Pages

Monday, July 11, 2011

Demokrasi: Penyebaran dan Keterhakisan

ISNIN, 11   Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebaik-baik sahaja saya membeli buku baru, saya gemar membelek halaman prakata atau pengenalan buku berkenaan sebelum memulakan pembacaan.  Jika saya membeli dua tiga buah buku, maka kesemuanya akan saya baca prakata atau pengenalan itu.  Dengan cara itu, tentunya memudahkan saya memilih apakah buku yang perlu saya utamakan berbanding dengan yang lain.    Pada awal  bulan lalu, saya berkesempatan membeli tiga buah buku, meskipun buku Samir Amin, The Law of Worldwide Value belum habis saya baca.  Meskipun buku ini kurang daripada 150 halaman, pembacaannya cukup mencabar dan memakan masa yang agak lama, sehingga saya terpaksa meninggalkan pembacaan novel  Ustaz Azman Haji  Ahmad yang nama penanya, Ibnu Ahmad al-Kurauwi, Namaku Bukan Maria yang beliau hadiahkan kepada saya.  Sementara dua buah buku lagi, yang saya beli awal tahun ini, masih belum berusik. 

Berhubung buku baru itu ialah Can Capitalism Survive?:  Creative Destruction and the Future of the Global Economy oleh Joseph A. Schumpeter, How to Change the World:  Tales of Marx and Marxism oleh Eric Hobsbawm,  yang diulas secara meluas, misalnya Garibaldy dalam The Cedar Lounge Revolution, Francis Wheen dalam Financial Times, Stefan Collini dalam The Guardian, Ben Wilson dalam The Telegraph, dan Terry Eagleton dalam London Review of Books.  Dan akhir sekali, buku Francis Fukuyama, The Origins of Political Order:  From Prehuman Times to  the French Revolution yang diulas dalam The Economist,   oleh Andrew Bast dalam Newsweek, Nicholas Wade dalam The New York Times, Ian Morris dalam Slate, Will Hutton dalam The Guardian, David Runciman dalam guardian.co.uk,  Richard Gowan dalam The National, Andrew Preston dalam The Globe and Mail, dan Michael Burleigh dalam The Telegraph.  

Selain membaca prakata buku terbaharu Fukuyama saya sempat ke "Bab 1:  The Necessity of Politics" yang beliau memulakan penulisan, "ketika tempoh 40 tahun, dari 1970 ke 2010, menyaksikan kebangkitan yang cukup besar dalam bilangan demokrasi di seluruh dunia.  Pada tahun 1973, hanya 45 buah daripada 151 buah negara di dunia yang dianggap 'bebas' oleh Freedom House, pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan ukuran kuantitatif hak awam dan hak politik  untuk negara di dunia."  Tambah beliau, generasi berikutnya menyaksikan perubahan politik penting , dengan demokrasi dan ekonomi berorientasikan pasaran tersebar hampir-hampir setiap pelosok dunia, kecuali Timur Tengah.  Pada akhir tahun 1990-an, kira-kira 120 buah negara di seluruh dunia - lebih 60 peratus negara merdeka di dunia - menjadi demokrasi pilihan raya.  


Mendasari perubahan ini dalam sistem politik, tulis Fukuyama, "adalah juga transformasi sosial besar-besaran.  Anjakan kepada demokrasi mengakibatkan berjuta-juta individu yang sebelum ini pasif di seluruh dunia mengatur diri mereka dan turut serta dalam kehidupan politik masyarakat mereka."  Beliau mengenal pasti yang membawa anjakan tersebut, iaitu akses pendidikan yang sangat meluas, teknologi maklumat, perjalanan dan komunikasi yang murah, dan kemajuan yang lebih pesat.  


