AHAD, 5 Mei 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kejadian pelajar membakar sekolah, memukul guru, dan
memeras ugut dan memukul pelajar lain, bukan sahaja ditafsirkan, malahan
disebut dengan istilah yang
berbeza-beza. Sesetengah pihak menyebut gangsterism
yang menurut Kamus Inggeris Melayu Dewan,
bermaksud kegiatan gengster dan gengster pula bermaksud kumpulan penjenayah
atau samseng. Oleh sebab sebutan tersebut agak keras dan mungkin tidak sesuai
dengan perbuatan, ada pihak menyebut salah laku. Walau apa-apa pun sebutannya,
hakikatnya, benih keganasan mula subur di sekolah.
Keganasan di sekolah berlaku juga di Amerika Syarikat,
malahan lebih dahsyat kerana melibatkan penggunaan senjata api. Misalnya, Don
Foresta, dalam “World Trade, Media, and Culture,” mempersoalkan jenis teladan
yang ditunjukkan kepada pelajar sejak 30 tahun sehingga mereka begitu berani
menggunakan pistol di sekolah. Grace Lee Boggs lebih lantang mengemukakan
kritikannya dalam “School Violence: A Question Place” kerana beliau menyalahkan
kapitalisme globalisasi yang menyebabkan berlakunya keganasan di sekolah.
Kedua-dua makalah tersebut ada kaitannya dengan salah
laku pelajar di Malaysia. Sekolah, media, barangkali kapitalisme globalisasi,
menyebabkan salah laku di sekolah. Memang benar bahawa mustahil sekolah dapat
melahirkan semua pelajar yang berakhlak melalui pendidikan Islam dan moral. Pastinya, wujud segelintir
yang salah laku dan ganas. Walau bagaimanapun, mengapa pelajar yang terlibat
begitu berani menunjukkan salah laku di sekolah mereka sendiri, iaitu tempat
mereka dididik? Benarkah sekolah sekadar tempat menjaga remaja”?
Sekolah di negara ini kurang menumpukan perhatian
terhadap aktiviti budaya kerana kecemerlangan sekolah diukur dari segi
pencapaian akademik. Hanya sekolah yang gigih sanggup berusaha mengadakan
aktiviti budaya. Untuk menjalankan aktiviti ini, pihak sekolah terpaksa mencari
peruntukan sendiri, melalui pungutan derma. Akibatnya, aktiviti budaya
diabaikan dan bakat pelajar dalam bidang
ini tidak dipupuk.
Sudah pasti, media banyak mempengaruhi tindak-tanduk dan
kelakuan pelajar. Apabila saban hari media menyiarkan berita keganasan, nescaya sebilangan pelajar
akan terpengaruh. Tanpa keganasan, seks, dan hiburan, pasti media menjemukan
khalayak yang lebih berminat terhadap keseronokan atau hedonisme.
Anehnya, setiap kali keganasan berlaku, media meletakkan kesalahan
pada pihak lain, seperti sekolah, ibu bapa, pelajar, dan masyarakat. Media jarang-jarang
menyebut benih keganasan yang ditabur
dan dibajai sehingga subur dan akhirnya mempengaruhi pelajar supaya salah
laku, malahan melakukan keganasan.
Tanpa disedari, kapitalisme globalisasi turut mempengaruhi
salah laku pelajar. Kapitalisme globalisasi menghakis sifat cakna dalam
kalangan masyarakat dan kesedaran tempat. Menurut Brogg, kesedaran tempat
menggalakkan masyarakat berkumpul demi kepentingan bersama, berkongsi
pengalaman setempat, dan meletakkan harapan masa depan untuk masyarakat dan bandar
mereka. Dengan itu, mereka lebih cakna terhadap segala yang berlaku di sekeliling
mereka, seperti jenayah dan keganasan. Mungkin kapitalisme globalisasi telah
mencemari masyarakat penyayang dan satu petandanya ialah salah laku pelajar.
(“Memo Ketua Editor,” Dewan
Budaya, Ogos 2000.)
No comments:
Post a Comment