Pages

Tuesday, July 9, 2019

Pendirian PKMM terhadap Malayan Union dan UMNO


SELASA, 9 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Ketika masih beribu pejabat di Ipoh, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menyatakan “persetujuan pada prinsip” atas andaian seluruh pentadbiran Tanah Melayu disatukan, tidak berasing-asing seperti sebelum perang.  Tetapi, apabila diketahui akan maksud yang sebenarnya, maka PKMM menukar sikap lalu membantah bersama-sama berpuluh-puluh badan politik Melayu yang lain, yang timbul secara mendadak sebagai reaksi terhadap rancangan British hendak menguburkan kedaulatan Melayu di tanah air sendiri (Mohd. Salleh, 1998: 53 – 54; Mohamed Salleh, 2016: 67 - 68). 
PKMM mengalu-alukan pada prinsip – bukan penerimaan bulat-bulat gagasan Malayan Union yang diumumkan oleh British pada awal tahun 1946, kerana “matlamat perjuangan PKMM mencapai kemerdekaan penuh atau seratus peratus bagi Tanah Melayu dan tidak kurang daripada itu.” Perhitungan politik yang mendorong PKMM mengambil sikap “menerima pada prinsip” ini ialah “menangkap saat sejarah,” yang menurut Sukarno, “dalam kehidupan satu-satu bangsa, saat-saat sejarah akan menampakkan dirinya dari semasa ke semasa.  Hanya bangsa yang dapat menangkap saat sejarah inilah yang boleh menjadi bangsa yang besar” (Ahmad Boestamam, 2004: 156).  Bagi PKMM, ada dua bentuk negara merdeka, iaitu federalis (Negara Persekutuan) dan unitaris (Negara Kesatuan).  Antara dua bentuk ini, PKMM memilih Negara Kesatuan.  Atas pertimbangan ini, PKMM menerima Malayan Union yang tentulah dengan sendirinya Negara Kesatuan (Ahmad Boestamam, 2004: 156 – 157).
PKMM yang berpindah dari Ipoh ke Kuala Lumpur pada Februari 1946, “mendapati dirinya di tengah-tengah suasana politik yang sedang tegang dan berkembang semakin ligat dan hebat (Mohd. Salleh, 1998: 53).  Dalam beberapa hari sahaja sejak berpindah, dengan markas besarnya terletak di bangunan kedai Nombor 2, Batu Road, PKMM menerima undangan untuk menghantar perwakilan ke sebuah kongres badan dan pertubuhan Melayu se-Malaya bagi membentuk sebuah gabungan besar yang akan dinamakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang akan berjuang menentang Malayan Union (Ahmad Boestamam, 2004: 158). Ketika itu PKMM telah menyedari muslihat British yang sebenar, bahawa Malayan Union “bukanlah dimaksudkan sebagai sebuah negara yang merdeka melainkan sebagai jajahan takluk Inggeris... bahkan paksaan dan penipuan dilakukan ke atas Raja-Raja Melayu bagi dapat melahirkan Malayan Union” (Ahmad Boestamam, 2004: 159; rujuk juga Mohamed Salleh, 2016: 68).
Setelah pucuk pimpinan PKMM berbincang,  mereka membuat keputusan menerima undangan itu atas alasan,  “Malaya Union yang akan menjadi tanah jajahan Inggeris bulat-bulat tidak ada gunanya kepada rakyat jelata, sebab ia bererti perhambaan ke atas mereka semata-mata.  Sebab itu ia harus ditentang habis-habisan  dan dihancurkan sehingga menjadi debu” (Ahmad Boestamam, 2004: 159).
Dalam Kongres Melayu se-Malaya yang berlangsung dari 1 – 4 Mac 1946, di Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur, “Dr. Burhanuddin menjadi ketua perwakilan PKMM bersama-sama beberapa tokoh PKMM, termasuk Ahmad Boestamam, dan parti itu juga menghantar pemerhati paling banyak, iaitu 16 orang”  (Ramlah, 2003: 50), dan  “salah seorang pemerhati rasmi PKMM ialah Mohd.  Salleh Daud”  (Mohd. Salleh, 1998: 52 – 53).  Mohd.  Salleh juga mencatatkan peristiwa yang bersejarah itu tentang perwakilan dengan penuh teruja: “Ada yang berhaluan kiri dan radikal seperti PKMM yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin; ada yang berhaluan kanan dan konservatif, seperti Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) yang dipimpin oleh Dato’ Onn Ja’afar; dan ada yang berpuas dengan gelaran ‘nasionalis’ sahaja” (Mohd. Salleh, 1998: 54 – 55).  Menurut rencana pengarang Pelita Malaya, Dr. Burhanuddin menyokong kongres tersebut demi kepentingan dan perpaduan Melayu (Ramlah, 2003: 51).  Walau bagaimanapun, kepimpinan beliau dalam PKMM dan sokongannya terhadap Kongres Melayu se-Malaya, dipersoalkan oleh Ahmad Boestamam, Ketua API (Ramlah, 2003: 52).
Sokongan Dr. Burhanuddin dan PKMM kepada Malayan Union ditunjukkan secara  tegas oleh PKMM sebaik-baik sahaja rancangan Malayan Union itu diketahui umum. Sokongan itu diteruskan, walaupun pada masa yang sama,  PKMM menganggotai Kongres 1946 (Kongres Melayu se-Malaya) dan menubuhkan UMNO di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin dan PKMM mempunyai pendirian politik gergaji dua mata.  Ini telah melahirkan strategi politik yang paling selamat untuknya (Ramlah, 2003: 45). Beliau menjelaskan bahawa sokongannya itu berdasarkan hasratnya untuk membentuk sebuah negara Melayu yang berteraskan kebangsaan Melayu sejati. Beliau berharap British melahirkan semula  sebuah negara Melayu yang bersatu, bukan berpecah di dalam negeri-negeri kecil seperti dahulu (Ramlah, 2003: 46).
Dalam Persidangan Perhubungan Asia di New Delhi yang berlangsung dari 23 Mac hingga 2 April 1947,   Dr. Burhanuddin  selaku ketua delegasi,  berucap dalam sidang pleno pada hari kedua menyatakan pendirian PKMM terhadap Malayan Union.  Tegas beliau, “kalau kerajaan British menganggap gerakan nasionalis Melayu itu lemah, maka itu adalah khayalan. Masa depan akan membuktikan bahawa orang Melayu tetapi berazam untuk mencapai kemerdekaan dengan semangat yang sudah ditunjukkan oleh saudara-saudara mereka di Indonesia” (Mohd. Salleh, 1998: 82 – 83). Dalam persidangan itu tidak kurang  22 buah negara mengambil bahagian – ada yang sudah merdeka dan ada yang masih dijajah. Oleh sebab Malaya belum merdeka, maka perwakilannya tidak daripada kerajaan, tetapi daripada berbagai-bagai badan politik, gerakan buruh, gerakan wanita, kebajikan, dan budaya.  Mohd. Salleh Daud yang hadir bersama-sama Dr. Burhanuddin al-Helmy (wakil PKMM dan PUTERA),  menulis dengan terperinci perjalanan persidangan yang dirasmikan oleh Pandit (Jawarhalal) Nehru, Perdana Menteri sementara India   (Mohd. Salleh, 1998: 77 – 88). Abdullah C.D. yang juga peserta  persidangan itu, mewakili Persekutuan Kesatuan Sekerja se-Malaya (Pan Malayan Federation of Trade Unions – PMFTU) bersama-sama Yap Meow Siew,   turut menulis dalam memoirnya (Abdullah C.D., 2005:  239 – 250).  Wakil lain ialah J.V. Thivy, Gurdial Singh, Jamnadas Mehta, Philip Hoalim, E.E.C. Thuraisingham, S.A.. Ganapathy, P.P. Narayanan, Brahmachari Kailasam, Hajah Zain Sulaiman, dan Devasayaham, dari  pelbagai pertubuhan turut menghadiri persidangan itu (Mohd. Salleh, 1998: 77 – 78).
PKMM bukan sahaja mengubah pendiriannya terhadap Malayan Union dan mengambil bahagian dalam kongres tersebut, bahkan juga turut terlibat dalam penubuhan UMNO dengan menghadiri mesyuarat parti itu pada Mac 1946. Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat tersebut, PKMM merupakan perwakilan tunggal yang mencadangkan kaitan dengan Indonesia yang muncul daripada hubungan etnik dengan rakyat Indonesia, manakala wakil daripada pertubuhan negeri sedang sibuk membicarakan ancaman Malayan Union (Ariffin, 2015: 116).  Dr. Burhanuddin pernah menjelaskan bahawa PKMM bersatu dengan UMNO kerana ingin melaksanakan sebenar-benar hasrat bangsa Melayu.  Bersama-sama dengannya PKMM  menumbangkan Malayan Union (dipetik daripada Ramlah, 2003: 47). Walau bagaimanapun, catatan lain mengatakan PKMM dipaksa oleh gelombang kemarahan orang Melayu terhadap rancangan Malayan Union untuk menghadiri  Kongres Melayu se-Malaya dan untuk bergabung dirinya dengan UMNO (Cheah, 2014: 286). 
Salah satu badan yang menjadi pengasas UMNO ialah PKMM. Tokoh-tokoh PKMM yang menghadiri kongres, baik sebagai wakil mahupun sebagai pemerhati, dengan sendiri dapat pula dikatakan sebagai tokoh pengasas UMNO (Ahmad Boestamam, 2004: 159 – 160).  Walau bagaimanapun, PKMM  bergabung dengan UMNO hanya selama tiga bulan –  Mac hingga Jun 1946.  PKMM  bertindak  keluar daripada UMNO kerana perselisihan pendapat tentang bentuk bendera yang hendak dijadikan lambang perjuangan UMNO.  Dalam Persidangan Majlis  Agung UMNO di Ipoh, pada 29 dan 30 Jun 1946, “ada hal yang tidak digemari berlaku, apabila dua buah daripada 34 pertubuhan yang hadir,  iaitu PKMM dan Persatuan Melayu Jawatan Rendah Selangor mengambil langkah keluar daripada persidangan dan terus menarik diri daripada menjadi ahli UMNO (Ibrahim, 1981: 140).
 PKMM bertahan mencadangkan Sang Saka Merah Putih sebagai “pusaka warisan Melayu zaman berzaman.” Kebanyakan perwakilan tidak bersetuju kerana ini bermakna “mahu bertuankan Indonesia.”  Keputusan mesyuarat memilih bentuk bendera UMNO yang wujud ke hari ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan perwakilan PKMM yang terdiri daripada Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, dan Abdul Rahman Rahim, lalu mereka bertindak keluar dewan, dan sejak itu bermulalah perpisahan antara puak nasionalis konservatif dengan radikal Melayu (Mohd. Salleh, 1998: 57 – 58; rujuk juga Ibrahim, 1981: 141,  Cheah, 2014: 286,  dan Ramlah, 2003: 52 - 53). 
Walau bagaimanapun, alasan yang diberikan oleh PKMM  diragui, kerana cadangan yang dikemukakan oleh Ikatan Setia Kampung Baru – cadangan yang menang dala pemilihan bendera itu – mengalahkan cadangan PKMM dan cadangan Dato’ Onn Ja’afar daripada PSMJ – sebenarnya, tidak  jauh berbeza dengan cadangan PKMM (Ramlah, 2003: 52 – 53). Menurut Firdaus Haji Abdullah,  PKMM menggunakan helah pemilihan bendera untuk memisahkan dirinya daripada UMNO, kerana beberapa bulan sebelumnya, semakin tidak mungkin parti itu berada dalam UMNO, sementara pada masa yang sama, PKMM mahu mencapai objektif politiknya sendiri (dipetik daripada Mohamed Salleh, 2016: 70).