Namun, Fukuyama, tiba-tiba berubah rentak dan nada bahawa gelombang ketiga  selepas akhir tahun 1990-an, "kemelesetan demokratik" muncul pada dekad abad ke-21.  Tegas beliau, kira-kira satu daripada lima buah negara yang menjadi sebahagian gelombang ketiga , sama ada kembali kepada autoritarian ataupun melihat keterhakisan yang jelas institusi demokratik.  Sekali lagi Fukuyama memetik Freedom House yang menyatakan bahawa tahun 2009 menandakan tahun keempat berturut-turut yang kebebasan merosot di seluruh dunia, kali pertama berlaku sejak Freedom House memperkenalkan ukuran kebebasan pada tahun 1973.


Seterusnya, Fukuyama menegaskan dekad kedua abad ke-21, rasa tidak senang di dunia demokratik mengambil beberapa bentuk yang berbeza.  Rusia, Venezuela, dan Iran misalnya, pemimpin yang dipilih sibuk merombak institusi demokratik dengan memanipulasikan pilihan raya, menutup atau membeli saluran keluar  televisyen bebas dan akhbar, dan mengawal ketat kegiatan pembangkang.  Selain itu, negara yang sedang berusaha beralih daripada kerajaan autoritarian, seperti yang dialami oleh kebanyakan negara bekas Kesatuan Soviet, terkandas di "zon kelabu."  Kategori ketiga, bahas Fukuyama, bukannya tentang dengan kegagalan sistem politik untuk menjadi atau untuk kekal  demokratik, tetapi kegagalan sistem itu untuk menyediakan perkhidmatan asas yang rakyat tuntut daripada kerajaan mereka.  Sekadar fakta bahawa negara yang mempunyai institusi demokratik memberitahu kita terlalu sedikit tentang, sama ada diperintah dengan baik atau dengan teruk.  Kegagalan menyediakan ini atas janji demokrasi menimbulkan apakah yang mungkin cabaran paling besar terhadap kesahan sistem politik tersebut.  Di sini, beliau mengemukakan contoh Revolusi Jingga (Orange Revolution) di Ukraine tahun 2004: apabila berkuasa, Pakatan Jingga benar-benar lembap dan reformis Viktor Yuschenko, sebagai Presiden, mengecewakan harapan rakyat yang menyokongnya.  Kerajaan bersengketa dan bertelagah sesama sendiri dan gagal menangani masalah rasuah yang serius, dan bertanggungjawab terhadap kegawatan ekonomi  ketika krisis kewangan global 2008 - 2009.  


Kegagalan demokrasi, bahas Fukuyama, terletak pada konsep berbanding dengan pelaksanaan:  kebanyakan penduduk di dunia sangat kuat mengutamakan untuk hidup dalam masyarakat  yang kerajaan mereka bertanggungjawab dan berkesan, iaitu kerajaan menyediakan jenis perkhidmatan yang dituntut oleh warganegaranya tepat pada masanya dan dengan cara kos berkesan.  "Akan tetapi, hanya sebilangan kecil kerajaan yang mampu melaksanakan kedua-duanya  kerana institusi adalah lemah, korup, kekurangan kapasiti, atau dalam sesetengah keadaan, tiada semua sekali."  Tambah beliau, "keghairahan penunjuk perasaan dan penyokong demokrasi di seluruh dunia, dari Afrika Selatan ke Korea ke Romania ke Ukraine, mungkin cukup untuk mencetuskan 'perubahan rejim' daripada autoritarian kepada kerajaan demokratik, tetapi kerajaan demokratik tidak akan berjaya tanpa proses yang panjang, memakan belanja yang besar, menjerihkan, dan sukar untuk pembinaan institusi."


