Pages

Tuesday, March 17, 2020

Sejarah Perjuangan Kita


SELASA, 17 Mac 2020
Oleh:  ZULKILFLI SALLEH



Penerbitan semula Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr, Burhanuddin al-Helmy, Saya berterima kasih kepada Puan Linda Misran dari Dewan Bahasa dan Pusraka yang sudi menyemak perumian yang saya usahakan.




Sejarah (Perjuangan Kita)
Oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy
Dicetak oleh
The United Press,
3, Dato Keramat Road,
Penang
(Kandungannya)
Dari penerbit
1. Asal usul kebangsaan Melayu
2. Bangsa Melayu dengan bangsa dagang
3. Pemerintahan di gugusan pulau-pulau Melayu
4. Pergerakan kebangsaan Melayu dan politik
5. Perang Dunia yang Kedua
6. Kesedaran bangsa Melayu
7. Perjuangan kita menurut ajaran al-Qur’an
8. Tertubuhnya parti kebangsaan Melayu
9. Soal-soal yang timbul
10. Penutup
Top of Form
Dari Penerbit: Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah Wassalatu Wassalam alla rasulullah

Buku "Sejarah Perjuangan Kita" ini sebenarnya telah ditulis oleh Tuan Doktor Burhanuddin al-Helmy, pada kira-kira hampir sepuluh tahun yang lampau, iaitu tahun 1946 sebagai memperingati perjuangan kebangsaan Melayu dalam parti politiknya (PKMM) genap setahun. Dan telah pun dicetak  dan diterbitkan di masa itu di ketika beliau sebagai sifatnya pemimpin agung Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Dalam kata pendahuluannya yang bertarikh 8 Oktober 1946, di antara lain beliau berkata: "Di dalam buku (Perjuangan Kita) ini, moga-moga kiranya terbayanglah rupa perjuangan kita untuk menambah dan memperkukuhkan keyakinan kita menempuh perjuangan di masa depan."
Malaya hak Melayu - kita berjuang membela hak dan keadilan bangsa kita, bulat dan tegak menuju ke arah keinginan dan keselamatan bangsa dan nusa, Tuhan tetap kepada pihak yang benar....
Hari ini - diterbitkan semula ialah dengan maksud dapat hendaknya dibaca oleh segenap bangsa Melayu yang kini telah pun menjadi bangsa yang ingin merdeka, semoga dapatlah kita mempelajari sedikit sebanyak sejarah perjuangan bangsa kita sejak beberapa tahun yang lampau terutamanya, di ketika mana "benih merdeka" mula ditanam dan disemai oleh para pejuang bangsa kita yang akibatnya mereka meringkuk di dalam tahanan Darurat beberapa tahun dan serentak dengan itu pula parti mereka (PKMM) telah diharamkan.
Setakat manakah penghargaan masyarakat kita terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan itu? Terserahlah kepada rakyat menilainya. Ini juga menjadi ukuran setakat mana kesedaran kita sebagai suatu bangsa yang sebenar-benarnya  ingin merdeka dan anti kepada apa juga corak penjajahan di tanah air kita.
Wabillahiltaufik - merdeka!
Ahmad Azam













Dr. Burhanuddin al-Helmy ialah:
·         Bekas pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
·         Bekas pengerusi gabungan Putera-(A.M.C.J.A).
·         Wakil Malaya ke Persidangan Seluruh Asia tahun 1947.
·         Pemerhati ke Persidangan Afro-Asia pada bulan April 1955.
·         Pengerusi jawatankuasa pemandu Kongres Pemuda se-Malaya.
·         Pemimpin rakyat yang belum pernah turut memegang jawatan kerajaan.
·         Pemimpin yang tetap dengan pendiriannya memperjuangkan hasrat dan cita-cita kebangsaan Melayu.
Untuk berkenal lebih dekat, bacalah buah qalam beliau: Sejarah "Perjuangan Kita" ini semoga menambahkan keyakinan kita bangsa Melayu sebagai bangsa yang ingin merdeka.
Penerbit
Bukit Mertajam, Oktober 1955.






Bismillahirrahmanirrahim
(1)
Asal Usul Kebangsaan Melayu
Sejarah "Perjuangan Kita" supaya jelas dan terang, dapat difaham dan dipelajari oleh tiap-tiap seorang bangsa Melayu hari ini, hendaklah diselidiki dan dipelajari dari asal usulnya, dari akar dan umbinya sekali. Kerana hanya begitulah sahaja, baru dapat menimbulkan rasa keyakinan  dan kepercayaan yang teguh yang akan menjadi "asas dan dasar" kita memperjuangkan cita-cita suci menuju matlamatnya - iaitu "merdeka" - merdeka dalam erti kata yang sebenar-benarnya, iaitu kemerdekaan bangsa, agama dan tanah air. (Bangsa Melayu menjadi tuan di tanah airnya sendiri).
Di sini - saya akan menerangkan dengan seberapa ringkas. Menjelaskan perjuangan kita bangsa Melayu yang telah sambung menyambung sejak dahulu sehingga kepada masa-masa yang akhir  ini. (Di ketika Parti Kebangsaan Melayu Malaya ditubuhkan pada tahun 1945).
Menurut pendapat ahli-ahli sejarah bahawa Nusantara tanah air kita adalah terkenal kepada beberapa nama yang di antaranya:-
1.          Gugusan pulau-pulau Melayu.
2.          Malaysia - Maliziah.
3.          Pulau-pulau rempah.
4.          Melayu Raya.
5.          Malay Archipelego.
6.          Indonesia.
7.          Malaynesia.
8.          Macronesia.
9.          Polynesia.
10.       Dan sebagainya - lihat buku ‘Falsafah Kebangsaan Melayu”.
Kawasan-kawasan ini telah didiami orang sejak beribu-ribu tahun sebelum tarikh dunia ini tertulis.
Dipandang dari segi ilmu tawarikh dan beberapa kenyataan, adalah tanda-tanda menunjukkan lebih daripada 3,000 tahun yang kawasan ini telah mempunyai tamadun (kemajuan). Kitab-kitab tarikh Hindu dan Cina - begitu juga dalam tawarikh Arab ada menegaskan: bahawa kerajaan Melayu "Sriwijaya" di Palembang-Sumatera tidak kurang dari 2,000 tahun telah terdiri (tahun 500 - 1400 M).
Dan sesudahnya kerajaan Sriwijaya ini, berpindah pula  keagungan dan kebesaran bangsa Melayu kepada suatu kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan "Majapahit" (tahun 1293 - 1520 M). Kemudian pada akhirnya berpindah kepada kerajaan Melaka. Ketiga-tiga empayar ini berdiri sendiri, dengan mulia agung, bebas dan merdeka, berbaik-baik dan bersahabat dengan kerajaan-kerajaan asing yang berjiran dengannya, seperti India, China, Arab dan sebagainya.
Kawasan dan sempadan ketiga-tiga kerajaan Melayu Raya yang berganti-ganti itu, ke utaranya adalah bersempadan dengan Siam, manakala ke baratnya hingga ke pantai-pantai negeri Hindi, lantas ke pulau-pulau Madagaskar, ke timurnya pula, termasuklah pulau  Farmosa berdekatan dengan Kyiasu Jepun, dan ke selatannya adalah meliputi beribu-rubu pulau di lautan teduh.
Pada masa itu, seluruh dunia belum lagi mempunyai politik pemerintahan, sebagaimana hari ini. Pengertian kebangsaan (National) di masa itu berlainan dengan pengertian kebangsaan yang terpakai dalam politik pemerintahan hari ini. Kerana pada masa itu istilah kebangsaan adalah mengikut sesuatu kemaharajaan sahaja. Orang-orang atau rakyat sesebuah negeri itu adalah dihitung menjadi dihitung menjadi rakyat negeri itu dengan pengertian "rakyat serimaharaja Sriwijaya, rakyat serimaharaja Majapahit, rakyat serimaharaja Melaka" begitu juga bangsa-bangsa asing seperti bangsa Cina umpamanya adalah dikenal dengan rakyat Chin dynasti.
Tetapi - manakala ahli-ahli sejarah dan ahli-ahli tawarikh dunia hendak mempersuaikan kedudukan bangsa-bangsa dunia ini, kedudukan peta  buminya, dan kedudukan politik pemerintahan sesuatu negara itu, supaya mudah dikenali, maka sejak itulah baru nama "gugusan pulau-pulau Melayu" atau "Malay Archipelego" dan sebagainya itu dituliskan orang. Dan sebab-sebab dinamakan pulau-pulau itu "kepulauan Melayu" ialah kerana negeri-negeri itu bahasa Melayulah yang lebih luas terpakai.
Dari segi kebudayaan pula - haruslah tiada ada  suatu bangsa yang besar dalam dunia ini yang telah pernah menempuh kebudayaan-kebudayaan yang besar serentak dan selari sebagaimana bangsa Melayu. Bangsa telah menempuh tiga kebudayaan besar, agung dan hebat yang terkenal di dunia ini. Iaitu kebudayaan Hindu beribu-ribu tahun semasa kerajaan Sriwijaya - kemudian bersambung pula dengan kebudayaan Buddha  dalam masa   kerajaan Majapahit, manakala pada abad ke-11 Masihi berganti pula dengan kebudayaan Islam, iaitu sejak kerajaan Islam Melaka sehingga ke zaman  penjajahan hari ini. Semua kebudayaan itu adalah mempengaruhi jiwa budi - daya bangsa Melayu yang telah menjadikan bangsa Melayu itu suatu bangsa yang kaya dengan kebudayaan dan mempunyai bentuk kebudayaan yang tersendiri pula.
(2)
Bangsa Melayu dengan Bangsa-bangsa Dagang
Kemakmuran, kebesaran, kemegahan dan keagungan kerajaan-kerajaan Melayu dahulu adalah harum kemasyhurannya ke seluruh dunia. Mulai dari saudagar-saudagar bangsa India dan Cina sejak beribu-ribu tahun yang lalu telah pun mengadakan perhubungan dengan Negeri-Negeri Melayu dan akhirnya kemakmuran dan kemewahan Negeri-Negeri Melayu itu bertambah merebak tersebarnya hingga sampai ke Parsi, Arab, Rom dan Eropah. Maka beransur-ansurlah pula orang-orang Parsi, Arab, Rom, Eropah datang berniaga ke Negeri-Negeri Melayu dengan kapal dan bahtera mereka yang besar-besar
Kebetulan pula - di masa itu, di Eropah telah disuluh oleh tamadun Islam. Mereka telah tahu khasiatnya rempah-rempah. Maka mulalah orang-orang Spain, Portugis belayar jauh hingga ke India dan akhirnya sampailah kepada gugusan pulau-pulau Melayu tempat tumpuan saudagar-saudagar India membeli rempah yang diperniagakan ke Eropah itu. Dari semenjak itu semakin terkenallah kemakmuran Tanah Melayu ini dengan mata benda perniagaan yang digemari oleh bangsa-bangsa dagang, dan semakin ramailah orang-orang Cina, India, Parsi, Arab dan orang-orang Eropah datang ke Tanah Melayu. Di antara bangsa-bangsa dagang itu, termasuklah bangsa-bangsa Belanda, Inggeris memulakan perniagaannya dengan Negeri-Negeri Melayu itu.
Sebagaimana telah diketahui, kerajaan Melayu adalah dalam keadaan mewah makmur dan kaya raya. Mereka hidup dengan aman damai, ria dan bahagia. Hidup bermasyarakat di antara sama sebangsa dengan tiada ada sesiapa mengganggunya sebelumnya didesak oleh bangsa-bangsa dagang yang datang ke tanah air kita.
Tetapi – perubahan-perubahan telah mula datang kepada bangsa Melayu dan kepada tanah air Melayu, ialah oleh desakan bangsa-bangsa dagang yang datang ke Tanah Melayu, kerana itulah orang-orang asing seperti Cina, India, Arab, dan sebagainya telah dipanggil dengan “orang dagang”, kerana kedatangan mereka ke Tanah Melayu ini lebih dikenali dengan dagangan mereka, kemudian berturutlah dengan sebutan-sebutan “dagang senteri”, “dagang piatu” dan sebagainya. Sedang dalam bahasa Inggeris berlainan bilangannya dengan perkataan Foreigner dan Stranger, manakala terjemahannya yang lebih tepat ialah Trade, Trader, Trading, Commerce dan sebagainya.
Inilah dia “takrif” pengenalan orang-orang Melayu terhadap orang-orang luar atau orang dagang di masa itu sebagai membuktikan besarnya pasar perniagaan dalam kerajaan-kerajaan  Melayu di masa itu.
Bagaimanapun – bangsa-bangsa India, Cina, Parsi dan Arab hanyalah setakat merebut perdagangannya sahaja di Tanah Melayu ini. Tetapi bangsa-bangsa Barat (Inggeris, Belanda, Sepanyol, Portugis dan Amerika) bukan sahaja setakat merebut perniagaan, tetapi adalah terus menjajah Tanah Melayu ini – yang menyebabkan hakikatnya bangsa Melayulah  yang menjadi “dagang” di tanah airnya sendiri.
Bagaimana bijaknya orang-orang Barat hendak memulakan cengkaman kuku penjajahannya “di kepulauan ini” ialah dengan nama “syarikat perniagaan” mereka yang disebut dengan nama “kompeni” itu dan “kompeni” ini. Kerana itulah juga orang Barat itu di Tanah Melayu terkenal dengan sebutan “orang kompeni”.
Tahun 1511M. itulah tahun malapetaka, tahun yang paling malang kepada bangsa Melayu, kerana pada tahun itulah tarikh jatuhnya kerajaan Melayu yang gah dan masyhur itu. Kemudian beransur-ansurlah malang dan nahas yang menimpa seluruh bangsa Melayu di gugusan pulau-pulau Melayu, dan dari semenjak itulah mula tenggelam hak dan keadilan  bangsa Melayu dari muka dunia, sebagai suatu bangsa yang pernah berdaulat dan berkerajaan sendiri.
Sudahlah begitu, maka dalam buku-buku bahasa Inggeris pula yang ditulis oleh pengarang-pengarang Barat  itu mereka telah membesar-besarkan, memperkenalkan bangsa Melayu kepada dunia dengan “cap” bangsa yang pemalas, jahil – bodoh, perompak lanun dan sebagainya. (Itulah sebabnya kedatangan orang-orang Barat itu kononnya kerana hendak mengajar dan memimpin bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang berkemajuan  - dan hasil pimpinan mereka itulah sebagaimana keadaan kita hari ini – hidup merana di negeri sendiri).
Tetapi apakah yang sebenarnya bangsa Melayu di dalam lipatan tawarikh dan sejarah dunia? Dan di dalam ingatan hati  sanubari bangsa Melayu sendiri? Kenapakah mereka mendapat gelaran yang serendah itu sebagai bangsa pemalas, perompak dan sebagainya? Iaitu sesudahnya bangsa-bangsa dagang itu dapat mengecap kemakmuran bumi Melayu yang makmur dan kaya-raya ini??
Maka jawabnya telah pun jelas tergambar sebelum tahun 1511 dengan terus mata dan ramalan Laksamana Hang Tuah, ketika melihatkan ancaman yang hebat yang sedang dan akan menimpa bangsa Melayu dengan pesanan beliau yang berhikmat “Tak Melayu hilang di dunia!”
Ancaman ini datangnya adalah berpunca dari perdagangan – sebagaimana orang-orang Inggeris telah pun terkenal dengan nama  “East India Company” dan orang Belanda dengan VOC (Vereenigde oost Indische Compagnie) dan akhirnya kepulauan Melayu ini telah menjadi rebutan kapitalis Eropah itu dan kesudahannya menjadi imperialis (penjajah).

(3)
Pemerintahan di Gugusan Pulau-pulau Melayu
Setelah robohnya kerajaan Melayu Melaka, maka dari semenjak itulah berturut-turut robohnya kerajaan-kerajaan Melayu yang kecil-kecil, dan dari semenjak itulah juga perjuangan kebangsaan Melayu yang berbagai ragam dengan tiada putus-putusnya sambung menyambung, “patah tumbuh hilang berganti” sehingga hari ini. Di sana sini telah berlaku peperangan yang sengit dan hebat – tidak termasuk pergaduhan-pergaduhan kecil. Sebabnya – tidak lain, ialah kerana rasa jiwa merdeka yang dipusakai turun-temurun dari datuk nenek bangsa Melayu sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat itu masih hidup dengan suburnya dalam tiap-tiap jiwa raga bangsa Melayu.
Berapakah banyaknya jiwa bangsa Melayu yang  telah terkorban di Filipina kerana menentang Sepanyol, dan di Jawa, di Sumatera dan di Silibis kerana menentang Belanda – begitu juga keadaannya di Semenanjung ini, ialah semata-mata kerana mempertahankan hak dan keadilan bangsa Melayu.
Bangsa Melayu sungguh taat dan berpegang teguh dengan adat istiadatnya, sehingga  timbul pepatah “biar mati anak jangan mati adat” ertinya: biarlah jiwa raga putera  bangsa Melayu   terkorban kerana mempertahankan kemuliaan, kehormatan dan kebesaran adat istiadat bangsa dan negara Melayu daripada terjajah kepada bangsa-bangsa asing.
Bangsa Melayu memang mempunyai tatatertib dan disiplinnya, taat setia kepada raja dan kerajaannya sehingga timbul pula pepatah “anak Melayu berpantang derhaka.” Raja-Raja Melayu tetap disembah, dihormati dan disanjung tinggi. Kedaulatan rajanya tetap dipertahankan dengan cogan “daulat tuanku”, ampun tuanku, sembah patik  harap diampun dan sebagainya.
Perasaan taat setia dan menghormati kepada raja-raja, datuk-datuk, penghulu-penghulu, ibu bapa dan tiap-tiap orang yang dianggap tua itu telah pun bersebati ke dalam jiwa raga bangsa Melayu, sehingga menimbulkan perkataan: takut kena daulat, takut kena tulah, daulat raja, tulah ibu bapa, guru dan sebagainya.
Ini – adalah sedikit gambaran tinggi mulia dan halusnya budi dan “budi daya” dan kesopanan peradaban bangsa Melayu, sebagai bangsa satu bangsa yang mempunyai cukup lengkap sejarah dan kebudayaannya sendiri yang tak kalah dengan bangsa-bangsa asing di dunia ini.
Semenjak jatuhnya kerajaan Melayu Melaka, maka seluruh Kepulauan Melayu telah menjadi huru-hara, berganti-ganti pertempuran peperangan. Bangsa Melayu telah beransur-ansur lemah, ada yang melarikan diri berpindah-randah mencari tempat yang difikirkan selamat dan terjauh dari sebarang gangguan.
Raja-Raja Melayu dari kerajaan-kerajaan Melayu yang kecil, yang dahulunya di bawah riayah dan naungan kerajaan Melaka, telah membawa hal masing-masing. Ada yang bekerajaan sendiri menurut kadar dan setakat mana kebolehannya.
Pengaruh-pengaruh Inggeris dan Belanda bertambah-tambah besar di Sumatera dan di Semenanjung. Melaka yang dahulunya dijajah oleh Portugis telah bertukar kepada penjajah Belanda, kemudian pula bertukar dengan Inggeris, manakala Sumatera yang dahulunya dijajah  oleh Inggeris digantikan oleh Belanda. Saki-baki kedaulatan Raja-Raja Melayu telah dipercaturkan dalam politik. Belanda menabalkan Raja Riau  di Sumatera, manakala Inggeris pula menabalkan Sultan Husein di Singapura. Yang akhirnya Johor pula mengambil tempat percaturan itu. Dahulunya di Semenanjung ini hanya bersatu pemerintahan dengan kerajaan Melaka, tetapi sejak jatuhnya kerajaan Melaka itu banyaklah timbul  Raja-Raja, maka dari situlah dasar penjajah  yang terkenal “pecah-pecah  dan perintah” itu menjalar dengan suburnya. Jarumnya yang bisa itu sedang hebat mencucuk ke sana ke mari,  akhirnya pergaduhan bangsa Melayu sama sendiri pun menjadi-jadi. Hikayat Pelayaran Abdulah adalah cukup menjadi saksi menggambarkan kejadian-kejadian tersebut.
Setelah Kedah, Perak mengambil tempat yang pertama membuat triti (perjanjian) dengan Inggeris yang terkenal dengan Triti Pangkor, kemudian berikut pula dengan lain-lain negeri, mulai dari tahun 1874 hingga tahun 1923.
Ahli-ahli pergerakan kebangsaan bolehlah mempelajari dari segala segi kedudukan triti itu yang telah membawa taraf dan kedaulatan Raja-Raja Melayu ke dalam percaturan politik koloni (penjajahan), sudah sahaja Triti Pangkor itu, terjadilah peristiwa terkorbannya tuan Birch – Residen Perak – di Pasir Salak.
Kejadian yang seumpama ini, bukan sahaja di Perak, bahkan berlaku juga di lain-lain, seperti Dol Said di Naning – Negeri Sembilan, Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman di Terengganu (semuanya di Semenanjung, begitu juga di Kepulauan Melayu yang lain, yang tak disebut di sini), kerana rasa kebangsaan – rasa nasionalis yang sihat dan tulen itu dapat mempelajari di mana yang sebenarnya kedudukan taraf dan kedaulatan Rajanya yang mesti ditaati. Kemudian telah menimbulkan keinsafan pula, bagaimana hebatnya tekanan penjajahan itu untuk menghapuskan rasa kebangsaan dan jiwa yang ingin bebas dan merdeka, si penjajah telah menjadikan Raja-Raja dan Sultan-Sultan itu hanyalah sebagai alat untuk mempengaruhi dan mengumpulkan  rakyat sahaja.
Beberapa tempat di Kepulauan Melayu, seperti di Jawa, di Sumatera, di Silibis dan Kalimantan, terus menerus berlaku pertempuran yang hebat menentang penjajahan Belanda. Aceh sendiri yang sahaja sebahagian kecil di bahagian Sumatera telah menentang Belanda hampir-hampir 40 tahun lamanya, manakala di Kalimantan pula, di pihak yang tiada mahu tunduk – menyerah kepada Belanda telah lari menyembunyikan diri sehingga  ke tengah-tengah rimba belantara Pulau Kalimantan yang luas itu.
Demikianlah dari setahun ke setahun, keadaan bangsa Melayu telah mulai lemah, dan beransur-ansur dapat diperkosa akibat ditimpa kekalahan yang bertalu-talu  dan berpecah-pecah pula. Akhirnya maka dapatlah dibentuk cara-cara pemerintahan yang digemari dan dikehendaki oleh rancangan penjajahan (imperialis) itu.
Setelah kuku penjajahan itu sudah dapat mencengkam kukunya di Kepulauan Melayu yang kaya-raya itu, maka siasah pintu terbuka pun mulalah dijalankan, kuli-kuli dan buruh pun mulalah diambil dari luar, dari India dan  China, kekayaan Tanah Melayu yang perut buminya penuh dengan “perbendaharaan Allah” yang amat berharga itu, seperti emas, perak, bijih timah, arang batu dan sebagainya pun mulalah dibongkar dan dikeluarkan, sebagaimana yang kita lihat hari ini. Di sana sini tersergam kapal-kapal bijih yang besar-besar yang mengorek  habis-habis kekayaan bumi Melayu, berturut dengan itu pula pembukaan estet-estet bertanam getah dan kelapa pula dibuat besar-besaran yang melaut-laut luasnya. Dalam estet-estet yang luas inilah buruh-buruh dari India ditempatkan, manakala di lombong-lombong bijih pula ditempatkan kepada buruh bangsa Cina.
Ketika itu, mana-mana  pembesar Melayu yang ada sedikit rasa kesedarannya telah digula-gulakan dengan sedikit-sedikit kesenangan yang akan dapat melalikannya dan mengabui mata rakyat jelata seluruhnya. Begitulah dalam masa puluhan tahun berjalan terus menerus, kuku penjajahan semakin bertambah kuat, dasar kolonialisme tambah mendalam, akhirnya terjadi sempadan-sempadan di Kepulauan Melayu Raya ini, terjadi Malaya, Indonesia dan Filipina.
Malaya di bawah penjajahan British, Indonesia di bawah penjajahan Belanda dan Filipina di bawah penjajahan Sepanyol kemudian bertukar kepada penjajahan Amerika (hanya dalam masa beberapa tahun sahaja penjajahan Amerika di Filipina, Amerika telah berjaya mencorakkan kebudayaan Barat kepada sebahagian  orang-orang Filipina sehingga agama Kristian hampir-hampir telah menjadi agama rasmi di Filipina).
Akibat sempadan-sempadan ini, maka terjadilah perpecahan rasa sebangsa dan setanah air kepada bangsa Melayu, untunglah pertalian seagama masih dapat memperhubungkan di antara bangsa Melayu Malaya dengan Indonesia, tetapi rasa perpisahan dengan Filipina makin mendalam jarak dan jauh disebabkan agama Kristian telah dapat mempengaruhi sebahagian besar penduduk-penduduk di sana.
Di Semenanjung Tanah Melayu ini telah pun dibuat  beberapa triti (perjanjian), di antara Raja-Raja Melayu dengan kerajaan Inggeris, kandungan perjanjian itu sengaja disusun dengan kata-kata yang bijak untuk kebaikan, “muslihat” dan rancangan Malaya di masa akan datang kemudian dapatlah pula dipelajari bagaimana perbezaan triti itu dengan perjalanan pentadbiran pemerintahan yang dijalankan di Malaya ini dari semasa ke semasa. Dato’ Sir Roland Braddel telah pun memberikan pandangannya dalam masalah kedudukan taraf Raja-Raja Melayu (dalam sebuah bukunya yang bernama “Taraf Negeri-Negeri Melayu”). Dari sini dapatlah dipelajari bahawa perkataan “Malayan” telah pun ada sejak tahun 1860 lagi, sebagaimana yang tertera dalam pembukaan triti itu berbunyi demikian:
“Report on the Treaties and Agreements with the Native States of the MALAYAN PENINSULA, anterior to 1860”
Setelah itu corak pemerintahan Malaya ini terbahagi kepada tiga cara “corak pemerintahan” iaitu:
1.             Negeri-Negeri Selat
2.            Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
3.            Negeri-Negeri Melayu Bernaung
Negeri-Negeri Selat itu ialah: Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.
Negeri-Negeri  Bersekutu ialah: Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Negeri-Negeri Bernaung ialah: Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Ketiga-tiga corak pemerintahan Negeri-Negeri Melayu ini adalah diarahkan di bawah sebuah teraju kekuasaan seorang gabenor atau pesuruhjaya tinggi. Jadi dengan sendirinya walaupun ada  triti-triti  tersebut, maka pentadbiran Tanah Melayu ini telah termasuk ke dalam sebuah pemerintahan “secara langsung dan tidak langsung” (Direct and indirect Rule) kemudian terjadilah kedudukan taraf Raja-Raja Melayu itu sebagaimana yang ada hari ini. Lebih jelas telah dapat dibuktikan kedudukan Sultan-Sultan Selangor dan Sultan Terengganu dalam masa penjajahan Jepun dan sudahnya British berkuasa semula di Malaya ini.
****
(4)
Pergerakan Kebangsaan Melayu dan Politik

Selepas Perang Dunia yang Pertama, setelah bangsa Melayu puas kena ulit dengan ubat-ubat tidur, maka mulalah rasa keinsafan terhadap perkara-perkara yang tak segiyanya (nota: saya kurang pasti) ditanggung dan dideritai oleh mereka. Bangsa Melayu telah mula merasakan bagaimana nasib mereka yang telah terbiar, perhubungan di antara rakyat  dengan Raja tidak begitu rapat lagi menurut erti katanya yang sebenar,  bangsa Melayu hanya dapat bertemu wajah dengan Raja-Rajanya ialah pada masa-masa dan hari-hari yang tertentu sahaja, seperti hari-hari kebesaran, pertabalan, istiadat perkahwinan, kemangkatan dan sebagainya. Begitu pula (sama ada disedar atau tidak) kedudukan taraf rakyat bangsa Melayu adalah berlainan dengan taraf bangsa-bangsa asing pada hari istiadat itu, bangsa-bangsa asing umpama – telah dapat sama-sama duduk di kerusi tetapi rakyat jelata bangsa Melayu selain dari yang berlutut   – menyembah telah duduk di tanah pula. Inilah sedikit gambaran yang membayangkan hakikatnya taraf rakyat bangsa Melayu sendiri dengan Raja-Rajanya.
Manakala dari jurusan lain pula, kedudukan rakyat jelata memang terbiar, tak dapat pembelaan yang selayaknya. Kaum-kaum peladang yang berjemur kepanasan setiap hari lebih banyak mengorbankan tenaga dari mendapat hasilnya yang mencukupi. Penoreh-penoreh getah Melayu di kebun-kebun kecil dan yang menjadi buruh di estet-estet  hanya mencukupi sekadar “kais pagi makan pagi – kais petang makan petang” sahaja sementara anak-anak  mereka tinggal terbiar dengan tiada mendapat apa-apa pelajaran. Kaum-kaum nelayan Melayu adalah  dalam keadaan yang lebih menyedihkan lagi, mereka hanya menjadi alat kepada tauke-tauke bangsa asing, yang sebagai memasang jerat di tempat yang genting itu.
Oleh sebab beberapa keadaan  yang menyedihkan itu, mulalah timbul rasa kesedaran kepada bangsa Melayu, surat khabar dan majalah-majalah Melayu mulalah menyebarkan buah-buah fikiran dan pemandangan-pemandangan  yang menginsafkan , ahli-ahli agama terbahagi kepada dua aliran, aliran yang berfaham menuju kepada perubahan dan kemajuan dan aliran-aliran yang berfaham cara lama – yang memandang agama untuk ibadat sahaja.
Di masa itu, kebangunan bangsa Melayu adalah dipelopori oleh beberapa golongan iaitu:
1.            Dari penuntut-penuntut yang ke luar negeri,
2.            Dari sebahagia guru-guru sekolah Melayu,
3.            Dari ahli-ahli agama yang berfaham maju.

Penuntut -penuntut Melayu yang ke luar negeri, seperti ke India, Makkah dan Mesir telah mendapat beberapa pemandangan-pemandangan  pengalaman di luar negeri, di mana mereka menjadi penuntut itu. Mereka telah menyaksikan semangat yang meluap-luap yang sedang menuntut kemerdekaan untuk bangsa dan tanah air mereka keadaan itu dapat membangkitkan semangat dan menginsafkan penuntut-penuntut Melayu. Penuntut-penuntut yang pergi ke India dan Mesir tentulah berbeza dengan keadaan penuntut-penuntut yang menuntut di England, kerana di England adalah negara penjajah sendiri. Sedang di India dan Mesir masa itu adalah menjadi tanah jajahan yang sedang panas dengan udara ingin terlepas dari penjajahan.
Dari golongan guru-guru sekolah Melayu pula, mereka yang rajin membaca surat khabar-surat khabar, majalah-majalah dan buku-buku, terutama surat khabar, majalah dan buku-buku dari Indonesia (kerana Indonesia juga di masa itu sudah pun timbul beberapa gerakan kebangsaan yang menentang penjajahan Belanda). Surat khabar-surat khabar dan majalah-majalah yang diterbitkan di Malaya juga tidak kurang mengisi bahan-bahan yang menimbulkan rasa  kesedaran kepada bangsa Melayu.
Manakala dari golongan ahli-ahli agama yang berfaham maju pula telah membangunkan beberapa buah sekolah rakyat dan menyebarkan pelajaran agama seluas-luasnya, tidak lagi setakat mengajar tauhid, fiqah, tasauf sahaja, tetapi telah pun diajarkan tafsir al-Qur’an, Hadith-hadith  dan tawarikh-tawarikh kebangunan Islam. Ketika itu, hanya dalam masa sesingkat-sesingkatnya sahaja telah timbul semangat keislaman yang meluap-luap, rasa kesedaran bahawa agama Islam itu, ialah agama kemajuan dan politik, di sana sini sekolah-sekolah rakyat yang terkenal dengan “sekolah Arab” itu mengadakan upacara ihtifal. Di majlis itulah suatu kesempatan kepada guru-guru agama menanamkan rasa keislaman yang tulen dan sihat kepada umat Islam, sehingga akhirnya  faham-faham yang memandang agama Islam hanya agama ibadat sahaja itu telah mulai hapus.
Demikian sedikit gambaran golongan-golongan yang terbesar mempelopori kebangunan masyarakat bangsa  Melayu di Malaya ini, dan ketiga  golongan ini pada amnya adalah terdiri dari golongan rakyat jelata semuanya. Akhirnya – hasil dari kesedaran tersebut – terdirilah beberapa buah persatuan kesatuan dan persekutuan (yang semuanya atas nama “Melayu”  seperti Persatuan Melayu, Kesatuan Melayu dan sebagainya) yang pada masa itu hanyalah masih berupa badan sosial, kebajikan, persuratan sahaja, dan di antara persatuan-persatuan itu, maka persatuan yang berdasar persuratanlah yang lebih berpengaruh, dan yang lebih banyak menanamkan rasa keinsafan, yang di antaranya yang terkenal dengan nama “PSPM” (Persuratan Sahabat Pena Malaya). Kemudian berturut dengan kesatuan dan persatuan wartawan Melayu.
Rasa dan faham kebangsaan mulailah subur dan mendalam ke dalam jiwa sebahagian bangsa Melayu yang telah mengikuti persatuan-persatuan tersebut. Walaupun pada mulanya hanyalah  dengan berupa “sempit” sekadar istilah  yang terkenal dengan  “takrif  Melayu” itu. Tetapi istilah itu adalah sesuai pula dengan keadaan dan suasana di masa itu, kerana bangsa-bangsa asing di masa itu pada umumnya, adalah masih tetap berpegang dengan tujuan mereka yang pertama ke Malaya ini kerana soal “dagang” mereka masih senang dengan sebutan bangsa dagang.
Oleh kuatnya saranan takrif kebangsaan Melayu itu melalui akhbar-akhbar dan majalah-majalah maka timbullah rancangan hendak mengadakan kongres kebangsaan Melayu seluruh Malaya. Kebetulan pula – udara pergerakan kebangsaan yang bertiup di Indonesia semakin kencang seolah-olah meniup dan menyuburkan benih kebangsaan yang sedang tumbuh dalam jiwa bangsa Melayu di Malaya ini. Akhirnya dapatlah diadakan sebuah kongres Melayu yang boleh dikatakan meliputi seluruh Negeri-Negeri Melayu, termasuk Brunei dan Sarawak. Hasil dari kongres itu dapatlah menimbulkan rasa kebangsaan yang lebih luas dan dapat menginsafkan lebih dalam lagi kedudukan yang sebenarnya nasib bangsa dan tanah air Melayu. Untuk melaksanakan cita-cita kebangsaan itu juga telah timbul dua aliran “non dan co” (non & co) – kiri dan kanan.
Di pihak non atau kiri, adalah dari golongan yang lebih dalam keinsafannya, kerana itu  mereka dapat mempelajari beberapa soal-soal yang penting yang antaranya ialah:
1.            Bagaimanakah kedudukan dan taraf Raja-Raja Melayu yang sebenarnya?
2.            Bagaimana perhubungan di antara rakyat dengan Raja-Rajanya?
3.            Apakah polisi kerajaan British terhadap bangsa Melayu?
4.            Apakah polisi kerajaan British terhadap bangsa dagang di Malaya ini?
5.            Apakah tuntutan-tuntutan dan kemahuan bangsa-bangsa dagang di Malaya ini kelak?
6.            Bagaimanakah jalan-jalan dan ikhtiar hendak memulihkan kerosakan nasib bangsa Melayu terutama dalam perkara-perkara ekonomi dan pelajaran?
7.            Apakah persediaan untuk keselamatan bangsa dan tanah air bangsa Melayu?
8.            Apakah akibatnya jika berbangkit peperangan di laut teduh?
9.            Dan beberapa soal yang rumit yang sedang dipelajari.

Soal tersebut telah pun dapat diagak dan dijawab dengan agak yang sipi dan hampir-hampir tepat, dengan melalui beberapa ikhtiar yang berat, rumit dan sulit, di antara beberapa badan yang mengambil berat itu, ialah Kesatuan Melayu Muda atau yang terkenal dengan nama KMM itu.
Kemudian peperangan di antara China – Jepun dari setahun ke setahun bertambah-tambah kencang, akhirnya meletuplah peperangan di Eropah (Perang Dunia yang Kedua) maka timbullah lagi beberapa soal yang lebih rumit iaitu:
1.            Bagaimana pertahanan British di Malaya?
2.            Apakah pula niat dan langkah Jepun terhadap pelan “Tanaka” itu?
3.            Apakah niat dan sikap bangsa Cina dan India terhadap Tanah Melayu?
4.            Apakah pula langkah  dan sikap yang harus diambil oleh pihak bangsa Melayu untuk menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan tersebut, untuk keselamatan bangsa dan tanah airnya?
5.            Dan beberapa soal-soal yang rumit lagi?





(5)
Perang Dunia yang Kedua
Dalam tahun 1941, udara Tanah Melayu telah turut muram dan gelisah, oleh haba api peperangan dunia yang semakin menjalar itu. China Kebangsaan (Kuomintang) dan China Komunis telah menjalankan rol percaturannya. Demikian pula India, sedang pihak Siam dan Indo-China tidak ketinggalan bersedia – menurut yang sesuai pada pendapat mereka. Akhirnya ... ramalan orang tua-tua “Cina gondol akan menjadi raja di Tanah Melayu setahun jagung” telah pun tiba dan menepati.
Persediaan bangsa Melayu terhadap tanah airnya  dalam erti kata yang sebenar boleh dikata tiada ada langsung, hanya segolongan puak kiri – angkatan muda , yang menelan air mata mengingatkan kecemasan yang harus menimpa nasib bangsa dan tanah air Melayu, sedang sebahagian besar belum lagi sedar, hanya masih leka dan lalai. Pembesar-pembesar Melayu yang menjadi tumpuan dan harapan rakyat masih asyik bersuka ria dibuaikan oleh segala kesenangan yang palsu, pertahanan Tanah Melayu dari tentera Melayu darat, laut jauh dari mencukupi, kerana itu ikhtiar untuk mempertahankannya telah tiada berjaya.
“Gajah berjuang pelanduk mati tersepit” demikianlah perumpamaan yang sesuai mengenai nasib bangsa dan tanah air kita, ibu pertiwi tanah air kita yang tercinta menjerit, meraung dan menyeru pemuda-pemudanya, hanyalah siapa yang terasa insaf di ketika itu telah menyahut seruan ibu pertiwinya sebagai pemuda harapan bangsa, tidak sedikit di antaranya yang gugur di pangkuan ibunya...
Bulan Disember tahun  1941, tentera Jepun telah mencurah-curah masuk ke Malaya laksana air banjir layaknya – dengan tiada bertahan-tahan lagi. Belum pun semua Malaya tewas, Pulau Pinang sudah bergabenorkan   orang India. Akhirnya Singapura jatuh, Inggeris menyerah kalah, bangsa Melayu telah dapat menyaksikan kudrat iradat Tuhan Yang Maha Kuasa – mengatur dan melakukan segala kehendak-Nya. Itulah kemenangan Jepun yang dibangga-banggakan dengan “kemenangan Asia Timur Raya” konon, ada juga orang yang berfikiran singkat turut suka dengan kemenangan itu, mereka beramai-ramai keluar menyambut kedatangan Jepun konon, tetapi siapa yang lebih cepat berjumpa, orang itu yang lebih dahulu menerima hadiah “tempeleng pulang balik” dari Jepun. Inilah dia lagi suatu ujian kepada sejarah bangsa Melayu, untuk mengalami suatu penjajahan baharu pula – penjajahan dari sama bangsa Asia yang telah menimbulkan beberapa pelajaran:
1.            Perbezaan di antara dua penjajahan – penjajahan Inggeris dengan penjajahan Jepun.
2.            Masa Inggeris menyerah kalah dalam masa Jepun memerintah.

Sebelum masuk tentera Jepun ke Malaya, bangsa Melayu telah mendengar kata-kata takabur dri propaganda Inggeris “biar tulang jangan putih mata” dan sebagainya. Begitu pula, sewaktu Jepun mula-mula sampai, bangsa Melayu telah disongsong dengan janji-janji yang manis dan gula-gula dengan semboyan: kita sama-sama bangsa Asia, kemakmuran bersama, Asia Timur Raya dan sebagainya. Semuanya itu adalah menjadi pengalaman, pelajaran besar kepada bangsa Melayu yang mahu insaf, itulah dia “gula-gula penjajah” sekali penjajah tetap penjajah! Kerana hanya baharu beberapa hari sahaja Jepun berkuasa, mulalah mereka menunjukkan Fasisme, gerakan kebangsaan Melayu (Kesatuan Melayu Muda) pun diharamkan.  Dari semenjak itu bebaslah berlaku segala kezaliman, kekejaman, kebengisan yang tak dapat digambarkan, yang harus menjadi kenang-kenangan selama hidup kepada bangsa Melayu, itulah dia penjajahan, walau daripada mana datangnya!!
Dari semenjak itu, gerakan kebangsaan Melayu terpaksalah berjalan di bawah tanah dengan segala  macam kebijaksanaan, ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar, di dalam mengambil langkah sebagaimana Nabi Allah Musa di dalam istana Firaun, manakala di luar pula menjadi antifasis, anti-Jepun dan ada pula yang menjalankan gerakan ghaif – semut putih dan sebagainya.
Kesedaran dan kemarahan bangsa Melayu semakin bertambah dengan sebab pekerti Jepun menyerahkan empat buah negeri Melayu: Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ke dalam pemerintahan Siam.
Demikianlah gerakan kebangsaan Melayu dari sebulan ke sebulan, bertambah kuat mendesak fasis Jepun dari luar dan dalam. Yang lebih membingungkan Jepun, ialah meluap-luapnya semangat kebangsaan Melayu itu dari pemuda-pemuda yang kononnya hendak dijepun-jepunkan tetapi tiba-tiba telah terbalik menjadi “Melayu tulen” serentak dengan itu juga yang berlaku di Indonesia dan Filipina.
Kebangkitan semangat kebangsaan Melayu  ini juga telah menerbitkan kebimbangan segolongan orang-orang  Cina di Malaya ini. Mereka memandang dari segi banyaknya   orang-orang Melayu yang turut bekerjasama dengan Jepun sebagai tentera, sedang di pihak orang-orang Cina pada umumnya adalah bersemangat bencikan Jepun.
Sekalipun sebahagian kecil ada juga yang menunjukkan bekerjasama, tetapi yang sebenarnya merekalah yang terkenal dengan perkataan “chon kweghap” atau memberi suap kerana muslihat hidup dan perniagaan mereka. Maka dengan dua aliran ini, terjadilah rasa curiga mencurigai di antara orang-orang Cina terhadap orang-orang Melayu.
Oleh itu, dengan terkejutnya Jepun menyerah diri kepada pihak berikat, maka  di antara dua semangat yang bertentangan tadi mudah sahajalah menjadi  subur dan bernyala, sementara di pihak orang Cina pula didorong oleh rasa hendak membalas dendam kepada orang-orang yang menjadi pegawai dan kakitangan Jepun yang telah melakukan kezaliman di masa Jepun itu. Dan serentak dengan itu berdirilah kerajaan Cina Bintang Tiga selama kira-kira tiga minggu.
Meskipun begitu, beberapa panglima Melayu yang terkenal dengan keturunan Banjar dan parang panjangnya, telah sempat juga menunjukkan darah keperwiraannya, seperti yang berlaku di Batu Pahat – Johor, dan di Sungai Manik – Perak, yang telah menimbulkan kesan besar yang menginsafkan orang-orang Cina seluruhnya. Manakala sepihak lagi, dari golongan kebangsaan telah tampil ke muka, ke medan  politik, memimpin dan menyeru rakyat supaya bersatu padu, kerana membela hak dan keadilan bangsa Melayu – kepada para pejuang dan ahli-ahli kebangsaan ini tergambarlah beberapa soal yang penting dan masih rumit dan sulit untuk dipelajari iaitu:
1.            Siapakah Raja-Raja Melayu yang sebenarnya yang mesti ditaati oleh rakyat menurut yang sesuai  dengan binaan keagungan bangsa Melayu terhadap kedaulatan Raja-Rajanya itu?
2.            Bagaimanakah perlembagaan tatanegara kerajaan Melayu yang sebenarnya yang telah terdiri sejak beribu-ribu  tahun dahulu turun-temurun menjadi kemegahan bangsa Melayu, sehingga berakhir dengan jatuhnya kerajaan Melaka?
3.            Kenapakah rakyat Melayu berpantang menderhaka dan apakah rahsianya?
4.            Kenapakah negeri-negeri kecil yang dahulunya berpusat ke Melaka itu, telah mendirikan kerajaan sendiri masing-masing pula di Kepulauan Melayu ini?
5.            Bagaimanakah taraf Raja-Raja Melayu sebelumnya membuat triti dengan East Hindia Company dan apakah sebab-sebabnya triti itu dibuat?
6.            Kenapakah Belanda  menabalkan Sultan-Sultan Melayu di Riau dan British pula menabalkan Sultan Melayu  di Singapura?
7.            Apakah sikap yang dijalankan oleh Belanda di Indonesia dan East Hindia Company di Malaya ini?
8.            Bagaimanakah sebenarnya kedudukan taraf Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu ini dari semenjak tahun 1874 hingga tahun1933, iaitu sejak dari Triti Pangkor yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu berakhir dengan Triti Kedah?
9.            Apakah sebenarnya takrif dan istilah  tiap-tiap perkataan yang terkandung dalam triti itu, terutamanya yang di antara lain-lain berbunyi “hendaklah atau mestilah menerima nasihat daripada penasihat-penasihat British – kita dipelawa oleh Raja-Raja Melayu untuk mentadbirkan  Negeri Melayu – British tidak mencampuri adat istiadat Melayu dan agama”.
10.         Betulkah Negeri-Negeri Melayu ini bersendirian dan merdeka, hanya berlindung di bawah bendera Inggeris?
11.         Apakah pendapat kebangsaan Melayu terhadap buku MALAYSIA yang ditulis oleh Rupert Emerson dengan buku pemerintahan British di Timur Asia oleh Mill itu, dan apakah pengalaman bangsa dan kebangsaan Melayu hingga Perang Dunia yang Kedua ini di bawah naungan British?
12.         Apakah untung-ruginya kepada bangsa Melayu seluruhnya dengan adanya beraja-raja dan bernegeri-negeri pula di Semenanjung ini?
13.         Apakah sebab-sebab rasa taat setia rakyat terhadap Rajanya telah mulai renggang?
14.         Adakah  Raja-Raja Melayu telah sedar di mana dan setakat mana kekuasaan mereka yang sebenarnya, demikian pula hak rakyat jelata terhadap Raja dan negerinya?
15.         Di manakah dan bagaimanakah “songlap” yang membencanakan  hak dan keadilan Raja-Raja dan bangsa Melayu di tanah airnya sendiri?
16.         Dari manakah  puncanya kejatuhan bangsa Melayu di atas tanah airnya sendiri? Adakah disebabkan Rajanya, rakyatnya atau penaungnya? (yang sebenarnya telah menjadi penjajah?).
17.         Adakah perkataan “Malayan” itu baru? Adakah rancangan hendak “memalayankan”  ini baharu selepas perang ini sahaja? Apakah yang dituju oleh siasah pintu terbuka itu?
18.         Adakah tuntutan orang yang menghitungkan dirinya Malayan itu sebagai suatu tuntutan yang hak dan adil atau hanya mengada-ada?
19.         Apakah akibatnya kepada bangsa Melayu yang tetap berpendirian “Malaya hak Melayu” manakala orang-orang Malayan pula  berdegil dengan tuntutan mereka, bahawa orang asing dikatakan Malayan itu juga berhak. Siapakah yang akan kecewa dan siapakah yang akan beruntung?
20.         Dapatkah Malayan dipertahankan, diselamatkan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu atau dengan kedaulatan rakyat – demokrasi, kemudian mana satukah sikap yang lebih sesuai yang harus diperjuangkan oleh bangsa Melayu untuk keselamatan bangsa dan nusa?
21.         Lain-lain soal lagi yang harus timbul dari semasa ke semasa.

