Pages

Wednesday, January 11, 2012

Ditemui dalam Terjemahan

RABU,  11 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Martin Ford menulis dalam akhbar The Washington Post pada pertengahan September lalu bagaimana supercomputer IBM dapat meningkatkan penjagaan kesihatan. Merujuk komputer itu “Dr.  Watson,”  Ford menulis, “Berapa lama lagi anda mungkin berjumpa Dr.  Watson?  Dan mampukah Dr.  Watson menjadi lebih baik daripada doktor anda?”   Pastinya, pertanyaan itu bertujuan untuk menunjukkan kehebatan dan kecanggihan komputer yang mampu mengatasi kebijakan manusia.  Perkara ini dijelaskan oleh Ford:  Watson boleh menggodak  berjuta-juta sejarah kes untuk mempelajari apakah diagnosis berkemungkinan betul dan apakah rawatan yang paling berkesan.  Sistem tersebut boleh secara hampir serta-merta memproses buku teks perubatan, rekod perubatan elektronik dan penyelidikan yang diterbitkan terkini.
            Sekali lagi, komputer berjaya mencipta kejayaan yang besar, iaitu dalam bidang perubatan yang mungkin tidak pernah dibayangkan oleh kebanyakan manusia.  Demikian juga terjemahan yang selama ini menggunakan kemahiran dan kebijakan manusia, dapat dilakukan melalui Web, seperti  diperkenalkan oleh Google  pada April 2006 untuk bahasa Arab,   kini boleh didapati untuk bahasa lain, termasuk bahasa Melayu.  Terjemahan Google  (Google Translate), menurut codediesel:  web development journal, merupakan perkhidmatan yang menarik.  Bukan hanya anda boleh melakukan terjemahan bahasa, tetapi anda juga boleh mengesan bahasa teks tertentu.
       Menurut http://translate.google.com/about/index.html, Terjemahan Google merupakan  perkhidmatan terjemahan percuma yang menyediakan terjemahan serta-merta antara 58 bahasa.  Perkhidmatan ini dapat menterjemahkan perkataan, ayat, dan laman web antara mana-mana gabungan bahasa kita yang disokong.  Dengan Terjemahan Google, dijangkakan maklumat boleh diakses dan digunakan secara universal, tanpa mengira bahasa yang maklumat itu ditulis. Apabila Terjemahan Google menjanakan terjemahan, maka perkhidmatan  itu melihat pola dalam beratus-ratus juta dokumen untuk untuk membantu memutuskan terjemahan  yang terbaik.  Dengan mengesan pola dalam dokumen yang telah pun diterjemahkan oleh penterjemah manusia, Terjemahan Google boleh membuat kepintaran mengagak apakah terjemahan yang sesuai yang sepatutnya.  Proses mencari pola dalam amaun teks yang besar dikenali “terjemahan mesin  statistik.”  Oleh sebab terjemahan dijanakan oleh jentera, tidak semua terjemahan akan menjadi sempurna.  Lebih banyak dokumen yang diterjemahkan oleh manusia yang Terjemahan Google dapat analisis dalam bahasa spesifik, maka lebih baik kualiti terjemahan. Inilah sebabnya ketepatan terjemahan aka ada kalanya berbeza merentas bahasa.
         Akhbar The Independent kira-kira dua bulan lalu, memetik buku David Bellos, Is That a Fish in Your Ear:  Translation and the Meaning of Everything bahawa menggunakan perisian yang pada asalnya dibangunkan pada tahun 1980-an oleh para penyelidik IBM, Google mencipta alat terjemahan automatik yang berbeza sama sekali dengan yang lain.  Alat yang dicipta oleh Google tidak berasaskan prandaian usaha terjemahan mesin yang awal, maksudnya alat ini bukannya algoritma yang diciptakan hanya untuk memetik makna penyataan daripada sintaks dan perbendaharaan katanya.
