Pages

Thursday, August 29, 2019

Tindakan Afirmatif dan Pembasmian Kemiskinan

KHAMIS, 29 Ogos 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Apabila DEB berakhir pada tahun 1990, didapati tindakan afirmatif dari segi pembasmian kemiskinan mencapai kejayaan yang besar apabila “kemiskinan mutlak dalam kalangan orang Melayu dikurangkan daripada 64.8 peratus pada tahun 1970 kepada 20.4 peratus pada tahun 1990” (Gomez, Saravanamuttu, dan Maznah, 2013: 9).  Pengurangan kemiskinan ini dihasilkan oleh kedua-duanya, iaitu pertumbuhan ekonomi yang pesat berikutan perindustrian dan tindakan afirmatif kerajaan yang tersebar luas, terutamanya dalam sektor luar bandar dan pendidikan (Ragayah, 2013: 56).
Telah diakui akan peranan pendidikan dalam meningkatkan produktiviti  dan tahap pendapatan, dengan itu, DEB memberikan tumpuan terhadap pendidikan untuk cara membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.  Dua dekad pelaksanaan DEB pertumbuhan yang sangat besar kaum bumiputera menjadi terpelajar  pada semua tahap, rendah, menengah, dan tertiari, dan dalam semua bidang.  Program pendidikam, termasuk kuota pengambilan masuk ke universiti, biasiswa, dan subsidi lain dalam bidang pendidikan, membantu bumiputera meningkatkan kapasiti perolehan upah mereka, yang membawa kepada pengurangan petunjuk kemiskinan (Ragayah, 2013: 52).
Namun begitu, pada penghujung perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir  Mohamad kelihatan mula berundur daripada program tindakan afirmatif dan mula menerima pakai meritokrasi, misalnya  dalam bidang pendidikan, iaitu “menawarkan untuk melepaskan kuota bumiputera untuk kemasukan ke universiti”  (Karim, 2003: 138).  Perubahan ini, iaitu daripada sistem kuota kepada meritokrasi, menurut pemerhatian Muhammed Abdul Khalid, “menghalang mobiliti sosial golongan miskin dan bumiputera” (Muhammed, 2014:  168). Muhammed menjelaskan bahawa sistem kuota yang digantikan dengan sistem meritokrasi pada Januari 2003, dan akibatnya, bukan bumiputera mempunyai bahagian yang lebih besar kemasukan ke universiti awam.  Misalnya, pengambilan pada tahun 2004 menunjukkan bukan bumiputera menerima manfaat paling banyak daripada anjakan dasar ini, dengan pelajar India dan Cina masing-masing meningkat sebanyak 46 peratus dan 36 peratus, pelajar bumiputera hanya meningkat sebanyak 10 peratus. Angka pada tahun sebelumnya menunjukkan pelajar Cina melihat pengambilan mereka meningkat sebanyak 27 peratus pada tahun 2003 berbanding dengan tahun 2002, manakala pelajar bumiputera meningkat tiga peratus (Muhammed, 2014: 169). Muhammed juga membandingkan jurang pendapatan relatif antara bumiputera dengan Cina dalam era tiga Perdana Menteri, yang menurut beliau, pascatahun  2009, menyaksikan jurang tersebut semakin melebar. Jurang pendapatan relatif melebar sebanyak 10 peratus dalam tempoh 2009 – 2012, iaitu era Perdana Menteri Najib Tun Abdul Razak, manakala jurang ini dipotong separuh semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi.  Sebagai perbandingan, ketika era Mahathir, jurang pendapatan antara Cina dengan bumiputera dipotong kira-kira 10 peratus (Muhammed, 2014: 94 – 95).
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diiperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment