Pages

Monday, July 11, 2011

Revolusi Jingga Kojol, Pakatan Jingga Gagal!

SELASA,  12  Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Revolusi Jingga (Orange Revolution) kojol, Pakatan Jingga gagal.  Demikian kesimpulan   Francis Fukuyama, dalam  buku terbaharunya,  The Origins of Political Order:  From Prehuman Times to  the French Revolution.  


Berikutan  tercetusnya Revolusi Melati di Tunisia dan gelombang demokrasi menerobos dunia Arab, ada yang cuba menarik perhatian tentang  Revolusi Jingga yang dikhianati agar tidak diletakkan harapan yang menggunung terhadap perubahan yang berlaku di rantau itu.  Penunjuk perasaan di Kiev, hanya seperti lelaki dan wanita yang terkepung di Kaherah sekarang, berkata "Revolusi Jingga" mengubah hidup mereka, dan negara mereka tidak akan kembali semula ke hari-hari lama yang teruk.  Namun, tulis Neal Ascherson, hari ini, musuh Yushchenko kembali berkuasa semula, dan negara itu  masih korup dan menindas.  Di Ukraine, sebagaimana di Romania, pemimpin diketepikan, tetapi banyak sistem lama yang dibersihkan sedikit, masih wujud.  


Rakyat Ukraine seakan-akan sudah serik, seperti yang diperhatikan  oleh Lionel Beehner dalam "From One Revolution to Another," meskipun mereka yang wawasan prorevolusioner seluruh dunia.  Namun, enam tahun selepas Revolusi Jingga, politik negara itu bergelumang dengan rasuah.  Orang yang tewas daripada revolusi kuasa rakyat itu,  penjenayah yang dua kali didapati bersalah, bernama Viktor Yanukovich, kini menjadi presiden.  Anda mendapati terdesak untuk menemui kain rentang jinga di ibu negara itu:  "Revolusi Jingga bukannya revolusi sebenar.  Revolusi yang dibuat-buat."  Rasuah lebih berleluasa kini jika dibandingkan dengan era Kuchma, hingga memaksa Kesatuan Eropah membekukan sementara rancangan bantuan bernilai AS$100 juta kepada Kiev.  


Bukannya tanpa alasan,  Freedom House, menurunkan taraf "bebas" kepada "bebas sebahagiannya".  Tulis Beehner, "negara itu tidak lagi dipertimbangkan secara serius sebagai bercita-cita menyertai Nato atau Kesatuan Eropah."  Untuk para pemimpin dunia Arab yang begitu ghairah  membuaikan harapan kepada rakyat mereka, Beehner mengingatkan pertama, "jangan  menabur terlalu banyak janji.  Kedua, berhati-hati dengan revolusi balas.  Persaingan politik sesama sendiri pada hakikatnya, tidak dapat dielakkan pada masa peralihan, dan kuasa antidemokratik, iaitu agama, komunis atau sebaliknya, akan menghendap-hendap dalam bayang-bayang dan mengapi-apikan bahawa negara ditanggapi tidak stabil untuk mendapatkan asas kuasa mereka dan menarik anggota baru.  Akhir sekali, mungkin paling ketara, pilihan raya tidak mencipta demokrasi: "Demokrasi mesti berakar umbi pada kedaulatan undang-undang" - Beehner  memetik ketua pembangkang, Yulia Tymoshenko yang menulis pada laman web al-Jazeera.  Beliau juga memetik  Andriy Portnov, ahli sejarah dan editor, "Ketika dan selepas Revolusi Jingga, saya secara tekal bercakap tentang  bahaya harapan tidak realistik. Ukraine terlepas peluangnya.  Saya takut, untuk banyak tahun."
Pada akhir Jun lalu, bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko,  mengutuk perbicaraannya atas tuduhan penyalahgunaan kuasa sebagai sandiwara dan menggelar hakim patung.   Yulia didakwa menandatangani kontrak bekalan gas dengan Rusia dua tahun lalu dikatakan meletakkan Ukraine kehilangan AS$440 juta.  Dalam wawancara dengan The Guardian, Yulia, pemimpin Revolusi Jingga tahun 2004, menuduh musuh politiknya, Presiden Viktor Yanukovich, merancang secara terperinci pendakwaan "sama seperti Stalin tahun 1937" untuk memusnahkan peluangnya mengambil bahagian dalam pilihan raya tahun depan. 

Perbicaraan Yulia yang menjadi perdana menteri dua kali dan kini pembangkang, membangkitkan kebimbangan oleh kerajaan Barat terhadap komitmen Yanukovich untuk menegakkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang.  Yulia mula berkuasa berkuasa berikutan demonstrasi jalanan tahun 2004 yang dikenali sebagai Revolusi Jingga yang menggagalkan percubaan pertama Yanukovych untuk merebut jawatan presiden.  Selepas itu, Viktor  Yushchenko menjadi presiden, manakala Yulia menjadi perdana menteri, tetapi kedua-dua pemimpin itu bertelagah dari segi gaya dan dasar.  Sejak tewas di tangan Yanukovich, Yulia gagal menyatukan pembangkang di sekelilingnya.  Meskipun kerajaan Barat tidak menyatakan secara terbuka bahawa mereka menyokong bekas perdana menteri itu, para diplomat berkata, ahli politik Kesatuan Eropah memberitahu kepimpinan Yanukovich mereka berasa bimbang akan kemungkinan penggunaan "keadilan terpilih" di Ukraine.

Yulia juga mendakwa bahawa perbicaraan yang dihadapinya bertujuan untuk menghancurkan pembangkang di negara itu.  Tujuh tahun sejak dia menerajui Revolusi Jingga, Yulia kembali semula ke tengah pentas kerana dia bersedia untuk menghadapi tuduhan yang dirancangkan secara teliti oleh Presiden Viktor Yanukovich, musuh ketat politiknya. Yulia berkata bahawa segala nasib malang yang menimpa dirinya kini adalah diarahkan dan dikawal oleh Yanukovich.    "Dia percaya bahawa dia boleh menghancurkan pembangkang dalam satu sergapan jatuh sekali gus, maka pembangkang tidak akan bangkit semula.  Dan itulah sebabnya kes jenayah ini dibuka terhadap saya, satu demi satu."


Kerjaya Yulia dikatakan menjulang tinggi dan terjunam sejak hari-hari yang menyeronokkan itu pada tahun 2004 apabila dia dan sekutunya, Viktor Yushchenko, membawa beratus-ratus ribu orang Ukrainian  berarak ke Maidan.  Kemenangan kedua-dua pemimpin itu dilihat seakan-akan kemenangan demokrasi terhadap rejim gaya Soviet lama apabila pilihan raya dibatalkan dan Yushchenko memenangi pertandingan ulangan pada awal 2005.


Angin perubahan, demikian gambaran yang diberikan apabila beratus-ratus ribu orang membanjiri Dataran Kemerdekaan di Kiev pada malam 22 November 2004 dengan teriakan:  "Bersama-sama, kita banyak! Kita tidak boleh ditewaskan" yang muncul daripada lautan jingga, mantera yang menandakan kebangkitan gerakan kuasa rakyat, iaitu kumpulan pembangkang politik yang mahir, dan golongan kelas menengah yang berazam dan nekad yang sama-sama berpadu tenaga untuk menamatkan elit pemerintah daripad memalsukan pilihan raya dan merampas jawatan Presiden Ukraine.  Tatkala kemenangan pemimpin pembangkang, Viktor Yushchenko diumumkan, Revolusi Jingga dikatakan menentukan peristiwa penting yang besar dalam sejarah pascakomunis di Eropah Timur.  Revolusi Ukraine itu juga dilihat sebagai hanya yang terbaharu dalam rentetan kemenangan "kuasa rakyat" di Poland, Hungary, dan Czechoslovakia pada akhir tahun 1980-an, dan yang terbaharu, di Serbia dan Georgia.

Namun, tidak lama selepas  kemenangan kuasa rakyat itu,  Revolusi Jingga didapati mula hilang rentak dan arah, meskipun belum berakhir.  Menoleh selama tiga tahun lalu, ada yang mengatakan tragik bahawa rasa sangat gembira Revolusi Jingga dan harapan yang menggunung yang dilahirkan dalam sekelip mata lesap dalam percakaran politik yang menjengkelkan dan serangan peribadi; sedih juga, perniagaan besar dan politik kebanyakannya masih terperangkap dalam bahaya, seperti yang terjadi pada tahun awal kemerdekaan.

Revolusi Jingga meledak yang meletakkan negara dalam putus asa, tulis Askold Krushelnycky, "pemimpin mereka berperang, negara mereka di ambang muflis, dan Rusia mengaum di hadapan mereka.  Rakyat Ukraine diselubungi rasa kecewa dan putus asa oleh gabungan yang membawa maut kerana mereka menyaksikan kenazakan Revolusi Jingga yang membawa Presiden Viktor Yushchenko dan Perdana Menteri Yulia Tymoshenko berkuasa."  Kini, tulis Krushelnycky kira-kira tiga tahun lalu, seakan-akan sisa-sisa akhir idealisme yang mencetuskan revolusi aman empat tahun lalu menempuh jalan buntu kerana Yushchenko mendesak untuk mengadakan pilihan raya parlimen ketiga, tetapi dihalang oleh musuhnya, Perdana Menteri Yulia yang menjelaskan rancangan pilihan raya itu sebagai "tidak mengendahkan" ketegangan politik ketika krisis kewangan yang teruk yang membinasakan institusi Barat.  Dia memberikan amaran pilihan raya yang dirancangkan pada bulan Disember itu akan "menghancurkan negara."

Di tengah-tengah krisis kewangan global,  kerajaan Ukraine terpaksa menyelamatkan dua buah bank utama, kadar mata wang negara jatuh 12 peratus, pasaran saham jatuh bebas,  dan negara itu terpaksa memohon pinjaman berbilion-bilion dolar daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menstabilkan  sektor kewangan. Dan hubungan antara Ukraine dengan Rusia menjadi tegang berikutan sokongan Yushchenko terhadap Georgia ketika perans Caucasus, maka syarikat gergasi gas Rusia, Gazprom mencadangkan harga pada tahun 2009 untuk import gas boleh meningkat kepada AS$400 per 1000 meter padu daripada AS$179.50.


Lima tahun kemudian, Ukraine yang mempunyai 46 juta penduduk mengalami perpecahan yang mendalam dan merupakan negara yang hampir-hampir dilupakan, tegas Christian Neef dan Mattias Schepp yang menandakan kesudahan yang menyedihkan untuk Revolusi Jingga.  Pemenang pilihan raya tahun 2004, yang pernah berpesta ria di Dataran Kemerdekaan, kini berpecah belah, dan institusi politik negara itu lumpuh.  Semasa kempen pilihan raya presiden pada tahun lalu, warna jingga tidak digunakan.  Kempen Yulia menggunakan khemah putih yang  dihiasi dengan warna merah hati boleh dilihat di jalan-jalan.

Pada awal Mac tahun lalu, menyaksikan Revolusi Jingga kojol apabila  pakatan Jingga runtuh.  Pakatan Perdana Menteri Yulia Tymoshenko yang pro-Barat dibubarkan, berikutan hilang majoriti di parlimen dan membuka laluan untuk presiden baru untuk mengukuhkan kuasanya.  Dengan perkembangan ini, bermakna Yulia akan segera disingkirkan dan menandakan penolakan akhir Revolusi Jingga yang beliau  terajui pada tahun 2004.  

Kebangkitan semula Viktor Yanukovich pada awal tahun lalu yang ketika itu dijangkakan memenangi pilihan raya presiden, bukan sahaja merapatkan semula hubungan antara Ukraine dengan Moscow, tetapi juga keghairahan Revolusi Jingga yang menghalang beliau  daripada menjadi presiden lima tahun lalu, betul-betul dan benar-benar mati.  Nyata bahawa karisma  Yulia tidak lagi mampu mengekang perasaan tidak puas hati rakyat yang pernah meletakkan harapan pada dia untuk kehidupan mereka yang lebih baik, tetapi mereka menyedari bahawa Yanukovich tidak akan membela nasib mereka.


Penduduk kota dengan kawanan penunjuk perasaan di seluruh negara itu, semua mereka memakai sesuatu yang jingga, warna parti Our Ukraine Yushchenko.  Meskipun diselubungi salji yang tebal dan suhu yang sangat sejuk, khalayak adalah dalam suasana berpesta, ghairah dan bersemangat untuk merangkul Revolusi Jingga Yushchenko menentang golongan lama negara itu yang disokong Moscow.  Tulis Paul Quinn-Judge dan Yuri Zarakhovich dalam Time ketika Revolusi Jingga membakar semangat  rakyat.  Namun, kemudian, dalam majalah yang sama,     James Marson menulis dalam nada yang amat berbeza:  Di Ukraine, kematian Revolusi Jingga.