***

(6)
Kesedaran Bangsa Melayu

Setelah kira-kira tiga tahun lapan bulan lamanya bangsa Melayu merasa kekejaman penjajahan Jepun semakin bertambahlah rasa kesedaran bangsa Melayu, khasnya kepada golongan-golongan kebangsaan (nasionalis). Mereka telah mula mempelajari dari suatu masa ke satu masa akan kesan-kesan peredaran:
            Naungan British
            Penjajahan Jepun
            Desakan orang-orang dagang
Dari tiga peredaran ini, rakyat jelata bangsa Melayu telah menjadi semakin terdesak dan menderita, sementara itu tentera British telah kembali ke Malaya, yang membawa Malaya ini telah dijajah oleh British bagi kali yang keduanya.
Puak dan golongan kebangsaan Melayu yang telah merasa cukup sedar dan insaf  akan malapetaka yang telah dan akan menimpa nasib bangsa dan tanah airnya, telah mempelajari sejauh-sejauhnya akan kedudukan bangsa Melayu dahulu dan sekarang – serta memperbandingkan dengan perubahan-perubahan dunia selepas perang yang kedua ini, iaitu dengan adanya Atlantik Charter dan tertubuhnya Perlembagaan Bangsa-Bangsa (U.N.O.) kemudian mempelajari pula aliran-aliran dan sikap baharu imperialisme dan kapitalisme itu dan melihat semangat kebangsaan yang meluap-luap dari bangsa-bangsa Asia  yang lain – khasnya di Indonesia yang telah berterus terang menuntut kemerdekaan, maka dari kesedaran itulah timbulnya hasrat hendak mengadakans sebuah gerakan kebangsaan Melayu yang benar-benar menentang kolonialisme di Malaya ini.
Kesedaran itu telah semakin mendalam pula dipelopori  oleh rasa keimanan bangsa Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam,  iaitu agama yang mengajar hidup merdeka, dan hanya mesti tunduk dan bertakwa kepada Allah Yang Maha Esa semata-mata – bukanlah penaung atau penjajah dan sebagainya.
Dari sini – biarlah lebih dahulu saya bawa falsafah perjuangan kebangsaan Melayu kepada segi keimanan dan ajaran Islam, supaya lebih sesuai dengan semboyan “ (hubbul wathan minal iman” (kasihkan tanah  air itu sebahagian daripada iman). Jadi – dipandang dari segi falsafah, maka  perjuangan kebangsaan kita adalah tersusun dari:
1.            Iman (nyawa)
2.            Tubuh diri
3.            Bangsa
4.            Watan – tanah air
Empat serangkai ini dalam binaan watan: iman berdiri di atas tubuh, tubuh berdiri di atas bangsa, bangsa berdiri di atas watan. Salah satu dari yang empat ini tiada boleh terpisah dari susunan binaannya dan watan adalah menjadi sebagai pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa, kuat bangsa itu ialah dari tubuh diri yang sihat dan perkasa. Seperti pekerja, pahlawan, perajurit dan seluruh para pejuang kebangsaan, maka dalam jiwa para pejuang inilah letaknya iman!
Jika sesuatu bangsa itu lemah dan hina, maka agamanya juga turut lemah  dan hina, sebaliknya jika suatu bangsa itu bebas dan merdeka maka agamanya juga menjadi bebas dan merdeka.
Sebelumnya seseorang itu beriman dan beragama, lebih dahulu ia sudah berbangsa dan berwatan – tanah air. Ia dilahirkan di atas fitrahnya yang suci, bebas dan merdeka dalam erti kata bebas dan merdeka seluas-luasnya. Agama Islam juga belum mahu memaksa dengan suatu “taklif” selamanya seseorang itu belum lagi meningkat akil  baligh dan setelah seseorang itu akil baligh, maka barulah kemerdekaan itu dibatasi dengan batasan-batasan yang tertentu yang tiada sampai merosakkan asasnya dan tiada pula melanggar kemerdekaan orang-orang lain.
Sebagaimana juga si ibu bapa telah membiarkan anaknya itu bebas lepas kencing di tilam, lamun masanya menyusu akan disusukannya juga begitulah dianya falsafah merdeka kepada tiap-tiap makhluk di muka bumi ini. Jadi, sungguh tepatlah bahawa merdeka itu menjadi “hak mutlak” kepada seseorang dengan tiada dapat disekat-sekat dan ditahan-tahan oleh sesiapa pun.
Al-Qur’an ada menceritakan bagaimana cara kebebasan berfikir yang dicontohkan oleh Saidina Ibrahim A.S. – yang pada mulanya bertuhankan bintang, bulan, matahari dan akhirnya mendapat keputusan (petikan surah – yang bertuhankan Allah khalaq al-alam.
***
(7)
Perjuangan Kita Menurut Ajaran-ajaran (al-Qur’an)
Kita – bangsa Melayu yang telah menganut agama Islam, adalah dengan sendirinya telah mempunyai  ajaran-ajaran yang menyuruh dan mendesakkan kita memperjuangkan nasib kita menuju kemerdekaan, sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Qur’an yang di antaranya:
1.            ... Ertinya: Sesungguhnya Allah tiada akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) itu, hingga kaum itulah sendiri mengubah keadaan diri mereka sendiri.
Ayat ini – adalah mengingatkan, bahawa nasib sesuatu bangsa itu ialah mengikut nasib yang telah ditempa dan dibentuk oleh bangsa itu sendiri. Jika sesuatu bangsa itu membentuk dan menempah dirinya setakat menjadi hamba, perkakas, alat, patung kepada si penjajah maka nasib bangsa itu akan kekallah setakat itu sahaja tinggal menjadi bangsa yang terjajah selama-lamanya. Sebaliknya jika sesuatu bangsa itu ingin menjadi suatu bangsa yang mulia, berdaulat dan merdeka, maka lambat-bangatnya pada suatu masa kelak tetap akan menjadi bangsa yang merdeka dan berdaulat. Ini adalah jaminan Allah, sesuai dengan semboyan bahawa  “bangsa yang ingin merdeka, pasti akan merdeka”.
2.            ... Ertinya:  Janganlah kamu terasa hina dan terasa kecewa, sedang kamulah yang paling tinggi, jika sebenarnya kamu beriman.
Ayat yang kedua ini mengingatkan: Janganlah hendaknya umat Islam berasa hina dan kecewa ketika berhadapan dengan keagungan dan kemuliaan orang lain, kerana yang sebenarnya merekalah  yang paling tinggi dengan kekuatan dan rasa keimanan  di dalam jiwa mereka. Maka janganlah hendaknya umat Islam berjiwa rendah dan hanya menyerah kalah, tetapi haruslah mereka berjiwa mulia dan berasa bertanggungjawab.
3.            ... Ertinya: Tiadalah kamu dapati sesuatu kaum itu yang sebenarnya beriman dengan Allah dan hari akhirat, selagi mereka suka kepada orang yang menjadi penghalang kepada ajaran Allah dan rasul-Nya. Dalam ayat ini adalah menegaskan, bahawa orang yang suka kepada penghalang-penghalang agama-agama Allah,  tidaklah ia sebenar-benarnya orang yang beriman.
4.            ... Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil bantuan lain daripada golongan kamu. Pada ayat ini pula adalah mengingatkan kepada umat Islam supaya berdiri sendiri, jangan mengambil atau berharap kepada bantuan orang lain (yang bukan Islam).
5.            ... Ertinya: Kemuliaan, keagungan dan kemegahan itu adalah bagi Allah, bagi rasul dan bagi seluruh orang mukmin. Ayat ini – adalah menegaskan – mengingatkan, bahawa kemulian, keagungan dan kehormatan itu selain dari Allah dan rasul hendaklah kepada seluruh orang mukmin sahaja.
6.            ... Ertinya: Kamulah yang sebaik-baik umat di antara manusia seluruhnya untuk mengarahkan kepada berbuat baik dan melarang daripada berbuat mungkar.
Ayat ini, sesungguhnya telah menegaskan, bahawa kita umat Islamlah yang sebaik-baik umat di antara umat manusia di dunia ini. Iaitu sebagai umat yang harus memimpin manusia ke arah kebaikan dan menyekat manusia dari melakukan sesuatu kejahatan. Atau dengan lain perkataan: Kita umat Islam hendaklah menjadi umat yang harus memberi “teladan baik” untuk diikuti dan dicontohi oleh umat-umat lain di dunia ini, dan bukanlah sekali-kali hanya menjadi umat yang dipandang rendah, hina, pemalas, kaku, beku, kolot dan sebagainya.
Untuk itu – kita umat Islam – bangsa Melayu seluruhnya sudah sepatutnyalah menjadi suatu bangsa yang merdeka dan berdaulat – umat yang menjadi keluarga bangsa-bangsa di United Nation (U.N.O.) kerana hanya dengan itulah baru kita dapat memberikan sumbangan kepada dunia seluruhnya. Dan akhirnya memberikan pemimpin yang baik kepada bangsa-bangsa lain di dunia ini.
Jadinya – dengan menginsafi kehendak ayat-ayat tersebut nyatalah kita bangsa Melayu hari ini sangat jauh ketinggalan dari kehendak ajaran-ajaran Islam yang mulia itu. Kerana yang sebenarnya – kita bangsa Melayu hari ini, adalah bangsa yang masih terjajah, jauh lebih hina dan rendah dari bangsa-bangsa lain yang telah merdeka dan berdaulat.
Sejak jatuhnya kerajaan Melayu Melaka sehingga hari ini, sebenarnya kita telah pun banyak merasa pengalaman-pengalaman yang pahit, iaitu sebagai suatu ajaran (peringatan) Allah di atas kelalaian kita sendiri. Kita telah dijajah oleh bermacam-macam bangsa, sejak dari bangsa-bangsa Portugis, Inggeris, Belanda di Malaya dan di Indonesia, manakala di Filipina pula oleh penjajah Sepanyol dan Amerika. Setelah itu kita telah dijajah oleh sesama bangsa Asia sendiri, iaitu Jepun, dan hari ini kembali kepada penjajahan Inggeris bagi kali yang keduanya.
Kembali pula – kita memperkatakan faham kebangsaan kita (kebangsaan Melayu) dengan ajaran Islam (Islam dan nasionalisme) maka yang belumlah ada pertentangan, selagi istilah kebangsaan itu luas – tiada sempit, tetapi tiada pula sampai terbabas yang akan mengecewakan. Dalam bahasa Arab (juga dalam Islam) dipadankan dengan kalimat “watan” yang ertinya: tanah air. Ini sesuai pula dalam politik yang disebut “nasionaliti” yang berasal dari nation dan supaya faham kebangsaan yang kita perjuangkan itu kukuh dan teguh, tak dapatlah dipermainkan sebarang anasir,  sudah tentulah kebangsaan yang telah mempunyai asas, akar tunjang yang tak dapat digoyang-goyang lagi, iaitu: “kebangsaan Melayu” iaitu rupa bangsa yang berasas kepada sejarah kebesaran bangsa Melayu sendiri, sebagaimana yang telah ditegaskan dahulu.
***
(8)
Tertubuhnya (Parti Kebangsaan Melayu)
Setelah mengalami, mempelajari dan menginsafi segala keadaan-keadaan tersebut, didorong dan didesak oleh rasa kesedaran yang sebenar-benarnya terhadap nasib bangsa dan tanah air, maka pada 17 Oktober 1945 tertubuhlah sebuah parti politik yang bernama “Parti Kebangsaan Melayu” atau Malay Nationalist Party (M.N.P.) di Ipoh, Perak. Kemudian pada 30 November hingga 2 Disember 1945 parti tersebut telah berjaya mengadakan kongresnya yang pertama bertempat di Town Hall – Ipoh, dengan dihadiri oleh para perwakilannya di  seluruh Malaya.
Dalam kongresnya yang bersidang selama empat hari itu, selain dari membahaskan beberapa perkara yang tertentu, telah mengambil empat keputusan besar yang menggemparkan, iaitu:
1.            Malaya adalah sebahagian dari Indonesia,
2.            Sang Saka merah putih menjadi lambang kebangsaan Melayu,
3.            Bersetuju kepada sebuah Kesatuan Tanah Melayu Malayan Union (yang tiada bercorak koloni),
4.            Berbaik-baik dengan semua bangsa di Malaya.*
Dengan empat keputusan inilah, PKMM memperjuangkan cita-citanya sebagai sebuah parti politik kebangsaan Melayu yang julung pertama tertubuh di masa itu, dan berterus menuntut kemerdekaan  bangsa dan tanah air, dan salam “merdeka” adalah sejak hari itu lagi telah diputuskan menjadi salam perjuangannya.
*Keputusan inilah yang telah menggemparkan sebahagian besar orang yang mengikuti perjuangan PKMM dari jauh, terutama mengenai keputusannya bersetuju menerima Malayan Union dan berbaik- baik dengan  bangsa-bangsa asing di Malaya ini.
Mereka telah menuduh PKMM menjual Malaya kepada Cina dan sebagainya, tetapi mereka tidak mahu mengkaji bagaimanakah “Malayan Union” yang dipersetujui oleh PKMM itu, dan setakat mana pula dasar “berbaik-baik dengan bangsa asing” menurut istilah yang dikehendaki oleh PKMM.

