Pages

Saturday, September 17, 2011

Krisis pasca-Lehman Brothers

SABTU,  17  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Christine Lagarde, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang baru menyeru agar diambil tindakan yang berani dan kolektif untuk melawan ekonomi global yang perlahan dan krisis hutang Eropah. "Kita pastinya hidup menerusi masa kebimbangan ekonomi yang besar," kata beliau semasa berucap di Woodrow Wilson Center, dua hari lalu.  "Betul-betul tiga tahun selepas keruntuhan Lehman Brothers, awan ekonomi kelihatan risau dan bergelora kerana aktiviti ekonomi global perlahan dan risiko trend ke bawah meningkat."   Beliau juga mengingatkan bahawa "pertumbuhan yang lemah dan kunci kira-kira yang lemah bagi kerajaan, institusi kewangan, dan isi rumah, saling membekalkan antara satu sama lain secara negatif, memarakkan krisis keyakinan dan menahan semula permintan, pelaburan, dan pewujudan pekerjaan."  Beliau menyebut ini putaran ganas yang bertambah kuat, dipercepatkan oleh "keadaan tidak dapat membuat keputusan dasar dan disfungsi politik."  

Untuk Eropah, Christine Lagarde berkata, negara yang bergelut dengan beban hutang yang besar mesti mengawal perbelanjaan kerajaan.  Dan, bank-bank perlu pertambahan modal, iaitu sumber institusi kewangan gunakan untuk menangani hutang lapuk.

Pastinya, bukan beliau sahaja membangkitkan krisis Eropah.  Robert J.  Samuelson yang menulis dalam The Washington Post membangkitkan bahawa satu lagi krisis perbankan muncul di Eropah.  Krisis perbankan Eropah dan "krisis" yang digunakan sedalam-dalamnya, bahas Samuelson, memberitahu kita berapa banyak dan berapa sedikit perubahan sejak bermulanya kacau-bilau kewangan global pada September 2008. "Ketika itu, orang ramai bimbang tentang daya maju bank-bank Amerika yang utama, sarat dengan sekuriti 'toksik' disokong gadai janji yang nilai sukar ditentukan.  Kini, orang ramai bimbang tentang bank-bank Eropah utama, sarat dengan bon kerajaan (kedaulatan) yang nilai sukari ditentukan."  Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa "kita bertimbang-timbang dengan krisis kewangan yang baru, bukannya seperti panik pasca-Lehman Brothers."

Justeru, krisis Eropah menjadi tumpuan, bahas Samuelson.  "Tiada seorang pun tahu berapakah nilai bon kerajaan dalam semua bank atau menjadi nilai pada masa hadapan.  Tiada seorang pun  benar-benar tahu berapa banyak perlindungan yang disediakan oleh modal dan berapa banyak modal ditambah mungkin diperlukan."  Memetik sumber daripada IMF, dianggarkan kira-kira AS$270 bilion yang bagi beliau, ketidakpastian adalah besar. Seterusnya, Samuelson membangkitkan apakah yang berlaku apabila banyak wang menjadi pertaruhan dan para pelabur tidak mengetahui apakah yang perlu tahu?  Beliau merujuk kepada episod untuk jawapan, iatu mereka panik.  


Dan, merumuskan "itulah sebabnya kombinasi hutang kedaulatan yang besar dan bank-bank yang mudah terjejas boleh mencetuskan krisis kewangan.  Untuk memulihkan keyakinan, bank-bank Eropah perlu meningkatkan modal, tetapi langkah ini tidak mudah."  Namun, untuk meninggalkan masalah ini tanpa penyelesaian, seperti orang Eropah lakukan sekarang, boleh mengembalikan kita kepada musim luruh 2008.

Krisis Eropah, seperti yang dibahaskan oleh Fareed Zakaria, tidak lagi krisis Eropah kerana krisis ini dengan mudah menelan ekonomi global.  Sebab saiznya,  sebab  krisis ini melibatkan kerajaan dan bukannya hanya bank, dan sebab krisis ini muncul pada detik kelemahan yang besar, krisis ini lebih bahaya jika dibandingkan dengan krisis keruntuhan Lehman Brothers, yang memfailkan memuflisan minggu ini tiga tahun lalu.  Bagi Fareed, masalah sebenar bukannya Greece, tetapi Italy yang menganggotai G-7, hutangnya 1.9 trilion euro atau 120 peratus ekonominya dan lebih besar daripada hutang Sepanyol, Portugal, Ireland, dan Greece yang digabungkan. Bon Italy diniagakan pada empat peratus lebih tinggi daripada bon Jerman, tidak pernah terjadi dalam sejarah euro dan tidak boleh mapan.  Italy terlalu besar untuk gagal, tetapi mungkin terlalu besar untuk diselamatkan.

Untuk menyelamatkan Italy dan Sepanyol,  Fareed mencadangkan IMF meminta China, Jepun, Brazil, Arab Saudi yang memegang rizab yang besar dan meminta lini kredit AS$750 bilion.  Khususnya China, beliau mencadangkan negara itu menerima pakai konsep yang lebih luas tentang kepentingannya dan menjadi 'pemegang taruh' dalam sistem global.  "Krisis Eropah." beliau mengulangi penegasannya, "akan begitu cepat merebak ke dalam krisis global, kemungkinan kemelesetan global kedua.  Dan, kemelesetan kedua akan lebih teruk kerana kerajaan tidak lagi mempunyai apa-apa monetari atau alat fiskal.  China akan kerugian besar dalam senario sedemikian kerana para pengguna di Eropah dan Amerika akan berhenti berbelanja."

Masalah krisis  hutang Eropah,  seperti yang diperhatikan oleh Shriti Vadera dalam Fortune awal bulan ini, ialah para pemimpin zon euro tidak dapat mendahului krisis semasa, sebaliknya hanya sekadar menutup lubang, mereka tidak pernah  menemui penyelesaian. Apa yang kurang setakat ini ialah tindakan yang mendahului pasaran. 


Setelah lebih setahun zon euro bergelut dengan krisis hutang, semakin jelas bahawa para pemimpin di zon itu khususnya, dan di Eropah umumnya, boleh dikatakan masih terhegeh-hegeh.  Akibatnya, krisis semakin bahaya,  semakin sukar dikawal, masa semakin suntuk,  bahkan dijangkakan boleh mencetuskan satu lagi krisis kewangan global.  Yang sering kedengaran ialah  amaran demi amaran tanpa tindakan yang konkrit, dan yang terbaharu, amaran datangnya daripada Canselor George Osborne bahawa "masa suntuk" untuk mencari penyelesaian kepada krisis zon euro dan menyeru para pemimpin Eropah menghantar "isyarat yang jelas" bahawa mereka sedang menangani krisis itu. 


Walau bagaimanapun, bekas Canselor  Kenneth Clarke pergi lebih jauh  dengan mendakwa para pemimpin Amerika Syarikat dan Eropah "kelumpuhan" di tengah-tengah ketakutan akan krisis kewangan global yang lebih dalam.  Kerajaan jelas kelihatan tidak mampu menangani prospek satu lagi kerkah kredit dan menuduh mereka bermain "politik jangka pendek."  Satu perkara yang beliau perhatikan daripada krisis ini ialah malangnya, kepimpinan politik di Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah Barat secara keseluruhannya ditundukkan oleh dimensi krisis, tidak mampu bertindak.


