Pages

Tuesday, June 7, 2011

Kota Buku Belum Terkota

SELASA,   7 Jun 2011
Oleh:   ZULKIFLI   SALLEH


Ketika merasmikan merasmikan Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM) pada 3 Mac 2006, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mencadangkan penubuhan Kota Buku.  Sementara Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan ketika itu dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan penubuhan tersebut.

Berikutan cadangan penubuhan itu, beberapa agensi kerajaan, seperti Perpustakaan  Negara Malaysia (PNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mengambil daya usaha untuk melaksanakan cadangan Timbalan Perdana Menteri.  Bagi DBP, bangunan lamanya  dicadangkan dijadikan Kota  Buku, meskipun lokasi tersebut tidak memenuhi konsep dan kriteria sebuah Kota Buku.  Tidak kurang individu atau pertubuhan yang ingin terlibat dalam penubuhan Kota Buku, tetapi perlu bergantung pada sumber kewangan daripada kerajaan.  Berikutan pengumuman itu juga, beberapa individu yang dianggap "pakar" dalam dunia penerbitan melawat Kota Buku di Korea Selatan, namun tidak dapati dipastikan pihak yang menaja lawatan itu.  Jika tidak silap, salah seorang anggota rombongan itu pernah  menulis dalam akhbar tempatan tentang Kota Buku yang dilawatinya itu.

Kota Buku  ialah kawasan desa yang kecil, bandar atau kampung yang menjadi tumpuan penjual buku, terutamanya kedai buku terpakai dan kepurbaan.  Kedai buku lazimnya dilengkapi dengan perusahaan artisan, seperti pengeluaran kertas, kaligraf, percetakan, reka bentuk buku, ilustrasi buku dan penjilidan buku tradisional, di samping kraf yang tidak berkaitan dengan buku.  kebanyakan bandar buku dibangunkan di kampung yang memiliki kepentingan sejarah dan keindahan pemandangan.  Banyak bangunan lama yang biasanya tidak dihuni menjadi hidup semula sebagai hasilnya, kedai  buku yang berkembang maju.  Selain itu, pembangunan  Kota Buku  menggalakkan pemuliharaan budaya dan warisan senia bina. 

Bermula dengan penubuhan Kota Buku Hay-on-Wye di Wales, United Kingdom pada tahun 1961, kini terdapat 20 buah Kota Buku atau desa yang tersenarai dalam Gerakan Kota  Buku Antarabangsa, termasuk Kampung Buku di Langkawi yang kini tidak diketahui nasibnya.  Penubuhan Kota Buku di seluruh dunia dikatakan dipengaruhi oleh kejayaan Kota Buku Hay-on-Wye yang terletak di sempadan Welsh-Inggeris.  Pada pertengahan tahun 1970-an, terdapat 12  buah kedai buku di sana, meningkat kepada 18 buah satu dekad kemudian, dan kini mempunyai 39 buah kedai buku dan dikunjungi oleh antara 500,000 hingga satu juta orang pelawat setahun. Hay juga mempunyai 100 penginapan dan kira-kira 20 buah restoran, kafe, bistro, dan seumpamanya.  Dari segi jumlah buku pula, dianggarkan paling banyak tiga juta naskhah dan paling rendah satu juta naskhah.

Setiap Kota  Buku mempunyai ciri yang mempunyai persamaan dan perbezaan antara satu sama lain, antara ciri berkenaan ialah:  (1) Kedai buku (umum, khusus, buku terpakai, purba, langka); (2) Kegiatan, seperti festival sastera, pesta buku, pameran penulisan, anugerah Kota Buku, bertemu penulis/pengarang, festival penulis, baca puisi; (3) Kemudahan rekreasi dan sukan, seperti berbasikal, pancing ikan, golf, dan sukan padang; (4) Kedai lain, pekedai runcit, farmasi, cenderamata dan kraf, butik, dan artisan. (5) Melukis dan mencetak; (6) Hotel dan restoran; (7) Bengkel penjilidan buku dan tempat membuat tembikar; (8) Komuniti penulis, pembaca, dan artis yang memberikan sokongan kepada aktiviti Kota Buku; (9) Mesin cetak lama, pengukir dan kaligraf, geneologi, dan pameran sejarah tempatan.

Selain itu, Kota  Buku juga mempunyai faktor kejayaan kritikal, dan dengan itu, perlu dikenal pati motif yang mendasari untuk mewujudkan Kota Buku, sama ada pakej pelancongan ekonomi untuk sesebuah bandar, kampung atau wilayah, ataupun teknik pemasran untuk menjual lebih banyak buku.  Kota Buku di Amerika Utara dikatakan lebih tertumpu pada aspek kedua, manakala kebanyakan Kota Buku di Eropah tertumpu pada aspek yang pertama, kecuali Hay-on-Wye yang cuba memenuhi kedua-dua motif.  Menurut kajian, Kota Buku mempunyai faktor kejayaan kritikal yang perlu dipertimbangkan, antaranya: lokasi, motivasi pelancongan berbanding dengan penjualan buku, jisim genting kedai buku dan kewujudan berbanding dengan penjual yang baru, sokongan kerajaan dan subsidi kewangan, psikologi sosial Kota Buku, sikap komuniti tuan rumah, kuantiti/kualiti stok buku,  perletakan harga, pemantauan penilaian, Internet/perdagangan katalog, kepimpinan dan perkongsian, dan dimensi nasional dan antarabangsa.

Tidak cukup dengan cadangan Najib yang belum terkota, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pada Mei 2009, penubuhan Kota Buku.  Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM27 juta untuk mewujukan Kota Buku di ibu negara sebagai premis berkelompok bagi penulis, sasterawan, dan penerbit menjalankan urusan tentang dunia buku secara lebih tersusun dan bersungguh-sungguh.  Beliau juga dilaporkan berkata, usaha itu bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab industri buku, selain penerbitan, pemasaran,  pengedaran, dan penulisan buku sekurang-kurangnya di peringkat Asia.

Namun,  Kota Buku   belum kelihatan, meskipun pernah dicadangkan dan diumumkan oleh dua Timbalan Perdana Menteri.  Untuk mengotakan sebuah Kota Buku yang dicadangkan pada tahun 2006 dan diumumkan pada tahun 2009, sesungguhnya, suatu tempoh yang cukup panjang.  Tidak dapat dipastikan berapa orang yang masih ingat akan cadangan dan pengumuman itu kerana manusia lazimnya mempunyai memori yang singkat.  

No comments:

Post a Comment