PKMM telah melancarkan perjuangannya yang hebat dan berat itu dengan mengutuskan pesuruhjayanya kepada tiap-tiap negeri di seluruh Tanah Melayu untuk memberikan penerangan kepada rakyat jelata akan dasar-dasar dan tujuan-tujuan perjuangannya. Selain dari itu saranan-saranannya juga dilancarkan menerusi lidah-lidah rasmiya:
Harian: - Suara Rakyat dan Pelita Malaya,
Mingguan: - Suluh Malaya dan Semboyan Baru,
Bulanan: - Majalah Berjuang dan Voices of the People.

Kesan dari saranan-saranan tersebut, dan oleh giat dan cergas usaha-usaha yang dilancarkan oleh pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawainya maka hanya dalam masa yang secepat kilat telah dapat menubuhkan ratusan cabangnya di seluruh Malaya dengan ahli-ahlinya yang telah  meningkat kepada puluhan ribu yang terdiri dari segenap lapisan rakyat jelata, lelaki dan perempuan.
Setelah kira-kira lima bulan berdiri PKMM, maka ditubuhkan pula Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (U.M.N.O.) iaitu pada awal Mac 1946 di Johor Bahru. Meskipun di pihak PKMM dapat juga menduga sebab-sebab ditubuhkan UMNO, tetapi PKMM dengan rasa jujur dan ikhlasnya telah juga membuktikan hasratnya ingin bersatu padu (sama sebangsa), iaitu dengan memberikan kerjasama yang bulat kepada pihak UMNO, juga memberikan sokongan dengan suara-suaranya dalam lidah rasminya (akhbar-akhbar) dan di dalam bukunya “Bersatulah” yang dikarang oleh En. Ishak bin Haji Muhammad.
Tetapi setelah kira-kira lima bulan pula PKMM turut bekerjasama dan bergabung di dalam UMNO, maka PKMM telah terpaksa keluar mengundurkan dirinya dari pihak UMNO kerana telah tiada dapat mempersesuaikan dasarnya sebagai sebuah badan politik yang memperjuangkan cita-cita kemerdekaan bangsa dan tanah air. Sedang di pihak UMNO di masa itu hanyalah merupakan sebuah bahtera yang menuju ke pelabuhan “Status Quo” yang kembali kepada cara-cara pemerintahan tahun 1941, atau dengan lain perkataan, UMNO (di masa itu) tiada mahu kepada kemerdekaan, sebagaimana semboyannya yang terkenal, hanyalah setakat “Hidup Melayu” sahaja.
PKMM sebagaimana yang telah ditegaskan telah pun faham dan mengerti setakat mana yang sebenarnya perjuangan UMNO (di masa itu). Untuk penyaksiannya  dari luar dapat pula diperhatikan pula diperhatikan dari buku yang bernama: Malaysia – Rupert Emerson yang disambut pula oleh buku British Rule in East Asia – Mill bahkan lebih tegas lagi dengan sambutan UMNO terhadap tuan kapten Gamen (kurang pasti).
Maka dari sebab-sebab yang tertentu itulah PKMM telah terpaksa mengasingkan dirinya dari UMNO dalam masa persidangannya pada bulan Julai 1946 di Ipoh itu, iaitu dengan suatu harapan dan keyakinan semoga pada suatu masa kelak akan bersatu juga, setidak-tidaknya dasar-dasar  yang diperjuangkan PKMM ini pada suatu hari akan diakui oleh pihak UMNO – di kala di mana kesedaran rakyat kelak.




