Pages

Monday, June 6, 2011

Berakhirnya Kreativiti

ISNIN, 6 Jun 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH

Kreativiti tidak mempunyai sempadan politik.  Isytihar para penulis dari tujuh buah negara Asia Selatan  pada  tahun 2000  apabila mereka untuk pertama kali bertemu dalam South Asian Association for Regional Cooperation Writers Conference. Mereka  mengingatkan pemerintah mereka bahawa orang ramai lebih penting daripada politik.     Dalam “Perisytiharan   New Delhi” itu,  tokoh sastera dari India, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, Bhutan, dan Maldives menyatakan bahawa pagar berduri di sempadan tidak sepatutnya diperluas ke dalam  hati. 
Lazimnya, idealisme penulis terlalu tinggi, tetapi hakikatnya,  seperti yang berlaku  di   Malaysia, kreativiti dipasung  oleh sempadan yang tebal, antaranya sempadan budaya, dan paling ketara sempadan  politik.  “Semua benda nak dipolitikkan, payahlah.”    Seorang kawan memberitahu  melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)  apabila  MIC mula  “menyerang” novel Interlok yang dijadikan teks sastera Tingkatan Lima. 
Lebih mengaibkan apabila pihak yang terlibat mendesak dan mengugut Kementerian Pelajaran meminda teks tersebut dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan bahawa Interlok  ada tuannya. Sebarang pindaan tanpa persetujuan pengarang terlebih dahulu akan membawa implikasi undang-undang.  Bukan sahaja Interlok dan pengarangnnya menjadi mangsa  kejahilan pihak tertentu,  bahkan juga anggota panel hakim yang melayakkan novel itu memenangi hadiah sagu hati turut diaibkan.  Seperti yang diketahui, novel ini memenangi hadiah sagu hati Peraduan Sempena 10 Tahun Merdeka dan diterbitkan pertama kali pada tahun 1971, bahkan pernah dijadikan teks sastera sebelum ini.    Namun begitu,  tidak ada orang, khususnya ahli politik  yang menyelak halaman demi halaman, menyemak baris demi baris, dan meneliti  perkataan demi perkataan  untuk mencari apa-apa  yang kononnya dianggap menghina sesuatu kaum. Atau mungkin kerana ketika  itu, tidak ada golongan yang  ingin  mendakwa diri mereka “umat terpilih”  lalu mereka menganggap apa-apa yang terkandung dalam karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu sebagai kreativiti pengarang yang mengungkapkan sesuatu berdasarkan realiti zaman.
Dalam keadaan negara yang berbelah bahagi dan politik adalah segala-galanya, memang tidak memeranjatkan apabila pada  8  Januari lalu kira-kira 100 penduduk berketurunan India dengan disertai oleh ahli politik  mengadakan demonstrasi sambil membakar novel Interlok di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK). Mereka  mendesak kerajaan agar mengharamkan novel tersebut dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran Sastera Bahasa Malaysia Tingkatan Lima di sekolah, turut membakar salinan gambar pengarangnya  Datuk  Abdullah Hussain. Seandainya demonstrasi seumpama itu dilakukan oleh orang Melayu-Islam,  seperti demonstrasi kepala lembu di Shah Alam suatu ketika dahulu, pastinya bertalu-talu kritikan dan kata-kata kesat dilemparkan: taksub, jumud, minda tertutup, dan sebagainya.
Bagi golongan yang terlibat dalam demonstrasi  itu dan puak yang bersekongkol wajar diperingatkan bahawa senarai yang panjang untuk  “upacara pembakaran” jika perkataan yang menghina atau menyinggung  ingin dijadikan  alasan:  pantun dan puisi, cerita rakyat dan jenaka, mitos dan legenda, tradisional dan moden, karya agung dan penulisan popular, fiksyen dan bukan fiksyen, kreatif dan bukan kreatif,  novel dan buku umum dan ilmiah, kamus dan ensiklopedia,  filem  dan  drama, bercetak dan elektronik, karya  tempatan dan karya asing. Tidak memadai dengan semua itu, kedai buku dan perpustakaan juga perlu digeledah kerana di sana juga terdapat bermacam-macam bahan yang mengandungi perkataan yang menggerunkan itu! 
Sekali lagi kreativiti menjadi mangsa politik.  Sekali lagi, tanpa berasa bersalah,  ahli politik memperlihatkan diri mereka bukan sebagai pembimbing untuk masyarakat.  Dan sekali lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi sasarannya.  Beberapa tahun lalu, DBP (bersama-sama tiga pihak lain)  dihadapkan “ke muka pengadilan” berikutan penerbitan Kamus Dewan Edisi Ketiga yang didakwa  mengandungi  perkataan yang kononnya menghina kaum tertentu di negara ini.  Padahal, perkataan   dalam kamus berkenaan,   kedapatan di mana-mana sahaja,  sama ada bahan bercetak ataupun elektronik, bahkan  dalam Internet.  Akan tetapi, apabila  hanya  Kamus Dewan Edisi Ketiga dan Interlok yang dibesar-besarkan dan dijadikan sasaran, banyak orang boleh berfikir mengapa.   
