Pages

Tuesday, July 12, 2011

Mengapakah "Operation Odyssey Dawn"?

RABU, 13 Julai 2011

Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Setelah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada pertengahan Mac lalu,  Amerika Syarikat  bersama-sama sekutunya Perancis dan Britain, dengan serta-merta melancarkan serangan terhadap Libya.  Serangan itu dikenali Operation Odyssey Dawn yang bertujuan menyekat kemaraan Muammar Gaddafi dan memberi penentangnya peluang untuk berkumpul semula dan menerus kemaraan mereka ke Tripoli. 
Mengapakah  dinamakan Operation Odyssey Dawn? – antara pertanyaan orang ramai untuk mengetahui makna simbolik operasi itu.  “Apakah yang mereka cuba untuk memberitahu kita?  Dari mana pihak tentera memperoleh nama ini?  Adakah ini bahawa misi 10 tahun dan tiada sebuah pun kapal yang sebenarnya kembali semula ke pangkalan, seperti yang pernah menimpa wira Greek?” Dengan menamakan serangan terhadap Libya itu Odyssey Dawn, maka ada yang terbayang akan Odysseus yang bermakna bahawa operasi itu akan berakhir dalam tempoh itu. Makna kiasan “fajar” selalunya dikaitkan dengan  “permulaan,” dan ungkapan yang popular dalam bahasa Melayu, “fajar menyinsing.”   
            Tidak kurang yang membayangkan nama yang sungguh hebat itu seperti judul album muzik rock, permainan video atau bintang filem luncah pada tahun 1970-an.  Akan tetapi, dipercayai bahawa nama pendek ini tidak mempunyai makna spesifik dan tidak ada kena mengena dengan Libya, rakyat Libya atau pemimpin negara itu.  Sebelum ini, operasi ketenteraan Amerika mempunyai beberapa nama, Desert Storm atau Iraqi Freedom yang menyampai mesej dan dipilih oleh Pentagon atau pegawai kanan Pentagon.  Yang lain, adalah seperti Operation African Lion, yang merupakan simbolik lokasi.  Namun begitu, Odyssey Dawm dikatakan adalah berlainan daripada semua operasi tersebut.
Odyssey suatu nama yang tidak asing, iaitu sebuah cerita pengembaraan yang maha hebat dalam kesusasteraan. Puisi epik karya agung digubah oleh Homer pada tahun 700 SM, dengan watak utama Odysseus, raja Ithaca yang pulang dari Perang Trojan.    Selain legenda pahlawan yang gagah perkasa, seperti Achilles dan Hector,  karya Homer, iaitu Iliad dan Odyssey  juga tersohor  kerana   Helen yang jelita, permaisuri Menelaus, Raja Sparta, yang dipujuk lari oleh Paris.

