Pages

Sunday, June 5, 2011

Meritokrasi: Indah Khabar dari Rupa

AHAD,   5  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam  “Income Inequality Around the World is a Failure of Capitalism,” yang dipetik dalam  “Ketidaksamaan Semakin Melebar,” Kentaro Toyoma, menegaskan bahawa satu kemungkinan masalah ialah asas moral yang mendasari kapitalisme: meritokrasi.  Kepercayaan kita terhadap meritokrasi begitu kukuh dan sukar dipersoalkan.  Lagipun, memberikan  ganjaran kepada orang berasaskan merit adalah lebih baik daripada rasuah atau nepotisme. “Akan tetapi,”  bahasa  beliau, “sistem yang lebih baik daripada rasuah dan nepotisme tidak semestinya sistem yang mungkin lebih baik.  Apa yang kita anggap ‘merit’ adalah hasil pendidikan, dan pendidikan yang lebih baik memerlukan pendapatan yang lebih besar.  Justeru, meritokrasi, merupakan jenis pembahagi sosial.”  Tegas  Toyoma lagi,  hanya cara untuk mencapai keadilan dalam meritokrasi adalah menyediakan peluang yang lebih sama untuk setiap orang untuk mencapai merit.

Sekurang-kurangnya   Kentaro Toyoma  mengingatkan bahawa meritokrasi bukan sesuatu yang terbaik sehingga tiada cacat celanya,  dan dengan itu, boleh diterima dengan seadanya, seperti yang lazim didendangkan oleh ahli politik  dan cerdik pandai di negara kita: Meritokras! Meritokrasi! Meritokrasi! Bergema satu dunia.  Contoh yang terbaharu, pembahagian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sehingga meletakkan pihak penaja “tidak boleh berkata apa-apa” kerana diasak oleh pihak tertentu yang  berselindung di sebalik meritokrasi. 

Meskipun di mana-mana sahaja orang berbincang tentang meritokrasi, pelaksanaan sistem sentiasa dinilai sekurang-kurangnya dari segi keberkesanannya.  Baru-baru ini, Matthew Reisz mendedahkan bahawa mobiliti sosial tidak begitu mudah dalam meritokrasi moden England jika dibandingkan dengan oligarki  Zaman Pertengahan.  Beliau merujuk kepada projek penyelidikan besar oleh Gregory Clark, “Was There Ever a Ruling Class? 1,000 Years of Social Mobility in England.”  Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa “sumber sosial yang sangat besar dibelanjakan secara awam menyediakan pendidikan dan kesihatan yang nampaknya tidak membuahkan hasil dari segi kadar mobiliti sosial.  Meritokrasi moden tidak menghasikan mobiliti sosial yang lebih baik jika dibandingkan dengan oligarki Zaman Pertengahan.  Sebaliknya, kadar itu kelihatan menjadi konstan fizik sosial, melampaui kejuruteraan sosial.”

Dalam “The Myth of  American Meritocracy” Michael James Forbush memerhatikan sesetengah jawatan akan diberikan mengikut merit, tetapi untuk kebanyakan bahagian, keluarga dan kawan akan diberikan dahulu. Merujuk kepada syarikat yang diasaskan oleh keluarga dan akhirnya diperturunkan kepada waris, Forbush menegaskan bahawa “pada amnya, adakah anda percaya bahawa waris memperoleh syarikat itu menerusi merit?”  Bagi beliau, takrif meritokrasi diberikan kepada bagaimana seseorang itu meningkat tinggi berasaskan meritnya.  “Idea ini secocok dengan mitos kapitalis bahawa produk yang terbaik akan bertahan dalam pasaran, idea yang terbaik terus hidup, dan perkara yang lemah akan gagal.”

Beliau mengingatkan bahawa Amerika bukannya meritokrasi.  Amerika mempunyai beberapa aspek meritokrasi, pada takat untuk jawatan dalam jangkauan   tertinggi dalam masyarakat, wujud ruang terbuka untuk beberapa orang baru untuk memasuki masyarakat itu.  Akan tetapi, mengikut semua cara jangkauan tertinggi masyarakat Amerika adalah tidak dipenuhi secara eksklusif oleh orang yang memperoleh hak untuk ke situ.  “Ini adalah mitor, dan kita semua tahu ini.  Waris kepada wang ‘lama’ di negara ini besar kemungkinannya tidak layak mendudukai kelas atasan.  Mereka dilahirkan untuk kedudukan mereka.”

