Pages

Thursday, September 15, 2011

Genap Tiga Tahun Lehman Brothers Muflis

KHAMIS,  15 September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hari ini, genap tiga tahun Lehman Brothers jatuh muflis.  Namun, tidak banyak tumpuan terhadap ulang tahun ini, dan terlalu dibayangi oleh  ulang tahun ke-10 Peristiwa 11 September.  Sedangkan, dalam jangka panjang, keruntuhan Lehman Brothers pada 15  September 2008 kelihatan seperti lebih signifikan jika dibandingkan dengan keruntuhan menara berkembar itu.  

Hanya akhbar The Guardian yang tidak terlepas pandang terhadap peristiwa tersebut, seperti yang dicatatkan oleh Dean Baker bahawa Lehman Brothers: tiga tahun penafian.  "Tatkala kita bersiap sedia untuk meraikan ulang tahun ketiga kemuflisan Lehman Brothers dan krisis kewangan berikutnya," tulis beliau, "maka ini masa yang baik untuk menilai keadaan dan bertanyakan apakah yang berubah.  Jawapannya tidak menggalakkan."   

Tambah Baker lagi, "Sangat sedikit perubahan tentang, sama ada realiti di padang ataupun debat intelektual tentang isu  ekonomi dalam tiga tahun lalu.  Bank-bank 'terlalu besar untuk gagal' adalah semakin besar akibat krisis yang mencetuskan penggabungan.  Keuntungan industri kewangan kini mengatasi bahagian prakrisis  keuntungan syarikat, dan upah dan bonus eksekutif lagi sekali pada puncak gelembung mereka."   

Tiga tahun selepas keruntuhan Lehman Brothers, tegas Jayathi Ghosh, ekonomi global tidak mengalami pemulihan daripada krisis kewangan, tetapi hanya memasuki dua tindakan selepas waktu rehat sekejap.  Pada bentuk semasa permainan ini merupakan farsa yang akan berakhir dengan tragedi.

Sesetengah orang menyalahkan keruntuhan Lehman Brothers yang mengakibatkan berlaku krisis kewangan 2008-2009.  Namun, seperti yang ditegaskan oleh Joseph Stiglitz dalam bukunya Free Fall, Lehman Brothers "hanya merupakan akibat dan bukannya sebab krisis."  Sama ada Lehman Brothers diselamatkan ataupun tidak, krisis tetap berlaku kerana sebabnya yang sebenar ialah kepercayaan yang berlebih-lebihan ideologi pasaran bebas, antaranya pembatalan kawal selia dan penciptaan instrumen kewangan secara berleluasa.  

Jika Lehman Brothers diselamatkan, krisis sekadar ditangguhkan sekejap kerana ada lagi institusi kewangan lain  yang akan runtuh.  Kerajaan, seperti yang ditegaskan oleh  Roger Bootle dalam bukunya, The Trouble with Markets  tidak boleh menyelamatkan semua institusi kerana mereka bimbang oleh aspek  pencemaran moral dan juga sumber yang terbatas. "Saya tidak menerima pandangan ini, meskipun keruntuhan Lehman Brothers  adalah kritikal dalam rantaian peristiwa yang mencetuskan bencana."  Bootle juga menolak pendapat krisis subprima yang mencetuskan krisis kewangan, kerana menurut beliau, tidak ubah seperti mengatakan Perang Dunia Pertama berpunca daripada pembunuhan terhadap Archduke Franz Ferninand di Sarajevo pada tahun 1914.  Melihat keadaan sistem kewangan, jika tidak berlaku krisis kewangan, sesuatu yang lain akan berlaku.

Meskipun tiga tahun berlalu, Lehman Brothers sentiasa menghantui bukan sahaja terhadap sistem kewangan global, tetapi juga terhadap Eropah yang bergelut dengan krisis, yang menurut Fareed Zakaria, terpaksa memohon pertolongan China.  Krisis hutang di zon euro menyebabkan para pemimpin Eropah  terpaksa bertungkus-lumus menyelamatkan mata wang bersama yang digunakan oleh 17 buah negara  dan menyelamatkan Greece daripada jatuh muflis.  


Walaupun krisis kewangan semasa berpunca dari Amerika Syarikat, kemudian dengan serta-merta merebak ke seluruh dunia, nampaknya Eropah yang terus bergelut dengan krisis ini.  Dan, yang lebih mengaibkan, kini Eropah dipersalahkan, seperti yang diperlihatkan melalui serangan Presiden Barack Obama terhadap para pemimpin Eropah yang gagal mengatasi krisis hutang dan menuntut dasar fiskal yang "lebih berkesan, terselaras."












No comments:

Post a Comment