Pages

Sunday, December 9, 2012

Menyelamatkan Ekonomi Mengorbankan Politik

AHAD, 9 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Beberapa pilihan raya yang berlangsung memperlihatkan parti pemerintah dalam keadaan yang sukar.  Di Britain, Parti Buruh tumbang, manakala di Australia, Parti Buruh hanya dapat bertahan kerana adanya sokongan daripada parti kecil.  Yang terbaharu, Pilihan Raya Separuh Penggal di Amerika Syarikat yang menyaksikan  seorang demi seorang calonnya  tewas, baik di peringkat Dewan Perwakilan, Senat, mahupun gabenor.   Untuk Dewan Perwakilan,  Republikan meraihkan kemenangan hampir setiap penjuru negara,   memenangi  239 kerusi berbanding dengan 188 Demokrat, manakala lapan  lagi belum diketahui keputusannya (ketika makalah ini ditulis).   Akan tetapi,  Demokrat masih  menguasai Senat, dengan memenangi 53 kerusi  berbanding dengan 46 Republikan, manakala satu lagi – iaitu Alaska belum diketahui yang berkemungkinan memihak kepada calon write-in, Senator Lisa Murkowski yang tewas dalam pemilihan awal Republikan.
            Bagi sesetengah cerdik politik,  pilihan raya kali  ini merupakan sesuatu yang cukup bersejarah, salah satu yang produktif sejak New Deal.  Selepas empat tahun mengambil alih Kongres dengan Speaker wanita pertama di Dewan Perwakilan, akhirnya Demokrat hilang penguasaan terhadap Dewan berkenaan dalam pilihan raya yang membawa kemusnahan, yang melenyapkan  penguasaan itu.  Inilah kali pertama sejak  tahun 1938 apabila Demokrat di bawah Presiden Franklin D. Roosevelt  mengalami kekalahan bersih 72 kerusi di tangan Republikan, Parti Demokratik kalah teruk dalam Pilihan Raya Separuh Penggal.  Newt Gingrich yang menjadi penggempur kemenangan besar Republikan pada tahun 1994, menyifatkan keputusan pilihan raya pada hari Selasa itu, “penolakan paling besar terhadap Rumah Putih sejak tahun 1932” apabila Parti Republikan di bawah Herbert Hoover,  kehilangan 100 kerusi.
Pilihan Raya Separuh Penggal Amerika Syarikat yang berlangsung 2 November lalu  sarat   dengan  tinjauan pendapat, sebilangannya bersifat memihak kepada parti yang bertanding, manakala sebilangan lagi berkecuali.  Pilihan raya itu melibatkan perbelanjaan yang cukup besar, iaitu  boleh mencecah  AS$4 bilion,  jauh lebih tinggi daripada perbelanjaan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2006 yang menelan belanja AS$2.85 bilion.  Perbelanjaan ini dijangkakan  boleh mengaburi perbelanjaan AS$4.14 bilion dalam kempen Presiden tahun   2004.   Selain itu, derma untuk sesetengah  calon yang bertanding, terutamanya Republikan,  datang mencurah-curah, antaranya daripada  Karl Rove   dan  Ed Gillespie yang menyumbang hampir AS$100 juta, tetapi berbaloi.   Namun begitu, pesan seorang ibu dalam iklan Maybank bahawa “wang bukan segala-gala”  ternyata benar apabila calon Republikan untuk jawatan gabenor California, iaitu  Meg Whitman  berbelanja wangnya sendiri,  AS$140 juta,  tetapi tewas.
Semasa kempen berjalan rancak, orang ramai sibuk dengan  ramalan  tentang kemenangan dan kekalahan, lalu tinjuan pendapat sering mendapat perhatian mereka.   Selepas keputusan diketahui, orang  ramai   tertumpu pada  sebab-musabab kekalahan dan kemenangan calon atau parti yang bertanding.    Meskipun  memang telah dijangkakan, namun menurut pemerhatian,  “masih terkejut melihat para pengundi mengaibkan Presiden muda yang  bijak  dan mempesonakan, yang pada mulanya,  banyak persamaannya dengan Kennedy.” 
Setelah melalui malam yang panjang, Presiden Barack Obama muncul dalam    sidang akhbar di Rumah Putih.  Dalam keadaan muram, beliau   memberitahu  bahawa beliau mengambil “tanggungjawab langsung”  lantaran  rasa kecewa  para pengundi, terutamanya tentang ekonomi.  Beliau    bermula dengan:  “Sesetengah malam pilihan raya lebih menyeronokkan berbanding dengan yang lain.”   Pada penghujungnya, beliau mengakui bahawa “tumpas”  merupakan pengalaman yang perlu dipelajari, sesuatu yang kebanyakan Presiden, misalnya Bill Clinton dan Ronald Reagan, terpaksa merasakan kesakitannya. 
Walau bagaimanapun,  Obama  enggan mengakui  bahawa  revolusi Republikan merupakan penolakan secara meluas terhadap dasar pentadbirannya.  Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa para pengundi lebih berasa marah terhadap kurangnya kemajuan dari segi menggubal dasar yang berkesan, dan tanggapan bahawa “perniagaan seperti biasa di Washington tidak berubah.”  Mesej Obama dilihat tidak banyak berbeza dengan  George Bush, Presiden ketika itu, yang  memberitahu wartawan pada tahun 2006  selepas Demokrat menguasai Kongres dan mengakui partinya  merasakan kesakitan “kena tumbuk.” 
Demokrat menguasai Rumah Putih, dan sebelum ini,  menguasai Kongres, iaitu Dewan Perwakilan dan Senat,  juga mempunyai kekuatan dari segi kewangan dan pengalaman strategi,  dan oleh itu, amat daif untuk berkata bahawa  mereka   tidak dapat mengesan bahaya yang mendatang.  Apabila sebelum ini  calon Demokrat tewas di tangan Republikan dalam Pilihan Raya Gabenor di New Jersey dan Virginia, dan yang lebih menonjol,  apabila  kerusi senator  Massachusetts  yang ditinggalkan oleh mendiang Edward Kennedy,  jatuh ke tangan Republikan, pastinya  dari kejauhan, mereka dapat melihat  bahawa tsunami,  atau paling tidak, ribut  taufan yang akan melanda.
Kalah teruk, sebahagian besar puncanya dilemparkan  terhadap Presiden Barack Obama. “Ya, kita  boleh”  dipersendakan   oleh  “Oh,  tidak, anda  tidak boleh.”   Jika pada tahun 2008 dahulu – ketika memenangi Pilihan Raya Presiden,  terkenal dengan “detik Obama,” kini   “menumpaskan (shellacking) Obama” menjadi mainan media.  Gambaran media yang sebelum ini  mengagumi Obama, “Near-Flawless Run is Credited in Victory,”  beralih kepada kejayaan  Republikan,    “Democrats Outrun by a Two-Year Comeback Plan.”  
Sedikit sebanyak kelemahan peribadi atau personaliti Obama menjadi faktor kekalahan Demokrat.  Ada yang berkata,  beliau  menghadapi masalah populisme: bersikap suka menyendiri dan berunsur intelektual.  Beliau tidak mempunyai bakat  Bill Clinton untuk empati politik. Beliau juga tidak mendampingi golongan yang marah, iaitu perasaan kecewa di Amerika.  Jika Obama  berharap untuk bangkit daripada kekalahan Demokrat dalam  Pilihan Raya Separuh Penggal,  beliau perlu lebih mendendangkan nada populis. Selain itu, Obama didapati menghadapi masalah penampilan  personaliti seolah-olahnya  beliau  hidup dalam dua alam:     Republikan dan gerakan Tea Party menuduh beliau terlalu liberal, dan tuduhan ini dilanggan oleh para pengundi, sedangkan sebilangan cerdik pandai politik menganggap liberal yang dicapai selama 20 tahun  terpadam 20 bulan di bawah Obama.
Sesungguhnya, tidak sukar bagi orang awam, apatah lagi cerdik pandai politik untuk mencari sebab-musabab kekalahan Demokrat yang cukup tragik  dalam setiap kumpulan demografik: “referendum terhadap Presiden Obama dan Kongres yang dikuasai oleh Demokrat dalam keadaan ekonomi yang cukup lemah yang berpanjangan.” Kali ini,  kitaran pilihan raya yang sukar terpaksa ditempuhi oleh Demokrat, sebagaimana yang dialami oleh Republikan pada tahun 2008, iaitu ekonomi yang suram. Para pengundi bebas yang pada tahun 2006  yang kebanyakannya mengundi Demokrat dan turut membantu menamatkan penguasaan Republikan dalam Dewan Perwakilan dan Senat selama 12 tahun, telah berpaling tadah dalam pilihan raya baru-baru ini.
Berita ekonomi yang terus suram, antaranya kadar pertumbuhan yang rendah, iaitu sekitar dua peratus dan kadar pengangguran yang tinggi, iaitu 9.6 peratus, tidak dapat tidak, akan membawa kesuraman kepada Demokrat.  Sejak Presiden Obama menduduki  Rumah Putih, boleh dikatakan banyak ahli ekonomi dan cerdik pandai politik yang tidak henti-henti mengingatkan supaya pentabirannya memberikan lebih  perhatian terhadap   pewujudan peluang pekerjaan:  apabila dapur tidak berasap, perut kurang diisi, orang akan meluahkan  kemarahan mereka melalui peti undi. 
  Pada tahun 2009, Rumah Putih, seperti yang diperhatikan,  memandang rendah terhadap kemusnahan ekonomi, pada tahun 2010, Demokrat terpaksa membayar harga yang cukup tinggi.  Pilihan Raya Separuh Penggal  memperlihatkan kebenaran  yang  sangat  mudah, iaitu kalau pengangguran hampir digit berganda, Demokrat akan menerima padah.  Tinjauan pendapat keluar mendapati bahawa hampir sembilan daripada 10 pengundi percaya bahawa ekonomi dalam keadaan yang teruk.  Peratusan yang sama berkata bahawa mereka berasa pesimistik tentang masa depan ekonomi Amerika.  Dari beberapa segi, Pentadbiran Obama    sebenarnya kurang seiringan dengan Wall Street, seperti pelaksanaan pembaharuan kewangan, tetapi yang anehnya, Demokrat menerima pukulan yang teruk daripada Main Street.
Meskipun majoriti besar masih percaya bekas Presiden   Bush patut dipersalahkan kerana menghumbankan mereka ke dalam keadaan kucar-kacir,  mereka jelas berkata bahawa Presiden Obama “tidak boleh cuci tangan.”  Mereka memaklumi  bahawa Bush menyebabkan keadaan ekonomi yang  berkecai, tidak perlu diungkitkan lagi,  tetapi Obama  tidak boleh asyik menuding jari.  Beliau kena bertanggungjawab dan  bukannya sekadar memandang rendah hanya   bagaimana boleh  berlaku. 
Pada  masa yang cukup mendesak ini, rakyat memerlukan individu yang komited dan  penuh semangat untuk menerajui negara, maka dikatakan  inilah masa untuk Obama bermandikan  peluh seperti kuda lumba, dan bukannya seperti guru sekolah hari  Ahad yang berhati-hati  tidak ubah  seperti  kanak-kanak belajar bertatih. Dalam hubungan ini, Nicholas D. Kristof yang menulis dalam akhbar The New York Times berasa bahawa negara pergi terlalu jauh menyalahkan kemuraman ekonomi terhadap Obama hingga gagal memberikan penghargaan kepada  kejayaan  beliau  mengelakkan berlakunya satu lagi Kemelesetan Besar. 
“Obama,”  tulis  Kristof,  “tidak mengumpulkan hujah yang bergema dalam kalangan penerima faedah dasarnya:  pembaharuan penjagaan  kesihatan, pakej rangsangan, dan penyediaan pekerjaan kepada yang sangat memerlukannya.”  Beliau berasa hairan mengapa Obama tidak banyak menggunakan pernyataan Mario Cuomo:  “Kita  berkempen dalam puisi, kita memerintah dalam prosa.”  Justeru,  Kristof memberikan tunjuk ajar  yang panjang lebar kepada  Obama:  “Prosa  tidak   perlu hambar sebagaimana Harvard Law ReviewKita tidak kisah didendangkan  oleh rangkap puisi sekali-sekala.”  Dengan  menyanjung Bill Clinton sebagai tutor yang hebat,  beliau mengingatkan jika Obama ingin berhubung dengan para pengundi, beliau mesti menghadapi krisis ekonomi secara emosi, di samping secara intelektual.
Bagi yang bersimpati,  ada yang berhujah bahawa   walau apa-apa pun pandangan seseorang terhadap Presiden Obama, sesungguhnya, beliau secara berkesan menyelamatkan kapitalisme. Dan kerana itu, beliau terpaksa  membayar harga politik yang sangat teruk. Untuk menyelamatkan bank-bank  yang bergelut dengan kemuflisan memerlukan perbelanjaan yang cukup besar.  Demikian juga  untuk mengeluarkan ekonomi daripada terjebak dalam kemelesetan yang dalam dan lama.  Pastinya, untuk   melaksanakan pelan penyelamat dan pakej rangsangan, negara terpaksa menanggung defisit yang besar.  Malangnya, kebanyakan rakyat Amerika bukan sahaja  mempunyai memori yang pendek, bahkan juga membiarkan diri mereka diperdaya oleh Republikan dan gerakan Tea Party,  antaranya  Kerajaan Besar.
Oleh sebab pilihan raya kali ini pada asasnya tentang ekonomi yang teruk,  sedangkan Parti Republikan selain melontarkan kritikan,  tidak mengemukakan alternatif, maka ada yang berpendapat  bahawa parti itu tidak patut  menang.   Namun begitu,   dengan  penglibatan Karl Rove dalam mengatur  strategi untuk Republikan, seseorang dapat mengagak kelicikan beliau seperti yang pernah  disebut oleh George Soros, “memanipulasi kebenaran sebagai pendekatan lebih hebat dan unggul”  yang    menghasilkan kemenangan untuk parti itu.
Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times mengkritik orang yang menuduh Presiden Obama tidak fokus terhadap ekonomi sebagai “intelektual pengecut.”  Secara sinis,    Krugman  dalam makalahnya, “The Focus Hocus-Pocus” apakah fokus yang perlu dilakukan oleh Obama:  melaksanakan pakej rangsangan yang lebih besar?  Bertindak tegas terhadap bank-bank?  Atau beliau perlu pergi ke sana ke mari, bergeger hingga berkerut dahi, “saya fokus, saya fokus.”  Bagi beliau, masalah Presiden Obama bukannya kurang fokus, tetapi kurang  keberanian, kurang kelancangan.  Kurang yakin pada diri sendiri.
Setelah menyedari  pada akhir tahun 2009 bahawa pakej rangsangan bersaiz sederhana itu tidak memadai, bahas Krugman, Obama sepatutnya menjelajah ke seluruh pelosok negara dan memberitahu, “Presiden sebelum saya meninggalkan ekonomi dalam keadaan yang amat teruk, kemudian kita baru sedar, dan kita memelukan tindakan selanjutnya.”  Malangnya, tulis Krugman , “Obama  tidak berbuat demikian.  Sebaliknya, beliau dan pegawai-pegawainya terus-menerus mengatakan bahawa pelan mereka adalah betul, yang merosakkan kredibiliti mereka, bahkan meletakkan ekonomi dalam keadaan lebih teruk.”
Secara munasabah dan objektif, Joe Klein  membahaskan bahawa   Demokrat dan  Presiden mencapai sesuatu yang lebih daripada yang dijangkakan pada tahun ini.  Mereka mencapai yang lebih baik daripada Bill Clinton pada tahun 1994 yang kalah  kedua-duanya, iaitu Dewan Perwakilan dan Senat, meskipun pengangguran adalah kecil, iaitu 5.6 peratus.  Walau bagaimanapun, Klein yang menulis dalam majalah Time membuat pemerhatian yang tepat bahawa prestasi Parti Demokratik pada tahun ini merupakan satu daripada yang lebih membingungkan,  dan pengecut, dalam memori.  “Lazimnya, parti politik kalah apabila parti itu gagal melaksanakan tugasnya.  Sebaliknya, Demokrat kalah kerana mereka berjaya melaksanakan apakah yang mereka janjikan sejak berdekad-dekad.  Mereka bermula dengan pembaharuan penjagaan kesihatan, dan kemudian lari  meninggalkan  kejayaan mereka.”
Setelah akur dengan keputusan pilihan raya itu dan muhasabah diri, dan di sana sini, orang membandingkan Presiden Barack Obama dengan Bill  Clinton, maka  adakah Obama juga akan mengukir kejayaan yang sama?  Untuk itu, John Cassidy yang menulis dalam The New Yorker memberikan kupasan dan persoalan yang cukup menarik:   Yang berlaku  pada malam 16 tahun lalu mempunyai keselarian dengan yang berlaku pada malam 2 November  2010 dari segi kerusi yang dimenangi oleh Republikan untuk Dewan Perwakilan dan Senat.  Akibat kekalahan itu, banyak pengulas menulis obituri mereka, hanya melihat  pasukan Clinton  bingkas dan mengalahkan Bob Dole dengan teruk dalam  Pilihan Raya Presiden tahun 1996.
Cassidy, penulis yang berwibawa dan selalu dipetik, tidak menolak kemungkinan Presiden Obama bangkit semula selepas dibantai dengan teruk.  Bergantung pada jawapan kepada tiga lagi soalan, tegas beliau, “adakah Obama mempunyai kemahiran politik Bill Clinton?  Akan binasa sendirikah Republikan?  Apakah yang akan terjadi terhadap ekonomi?” 
(Nota:  Tulisan asal  makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Disember 2010.)


No comments:

Post a Comment