Pages

Sunday, December 18, 2011

Bukit Bintang yang Kosmopolitan

AHAD,  18  Disember  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Tengah hari Sabtu semalam, saya meluangkan masa bersiar-siar di  kawasan Jalan Bukit Bintang.  Dari Sungei Wang ke Plaza Bukit Bintang ke Pavilion, orang ramai penah sesak di ketiga-tiga kompleks  beli-belah dengan promosi sambutan Hari Krismas.  Antara ketiga-tiga itu, Pavilion benar-benar meriah.  Perhiasan di halaman dan di dalamnya sungguh hebat lagi menarik.   sesuai dengan tarafnya sebagai "pasaran atasan."  

Saya meluangkan masa saya di  kedai buku Time yang terletak di tingkat atas - agak lama juga saya tidak ke sini, meninggalkan keluarga saya dengan urusan mereka sendiri. Kemudian, saya bertemu semula dengan isteri dan anak perempuan untuk ke Zara. 

Ketika kami  beredar untuk pulang, orang ramai, tempatan dan asing,  penuh sesak di halaman Pavilion melihat dan mengambil "pameran."  Melalui deretan restoran Timur Tengah di Jalan Bukit Bintang, bersetentangan dengan Lot 10, saya ternampak  orang  menjual jam tiruan di kaki lima Restoran Tarbus.  Semasa lalu dan singgah makan di restoran penjual  barang murahan  tiruan  ini belum kelihatan.  

Sudah beberapa kali saya melihat penjual menjual barang tiruan ini yang bagi saya merosakkan imej Jalan Bukit Bintang sebagai kawasan kosmopolitan.  Beberapa tahun lalu, saya melihat beberapa penjual menjual barang murahan di deretan Restoran Ship.  Melihat wajah mereka, saya yakin mereka orang asing, lalu timbul pertanyaan pada diri saya mengapa mereka boleh  "menjaja" dengan begitu bebas. 

Ketika melintas lampu isyarat  saya ternampak orang ramai berkerumun di hadapan Maybank,  melihat sesuatu yang pada suatu ketika di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Chow Kit, orang menjual ubat.  Akan tetapi, yang ini saya pasti bukan penjual ubat kerana saya sempat lihat di celah-celah kaki manusia dan ternampak seorang promoter. Meskipun bukan penjual ubat, Sekali lagi saya merasakan bahawa imej kosmopolitan  Bukit Bintang tercemar.  

Seterusnya, saya melalui kaki lima Bangunan Yayasan Selangor, saya terpandang beberapa orang peminta sedekah, lelaki dan wanita, dan beberapa orang gadis promoter produk.  Sementara di sudut bersebelahan, para   pelanggan menjamu selera di Starbuck dan kedai-kedai lain yang sederet. Melihat pengemis, sekali lagi saya terbayang tentang imej kosmopolitan.




Bukit Bintang sentiasa di hati saya kerana semasa bujang, bersama-sama kawan saya selalu juga mengunjungi The Ship pada waktu malam.  Kemudian, ketika saya berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah antara tahun 1997 hingga 2000, setiap kali saya ke DBP untuk menghadiri mesyuarat atau urusan lain, saya menginap di kawasan Bukit Bintang.  Maka, saya berkesempatan  untuk menikmati kehidupan malam di sini. 


Bagi saya, untuk menilai taraf sesebuah restoran, kompleks beli-belah, dan bukan sesebuah kawasan, lihatlah juga kepada para pengunjungnya. Melihat "tompok-tompok" di sana sini, apakah Bukit Bintang terus dikenali dengan kosmopolitanannya?    



No comments:

Post a Comment