Pages

Thursday, August 1, 2019

Bahasa Melayu: Perjuangan dan Kedaulatan

KHAMIS, 1 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Berbanding dengan beberapa orang pemimpin, seperti Tun Syed Nasir Ismail,  Tun Abdul Rahman  Ya’kub, mantan Menteri Pelajaran, Tun Datu Mustapha,  dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim  - semasa dalam kerajaan – terkenal sebagai pejuang bahasa,  sebaliknya  boleh dikatakan,  nama  Tun Ghazali Shafie  tenggelam, padahal  bahasa Melayu juga di hati beliau. 
            Ghazali pernah menulis, “sebelum kedatangan penjajah, kaum bumiputera dan bukan bumiputera bertutur dalam bahasa yang sama, kerana orang yang menggunakan bahasa ini ialah pedagang, tersebar   dan menjadi lingua franca Kepulauan Melayu.  Bahasa itu ialah bahasa Melayu.  Dalam bahasa itu mereka menyanyi lagu yang sama dan mereka menari tarian yang sama. Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan tidak langsung British yang tidak membenakan kedua-duanya, iaitu politik dan ekonomi berpusat dalam tangan orang Melayu, menggalakkan orang Melayu meninggalkan aktiviti komersial dan menyertai kumpulan kaum tani yang dimanjakan.  Akibatnya, bahasa Melayu sayup dalam lingkungan komersial dan perniagaan di Tanah Melayu, akhirnya  bahasa ini hanya untuk istana dan kaum tani” (Ghazali, 1985: 47; huruf condong oleh saya sendiri).
            Ketika menyampaikan ceramah melalui Radio Malaysia pada tahun 1959, Ghazali Shafie sudah mempunyai impian tentang kewujudan bangsa Malaya, yang menurut beliau, “memang ada satu bangsa Malaya.” Dengan mengemukakan bahawa “bangsa yang ada dalam sesebuah negara bukannya ditentukan oleh keturunan darah atau kulit, tetapi adalah suatu pandangan hidup yang kita pusakai, satu cara pemikiran dan perasaan yang sama,” maka beliau menegaskan bahawa “peri mustahaknya satu bahasa yang sama merupakan satu keperluan.”  Oleh sebab bahasa yang sama merupakan  satu tali pengikat, dan oleh itu, tentulah hal ini mustahak bagi pembentukan dan pelahiran satu corak rupa bangsa, maka kerajaan sedang melaksanakan dasar pelajaran yang bertujuan maksud itu (Ghazali, 1981: 131 – 133).
            Dalam proses pembentukan Malaysia, wujud kebimbangan dalam kalangan pemimpin Melayu di Semenanjung berkenaan komitmen Singapura untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Singapura.  Ghazali Shafie pernah mengesyorkan kepada para pemimpin Tindakan Rakyat (PAP) Singapura supaya mereka  mestilah menunjukkan kecenderungan   terhadap bahasa Melayu jika  mereka inginkan  pemimpin Melayu di Semenanjung menerima Singapura dalam  hubungan Perlembagaan yang lebih rapat. Bahkan, beliau menganjurkan  semua sekolah di Tanah Melayu dan Singapura sepatutnya dimililknegarakan dan semua sekolah rendah yang bahasa pengantar ialah bahasa Melayu harus mengajar  bahasa Inggeris dan Mandarin dan  peruntukan Perlembagaan  harus dijadikan  peluang untuk belajar mana-mana  sebagai mata pelajaran di peringkat menengah dan pengajian tinggi (Ghazali, 2004:  25 – 26; Ghazali, 2015: 30). 
            Pada waktu  itu,  kempen Bahasa Kebangsaan dengan slogannya “Bahasa Jiwa Bangsa”  sedang hangat, “tetapi Tunku dan Razak  menolak cadangan saya, walaupun saya berpendapat jika dasar tersebut  diterima oleh Perikatan (UMNO-MCA-MIC), akan lenyaplah tohmahan bahawa bahawa bahasa Inggeris dan Mandarin akan dihapuskan di Tanah Melayu,” tulis Ghazali (2004:  25 – 26; 2015: 30). 
             Ketika menjadi Menteri Penerangan pada awal tahun 1970-an, Ghazali Shafie memastikan supaya bahasa Malaysia digunakan ketika mengumumkan program dalam bahasa lain dan program radio diatur supaya satu rangkaian tidak sentiasa menyiarkan program dalam satu bahasa sahaja (Milne dan Mauzy, 1982: 474 – 475).
Ghazali Shafie pernah  menegaskan bahawa, “kedaulatan bahasa Malaysia pada hari ini tidak dipersoalkan lagi, meskipun kekurangan bilangan anak Melayu dalam bidang kedoktoran dan terutamanya dalam bidang kejuruteraan masih wujud” (Ghazali, 1981: 87). Ketika berucap sempena penerimaan  Ijazah Kehormat Doktor Persuratan, di Universiti Malaya pada tahun 1971, beliau mengemukakan gagasan agar “penekanan diberikan kepada sastera bahasa Malaysia memandangkan bahawa kebudayaan tulen negara ini berteraskan kebumiputeraan sambil disisip oleh unsur kebudayaan lain.”  Dengan berpegang bahawa “bahasa menunjukkan bangsa,” beliau menegaskan bahawa, “rakyat Malaysia dikenali kerana bahasa Malaysia mereka.  Budi pekerti mereka membuktikan kemurnian kesusilaan mereka” (Ghazali, 1981: 184).
Bahasa Malaysia bukannya bahasa orang Melayu semata-mata, hujah Ghazali Shafie, tetapi bahasa setiap orang di negara ini dan kempen menjadikan bahasa ini bahasa rasmi dan bahasa yang sesuai pada  masanya diterima sebagai bahasa wacana untuk semua rakyat Malaysia merupakan tanggungjawab bukannya orang Melayu semata-mata, tetapi setiap orang di negara ini (Ghazali, 1985: 3).
Dualisme dalam sistem pendidikan di negara ini, menurut  Ghazali,  akan menghalang kemajuan ke arah Malaysia hari esok untuk membentuk anggota zaman saintifik dan teknologi.  Di sini, beliau menjelaskan mengapa kerajaan menggubal dasar pelajaran  yang mengambil kira  objektif perlunya kepaduan sosial dan perpaduan yang mengimlakkan anak-anak kita, tanpa mengira kaum, sepatutnya diajar dalam satu aliran pengajaran, iaitu bahasa Malaysia (Ghazali, 1985: 34).
(Dipetik daripada Bab Tujuh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment