SABTU, 20 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sogo Shosha yang
menjadi penggerak kecemerlangan ekonomi Jepun, khususnya dalam perdagangan
antarabangsa telah menjadi tumpuan masyarakat di seluruh pelosok dunia. Banyak
negara di dunia ini, seperti Brazil, Mexico, Korea Selatan, Thailand, Amerika
Syarikat, Malaysia, dan beberapa buah negara lain ingin menubuhkan sogo shosha
di negara masing-masing.
Perkataan “sogo shosha” yang mula digunakan
di Jepun sekitar tahun 1954 dimaksudkan sebagai syarikat perdagangan yang
menangani barang yang banyak, bergiat dalam eksport dan import, mempunyai
pejabat di merata-rata dunia, dan menguasai bidang pemasaran dan kewangan.
Terdapat sembilan buah sogo shosha di Jepun,
iaitu Mitsubishi Shoji, Mitsui Bussan, Marubeni, C. Itoh, Sumitomo Shoji,
NisshoIwai, Toyo Menka, KanematsuGosho, dan Nichimen. Ataka juga pernah
dianggap sebagai sogo shosha, tetapi syarikat ini telah bergabung dengan C.
Itoh pada tahun 1977.
Sebagai syarikat perdagangan, sogo shosha
pernah diramalkan akan merosot akibat perkembangan perindustrian. Namun begitu,
ramalan Marxis itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya sogo shosha terus
berkembang.
Timbul persoalan apakah yang menjadi tulang
belakang sogo shosha? Kozo Yamamura pernah
berhujah bahawa kekuatan sogo shosha bergantung pada kos urus niaga. Kos
ini lebih murah dengan menggunakan sogo shosha jika dibandingkan dengan
memasarkan barang sendiri.
Namun demikian, Yoshihara Kunio dalam Sogo Shosha; Pemandu Kejayaan
Ekonomi Jepun (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, RM18.00),
menegaskan bahawa keutuhan sogo shosha bergantung pada kekuatan sumber kewangan
dan sumber manusia. Pandangan beliau ini selari dengan pandangan pemerhati
asing yang telah mengamati peranan kewangan sogo shosha. Misalnya, The Economist menunjukkan beberapa
persamaan antara sogo shosha dengan bank saudagar di Britain. Peter Drucker
menganggap bahawa dalam banyak hal, sogo shosha bukanlah syarikat perdagangan,
tetapi syarikat kewangan. Sogo shosha merupakan bank saudagar par excellence.
Oleh sebab sogo shosha mempunyai kekuatan
kewangan, maka syarikat ini mampu memberi pinjaman dan kredit yang lebih besar
jika dibandingkan dengan bank kota yang terbesar, iaitu Daiichi Kangyo Bank.
Sogo shosha mampu membelanjakan 2000 bilion yen untuk memperoleh saham-saham
syarikat lain.
Kekuatan kewangan telah membolehkan sogo
shosha membuka cawangan di seluruh dunia, bergiat dalam pelaburan asing,
memberi pinjaman, hutang perdagangan, dan jaminan kepada pelanggan mereka
(bukan syarikat sekutu), sama ada di dalam ataupun di luar negara.
Kekuatan kewangan juga membolehkan sogo
shosha memanjangkan tempoh
kredit kepada pengeluar yang kekurangan modal kerja. Sogo
shosha dapat menyediakan modal jangka panjang dengan menceburi bidang pajak,
pasar raya, kapal terbang penumpang jumbo jet, kemudahan lapangan terbang, dan
sebagainya.
Sejajar dengan pemodenan Jepun, sogo shosha,
seperti Mitsui Busan memperkenalkan dasar pengambilan pekerja yang tidak lagi
berasaskan wilayah kelahiran. Sebaliknya, Mitsui Busan pengambil pekerja
lepasan kolej, iaitu Kolej Per dagangan Tokyo (kini dikenali sebagai Universiti
Hitotsubashi. Para pekerja terdiri daripada pelajar lepasan pelbagai bidang.
Pekerja baharu ini akan dilatih sebelum mereka
menjalankan tugas. Mereka diajar tentang peraturan syarikat, keterampilan yang
diperlukan untuk tugas mereka, dan diperkenalkan rangkaian hubungan antara manusia dalam menjalankan tugas mereka.
Selaras dengan perkembangan syarikat, setengah-setengah sogo shosha
melaksanakan dasar penurunan kuasa, demi mengelakkan penyalahgunaan kuasa
dalam kalangan pengurus.
Pihak pengurusan tertinggi sogo shosha tidak gila kuasa. Mereka merupakan satu
kelompok, bukan individu untuk membuat
keputusan kolektif. Di sebalik kecemerlangan ini, sogo shosha telah dilemparkan
dengan bermacam-macam tuduhan.
Sogo shosha dituduh melakukan spekulasi
tanah, saham, dan komoditi. Hasil amalan tersebut, sogo shosha dapat mengautkan
keuntungan yang lumayan. Sogo shosha dituduh terbabit dalam skandal rasuah dan
politik - di dalam dan di luar negara. Lantaran itu, dikatakan bahawa skandal
politik merupakan monopoli sogo shosha.
Yoshihara menamatkan buku ini de ngan
mengemukakan dua persoalan yang
menarik. Pertama, bagaimana masa depan sogo shosha akibat
bank mengetatkan syarat pinjaman? Kedua, dapatkah negara-negara lain
mengembangkan institusi, seperti sogo
shosha?
(Dewan Ekonomi,
April 1994.)
No comments:
Post a Comment