ialah sama dari segi fundamental. Dalam makalah yang diterbitkan dalam Foreign Policy itu beliau  menegaskan salah faham ialah kepercayaan bahawa fenomena yang kita perhatikan sekarang – terpampang pada halaman hadapan minggu lalu apabila Menteri Kewangan Brazil mencela tercetusnya “perang mata wang antarabangsa” – ialah permainan hasil tambah sifar.
            Ceritanya bermula seperti ini, tulis Eichengreen, Bank of Japan, dikatakan dengan  campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk melemahkan yen adalah menyebabkan kehidupan lebih sukar untuk negara lain.  Begitu juga,  Bank of England, berasa gembira melihat sterling merosot, dengan alasan bagaimana permintaan domestik tertekan oleh program jimat cermat agresif kerajaan, tetapi ini mewujudkan masalah kepada negara-negara jirannya.  Rizab Persekutuan tidak membantah jika pasaran mewujudkan dolar yang lemah, bahkan jika ini mengecewakan usaha terbaik Bank of Japan.  People’s Bank of China terus-menerus dengan kemasyhuran  campur tangan untuk mengekalkan renminbi jatuh.  Pasaran sedang muncul lain, dari Brazil ke India ke Korea Selatan, mendapati diri mereka sama ada terpaksa melawan api dengan api atau sekadar melihat sektor pembuatan mereka layu. Sementara itu, ekonomi terlalu  terdesak memerlukan kadar pertukaran berdaya saing, iaitu Eropah, berkesudahan berlabuh  di tempat yang berlawanan. 
Beliau akur bahawa ketegangan dan tuduh-menuduh tidak dapat dielakkan.  Namun begitu, yang diperlukan untuk mengelakkannya ialah kepimpinan daripada tiga bank pusat yang besar itu.  Rizab Persekutuan perlu menghentikan keadaan serba tidak kena dan melakukan dengan tepat takat quantitative easing  yang dihajatinya.
Sebelum tercetusnya perang mata wang sekarang, Eichengreen menulis “Competitive Devalution to the Rescue” bahawa   setiap hari kelihatan kemungkinan besar bahawa kita ditakdirkan – atau sepatutnya seseorang berkata malapetaka? – untuk mengulangi sejarah ekonomi yang membawa bencana dan kecelakaan tahun 1930-an.   Melalui  makalah  yang diterbitkan dalam guardian.co.uk  menjelang sidang kemuncak G-20 di London pada awal April 2009,  beliau menarik perhatian bahawa kini kita berasa amat takut akan bayang-bayang yang mengerikan tentang penurunan nilai berdaya saing. Dalam makalah ini beliau juga merujuk pengalaman  pada tahun 1930-an, apabila  sebuah negara demi sebuah negara menurunkan kadar pertukarannya dalam usaha terdesak supaya eksportnya keluar daripada kemelesetan.  Akan tetapi, penurunan nilai oleh  setiap negara hanya menerukkan lagi masalah rakan-rakan  kongsi perdagangannya yang melihat kemelesetan mereka sendiri semakin dalam.  Kesudahannya, bahkan negara yang menghargai kestabilan mata wang terpaksa  mengambil tindakan yang serupa. 
“Akhirnya,”  tulis Eichengreen,  “penurunan nilai berdaya saing tidak memberikan faedah kepada mana-mana negara pun,  kerana semua negara tidak boleh menurunkan nilai kadar pertukaran mereka dengan berlawan antara satu sama lain.  Hanya kesannya  kepada ketegangan peminat politik, memuncakkan ketidakpastian kadar faedah, dan menterbalikkan sistem perdagangan global.  Fahaman perlindungan kewangan jika anda mahu.”
Meskipun dunia riuh-rendah dengan perang mata wang, namun setakat ini tidak wujud usaha untuk membendungnya daripada terus merebak. Beberapa negara, seperti yang diketahui,  cuba untuk menurunkan nilai mata wang mereka sebagai cara satu cara untuk merangsang eksport dan pekerjaan pada masa ekonomi yang sukar.  Wujud kebimbangan bahawa usaha tersebut boleh mencetuskan berulangnya perang perdagangan yang menyumbang kepada Kemelesetan Besar 1930-an, kerana sebuah demi sebuah negara meninggikan sekatan perlindungan terhadap barang diimport. 
Namun begitu,  para pemimpin kewangan dunia yang menghadiri mesyuarat  tahunan IMF  gagal menyelesaikan perbezaan yang mendalam, iaitu ancaman meletusnya perang mata wang dalam erti kata yang sebenar.   Mereka dikatakan akur dengan masalah, tetapi mereka belum dapat  menyediakan penyelesaian terhadap risiko bahawa pemulihan ekonomi global akan menjadi lemah oleh terjahan nasionalistik terhadap kadar pertukaran.   Mereka hanya meminta IMF memainkan peranan yang lebih kuat dalam memantau bagaimana dasar setiap negara menjejaskan negara lain.  Oleh sebab IMF membiarkan persoalan tanpa penyelesaian, maka timbul pertanyaan mampukah dunia mengelakkan daripada perang mata wang yang memudaratkan?  Meskipun laungan yang lantang dari Amerika Syarikat, dan rayuan yang lebih lembut oleh Eropah, Jepun, dan negara lain, IMF gagal meletakkan tekanan yang signifikan terhadap China supaya  membenarkan peningkatan yang segera dan penuh bermakna dalam mata wangnya, renmimbi.
Lenin pernah berpesan bahawa cara terbaik untuk memusnahkan sistem kapitalis adalah dengan merosakkan nilai mata wang (is to debauch the currency).  Lenin adalah betul,  tulis John Maynard Keynes dalam bukunya, Essays in Persuasion.  Tiada  cara paling halus, yang paling pasti, untuk mengubah asas yang wujud dalam masyarakat berbanding dengan cara merosakkan nilai  mata wang.  Proses ini menarik semua kuasa hukum ekonomi tersembunyi ke sebelah pemusnahan, dan melakukannya dengan cara  yang tiada seorang pun dalam sejuta manusia mampu mendiagnosis.
            Kerosakan nilai mata wang yang dipesan   oleh Lenin, seperti yang dibahaskan  oleh Keynes adalah dalam konteks  inflasi  pada tahun 1919 – selepas Perang Dunia Pertama.  Justeru, untuk mengaitkan pesanan pemimpin revolusioner itu dengan perang mata wang sekarang seakan-akan terkeluar daripada konteks.    Lenin  mungkin tidak membayangkan tercetusnya perang mata wang seperti sekarang.  Mungkin juga beliau  tidak membayangkan negara kapitalis bersama-sama China sedang memusnahkan sistem kapitalis dengan melancarkan perang mata wang.  Namun begitu, paling tidak, beliau berpesan bahawa mata wang boleh diserang dan menyerang.
            Sesungguhnya, perang mata wang yang  membimbangkan ini sebahagiannya berpunca daripada pertembungan antara konsensus Washington dengan  konsensus Beijing, antara kapitalisme pasaran bebas dengan kapitalisme autoritarian.  Tatkala peraturan pasaran bebas robek di sana sini, Beijing mengambil kesempatan memperkenalkan peraturannya – orde dunia baru yang gagal disempurnakan oleh para pemimpin komunis sebelum ini.

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Disember 2010.)

No comments:

Post a Comment