       David Bellos,  yang kemudiannya  dipetik meluas,  menjelaskan bahawa bahkan, pada dasarnya, alat itu yang dikenali Terjemahan Google, tidak berurusan dengan makna sama sekali.  Terjemahan Google mengambil penyataan bahasa sebagai sesuatu yang berkemungkinan dikatakan atau dituturkan sebelum ini  dan bukannya mengambil penyataan itu sebagai sesuatu yang memerlukan mentafsirkan kod. Terjemahan Google menggunakan kuasa pengkomputeran yang sangat besar untuk memancutkan Internet dalam kerdipan mata, mencari penyataan dalam beberapa teks yang wujud di sebelah terjemahan yang dijadikan pasangannya.
 Terjemahan Google, seperti yang dinyatakan oleh Bellos,  mempunyai keistimewaan yang luar biasa, antaranya mengimbas korpus semua kertas yang dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah sejak tahu 1957 dalam dua dozen bahasa, segala-gala yang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensinya pernah lakukan dalam penulisan dalam enam bahasa rasmi, dan amaun besar bahan lain, daripada rekod tribunal antarabangsa kepada laporan syarikat dan semua makalah dan buku dalam bentuk dwibahasa yang dimasukkan pada laman web oleh individu, perpustakaa, penjual buku, pengarang,dan jabatan akademik.
Melakarkan pola padanan yang setia wujud, jelas Bellos, antara berjuta-juta dokumen yang menjadi pasangan ini,  Terjemahan Google menggunakan kaedah statistik untuk mengeluarkan versi yang paling mungkin boleh diterima apa yang dikemukakan kepadanya.  “Secara keseluruhannya, cara ini boleh dilakukan.  Memang menakjubkan.  Dan Terjemahan Google lebih banyak bertanggungjawab terhadap suasana  (mood) optimisme baru tentang prospek untuk ‘terjemahan mesin kualiti tinggi berautomasi sepenuhnya’.”
Tidak kurang menakjubkan ialah Terjemahan Google mempelopori terjemahan daripada satu kepada satu bahasa yang lain yang daris segi sejarah, tidak pernah berlaku antara bahasa berkenaan, misalnya daripada bahasa Iceland kepada bahasa Parsi, daripada bahasa Yiddish kepada bahasa Vietnam, dan berbelas-belas bahasa lagi, meskpun tidak ada teks yang dijadikan pasangan pada laman web atau tempat lain.
Terjemahan menjadi lebih mudah jika sesuatu bahasa pernah diterjemahkan ke dalam bahasa yang lain, seperti yang diberikan contoh oleh Bellos, “bilangan yang agak novel detektif bahasa Inggeris, misalnya kemungkinan diterjemahkan ke dalam bahasa Iceland dan bahasa Parsi.”  Justeru, terjemahan ini menyediakan bahan yang banyak untuk mencari padanan antara ayat dalam dua bahasa asing itu.  Sebaliknya, karya klasik Parsi diterjemahkan ke dalam bahasa Iceland pastinya terlalu sedikit, bahkan termasuk karya itu yang diterjemahkan mengikut cara pangsi, seperti  bahasa Perancis atau  Jerman.
Terjemahan yang dihasilkan oleh Terjemahan Google muncul dengan sendirinya pada laman Web dan menjadi sebahagian korpust yang Terjemahan Google imbas, mengeluarkan gelung maklum balas yang memperkukuh kemungkinan bahawa terjemahan asal Terjemahan Google boleh diterima.  Akan tetapi, jelas Bellos, “Terjemahan Google juga membekalkan khidmat untuk penterjemah manusia kerana Terjemahan Google selalu menanyakan pengguna untuk mencadangkan terjemahan yang paling baik berbanding dengan yang disediakannya.”
Bellos mengakui kata-kata yang tidak bermakna yang dihasilkan melalui mesin, tetapi hujah beliau, jenis kata-kata yang tidak bermakna yang dihasilkan oleh terjemahan mesin biasa kurang bahaya jika dibandingkan dengan kesilapan bersumber manusia.  “Anda boleh biasanya melihat serta-merta apabila Terjemahan Google gagal mendapatkan terjemahan yang betul kerana outputnya tidak bermakna, dan dengan itu, tidak mempedulikannya.