Kejayaan  demokrasi sosial moden, bagi Fukuyama, menggabungkan kesemua set institusi dalam keseimbangan yang stabil: negara, kedaulatan undang-undang, dan kerajaan yang bertanggungjawab.  "Negara, lagipun, menumpukan dan menggunakan kuasa, untuk membawa pematuhan   undang-undangnya terhadap warganegaranya dan mempertahankan dirinya (negara) terhadap negara negara dan ancaman lain.  Kedaulatan undang-undang dan kerajaan yang bertanggungjawab  pula, mengehadkan kuasa negara, pertama dengan memaksa negara  menggunakan kuasanya menurut peraturan awam dan ketelusan, dan kemudian, dengan memastikan bahawa negara tunduk pada kehendak atau keazaman orang ramai."


Di sini Fukuyama mengemukakan beberapa contoh:  Afghanistan, mengadakan pilihan raya demokratik sejak tahun 2004, tetapi mempunyai negara yang terlalu lemah dan tidak mampu menegakkan undang-undang di kebanyakan wilayahnya.  Rusia, sebaliknya, mempunyai negara yang kuat dan mengadakan pilihan raya demokratik, tetapi pemerintahnya tidak berasa terikat pada kedaulatan undang-undang.  Negara Singapura mempunyai kedua-duanya, iaitu negara yang kuat dan  kedaulatan undang-undang yang diwarisi daripada  bekas penjajahnya, British, tetapi hanya bentuk lemah kebertanggungjawapan demokratik.  


Keterhakisan demokrasi, sebenarnya, telah pun disentuh sebelum Fukuyama, misalnya oleh Michael Hardt dan Antonio Negri dalam Multitude:  War and Democracy in the Age of Empire yang pernah diulas oleh James Harkin dalam The IndependentJoseph Choonara dalam International Socialism, dan Slavoj Zizek.  Dalam buku itu, Hardt dan Negri berhujah bahawa berakhirnya Perang Dingin adalah sepatutnya kemenangan muktamad demokrasi, tetapi hari ini konsep dan amalan demokrasi di mana-mana sahaja dalam krisis, bahkan Amerika Syarikat tidak terkecuali.  "Krisis demokrasi hari ini bukan hanya ada kena mengena dengan rasuah dan ketidakcukupan institusi dan amalannya, tetapi juga dengan konsep itu sendiri. Sebahagian krisis adalah bahawa tidak jelas apakah makna demokrasi di dunia yang diglobalisasikan."  Bagi mereka, "pastinya, demokrasi global akan mempunyai makna sesuatu yang berbeza daripada apa yang demokrasi maksudkan dalam konteks nasional sepanjang era moden."  


Walau bagaimanapun, Hardt dan Negri mengakui bahawa pastinya demokrasi diisytiharkan "dalam  krisis" sudah banyak kali dalam beberapa abad lalu, biasanya oleh golongan aristokrat liberal yang takut akan anarki kuasa popular atau oleh golongan teknokrat yang terganggu oleh kekacauan sistem berparlimen.  Pada masa yang sama, mereka mengakui bahawa masalah demokrasi kita adalah berbeza.  "Mungkin krisis kini tentang konsep demokrasi adalah kerana skala globalnya boleh menyediakan kesempatan untuk kembali kepada keadaan lamanya yang bermakna sebagai pemerintahan setiap orang oleh setiap orang, demokrasi tanpa penerang, tanpa jikanya atau tetapinya. 


Sebelum ini, saya telah membangkitkan persoalan dan masalah yang mendasari demokrasi dengan memetik, antaranya Immanuel Wallerstein dan Robert Kaplan, dalam tulisan saya, "Demokrasi dan Anarki."  Sebenarnya, banyak orang bercakap atau berselindung di sebalik demokrasi, semata-mata demi kepentingan politik mereka tanpa mengakui atau mendedahkan  masalah yang terpaksa dihadapi oleh  demokrasi.   Bagi mereka, demokrasi adalah seluhur-luhurnya tanpa sebarang cacat-celanya.  Mimpi indah kemenangan demokrasi berikutan berakhirnya Perang Dingin tidak berpanjangan, tetapi sebaliknya dihantui oleh igauan ngeri.   


No comments:

Post a Comment