Pages

Sunday, December 18, 2011

Terapi Ikan

AHAD,  18  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ahad dua minggu lalu, saya bersama-sama anak saya ke Bukit Bintang.  Selepas menikmati beriani tarbus anak lelaki saya itu dengan urusannya, saya ke Lot 10, meluangkan masa di National Geographic yang telah pun saya kunjungi beberapa kali sebelum ini. Agak lamanya saya di sana membaca majalah National Geographic hingga hampir-hampir terlelap. 

Ketika keluar dari tandas yang terletak di tingkat yang sama untuk ke National Geographic semula saya terpandang Herbaline yang mempromosikan terapi ikan dengan bayaran RM38 untuk setengah jam.  Timbul keinginan untuk mencuba terapi ikan untuk kaki.  Sebenarnya, saya pernah melihat perkhidmatan sedemikian di pusat beli-belah. Meskipun bayarannya lebih murah, saya keberatan menggunakan perkhidmatan itu kerana dari segi kebersihan.  Air ditakung di dalam tangki, dan sesiapa yang ingin menggunakan perkhidmatan itu terus memasukkan kakinya ke dalam tangki itu. 

Sebaliknya, di Herbaline di Lot 10, kaki pelanggan dibasuh oleh petugas terlebih dahulu dan kemudian pelanggan sendiri mengiringkannya dengan tuala.   Dengan menggunakan selipar yang diberikan, pelanggan beredar ke tempat terapi ikan itu.  Air dalam takungan tempat ikan-ikan  berkeliaran bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan, sentiasa mengalir.  


Selama setengah jam saya membiarkan ikan-ikan kecil berkerumun dan menggigit kaki saya, termasuk di celah-celah kaki.  Terasa seronok juga menerima rawatan seperti itu mungkin persekitarannya menarik.   Setelah selesai dan ketika membayar, saya bertanyakan petugas dari mana datangnya ikan-ikan  ini, jawapannya dari Turki.  

Saya sekadar ingin mencuba, dengan itu, harapan saya untuk rawatan seperti ini tidaklah tinggi.  Sekadar relaks dan  "bermain-main" dengan ikan-ikan kecil.  Pulang ke rumah saya memberitahu isteri saya  dan anak sulung saya dan isterinya.  Anak sulung saya memberitahu saya bahaya jangkitan yang mungkin berlaku melalui terapi ikan kerana ikan-ikan  berkenaan merawat  banyak pelanggan yang mungkin mempunyai penyakit tertentu. 

Walau bagaimanapun, hari ini, ketika membaca The Independent dalam talian, saya terpandang "More Money Than Sense!  What to Get Those Who Have Everything."  (Nota:  Saya tidak mempunyai segala-galanya.)   Seandainya  akhbar itu tidak memuatkan gambar terapi ikan, besar kemungkinannya saya terlepas pandang. Antara yang diketengahkan ialah kebimbangan kebersihan air di dalam tangki, tetapi menurut sumber, risiko adalah rendah. 

Selain mesin yang mengurut manusia, ikan juga sedia berkhidmat.  Belum cuba belum tahu.

1 comment:

  1. Salam tuan,

    http://duniacacamarba.blogspot.com/2010/12/awas-rawatan-alternatif-ini-boleh.html

    ReplyDelete