Pages

Friday, September 16, 2011

Negara Luka, Rakyat Durja

JUMAAT,  16 September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Hari ini kita rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan  dan Hari Malaysia.   Namun, saya perlu menyatakan  bahawa saya tidak mengikuti dari awal Perutusan Khas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul sempena sambutan Hari Malaysia malam tadi.  Saya hanya sempat mengikuti bahagian akhir ucapan beliau. 

Sebagai generasi yang lahir sebelum merdeka, saya sempat menjalani hidup di bawah penjajahan atau kolonial British selama lima tahun. Jika tidak silap ingatan saya,   saya bersama-sama keluarga dan orang kampung menaiki motobot ke bandar Kuala Terengganu untuk menyambut kemerdekaan pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963.  Ketika itu,  pengangkutan kebanyakan melalui sungai, tidak seperti sekarang, yang lebih banyak menggunakan jalan raya.  

Di sini, saya tidak berminat mempolemikkan, sama ada Tanah Melayu, kemudian Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris ataupun tidak, seperti digembar-gemburkan sekarang ini.  Banyak penulisan tentang perkara ini, baik yang dihasilkan para sarjana tempatan, mahupun luar negara.  Sebagai orang yang terdidik dalam bidang sains sosial, saya berminat terhadap pembicaraan tentang penjajahan, kebijajahan, neokolonialisme,  dan pascapenjajahan atau pascakolonial, juga terhadap pembicaraan imperialisme,    yang berdasarkan analisis Marxis (jangan keliru, bukan ideologi Marxis!).  

Meskipun lebih setengah abad Tanah Melayu, kemudian Malaysia mencapai kemerdekaan, dari banyak segi, kita "gagal" dalam pembinaan bangsa (nation-building) jika dinilai pelaksanaan dasar nasional.  Yang jelas,  misalnya pelaksanaan bahasa kebangsaan yang kelihatan semakin berundur. Kita juga gagal memperkukuh negara bangsa (nation-state) yang kita bina, baik berpunca daripada faktor dalaman mahupun  faktor luaran, misalnya rempuhan globalisasi yang melemahkanya.  Banyak tonggak  pembinaan negara bangsa, kini menjadi lemah atau dilemahkan, bahkan dimusnahkan.

Institusi yang bertanggungjawab terhadap pembinaan  bangsa kebanyakan gagal memikul tanggungjawab mereka kerana kelemahan kepimpinan dan ketempangan pengurusan serta pentadbiran.   Tidak kurang juga  usaha terancang yang wujud dalam negara ini  yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melemahkan pembinaan  bangsa.  

Kehidupan harian rakyat jelata banyak diwarnai oleh politik dan debat murahan yang terlalu banyak untuk disenaraikan di sini, yang kesudahannya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada mereka.     Kita sering mendengar ahli politik bercakap tentang defisit belanjawan dan subsidi, tetapi mereka  tidak pernah muncul dengan gagasan untuk menanganinya.  Kita juga tahu bahawa Malaysia  mula  terheret ke kancah pertikaian agama, tetapi ahli politik lebih selesa dengan tindakan tuding jari - menyalahkan antara satu sama lain.  Kita juga mendengar ahli politik (termasuk juga ahli ekonomi) bercakap tentang Malaysia terperangkap dalam pendapatan pertengahan, tetapi berapa banyakkah yang begitu gigih bercakap tentang dasar upah minimum untuk para pekerja kita.  Kita juga melihat bagaimana golongan tertentu begitu rakus membolot kekayaan negara tanpa mempedulikan nasib, terutamanya Orang Asli dan bumiputera di Sabah dan Sarawak yang tidak berpeluang mendaki tangga kemajuan.  

Ringkasnya, selepas 54 tahun merdeka dan 48 tahun pembentukan Malaysia, kita hidup di sebuah negara yang luka, bumi yang tercemar, dan peradaban yang sedang runtuh. Punca utamanya adalah kerana ahli politik bukannya pembimbing atau penjaga yang baik. Kebanyakannya menampilkan diri mereka sebagai ahli politik populis yang menjadikan  negara, baik dari segi politik, mahupun ekonomi sebagai pertaruhan. Untuk mencari populariti politik, seseorang itu tidak perlu bersusah payah memikirkan dan memperkenalkan  gagasan atau dasar yang akan dilaksanakan, hanya memadai dengan dia “menggali kubur orang yang telah mati.”   

Bagi  rakyat jelata, mereka terpaksa bermuram durja terhadap apa-apa yang berlaku.  Mereka terperangkap dalam pertarungan politik yang menjijikan dan terheret ke dalam debat murahan yang memenatkan. 

Apakah Malaysia yang kita kenali kira-kira setengah abad masih wujud setengah abad berikutnya?  Untuk diri saya, saya berasa pesimis. Alasannya tidaklah perlu saya kemukakan kerana segala-galanya jelas kelihatan: kepincangan pembinaan bangsa dan keterhakisan  negara bangsa yang kian sukar untuk diselamatkan.  

Namun, saya berharap rasa pesimis saya itu hanya merupakan igauan ngeri saya  yang tidak akan menjadi kenyataan.  Begitulah hendaknya.  Saya juga berharap bahawa tidak ada orang yang bersetuju dengan saya tentang masa depan Malaysia. 

Harap-harap.       

No comments:

Post a Comment