Rasa tidak percaya menjadi-jadi dalam kalangan bank Eropah, seperti yang dinyatakan oleh David Ignatius  dalam kolumnya pada hari ini.  "Apa yang menggerunkan tentang bab terbaharu krisis kewangan Eropah ini ialah bahawa krisis ini membangkitkan semula panik psikolgi 'keletihan bank' September 2008.  Institusi kewangan yang besar mula meragui antara satu sama lain, dan tidak percaya janji yang bank lain tentang apakah yang ada pada buku mereka." Dalam hal ini, beliau menyalahkan bank-bank Perancis yang menyebabkan para pelabur global berasa gementar tentang mereka kerana; (1)  Bank Perancis dianggarkan memegang hutang daripada negara ekonomi goncang, iaitu Italy dan Sepanyol bernilai AS$540 bilion (390 bilion euro) pada kadar pertukaran semasa; (2) Dihitung bahawa jumlah tuntutan bank-bank Perancis terhadap negara pinggr zon euro yang lemah atau tidak mampu bayar ialah AS$886 bilion (640 bilion euro.  Dana pelan penyelamat euro yang dirancang, mengikut perbandingan ialah AS$609 bilion (440 bilion euro).


Hanya baru tiga tahun dunia dilanda krisis kewangan yang teruk selepas Lehman Brothers jatuh muflis pada 15 September 2008.  Ketakutan reda sekejap pada tahun  2009, tetapi kini ketakutan menghantui semula, bahkan lebih teruk.  Walau bagaimanapun, Allan Sloan yang menulis dalam Fortune dengan marah-marah menegaskan bahawa kacau-bilau semasa berbeza daripada kengerian Lehman Brothers kerana hal ini berpunca terutamanya daripada politik bukannya ekonomi.  "Ketakutan yang bermaharajalela sebelum ini, Sloan mengingatkan semula, terjadi kerana kemuflisan Lehman Brothers mengganggu pasaran kewangan dengan cara yang tidak dijangkakan.  "Krisis hari ini boleh dielakkan sama sekali.  Anda boleh menyalahkannya secara langsung terhadap si bodoh yang mengheret negara kita hampir-hampir mungkir terhadap hutangnya atas alasan menyelamatkan kita daripada... Saya tidak apakah bendanya."  

Tambah beliau, "Ya, jenis Tea Party yang memikul tanggungjawab terutamanya, tetapi mereka tidak dapat melakukannya tanpa sifat pengecut dan tidak cekap Pentadbiran Obama yang membiarkan perkara berlaku tanpa kawalan."


Untuk Amerika Syarikat, rakyat hilang keyakinan terhadap ahli-ahli poliltik yang mereka, baik Republikan mahupun Presiden Barack Obama dan Demokrat, dalam membantu mereka mengharungi kemerosotan ekonomi. Dalam  Bloomberg National Poll baru-baru ini, mereka banyak menyalahkan Republikan yang menyebabkan kerajaan tidak berkesan.  Bagi mereka, hal ini bukan tentang Demokrat dan Republikan, tetapi tentang rakyat Amerika yang tidak mendapat pekerjaan.  Lebih satu pertiga rakyat Amerika berkata mereka "berharap" Presiden Barack Obama dan anggota Kongres Republikan akan bertolak ansur, manakala 28 peratus berkata mereka berasa kecewa oleh persengketaan politik.  Lebih daripada satu perempat berkata,   "marah dan mahu menumbangkan mereka."  



Menurut tinjauan pendapat itu lagi,  kebanyakan rakyat Amerika yang tidak senang hati menyalahkan Republikan kerana masalah di Washington.  Tinjauan itu menunjukkan bahawa 39 peratus responden menyalahkan, sama ada Obama ataupun anggota Kongres Demokrat, manakala 45 peratus meletakkan tanggungjawab terhadap anggota Kongres Republikan.


Daripada para pemimpin kepada penggubal dasar kepada cerdik pandai kepada orang ramai  menyedari bahawa dunia di ambang krisis pasca-Lehman Brothers yang jika berlaku, pastinya lebih teruk.  Namun, memetik semula  Christine Lagarde  dengan cara lain, tiada tindakan berani dan kolektif diambil.   



No comments:

Post a Comment