Memadamkan perkataan dalam Interlok   tidak menyelesaikan masalah, bahkan lebih membawa kerosakan,  kerana perkataan berkenaan masih boleh didapati dalam penerbitan  lain, termasuk dalam Internet.   Apabila sesetengah pihak mendakwa  bahawa  perkataan itu tidak sesuai untuk para pelajar, sesungguhnya, ini  mencerminkan kejahilan dan kedaifan pihak berkenaan.  Sebenar,  para pelajar    dengan  mudah dapat mencarinya dalam Internet.  Lazimnya, apabila wujud kontroversi seperti ini, orang lebih tertumpu pada bahan bercetak, dan pada takat tertentu terhadap  Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi mereka lupa atau pura-pura lupa akan sumber lain yang membolehkan perkataan tersebut terus hidup dan merayau-rayau.  
Melihat realiti masa kini, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa era keterbukaan untuk pengajaran sastera di sekolah-sekolah telah berakhir.   Maka,  tidak sukar untuk dibayangkan bagaimana respons atau reaksi anggota masyarakat sekiranya beberapa  teks sastera, antaranya    SalinaAteis, dan Keluarga Gerilya kembali semula ke sekolah.  Amat malang apabila sisi gelap dunia sastera dilakarkan dengan sewenang-wenangnya  oleh puak tertentu yang tebal dengan kejahilan, ketaksuban, dan kejumudan.  
Agar masyarakat tidak  terus-menerus dikelirukan serta  diperbodohkan,  perlu diingatkan bahawa Abdullah Hussain bukan pencipta perkataan berkenaan, sebaliknya  beliau sekadar pengguna, dan dengan itu, tidak wajar sama sekali sebagai pengguna, beliau  “diadili” dengan sedemikian rupa.    Di sini, elok  dipetik pengalaman persahabatan Abdullah Hussain dengan orang India yang  cukup akraf dan penuh nostagia seperti yang dicatatkannya dalam Sebuah Perjalanan (edisi kedua, hlm. 518):  “Daripada persahabatan saya dengan orang-orang India di kedai gunting itulah maka saya mulai tertarik dengan negeri Kerala yang terletak di pesisir barat India.  Sebab semua tukang gunting itu datang dari sana.  Saya rakamkan kisah kawan-kawan saya dalam Interlok.”   Malangnya, akibat kerakusan dan kejahilan pihak tertentu, Abdullah Hussain kini menjadi mangsa kepada sebuah persahabatan yang maha agung itu yang beliau cuba rakamkan dalam karyanya.   
Akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia memberikan liputan yang meluas tentang kontroversi novel Interlok, termasuk komen Awang Selamat.  Tidak kurang kupasan yang menarik yang penuh kebijakan oleh    Baradan Kuppusamy  dalam   Sunday Star pada 9 Januari 2011, “Unclocking the ‘Interlok’ Issue” yang kemudiannya dipetik  secara meluas.     
Tegas beliau,   Interlok  mesti dibaca oleh semua rakyat Malaysia, bukan sekadar teks sastera Tingkatan Lima, kerana pendek kata, novel ini mengetengahkan   cerita Malaysia dan bagaimana negara ini lahir menerusi mata tiga watak utama, iaitu Seman, Chin Huat, dan Maniam, dan keluarga mereka.”   Bagi Baradan,  Interlok tidak cuba memperolok-olokkan atau mengejek mana-mana kaum – Melayu, Cina, dan India, tetapi menggarap apakah yang berlaku satu setengah abad yang lalu.
“Abdullah Hussain jujur dan ikhlas dalam mengemukakan gambaran yang lengkap, sebaik yang mungkin tentang orang India dan orang lain tiba di negara ini dan pengalaman mereka.  Beliau tidak patut dipersalahkan.” 
Berhubung dengan perkataan “pariah” yang mencetuskan kontroversi, Baradan  menyusur galur asal usul perkataan berkenaan,  dan mengingatkan bahawa “pariah” termasuk dalam leksikon dunia dan kerap  digunakan secara meluas. Elok juga ditambah di sini bahawa selain digunakan untuk orang atau kumpulan sosial, “pariah” juga digunakan untuk  sesebuah negara yang menghadapi krisis
Secara kebetulan,  di Amerika Syarikat,  kini  karya Mark Twain, iaitu Tom Sawyer (1876) dan Huckleberry Finn (1884)   mencetuskan  polemik  apabila NewSouth Books merancang menerbitkan  kedua-dua karya  itu dalam satu jilid dengan mengubah beberapa perkataan tertentu. Sebenarnya,  Mark Twain memang tidak asing bagi kita di Malaysia, karyanya,  Anak Raja dengan Anak Papa pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Di sini elok juga dipetik perkataan  dalam Interlok yang digunakan lebih awal   oleh Mark Twain. Melalui American Heritage Dictionary  dapat dilihat:  “A social outcast: ‘Shortly Tom came upon the juvenile pariah of the village, Huckleberry Finn, son of the town drunkard’ (Mark Twain).”
Berhubung dengan kedua-dua karya Twain yang dinyatakan di atas, antara perbahasannya ialah meskipun tindakan editor untuk memperluas khalayak  daripada merosot kerana perkataan yang kontroversi itu memang dialu-alukan,  tetapi   menulis semula karya Mark Twain adalah silap di semua peringkat.  Isunya bukan perkataan itu baik atau buruk, tetapi adakah wajar seseorang itu mengubah karya orang lain.
Editor yang terlibat,  iaitu  Professor Alan Gribben  dikatakan berhasrat  menggugurkan perkataan “pak hitam” (nigger) daripada teks Mark Twain yang beliau gunakannya  219 kali,  dan menggantikannya dengan perkataan “hamba” (slave) atau beberapa perkataan lain yang kurang menyinggung dalam kamus Inggeris. Beliau juga mengubah injun kepada orang asli Amerika (Indian).  Antara respons  yang tidak bersetuju adalah bahawa  editor tidak lagi mempunyai kesempatan untuk berunding dengan pengarangnya (Twain meninggal dunia pada 1910). 
Lebih daripada itu, tulis Richard Greener dalam The Huffington Post pada awal Januari,    dengan menggugurkan perkataan itu, editor telah melampaui bidangnya   yang tidak sepatutnya dilakukan.  Beliau mengingatkan bahawa:  “Tidak ada mengena dengan perkataan, tetapi berkait dengan bentuk yang perkataan itu muncul dalam manuskrip.  Ya, Mark Twain menulis setiap perkataan, sebagaimana setiap novelis patut lakukan dalam setiap novel yang mereka tulis dan terpahat nama mereka.  Akan tetapi, perkataan ini bukan hanya  perkataan Mark Twain, cara atau gaya deskripsi, penyataan fakta, unsur naratif novel.” 
Bagi Greener, tidak semua perkataan dalam sesebuah novel itu merupakan perkataan pengarang, tetapi juga merupakan perkataan yang keluar  dari mulut watak. “Sebagai penulis, saya tahu perbezaannya.  Ada perkataan pengarang dan ada perkataan watak.  Perkataan itu tidak selalunya sama.”  Beliau  mengingatkan bahawa oleh sebab Twain menggunakan perkataan “pak hitam” dan beliau tidak menggantikan perkataan itu dengan “hamba,” meskipun beliau boleh berbuat demikian semasa penyuntingan, maka editor “jangan memandai-mandai.” 
Sebagaimana Richard Greener, editiorial akhbar The New York Times,  “That’s Not Twain,”  juga meluahkan  nada yang keras terhadap pemindaan karya Mark Twain itu.  Walau apa-apa pun alasan yang diberikan oleh Gribben, namun  bahas editorial itu, “Kita berasa ngeri, dan kita fikir kebanyakan penulis, pemurni tekstual atau  bukan pemurni,  juga akan berasa ngeri.”   Masalahnya bukan sekadar melancungkan teks Twain, tetapi juga melancungkan sosial, ekonomi, dan sejarah linguistik. Menggantikannya dengan perkataan “hamba” memang kedengaran elok  kerana  difikirikan semua kesalahan yang terletak pada perkataan “pak hitam” (n-word) tidak ada kena mengena dengan institusi perhambaan.  Ulas   editorial akhbar yang terkemuka di Amerika itu lagi:  “Lebih teruk,  anggapan  bahawa pemahaman kebenaran masa lampau merosakkan para  pembaca moden, apabila pada hakikatnya, edisi baru ini sibuk merosakkan masa lampau.”  Demikian juga dengan peringatan editorial itu tentang  pengorbanan yang perlu ditanggung apabila  sesebuah karya itu dipinda, meskipun melibatkan beberapa perkataan tertentu. “Yang menjadikan Huckleberry Finn  terlalu penting dalam sastera Amerika bukan sekadar cerita, tetapi juga kekayaannya, perinciannya, ketepatan yang tidak pernah berlaku dahulu dari segi bahasa yang diucapkan.  Maka, tidak alasan untuk ‘membersihkan’ Twain tanpa melakukan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap  kebenaran  karya ini.”
Tidak cukup dengan editorial itu, The New York Times  dalam ruangan “Room for Debate” mengundang beberapa orang novelis, penulis, dan ahli akademik untuk membahaskan pindaan yang dilakukan oleh  editor NewSouth Books itu yang mencetuskan pelbagai kritikan.  Kebanyakan mereka boleh dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan editor itu dengan mengemukakan alasan masing-masing. 
Salah seorang ahli panel, Jill Nelson berhujah bahawa perkataan tersebut merupakan sebahagian leksikon:  “Sama ada disukai ataupun tidak, dan anda tahu bahawa perbualan lain, perkataan itu merupakan bahagian leksikon awam dan persendirian kita, dan anggapan bahawa para pembaca sezaman Huckleberry Finn  dan  Tom Sawyer adalah berasa terkejut atau tersinggung oleh perkataan itu nampaknya boleh dipersoalkan.”  Selain mengingatkan bahawa perkataan “pak hitam” dan “hamba” adalah berbeza sama sekali dan kedua-duanya tidak boleh saling bertukaran, beliau  turut berhujah, “para penulis memilih perkataan mereka dengan berfikir  semasak-masaknya.” 
Sementara Jane Smiley yang juga tidak bersetuju dengan penggantian perkataan itu, mengingatkan bahawa “kita membaca drama Shakespeare dan  Huckleberry Finn kerana karya itu   sangat agung, dan juga memberitahu kita sesuatu tentang masa  ketika karya itu dicipta.  Secara peribadi, bahas beliau, “jika saya mengajar Huck Finn, saya mahu pelajar saya berasa terkejut dan berasa meluat dengan penggunaan perkataan “pak hitam” (n-word), dan kemudian,  saya mahu membincangkan isu yang mengelilingi perkataan itu, dan bagaimana isu tersebut ditunjukkan dalam novel.”
Makalah ini tidak bertujuan memetik seorang demi seorang pendapat   ahli panel itu, hanya   memadai dipetik Thomas Glave dan akhir sekali Timothy Jay.  Bagi Glave, “Pada tahu 2010 (dan selalunya), kita mesti berani dan benar-benar jujur untuk menghadapi fakta keras bahawa menggantikan “pak hitam” dengan perkataan “hamba”  dalam karya agung Mark Twain, Huckleberry Finn tidak memadamkan dan tidak menumpaskan sejarah hodoh yang daripadanya novel dan perkataan yang menyinggung itu muncul. Bagi Glave,   menggantikan satu perkataan dalam novel tidak boleh membetulkan berabad-abad kerosakan dan kekejaman yang yang menimpa orang kulit hitam yang dilakukan  oleh orang kulit putih yang sejak sekian lama dan hingga kini menganggap “kita bertaraf rendah, bodoh, malas, jahil, tidak jujur, macam haiwan dalam maksud yang paling jijik, dan pada amnya bernafsu terlalu tinggi.”
Bagi Timothy Jay yang berhujah bahawa siapa yang tidak mahu dunia menjadi tempat yang paling baik atau untuk anak-anak kita untuk lebih terpelajar?  Menarik keluar perkataan “pak hitam” daripada Huckleberry Finn tidak akan membantu apa-apa.  Biarkan buku itu seadanya dan biarkan setiap komuniti membuat keputusan; itulah yang pernah mereka lakukan.  Beliau mengingatkan bahawa membersihkan sastera tidak akan menjadi satu penyelesaian.  “Kita patut memberitahu anak-anak kita dan menyediakan mereka untuk membuat keputusan sendiri tentang maklumat.  Topik yang tidak selesa, seperti seksualiti, rasisme, gangguan yang berkali-kali, dan prasangka perlu  dihadapi dan bukannya disimpan atau disorok.” 
Sesungguhnya, banyak yang boleh dipelajari daripada polemik karya Mark Twain itu: menggugurkan atau mengubah  mana-mana perkataan untuk karya yang wujud sekian lama tidak semudah yang difikirkan.   Tindakan seperti itu bukan sahaja merosakkan karya berkenaan, bahkan juga melakukan kecurangan terhadap realiti  sejarah,  dan persekitaran budaya, dan latar belakang sosioekonomi yang mempengaruhi penciptaan karya. 
Sesungguhnya juga, tidak ada apa-apa yang perlu diratapi jika sesebuah karya itu mati di tangan  pengkritik. Akan tetapi,  suatu bencana menimpa kemekaran   kreativiti, malahan terhadap  dunia intelektual,  budaya,  dan  peradaban manusia  jika sesebuah karya  itu dipinda atas desakan dan ugutan yang diperburukkan lagi oleh  penglibatan ahli politik populis yang menangguk di air keruh.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera April 2011.)

No comments:

Post a Comment