                           Diane Kruger memegang watak Helen dalam Troy

Melalui  majalah dalam talian, Wired, Adam Rawnsley menulis pada 21 Mac lalu “What’s in a Name?  ‘Odyssey Dawn’ is Pentagon-Crafted Nonsense” untuk mencari asal-usul kewujudan nama tersebut.   Bagi beliau,  nama pendek ketenteraan Amerika Syarikat untuk zon larangan terbang di Libya kedengaran seperti permulaan pengembaraan yang jauh.  “Akan tetapi, pegawai Jabatan Pertahanan menegaskan bahawa tidak ada maksud tersembunyi di sebalik Operation Odyssey Dawn.  Ini hanya hasil sistem menjanakan nama separuh rawak Pentagon.” 
Menurut sistem, Kuasa Pemerintah Afrika Amerika Syarikat, yang pada nama sahaja bertanggungjawab serangan terhadap Libya diberikan tiga set perkataan yang boleh memulakan operasi itu. Perkataan ini bermula dengan perkataan JF-JZ, NS-NZ, dan OA-OF, dan tiga kumpulan itu memberikan kira-kira 60 perkataan yang sesetengah ganjil. Rawnsley yang memetik jurucakap Africacom, Eric Elliott yang dilaporkan berkata:  “Oleh itu, orang (folks) yang bertanggungjawab menamakannya meneliti dan mereka melakukan aktiviti baru-baru ini dengan NS dan mereka pergi kepada O.  Menggunakan siri huruf O, pegawai Africom mengambil keluar Odyssey untuk perkataan pertama.  Perkataan kedua dipilih “serawak yang mungkin kerana itulah matlamat operasi ini.  Africom menarik keluar Dawn untuk perkataan keduanya dan menghasilkan kombinasi Odyssey Dawn yang tidak bermaksud sebarang makna yang dirancang,” tegas Elliott.
Elliott yang juga dipetik oleh beberapa penulis lain dilaporkan berkata, “Matlamat mencipta nama bahawa tidak ada kena mengena sama sekali dengan aktiviti rantau itu, maka anda boleh berjalan-jalan di Washington ketika pada tahap perancangan dan pastikan bahawa tiada siapa pun yang tahu tentang Libya.” 
Menurut Pentagon, nama pendek  diberikan “kepada peristiwa sebenar, projek, gerakan tentera, atau aktiviti bukan latihan yang lain.”  Para pegawai diarahkan memilih judul yang tidak “menyatakan darjah permusuhan” atau “menyerang cita rasa yang bai atau mencemarkan kumpulan, taifah, atau kepercayaan tertentu.”  Para komander pula dilarang menggunakan perkataan “projek,” “latihan” atau “operasi” dan tidak boleh menggunakan perkataan yang mungkin digunakan sebagai satu perkataan atau dua perkataan, “cahaya bulan.” Dasar juga melarang “perkataan eksotik,” “penyataan basi” dan cap dagang komersial yang terkenal.”
Memandang orang ramai berminat  terhadap nama Operation Odyssey Dawm, Charlotte Higgins muncul dengan “Why ‘Odyssey Dawm’” dalam guardian.co.uk dengan nada merendah diri:  “Saya berharap bahawa pembaca tidak kisah bahawa saya menulis makalah ini, kemungkinan memenuhi ‘separuh gila’ jika pun bukan macam profesor.” Walau bagaimanapun, untuk mencari jawapan, beliau bertanyakan Christopher Pelling, profesor Regius yang sangat tersohor tentang Greek di Oxford University, apakah yang beliau fikirkan tentang nama yang diberikan Pentagon untuk zon larangan terbang.
Charlotte memetik jawapan Pelling yang diterimanya itu bahawa “mungkin sesuatu tentang fajar berjari merah (rosy-fingered dawn) menjelma dari katilnya dari timur?  Akan tetapi, tunggu sekejap, bukannya cahaya ini memancar ke timur (bagaimanapun, selatan) dari barat? Saya teringin sangat hendak mencari nama fesyen lama yang indah, seperti Market Garden.  Anda akan ingat, Operation Market Garden yang menggagalkan operasi Pihak Berikat pada tahun 1944 yang bercita-cita merusuki garisan Siegfried.”  Pelling mempunyai idea  dengan mempersoalkan, “siapa yang kini beri nama  operasi ketenteraan, seperti baik dan lembut sifatnya, bersifat rumah tangga  (domestic), dan menenangkan hati, sebagaimana Market Garden?
Sebaliknya, Odyssey Dawn, bahas Charlotte Higgins  adalah bongkak dan  purba kala bunyinya  yang kelihatan samar-samar; menandakan tindakan hebat tanpa memperlihatkan sesuatu yang konkrit dalam Odyssey  gubahan Homer.  Di sini, Charlotte memetik Pelling semula  tentang banyaknya fajar dalam puisi epik agung yang mengisahkan kepulangan  Odysseus yang dinyatakan di atas. Banyak fajar ini direka  berjari merah, tetapi tiada satu pun fajar ini secara khusus dikenang sebagai nama operasi ketenteraan.
Supaya  berlaku adil,  Josh Dzieza yang menulis dalam Daily Beast menegaskan bahawa operasi ketenteraan tidak selalunya dinamakan untuk menimbulkan kegentaran.  Nama operasi tidak selalunya memuaskan hati khalayak yang luas.  Dalam sejarah ringkas penamaan operasi ketenteraan, beliau memetik Gregory Sieminski yang menulis bahawa apabila nama operasi mula digunakan oleh Jerman dalam Perang Dunia Pertama, namanya ialah kod yang bertujuan menyampaikan   sedikit maklumat tentang apa yang mereka gambarkan sebagai kemungkinan.  Pada masa yang sama, nama yang digunakan itu bertujuan menyuntikkan semangat kepada angkatan tentera.  Agama, mitologi, dan sejarah dijarah untuk kata nama; dengan itu, nama seperti Archangel, St. George, Roland, Mars, Valkyrie.
Dari Perang Dunia Pertama itu,  Dzieza menjelaskan lagi penggunaannya  yang berterusan dalam Perang Dunia Kedua yang nyata bahawa kedua-duanya, iaitu Hitler dan Churchill memang gilakan nama kod dan kadangkala mempertimbangkan nama itu.  Sekali lagi beliau memetik Sieminski bahawa Hitler mengubah nama untuk menceroboh Kesatuan Soviet kepada Barbarossa, sempena nama  maharaja Roman pada abad ke-12, menggantikan Fritz. Churchill pula mengubah pencerobohan Normandy kepada Overlord daripada  Roundhammer, kombinasi karut Roundup  dan  Sledgehammer pencerobohan yang dirancang sebelum ini.
Bahkan, Churchill menulis garis panduan untuk nama yang  indah.  Nama itu, tegas Perdana Menteri itu, sepatutnya tidak berdegar-degar dan terlalu yakin dan tidak juga putus asa dan tidak ada harapan.  Nama itu sepatutnya “tidak membolehkan sesetengah balu atau ibu berkata bahawa anak mereka terbunuh dalam operasi yang dikenali  Bunnyhug atau  Ballyhoo. Nama itu sepatutnya tidak menyampaikan cirri operasi.  Seperti Jerman dalam Perang Dunia Kedua, Churchill gemar menggunakan kata nama yang betul:  “Wira purba kala, tokoh daripada mitologi Greek dan Roman, gugusan bintang, kuda lumba yang terkenal, nama wira perang British dan Amerika.
Sementara Amerika, apabila mereka menyertai peperangan, lebih kurang mengikuti British dalam menamakan gaya mereka.  Tentera Amerika Syarikat mula menyatakan nama misi kepada umum selepas Perang Dunia Kedua, tetapi mereka tidak teratur dari segi memilih khalayak, iaitu angkatan tentera, orang awam Amerika, atau musuh.
Baik dalam operasi ketenteraan mahupun penjenamaan produk atau penamaan tempat, sememangnya memerlukan nama yang indah dengan menggunakan bahasa yang segar.  Jika seseorang itu dipertanggungjawabkan menerajui pertempuran, sama pertempuran ketenteraan ataupun pertempuran politik, sesungguhnya dia perlu memikirkan suatu nama yang indah untuk operasinya.  Untuk itu, dia perlu belajar daripada Churchill, mungkin juga daripada Hitler.  Jangan lupa juga  mencari nama yang indah untuk sesuatu slogan atau konsep supaya orang ramai  mudah memahaminya dan jauh sekali untuk mempersendakannya. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Jun 2011.)

No comments:

Post a Comment