Tambah beliau, “setiap orang daripada kita tahu bahawa orang yang diambil bekerja kerana mereka kenal seseorang.  Setiap orang daripada kita tahu orang yang diambil bekerja itu tidak layak untuk jawatan tersebut.  Setiap orang daripada kita tahu bahawa sembang duit dan jika anda memiliki duit, maka anda besar kemungkinannya mampu memujuk orang melakukan apakah yang anda mahu tanpa mengambil kira merit idea… Merit tidak berapa penting kepada segelintir orang yang menarik tali… Masyarakat kita sepatutnya tidak mengabadikan mitos meritokrasi hingga wujud bukti yang menyokong ini sebagai fakta.”

Meritokrasi, bahas Ross Douthat dalam “Does Meritocracy Work?”  tidak akan berfungsi jika masyarakat dan kolej masih gagal membezakan antara kekayaan dengan merit. Di negara yang ijazah kolej merupakan prasyarat untuk kemajuan ekonomi dan sosial, pelajar kaya dan kelas menengah atas boleh merasa selamat tentang peluang mereka.  Mereka mungkin tidak mempunya gred atau kekayaan yang baik untuk memasuki sekolah pilihan pertama mereka, tetapi mereka masih berkemungkinan diterima masuk ke kolej yang secocok dengan minat dan cita-cita mereka yang sangat munasabah.  Dalam tulisan yang cukup panjang dalam The Atlantic itu, Douthat yang memberikan tumpuan dalam  bidang pendidikan di Amerika dan peluang seseorang untuk memegang jawatan atau memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, mendedahkan kegagalan meritokrasi di negara itu:  “Ini bukannya bagaimana meritokrasi moden sepatutnya berfungsi” dan “meritokrasi akan menjadi warisan.”

Mana-mana perbincangan tentang meritokrasi mungkin tidak sempurna jika tanpa merujuk kepada  “On Meritocracy and Equality” oleh Daniel Bell yang antaranya membahaskan genetik dan kepintaran.  “Dalam meritokrasi sebagaimana dibayangkan secara tradisional, penilaian individu dan peruntukan ganjaran sosial bertolak dari andaian hubungan rapat antara pencapaian dan kepintaran dan antara kepintaran dengan ukurannya terhadap skala Intelligence Quotient.  Justeru, soalan pertama yang akan disoal tentang meritokrasi, apakah yang menentukan kepintaran.”
Bell juga menyenaraikan tentangan sosiologi dan falsafah terhadap meritokrasi: (1) Jika seseorang mengandaikan bahawa meritokrasi merupakan pilihan semata-mata oleh kepintaran, dan kepintaran berasaskan genetik yang diwaris secara berbeza, maka hak istimewa yang diperoleh pada asas loteri genetik sembarangan yang merupakan antitesis keadilan sosial; (2) Tidak akan wujud meritokrasi tulen kerana ibu bapa berstatus tinggi akan selalunya berusaha mewariskan kedudukan mereka, sama ada menerusi penggunaan pengaruh atau hanya melalui kelebihan budaya yang anak-anak mereka tidak dapat dielakkan miliki.  Oleh itu, selepas satu generasi,  meritokrasi hanya menjadi  enclaved class;  (3) Memang banyak mobiliti sosial di Amerika Syarikat, tetapi ini kurang berkaitan dengan persekolahan atau keupayaan atau bahkan latar belakang keluarga berbanding dengan fakor tidak ketara dan rawak, seperi nasib baik dan keupayaan dalam pekerjaan tertentu yang seseorang itu terlibat; (4) Meritokrasi menanamkan perasaan daya saing ke dalam masyarakat yang merosakkan mereka yang berjaya dan bahkan lebih merosakkan mereka yang gagal; dan (5)  Prinsip kesamaan peluang, bahkan jika direalisasikan pada asas bakat, pastinya  sewenang-wenangnya mewujudkan semula ketidaksamaan baru dalam setiap generasi, dan dengan itu, menjadi kuasa konservatif dalam masyarakat.
Tinjauan ringkas yang dikemukakan di atas jelas menunjukkan meritokrasi masih dipersoalkan dan diragui.  Akan tetapi, di negara kita, cara meritokrasi dipertontonkan dan diperjuangkan oleh golongan tertentu, seolah-olahnya sistem ini tidak ada tolok bandingnya.  Bagi mereka, tidak ada alternatif sama sekali untuk meritokrasi.  

No comments:

Post a Comment