"Sememangnya, cerita yang berbeza apabila reformis pro-Barat, Viktor Yushchenko," tulis Marson, "dengan megah meraih kuasa lima tahun lalu.  Kemenangannya, berjuta-juta rakyat Ukraine percaya, akan melepaskan bekas republik itu daripada orbit kejiranan Rusia dan menentukan dengan tegas ke arah integrasi dengan negara-negara lain di Eropah.  Akan tetapi, Yushchenko dan sekutunya gagal menunaikan segala janji mereka untuk melaksanakan pembaharuan demokratik, menamatkan  rasuah yang menjadi-jadi, dan mewujudkan taraf hidup yang lebih baik."  Tambah Marson, "retorik revolusi yang membangkitkan semangat  tidak lama kemudian tumpas tatkala berhadapan dengan  realiti serius politik Ukraine, yang dikuasai sejek merdeka pada tahun 1991 oleh pemimpin perniagaan yang sangat kuat dan sistem naungan dan  rasuah yang tertanam begitu dalam."  


The Economist pada awal tahun lalu, muncul dengan makalah yang agak panjang tentang Ukraine lima selepas, dengan merumuskan bahawa pilihan raya presiden menunjukkan bahawa Revolusi Jingga sesak nafas, tidak kira siapakah yang akhirnya menang.  Selepas rakyat negara itu menari keriangan untuk mempertahan kebebasan mereka dan Viktor Yushchenko menjanjikan perubahan dan menaburkan pelbagai janji serta harapan untuk mereka, "semua keghairahan itu kini berubah menjadi lesu.  Ekonomi Ukraine di ambang muflis, kedaulatan undang-undang sukar dilaksanakan, mahkamah masih mengamalkan rasuah, dan persidangan parlimen hanya merupakan pentas perniagaan untuk hartawan perniagaan yang urus niaga dilakukan dan kerusi dibeli dan dijual. Pada April 2005, kira-kira 53 peratus penduduk Ukraine berkata negara mereka pada laluan yang betul.  Kini, 81 peratus percaya negara mereka menghala ke arah yang salah.  Ukraine menduduki tangga ke-17 dari bawah dalam indeks global kebebasan ekonomi terbaharu, di bawah Rusia dan Belarus.



Bersempena dengan berlangsungnya Forum Ekonomi Dunia di Davos pada Januari  tahun ini,  Lally Weymouth daripada Washington Post mewancara Presiden Yanukovich:  Adakah  beliau  melemahkan demokrasi Ukraine?  Timbul kebimbangan dalam kalangan pejuang hak asasi manusia dan pegawai Amerika Syarikat sejak Yanukovich berkuasa hampir setahun lalu.  Antara topik yang diliputi dalam wawancara itu ialah pendakwaan terhadap musuh ketatnya, Yulia Tymoshenko, hasrat negara itu menyertai Kesatuan Eropah, pertukaran semula Kiblat  ke arah Rusia, dan  hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat.  Dalam wawancara itu juga beliau ditanya tentang hak asasi manusia yang kian terjejas, dan beliau menjelaskan seolah-olahnya beliau mempertahankannya: "Saya selalu bertindak balas secara keras terhadap mana-mana pencabulan hak asasi manusia .... Saya masih percaya bahawa dalam banyak cara, tuduhan sedemikian merupakan percubaan untuk mengenakan tekanan terhadap kerajaan, iaitu kerajaan yang memulakan peperangan besar-besaran terhadap rasuah."

Tentang rasuah, Yanukovich menjelaskan bahawa kini tahap keyakinan dan kepercayaan terhadap Ukraine meningkat di dunia. Hampir semua agensi penarafan meningkatkan gred menarafan  Ukraine.  Dalam kategori ketiga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu negara dengan prospek, tegas beliau menegaskan pada tahun 2004, Ukraine menduduki tangga ke-70.  Setelah jatuh ke tangga ke-85  dalam lima tahun lalu, pada tahun 2010, Ukraine mendaki 16 tangga, dan kini pada tangga ke-69.


Sesungguhnya, rakyat Ukraine mempunyai alasan yang kukuh mengapa mereka tidak mempedulikan pemberontakan popular di dunia Arab. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai pengalaman yang cukup pahit tentang harapan dan impian Revolusi Jingga yang  tidak kesampaian.  Pemimpin datang, pemimpin pergi, tetapi  mereka masih pada takuk lama. Sesungguhnya, mereka terpaksa menanggung  pengorbanan yang cukup dalam merealisasikan kuasa rakyat dengan mengadakan demonstrasi jalanan.   Akan tetapi, akhirnya Revolusi Jingga berkubur dan Pakatan Jingga berkecai.  

No comments:

Post a Comment