Pages

Tuesday, November 19, 2019

Merapatkan Jurang


SELASA, 19 November 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu,  bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama” dengan bertunjangkan empat teras utama, iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dalam  ekonomi baharu dan era digital,  pelaburan ke atas rakyat: meningkatkan keupayaan modal insan,  mewujudkan masyarakat yang bersatu, inklusif dan saksama, dan  memulihkan institusi dan kewangan awam.
Dengan  perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM297 bilion, iaitu 18.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Daripada jumlah itu, RM241 bilion diperuntukkan kepada belanja mengurus, RM56 bilion untuk belanja pembangunan, dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. Seperti biasa, kudap-kudapan disediakan untuk setiap lapisan rakyat yang mungkin bersifat populis.
Belanjawan 2020 dibentangkan ketika ramalan  bahawa    kemelesetan akan melanda dunia pada tahun hadapan semakin menjadi-jadi,  antaranya berpunca daripada  perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China yang masih belum reda dan kemungkinan  tidak akan reda. Banyak negara, termasuk Malaysia menerima kesan buruk  perang dagang itu.  Secara keseluruhan, ekonomi maju akan mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan daripada pertumbuhan global, yang dijangkakan tumbuh  3.2 peratus tahun ini dan 3.5 peratus 2020. Ekonomi maju dijangkakan mencatatkan pertumbuhan  1.9 peratus tahun ini dan 1.7 peratus tahun hadapan. Di rantau Asia, China, India, dan Vietnam dijangkakan mencatatkan pertumbuhan yang tinggi. Sementara negara jiran,  Singapura dijangkakan boleh terjebak dalam kemelesetan selepas kejatuhan besar dalam kegiatan ekonomi pada suku kedua tahun ini.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia suku tahun kedua 2019, ialah 4.9 peratus, mengatasi jangkaan, tetapi  pencapaian separuh pertama tahun ini, 4.7 peratus  berbanding sasaran  pertumbuhan tahunan 4.9 peratus. Pertumbuhan ekonomi  diibaratkan  sebagai “kek”;  semakin besar kek berkembang, maka semakin banyak orang dapat menikmatinya.
Yang menjadi perhatian, Belanjawan 2020 dibentangkan hanya beberapa minggu  selepas pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. WKB 2030 merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030 yang  akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dengan luar. Ketidaksamaan kini merupakan fenomena global, yang turut melanda negara maju.
Perlu dinyatakan bahawa dalam tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dari tahun 1971 hingga 1990, kemiskinan dan ketidaksamaan menjadi tumpuan para penggubal dasar dan para pengkaji. Namun begitu, selepas pelaksanaan DEB, secara beransur-ansur,  kemiskinan dan ketidaksamaan mula kurang mendapat perhatian. Hal ini demikian mungkin kerana melalui program tindakan afirmatif, kemiskinan dan ketidaksamaan berjaya dikurangkan. Pada awal tahun 1990-an, para pengkaji mula memberikan tumpuan pada Malaysia sebagai negara perindustrian baharu, globalisasi yang menerobos dunia, dan terhadap krisis kewangan Asia 1997 – 1998, yang Malaysia turut terjebak dalam krisis buruk itu dan krisis politik yang dicetuskannya. Bahkan, entah kenapa penerbitan buku Muhammed Abdul Khalid, The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia kurang mendapat perhatian para pengkaji, apatah lagi para penggubal dasar.
Muhammed, yang kini berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, dalam prakata bukunya, menegaskan bahawa meskipun Malaysia mencapai kejayaan dalam mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan, terutamanya antara kumpulan kaum dari tahun 1970  hingga tahun 1990, jurang kekayaan masih tinggi pasca-1990. Keadaan ini hampir kekal pada tahap yang sama dalam tempoh 25 tahun lalu. Masih teruk, jurang pendapatan relatif antara isi rumah bandar dengan isi rumah desa pada tahun 2012, sama seperti pada tahun Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.
Secara sepintas lalu, dapat diperhatikan bahawa dalam Belanjawan 2020, wujud usaha untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan  antara golongan kaya dengan golongan miskin, antara kaum, dan juga antara penduduk bandar dengan penduduk  desa. Peningkatan kos sara hidup amat dirasai oleh rakyat, terutamanya penduduk bandar. Untuk menampung keperluan hidup diri dan keluarga, ada yang terpaksa melakukan kerja sambilan, seperti pemandu teksi dan penghantar makanan.
Sehubungan dengan itu,  Belanjawan 2020 mencadangkan peningkatan upah minimum kepada RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar utama, manakala di tempat lain kekal dengan RM1100. Di sini jelas menunjukkan bahawa kerajaan masih keberatan memperkenalkan upah minimum RM1500, seperti yang pernah dijanjikan.
Usaha untuk merapatkan jurang antara kaum yang lebih berkesan adalah melalui peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih luas kerana langkah ini akhirnya membolehkan golongan berkenaan berdikari. Untuk perniagaan, Belanjawan 2020 memperuntukkan RM445 juta untuk menyokong pembangunan usahawan bumiputera. Di bawah skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kaum Cina, Belanjawan memperuntukkan pinjaman  RM100 juta, dan pinjaman  RM20 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Kerajaan juga terus menyokong usahawan bumiputera dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagi usahawan bumiputera baharu dengan menyediakan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dan peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau. Langkah kerajaan ini sejajar dengan hakikat pentingnya PKS dalam ekonomi negara, iaitu penyumbang utama KDNK dan menyediakan peluang pekerjaan.
Golongan bawahan selalunya terdiri daripada pekebun kecil, pesawah, peneroka Felda, dan buruh yang biasanya tinggal di bandar atau pinggir bandar. Mereka yang lebih memerlukan sokongan atau bantuan kerajaan. Tanpa sokongan dan bantuan tersebut, maka sukar bagi mereka untuk keluar daripada belenggu taraf hidup rendah, dan dengan itu, jurang ketidaksamaan tidak dapat dirapatkan, bahkan mungkin semakin melebar.
Untuk pekebun kecil kelapa sawit, kerajaan akan melancarkan dan pinjaman penanaman semula berjumlah RM550 juta tanpa cagaran dan kadar faedah dua peratus setahun dan tempoh pinjaman selama 12 tahun. Untuk masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kerajaan menyediakan peruntukan RM850 juta untuk pelbagai tujuan, antaranya RM200 juta untuk program meningkatkan pendapatan 11,600 orang peneroka dan RM300 juta untuk menghapus kira faedah pinjaman peneroka. Belanjawan 2020 juta menyediakan peruntukan RM738 juta untuk Risda dan Felcra  bagi melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberikan manfaat kepada lebih 300,000 orang pekebun kecil dan 100,000 orang peserta Felcra.
Sesetengah negara maju juga merupakan negara pengeluar hasil pertanian, Amerika Syarikat pengeluar gandum, jagung, dan bahkan beras. Belanda yang saiznya sebesar negeri Pahang, masih mengeluarkan hasil pertanian. Negara maju biasanya memberikan bantuan atau subsidi kepada para petani  sebagai galakan supaya mereka kekal mengusahakan pertanian. Sebagai contoh, akibat perang dagang dengan China, pendapatan petani di Amerika terjejas teruk. Oleh sebab itu, Presiden Donald Trump  menawarkan bayaran bantuan pada tahun lalu bernilai kira-kira AS$12 bilion kepada petani yang terjejas oleh tarif tindak balas China.
Dalam Belanjawan 2020, dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pengusaha pertanian, kerajaan memperuntukkan RM4.9 bilion, manakala RM150 juta untuk membantu petani, nelayan, dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan melalui integrasi tanaman.
Namun begitu, sejauh mana segala peruntukan yang diberikan itu dapat  mengurangkan jurang  ketidaksamaan,  menimbulkan persoalan yang sedikit banyak perlu disentuh di sini. Menurut kajian, agihan pemilikan dan pengusahaan tanah yang berat sebelah dalam kalangan kaum tani  sendiri juga merupakan masalah dan punca ketidaksamaan dalam kalangan masyarakat tani. Kajian empirik tahun 1970-an, menunjukkan  agihan pemilikan dan pengusahaan tanah tani, terutamanya dalam kalangan pekebun kecil getah dan pesawah padi di Semenanjung. Sehubungan dengan itu, pernah dicadangkan dalam usaha membasmi kemiskinan yang berleluasa  dalam kalangan kaum tani, terutamanya petani yang kelaparan tanah, secara berkesan semestinya agihan pemilikan tanah yang berat sebelah. Penumpuan selama ini terhadap usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran petani hanya memperluaskan lagi jurang perbezaan dalam kalangan kaum tani, sedangkan kemiskinan dalam kalangan mereka yang kelaparan tanah terus tidak diatasi.
Sejak beberapa bulan lalu kita mendengar keluh-kesah para nelayan tentang kesengsaraan hidup mereka. Ada menteri mencadangkan nelayan menanam nanas dan rambutan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Namun begitu, cadangan ini kelihatan tidak praktik kerana para nelayan biasanya mempunyai tanah yang luas sekangkang kera, berapalah hasil yang akan diperoleh kelak.
Oleh sebab diakui bahawa perikanan memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, khususnya dari segi pembekalan bahan protein dan penyediaan peluang pekerjaan, meskipun perikanan merupakan sektor ekonomi yang kecil, maka kerajaan perlu membantu para nelayan supaya mereka mempunyai motivasi untuk kekal hidup sebagai nelayan. Sesungguhnya, wujud  kesan buruk, terutamanya dari segi keselamatan makanan sekiranya pesawah meninggalkan bendang mereka dan nelayan enggan turun ke laut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara mengalami pengangguran yang semakin teruk. Lebih daripada setengah orang yang menganggur pada tahun 2018, 140,000 ialah siswazah. Dari segi usia pula, kira-kira 290,000 orang penganggur ialah belia yang berusia hingga 24 tahun. Sehari selepas pembentangan Belanjawan 2020, Datuk Seri Mustapha Mohamed dipetik sebagai berkata, “data diperlukan untuk melihat mengapa 200,000 orang siswazah menganggur, termasuk pemegang ijazah luar negara.”
 Pengalaman di banyak negara menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan belia boleh mencetuskan ketidakstabilan politik dan kekacauan sosial apabila golongan ini turun di jalanan melancarkan tunjuk perasaan. Keadaan menjadi semakin teruk apabila negara terjebak dalam kemelesetan. Perlu ditegaskan bahawa usaha untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan tidak akan berjaya sekiranya kadar pengangguran tinggi.
Dalam Belanjawan 2020, kerajaan menyediakan beberapa insentif untuk siswazah menganggur, namun yang anehnya, mereka diberikan insentif  RM500 sebulan selama dua apabila mereka menerima tawaran bekerja dan bukannya ketika mereka menganggur. Pihak majikan yang menerima mereka bekerja pula diberikan insentif RM300 sebulan untuk tempoh yang sama.
Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan pada tahun 2019 menggantikan BR1M, diteruskan pada tahun 2020, dengan peruntukan RM5 bilion. Skim ini diperluaskan kepada individu bujang seramai 1.1 juta orang,  berusia melebihi 40 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM2000 sebulan. Orang kurang upaya (OKU) yang berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM2000 sebulan juga menikmati skim ini.
Yang mencetuskan kontroversi dalam Belanjawan 2020, ialah langkah  kerajaan membuka peluang kepada warga asing untuk memiliki  kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual dianggarkan bernilai RM8.3 bilion pada pertengahan tahun 2019. Untuk itu, kerajaan akan menurunkan nilai ambang daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020. Langkah kerajaan ini bukan sahaja dianggap untuk menyelamatkan pemaju, tetapi juga dianggap bercanggah dengan “rukun pasaran” dan  ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.
Seperti belanjawan tahun-tahun sebelum ini, Belanjawan 2020 penuh dengan angka dan data. Meskipun banyak pihak dijanjikan kudap-kudapan, termasuk penjawat awam dan pesara, persoalan pokok ialah kemampuannya mengurangkan jurang ketidaksamaan dari setahun ke setahun.  Itu pun dengan harapan bahawa pada tahun depan tidak berlaku kemelesetan global, meskipun banyak ramalan kemungkinan besar akan berlaku.


No comments:

Post a Comment