Buku Bellos yang baru itu, seperti yang diulas  dalam The Economist keluaran September lalu,  bukan sekadar tentang terjemahan sastera.  Buku itu sebenarnya tentang semua jenis terjemahan, dan pentingnya kraf yang tidak diiktirafkan itu, daripada pembacaan arahan flat-pack IKEA kepada mengumpulkan berita dunia, terjemahan jenaka, kesukaran dan tekanan politik tafsiran serentak, dan banyak lagi.  Dalam samaran  buku tentang terjemahan ini merupakan sejarah budaya yang asalnya kaya, perjalanan dari hari apabila orang Greece hanya melupakan bahasa lain dan orang Rom memaksa semua rakyat jelata supaya belajar bahasa Latin, kepada Terjemahan Google.
Bermula dengan persoalan yang kelihatan mudah:  Apakah terjemahan?  Apakah yang penterjemah lakukan?  Apakah kemampuan ini memberitahu kita tentang masyarakat manusia?  Bagaimana fakta terjemahan berkait dengan bahasa secara umum?  Namun, semua persoalan tersebut tidak mempunyai jawapan yang jelas, iaitu nuansa terjemahan dan jangkaan budaya yang diletakkan padanya kelihatan tanpa kesudahan. Bellos menjelaskan bahawa untuk berabad-abad, mungkin alaf, dunia tanpa terjemahan.  Manusia daripada bangsa yang berbeza hanya sekadar mempelajari bahasa sebelah rumah untuk berkomunikasi dengan cukup.  Marco Polo menggunakan campuran bahasa untuk menjelaskan pengembaraannya, kemungkinan tanpa menyedarinya bahawa banyak bahasa itu ialah “asing.”
Dalam keluaran pertengahan Disember tahun lalu, The Economist  muncul dengan “The Future of English” yang mengulas  buku Nicholas Ostler The Last Lingua Franca: English Until the Return of Babel Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling berjaya dalam sejarah dunia. Bahasa ini dituturkan di setiap benua, dipelajari sebagai bahasa kedua oleh murid-murid, dan merupakan alat sains, perniagaan global,  dan budaya popular.  Banyak orang berfikir bahasa Inggeris akan tersebar tanpa kesudahan.  Ostler  membahaskan bahawa bahasa Inggeris berkembang sebagai lingua-franca, tetapi bukan sebagai bahasa ibunda.  
Bagi beliau, dua  faktor baru, iaitu nasionalisme moden, seperti yang berlaku di negara bekas tanah jajahan,  dan teknologi menyekat penyebaran bahasa Inggeris.  Bahasa Inggeris akan pudar sebagai lingua-franca, hujah Ostler, “tetapi bukan kerana beberapa bahasa lain akan menggantikan bahasa ini.”  Meskipun bahasa Inggeris tiada pengganti kerana tiada  satu yang akan diperlukan,  teknologi akan memenuhi keperluan.  Teknologi yang beliau maksudkan itu ialah kemajuan yang pesat dalam terjemahan berkomputer dan pengenalpastian pertuturan.
Ostler pasti betul, bahas The Economist tentang nasionalis yang membataskan penyebaran bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda.  “Jika beliau betul tentang teknologi juga, generasi akan datang akan melihat bahasa Inggeris seperti sesuatu semacam seni khat atau Latin:  bermartabat dan tradisional, tetapi semakin tidak diperlukan.”
Komputer banyak memudahkan kerja manusia, dan secara lebih khusus,  Terjemahan Google memudahkan kerja terjemahan.  Sedikit demi sedikit, tugas manusia yang dilakukan oleh manusia selama ini, digantikan dengan komputer.  Dengan kemajuan pesat dalam terjemahan berkomputer, seperti yang cuba diketengahkan  oleh  Nicholas Ostler, keperluan terhadap  bahasa Inggeris  akan terhakis.
Mungkin satu peringatan yang sukar diterima oleh pendukung bahasa Inggeris di negara kita, atau mungkin mereka tidak menyedari hakikat tersebut, meskipun mereka sentiasa mendakwa mereka berpandangan global.  Lebih menarik lagi, ialah majalah yang memuatkan ulasan buku tersebut ialah majalah antarabangsa yang terkenal yang nampaknya bersetuju dengan jangkaan Ostler itu.   

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa November 2011 dengan judul, "Hanya dalam Terjemahan."  Tajuk yang dinyatakan di atas ialah tajuk asal tulisan ini.)

No comments:

Post a Comment