Kempen PKMM menentang Malayan Union  berteraskan idea nasionalisme Malaya, yang mengandungi orang Cina dan India tidak mendapat sokongan yang luas berbanding dengan gerakan penentangan yang dilancarkan oleh UMNO yang memperjuangkan nasionalisme Melayu (Mohamed Salleh, 2016: 69). Dalam satu temu bual, Ishak Haji Muhammad beritahu bahawa tindakan PKMM menyokong Malayan Union memberikan kesan paling buruk terhadap parti itu (Ariffin, 2015: 125). Boleh dikatakan PKMM gagal dalam tindakannya menentang arus, seperti yang pernah dicatatkan, “parti itu gagal memperoleh mana-mana sokong meluas orang Melayu terhadap dasar pro-Malayan Unionnya” (Cheah, 2014: 282), yang diambil kesempatan oleh kumpulan yang bermusuh dengan PKMM mengambil daya usaha untuk menubuhkan UMNO.
Menurut pemerhatian Joel S. Kahn, walaupun orang Melayu kelihatan bersatu menentang Malayan Union, wujud perpecahan yang semakin dalam antara organisasi nasionalis radikal dengan organisasi nasionalis konservatif,  yang berbeza dari segi konsep mereka tentang Melayu.  Meskipun kedua-dua organisasi ini menentang Malayan Union, nasionalis radikal yang lebih tua mula secara lebih eksplisit menyatakan dengan jelas budaya berbanding dengan wawasan perkauman jati diri Melayu; yang paling jelas dalam hujah Dr. Burhanuddin al-Helmy, yang membezakan antara bangsa dengan kebangsaan (Kahn, 2016: 113).
Sementara itu, di peringkat dalaman PKMM, “keutuhan kepimpinan Dr. Burhanuddin sekali lagi tercemar dengan  tindakan Ahmad Boestamam menarik PKMM keluar daripada UMNO”   (Ramlah, 2003: 52).  Beliau menerima keputusan Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad, wakil PKMM ke persidangan itu dengan mudah sekali.  Beliau tidak berasa tercabar kuasa dan kedudukan politiknya sebagai seorang Presiden (Yang Dipertua Agung) PKMM (Ramlah, 2003: 53). PKMM tidak dapat menerima kekalahan kerana parti itu mengamalkan dasar penggabungan dengan Indonesia dan menentang kaum bangsawan.  Kekalahannya melambangkan kegagalan dasar Indonesia Raya yang cuba dijadikan dasar UMNO (Ramlah, 2003: 52 – 53). PKMM mengambil masa yang agak lama untuk mengetepikan idea penggabungan Tanah Melayu dengan Indonesia. Bahkan, Dr. Burhanuddin  tidak pernah melupakan idea penyatuan Tanah Melayu dengan Indonesia, meskipun Sukarno sendiri “mengabaikan hasratnya untuk bergabung dengan Tanah Melayu” (Ariffin, 2015: 118).
Dalam masa kira-kira setahun berlaku pertembungan  dalam dua buah organisasi politik Melayu  yang berkait dengan simbol.  Yang pertama, ketika penubuhan PKMM yang menyaksikan puak sosialis ditumpaskan oleh puak radikal Melayu dalam memilih nama parti itu.  Kemudian, dalam pemilihan bendera UMNO, yang berkesudahan, puak radikal Melayu ditumpaskan oleh puak nasionalis konservatif.  Secara kebetulan, dalam dua pertembungan itu, Dr.  Burhanuddin tidak hadir, dan secara kebetulan juga, kedua-duanya berlangsung di Ipoh.  Beliau tidak hadir ketika penubuhan PKMM kerana beliau berada di Singapura, manakala dalam persidangan UMNO, “beliau sibuk” (Ramlah, 2003: 52).
(Dipetik daripada Bab Satu, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment