Pages

Wednesday, February 15, 2012

Dilema Kuasa Yahudi

RABU,  15  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Paluan gendang perang Israel semakin gamat.  Selain menuduh  Teheran  membina program nuklear yang  mengancam Israel, justeru, Iran wajar diserang, Tel Aviv menyalahkan Iran berhubung dengan serangan bom terhadap staf kedutaannya di India dan Georgia.  Apabila orang Iran meletupkan kakinya di Bangkok semalam, Tel Aviv sekali lagi menuduh Iran melancarkan keganasan.  Sebelum melancarkan serangan,  Israel berusaha menggambarkan bahawa Iran melancarkan perang terselindung.   

Sementara itu,  The Washington Post melalui editorial, mengesorkan Pentadbiran Obama menyatakan pendirian yang jelas bahawa Amerika Syarikat bersedia untuk mengambil tindakan ketenteraan jika Iran terbukti membina bom nuklear. 

Di Malaysia, berikutan "perisytiharan Kuala Lumpur" bahawa "saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel," maka tercetus  polemik tentang Israel, bahkan berlaku  tuduh-menuduh antara pihak yang bertelagah, "siapakah yang lebih menyanyangi Israel?"    Ada kalanya  polemik yang berpanjangan  ini dikelirukan dan dicelarukan dengan membangkitkan tiga perkara yang dijadikan sasaran: negara Israel, rejim Zionis, dan orang Yahudi.  

Sesungguhnya, apa-apa sahaja pendirian atau pandangan yang melibatkan Israel, sama ada konteks penyelesaian   "sebuah negara" ataupun "dua buah negara"   boleh mengundang kontroversi.  Demikian juga mereka yang dianggap tidak memihak kepada Israel, mereka   terpaksa berhadapan dengan "Likudnik Paranoia" seperti yang pernah diperkatakan  oleh Joe Klein  dalam Time.

Pada awal tahun lalu, Palestine Papers pernah mendedahkan bagaimana Israel memperlakukan dan menganiaya penduduk Palestin, termasuk rancangan untuk mengusir mereka.  Malangnya, pendedahan oleh al-Jazeera ini tidak mampu menarik perhatian umum yang berpanjangan kerana tiba-tiba tercetus Pemberontakan Arab.

Dua hari lalu, Roger Cohen menulis dalam kolumnya, "The Dilemmas of Jewish Power," memetik buku terbaharu  Peter Beinart, The Crisis of Zionism  yang menolak manipulasi victimhood orang Yahudi atas nama dominasi Israel terhadap rakyat Palestin dan menegaskan bahawa isu sebenar untuk orang Yahudi hari ini bukannya cabaran kelemahan, tetapi tuntutan terhadap kuasa.  Kuasa itu, selama 45 tahun digunakan terhadap berjuta-juta rakyat Palestin yang dinafikan hak kewarganegaraan dan semua orang yang diduduki yang diaibkan.

Tegas Beinart,  memang mudah menyalahkan rakyat Palestin kerana perpecahan, tetapi sikap tuding jari itu lebih boleh dipercayai jika kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menunjukkan paling minat terhadap perdamaian, tetapi tidak menunjukkan minat itu.  Beinart mencatatkan "Israel tidak mempunyai masalah perhubungan awam; Israel mempunyai masalah dasar.  Anda tidak boleh menjual pendudukan pada zaman pascakolonial."  

Pendudukan yang berpanjangan untuk selama-lamanya, bermakna, seperti yang pernah dinyatakan oleh Presiden Barack Obama adalah bahawa "impian negara Yahudi dan demokratik tidak dapat dipenuhi."

Dalam tulisan itu, Cohen memetik kata-kata Beinart yang Netanyahu dan organisasi orang Yahudi Amerika abaikan, "Zionisme yang kurang demokratik menjadi amalan, banyak orang di seluruh dunia akan mempersoalkan kesahan Zionisme itu sendiri."  Beinart jug menyatakan dengan betul bahawa Israel ialah demokrasi dalam garisan hijau "tetapi di Tebing Barat, Israel ialah etnokrasi, tempat orang Yahudi mendapat kewarganegaraan dan rakyat Palestin tidak mendapat kewarganegaraan."

Membaca keseluruhan tulisan Cohen yang banyak memetik Beinart, nyata bahawa tidak semua orang, termasuk orang Yahudi sendiri  bersetuju dengan dasar Tel Aviv yang dianggap menyimpang daripada impian Zionis dan tidak henti-henti menzalimi rakyat Palestin.  Daripada tulisan itu juga  kita dapat menyimpulkan bahawa  tidak wujud isu keselamatan Israel kerana Israel sendiri yang menyusahkan dirinya, membayangkan dirinya menjadi mangsa, dan hidup terancam. 

Perlu diakui bahawa tidak semua orang Yahudi memusuhi rakyat Palestin, dan tidak semua orang Yahudi bersetuju dengan dasar Tel Aviv.  Perlu juga diakui bahawa tidak semua rakyat Palestin beragama Islam, meskipun kita di Malaysia, sering menggambarkan masalah Palestin adalah masalah Islam.  

Tidak kurang juga orang Yahudi yang terhutang budi kepada orang Arab yang menyelamatkan keluarga Yahudi daripada kekejaman Jerman ketika Perang Dunia Kedua. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Eva Weisel yang menulis "Honoring All Who Saved Jews" dalam The New York Times pada akhir tahun lalu. Eva Weisel yang menggesa agar Yad Vashem memberikan pengiktirafan kepada Khaled Abdul Wahab, Muslim Arab di Tunisia, yang menyelamatkan dirinya dan keluarga, menulis "Saya tahu bahawa saya dapat hidup lama, hidup penuh kerana Abdul Wahab yang berani menghadapi kejahatan dan menyelamatkan saya, sebagaimana beliau menyelamatkan anggota lain yang bernasib baik dalam keluarga saya."


1 comment:

  1. Ya sekali lagi isu Israel mendominasi ruang suara di Malaysia

    ReplyDelete