Pages

Thursday, August 18, 2011

Elak Merapu

KHAMIS,  18  Ogos 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.0 peratus dalam suku kedua tahun ini berbanding dengan 4.9 peratus suku pertama, kerana sektor  pembuatan lemah  berikutan persekitaran luaran yang lemah.  Bank Negara dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa sektor pembuatan diasak oleh kelemahan keseluruhan dalam  ekonomi maju dan gangguan rantaian bekalan pembuatan global akibat bencana di Jepun.

Walau bagaimanapun, Bank Negara Malaysia memaklumkan pertumbuhan secara keseluruhan  ditopang oleh pengembangan mapan permintaan domestik swasta.  Keadaan  ini seterusnya disokong oleh eksport kuat komoditi dan produk berasaskan sumber berikutan permintaan serantau yang menggalakkan dan harga komoditi yang tinggi. Sektor pertanian berkembang 6.9 peratus (daripada merosot 0.2 peratus suku pertama), terutamanya kerana output yang tinggi minyak kelapa sawit mentah dan getah asli berikutan cuaca yang lebih baik. 


 Permintaan domestik meningkat sebanyak 5.2 peratus (berbanding 6.9 peratus suku pertama),  yang disokong terutamanya oleh pertumbuhan mapan perbelanjaan sektor swasta.  Penggunaan swasta meningkat sebanyak 6.4 peratus (berbanding 6.7 peratus suku pertama), manakala perbelanjaan mapan untuk emolumen dan bekalan dan perkhidmatan menyokong pertumbuhan dalam perbelanjaan awam pada empat peratus (berbanding 8.9 peratus suku pertama).  Dengan kadar pertumbuhan suku kedua itu, ekonomi Malaysia berkembang  4.4 peratus pada separuh pertama tahun ini.


Memandangkan banyak negara di dunia mengalami pertumbuhan yang lemah dalam suku kedua tahun 2011, kadar pertumbuhan Malaysia dalam tempoh tersebut boleh dikatakan agak baik, meskipun lebih rendah daripada kadar suku pertama tahun ini.  Seperti yang diketahui,  apabila Bank Negara Malaysia mengumumkan pertumbuhan suku pertama ialah 4.9 peratus, ada   ahli politik pembangkang membandingkannya dengan pertumbuhan negara serantau.  Tidak dapat dipastikan, sama ada perbandingan seperti itu akan dilakukan oleh ahli politik berkenaan kerana pertumbuhan negara serantau untuk tempoh April - Jun secara keseluruhannyanya tidak seimbang: sesetengah negara kukuh, sesetengah yang lain lemah.  Sebagai tambahan untuk  "Hilang dalam Perjalanan" tentang pertumbuhan suku kedua beberapa buah negara,  di sini dinyatakan  data tambahan (setakat yang diperoleh): Indonesia berkembang 6.5 peratus,   Vietnam berkembang 5.7 peratus, dan  Korea, ekonomi keempat terbesar di Asia,  berkembang 0.8 peratus, manakala Jepun menguncup 1.3 peratus


Ekonomi dunia, seperti yang diketahui, tidak berada dalam laluan yang betul, iaitu pemulihan kehilangan rentak dan pertumbuhan semakin lemah, sedangkan pengangguran masih tinggi, yang diperburukkan lagi oleh krisis hutang di zon euro yang berpanjangan, dan baru-baru ini penurunan gred kredit Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+.  Justeru, para pemimpin kita, ahli politik, dan ahli ekonomi sewajarnya mengelakkan bercakap sesuatu yang kedengaran mengarut, atau elakkan psikologi penafian dengan kata-kata basi:  "fundamental adalah kukuh," "kita tidak terjejas oleh krisis di zon euro," dan sebagainya.  Atau terlalu taksub dengan model baru ekonomi dan program transformasi ekonomi (ETP) yang seolah-olahnya dapat menangkis segala ancaman yang menerkam.  Sebagai contoh, pakar ekonomi, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin, seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 4 Julai lalu berkata, "program transformasi ekonomi (ETP) elak negara kena krisis" - seakan-akan cakap untuk menyedapkan hati.  Ini kerana jika krisis kewangan atau ekonomi global melanda, jarang-jarang negara yang  dapat  mengelakkannya.  Justeru, lupakan gembar-gembur tentang ETP yang kononnya mampu menyelamatkan negara ini.  


Demikian juga dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang dipetik dalam "Pertumbuhan dan Melampauinya" dalam respons terhadap pertumbuhan suku pertama tahun ini:  "pertumbuhan ekonomi agak perlahan kerana banyak projek kerajaan baru bermula dan masih belum menampakkan hasilnya lagi."  Beliau memberitahu bahawa "saya menjangkakan keadaan yang lebih baik pada suku kedua dan seterusnya ditambah oleh projek-projek swasta dengan nilai yang lebih besar, bagaimanapun, semua ini memerlukan masa."


Harapan tinggal harapan!  Walaupun setengah tahun berlalu, memetik Menteri Kewangan  kedua sekali lagi,  "projek kerajaan masih belum menampakkan hasilnya lagi."  Seperti yang dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia, perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan adalah rendah dalam suku kedua.  Sektor pembinaan berkembang pada kadar yang sangat rendah, iaitu hanya 0.6 peratus (berbanding 3.8 peratus suku pertama) kerana projek infrastruktur lewat dilaksanakan.


Meskipun dua suku tahun telah ditempuhi, nyata bahawa pertumbuhan ekonomi masih gagal memasuki zon lima peratus atau lebih.  Harapan yang tinggi tidak boleh diletakkan untuk suku ketiga kerana setelah dua bulan berlalu, tidak ada berita gembira. Bahkan,  pada bulan Ogos, kelihatan sesuatu yang semakin  membimbangkan di sebelah menyebelah Atlantik yang membawa kesan terhadap ekonomi global, dan Malaysia pastinya, tidak terkecuali. Melainkan berlaku sesuatu keajaiban, jangan sekali-kali meletakkan harapan yang menggunung untuk suku ketiga.  


Kepada pemimpin, ahli politik, terutamanya,  dan ahli ekonomi,  jangan sekali-kali mereka-reka hubungan sebab-musabab untuk menjelaskan mengapa pertumbuhan suku kedua rendah secara relatifnya.  Tidak semua orang akan menelan bulat-bulat segala penjelasan itu.  Dan, tidak semua orang pendek memori mereka.  






















No comments:

Post a Comment