(9)
Soal-soal yang Timbul
Sementara itu, soal-soal yang timbul yang telah menjadi tanda tanya dan harus dipecahkan oleh segenap ahli pergerakan kebangsaan telah semakin banyak, di antanya ialah:
1.            Kenapakah UMNO (perjuangannya di masa itu) hanya setakat membela nasib Raja-Raja Melayu yang sudah menyerahkan kuasanya berkali-kali dan (UMNO di masa itu) hanya berkehendak setakat perlembagaan Federation sahaja sebagai ganti Malayan Union?
2.            Adakah nasib bangsa Melayu hari ini masih dapat dibela dan dipertahankan oleh Raja-Raja Melayu atau oleh rakyat seluruhnya?
3.            Adakah dengan cara pemerintahan menurut perlembagaan Federisin itu, keselamatan bangsa Melayu dapat terjamin?
4.            Apakah yang sebenarnya corak dan gerakan yang membahayakan kebangsaan Melayu itu di Malaya ini, Malayan Unionkah, Federisinkah, beruangkah, harimaukah, nagakah, ularkah, pagarkah atau siapakah dan bagaimana atau sampai ke mana?
5.            Apakah yang akan berbangkit kelak di Malaya ini dengan terbitnya dua persatuan: Melayu dan Malayan, dan kepada siapakah tanggungjawab keburukannya kelak?
6.            Adakah jalan-jalan lain yang lebih baik dan lebih terjamin, selain daripada percaya kepada bangsa sendiri, dengan menjalankan ikhtiar-ikhtiar yang bijak untuk membela hak dan keadilan bangsa Melayu, sebagai suatu bangsa yang ingin merdeka dan berdaulat  dan terlepas dari belenggu penjajahan itu?
Inilah di antara beberapa soal yang harus dijawab dan dipecahkan oleh ahli-ahli pergerakan kebangsaan (dalam tahun 1946 – 1947) untuk melicinkan lagi perjuangan mereka. Bagi pihak PKMM (masa itu) sudah pun mengagak dan membuat perhitungan “untuk ruginya” dan berapa jauh jalan-jalan dan liku-liku yang akan ditempuh, berapa tinggi rendah, curam mendaki, menurun yang akan dilaluinya kelak, dan biar bagaimanapun – maka PKMM adalah  tetap dengan cita-cita dan keyakinannya menuju kepada matlamatnya yang satu, iaitu kemerdekaan bangsa dan tanah air.
Maka pada 17 Ogos 1947 (ketika buku ini diterbitkan) adalah genap umur perjuangan kita (PKMM)  selama setahun, ertinya baru setakat itulah pergerakan kebangsaan kita dapat memperjuangkan cita-citanya yang besar itu dengan melalui segala macam ujian dan pengalaman, maka dalam masa yang singkat itu belumlah dapat dibanggakan lagi bila dibanding  dan menginsafi jauh dan hebatnya perjuangan yang sedang dan akan dihadapinya kelak.
Begitu pun – keputusan yang pertama “Malaya sebahagian dari Indonesia” itu telah pun disiarkan kepada  beberapa tempat yang tertentu dan ke seluruh dunia. Begitu pula (keputusannya yang kedua) Sang Saka merah putih yang menjadi lambang kebangsaan Melayu adalah berdasarkan sejarah yang tidak dapat dinafikan, bahawa bangsa Melayu ialah suatu bangsa yang mempunyai sejarah kebesarannya sendiri dengan tiga kerajaannya yang besar yang silih berganti, sejak dari kerajaan Sriwijaya di Sumatera, Majapahit di Jawa, dan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu ini.
Keputusan yang ketiga bersetuju kepada Malayan Union – bukanlah Malayan Union buatan British yang telah siap ditempah dari England itu, tetapi ialah Malayan Union dalam erti katanya Kesatuan Malaya yang dasar dan coraknya menurut hasrat rakyat Tanah Melayu ini, khasnya bangsa Melayu sendiri.
Kita (PKMM) telah pun menjelaskan kemahuan kita ini kepada pihak kerajaan British di Malaya dan juga kepada kolonel Ris Williams (kurang pasti) yang telah datang ke Malaya ini, iaitu dengan membangkang sekeras-kerasnya “kertas putih” Malaya Union  itu dan kita kemukakan corak perlembagaan yang kita kehendaki sebagai gantinya.
Keputusannya yang keempat – berbaik-baik dengan bangsa asing di Malaya ini, sekalipun kita telah mendapat tentangan hebat dan tuduhan yang sangat berat dari sebahagian bangsa kita sendiri yang memang kita hormati rasa kebangsaan mereka, tetapi di pihak kita (PKMM) tetap  berpegang kepada dasar ini (menurut istilahnya, yang tertentu) dan dengan dasar ini juga kita telah dapat menjalankan berbagai-bagai usaha, ikhtiar untuk memadamkan rusuhan Cina-Melayu yang sedang berbangkit di Malaya masa itu (dalam tahun 1945).
Ikhtiar-ikhtiar ini telah dapat menyelematkan sebahagian bangsa kita  dari menjadi korban rusuhan-rusuhan tersebut, begitu pun kita merasa sedih, kerana ada juga di beberapa tempat, seperti di ... (kurang pasti) – Perak dan Batu Malim – Pahang yang tak sempat kita berikhtiar mengelaknya, tetapi dalam kerja-kerja yang lain – yang berat dan sibuk, telah dapat juga kita menunjukkan tanda ingatan kita kepada saudara-saudara kita yang malang itu.
Setahun – memanglah masa yang sangat singkat dibandingkan dengan kerja-kerja yang masih berat dan banyak yang mesti kita hadapi (keran buku ini ditulis sebagai menyambut PKMM genap setahun) tetapi apa yang dapat kita banggakan ialah dasar-dasar dan tujuan-tujuan kita tegas dan terang, sekalipun ada pihak-pihak yang berusaha hendak mengabui dan mengelirukan dasar-dasar dan tujuan-tujuan kita yang benar dan suci itu.
Perhatian rakyat adalah bertambah-tambah jua  dari semasa ke semasa terhadap perjuangan kita, iaitu dengan bertambah-tambah bilangan cawangan-cawangan kita, juga bertambah pertubuhan-pertubuhan yang berjuang di samping PKMM, yang di antaranya ialah:
1.         Angkatan Pemuda Insaf (A.P.I.).
2.              Perlembagaan Buruh Malaya - Melayu.
3.               Kesatuan-Kesatuan Kaum Tani.
Demikian juga barisan kaum ibu (yang pada masa itu belum tertubuh Angkatan Wanita sedar), bahagian ekonomi, pelajaran dan sebagainya.
Demikianlah kesempatan saya menuliskan sedikit catatan yang membayangkan sedikit sebanyak tinjauan ke arah perjuangan kita, moga-moga dapatlah hendaknya menambahkan keyakinan dan kepercayaan kita bersama untuk melaksanakan cita-cita suci mulia itu menuju kemerdekaan bangsa dan nusa dan mencapai  keredaan Allah. Setahun kita menanamkan "jiwa merdeka" maka benih yang tertanam itu tetap akan tumbuh - berbuah dan berkembang. Perjuangan kita adalah perjuangan yang hak, tetap akan berjalan terus-menerus, sama beredar dengan sunah alam, sama tunduk di bawah "kudrat Allah".
Waala Allah fil ya taruskkal almukminun - merdeka!

(Kata Penutup)
Alhamdulillah, buku (Sejarah Perjuangan Kita) ini telah dapat dicetak dan diterbitkan semula – yang kebetulannya di akhir tahun 1955, yang bersejarah ini. Meskipun sebahagian kandungannya merupakan sejarah dalam tahun 1946 – 1947 yang lalu, tetapi oleh kerana perjuangan itu  - perjuangan yang hidup, maka kenyataannya telah dapat disaksikan sekarang, juga untuk djadikan bahan dalam menghadapi perkembangan politik hari ini.
Kepada sejarah bangsa Melayu, khasnya kepada orang yang mengikuti perkembangan politik di Tanah Melayu ini, tentulah dapat mengukur dan mempelajari setakat mana dan ke arah mana “matlamat” yang dituju dan diperjuangkan oleh para nasionalis-nasionalis tulen itu. Mereka tentulah dapat mengkaji dan mempelajari bahawa rasa keinsafan yang mendorong pejuang-pejuang nasionalis itu, adalah berakar umbi dari bawah  - dari rakyat jelata yang sebenar-benarnya mengalami pahit maungnya akibat penjajahan, dipupuk dan diilhamkan oleh jiwa besar, jiwa pahlawan, jiwa kesatria – jiwa “kebangsaan Melayu”, yang dipusakai dari Laksamana Hang Tuah dan bukanlah dari suatu desakan luar yang hanya berpura-pura hendak menyesuaikan diri di tengah-tengah jiwa revolusi rakyat yang sudah ingin merdeka sekarang.
Kerana itulah – para pejuang-pejuang itu sehingga hari ini tetap berpegang kepada asas perjuangannya, memperjuangkan hasrat rakyat supaya kembali menjadi bangsa yang berdaulat di tanah airnya sendiri dan menjadi keluarga yang sama tarafnya dengan bangsa-bangsa yang merdeka di dunia ini.
(Bangsa yang ingin merdeka tetap merdeka)
Penerbit, September, 1955.





No comments:

Post a Comment