KHAMIS, 18 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Buku ini yang kata pengantarnya ditulis oleh
Tun Daim Zainuddin mengandungi beberapa konsep ekonomi. Penulisnya, Mustapa
Mohamed telah menyampaikan beberapa konsep ekonomi dengan cara yang semudah
mungkin. Beliau juga berjaya mengemukakan konsep ekonomi yang dapat memenuhi
keperluan masa kini dan cuba mencorakkan selera pembaca pada masa depan. Ini
dapat dibuktikan dengan penekanan penulis terhadap setengah-setengah konsep
tertentu.
Dalam Bab 1 Kefahaman Ekonomi: Untuk yang Memimpin dan yang Dipimpin (Cahaya
Pantai Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1993, RM12.00), penulis menitikberatkan kepentingan ilmu
pengetahuan, pengurusan, dan tingkat teknologi sebagai faktor pengeluaran
berbanding dengan sumber asli dari segi meningkatkan taraf hidup di sesebuah
negara. Ini bermakna bahawa ilmu pengetahuan, pengurusan, dan tingkat teknologi
akan menjadi nadi kepada kelebihan bersaingan sesebuah negara.
Seterusnya, Mustapa memperkenalkan dua konsep
untuk mengukur pendapatan negara, iaitu Keluaran Negara Kasar (KNK) dan
Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK). Beliau
juga menegaskan bahawa dalam menganalisis pertumbuhan ekonomi, konsep
KDNK sebenar lebih tepat digunakan. Selain itu,
beliau membahaskan bahawa konsep
pendapatan per kapita amat penting dari segi pengukuran taraf hidup atau
kebajikan di sesebuah negara. Penulis turut meletakkan kepentingan kuasa beli
pendapatan untuk mengukur taraf ekonomi sesebuah negara.
Bab 4,
antara lain, Mustapa
membincangkan indeks harga pengguna (IHP) dan wajaran untuk mengukur
kenaikan harga dan perbelanjaan terhadap sesuatu barang.
Dalam bab ini beliau juga membincangkan kadar
pengangguran di Malaysia yang semakin berkurangan antara tahun 1986-93. Kadar
pengangguran di Malaysia (1991-93), lebih rendah daripada Amerika Syarikat dan
United Kingdom, walaupun agak tinggi daripada Jepun.
Bab 5-8 membincangkan perdagangan dan
kewangan antarabangsa. Mustapa cuba membahaskan bahawa semakin maju ekonomi
sesebuah negara, maka semakin perlu keterbukaan ekonominya. Oleh yang demikian,
secara tidak langsung, beliau cuba
menafikan bahawa pergantungan dan keterbukaan ekonomi yang menyebabkan
kemunduran, seperti yang pernah dilaung-laungkan oleh ahli-ahli ekonomi
radikal.
Bab 9 membincangkan dasar fiskal dan dasar
kewangan. Dalam bab ini penulis mengemukakan cara bagaimana dasar fiskal dapat
membendung inflasi. Sementara dasar kewangan dilaksanakan untuk mengawal
permintaan di sesebuah negara demi memastikan pertumbuhan ekonomi tanpa
mewujudkan inflasi yang tinggi dan masalah pengangguran.
Sementara sumber pendapatan dan perbelanjaan
kerajaan Malaysia dibincangkan dalam Bab 10. Seterusnya, bab ini membincangkan
peranan bank pusat, iaitu Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan.
Sebagaimana Bab 2, ekonomi Islam, iaitu perbankan tanpa faedah turut
ditonjolkan. Dalam bab ini, peranan Bank Islam Malaysia, di samping bank
perdagangan dan bank saudagar telah dibincangkan. Sebagai lanjutan Bab 11, wang
dan penawaran wang dibincangkan dalam Bab 12, manakala pasaran modal dan
pasaran saham dibincangkan dalam Bab 13. Dalam bab ini, latar belakang dan
peranan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) turut diulas oleh Mustapa.
Bab 14, mungkin bab yang paling menarik jika
dilihat dalam konteks semasa ialah petua pelaburan saham, misalnya pelaburan
portfolio dan nisbah harga-perolehan. Sementara dalam bab terakhir, iaitu Bab
15, penulis mengemukakan satu pandangan yang positif tentang ekonomi Malaysia
jika dilihat dari segi kadar pertumbuhan dan sumbangan mengikut sektor.
Sebenarnya buku ini bukan setakat memperkenalkan konsep ekonomi. Sebaliknya,
penulis telah mengaitkan sesetengah konsep dengan isu-isu ekonomi semasa.
Misalnya, bagaimana Malaysia dapat mengekalkan dan meningkatkan kelebihan
bersaingan pada masa depan dengan mengambil kira beberapa faktor kritikal,
seperti teknologi canggih, kekurangan buruh, dan kemunculan negara
perindustrian baru (NPB).
Begitu juga dengan kesan kenaikan nilai yen
Jepun terhadap ekonomi Malaysia, sama ada positif mahu negatif. Mustapa telah
mengemukakan satu analisis yang menarik tentang kenaikan nilai yen dan kesannya
terhadap ekonomi Malaysia.
Isu “kerugian kertas" yang dialami oleh
Bank Negara Malaysia yang menjadi perhatian umum pada bulan Mac tahun lalu
turut dijelaskan dan dijawab oleh Mustapa
dengan mengemukakan beberapa alasan yang konkrit berdasarkan konsep
ekonomi.
Tidak dapat dinafikan bahawa penulis telah
mencapai matlamatnya, iaitu mengemukakan konsep ekonomi untuk difahami oleh
ahli-ahli politik dan orang ramai. Konsep ekonomi telah diolah dan disampaikan
dengan menarik kerana penulis mengaitkan konsep tersebut dengan contoh dan isu
tertentu. Oleh yang demikian, penulisan buku ini tidak menjemukan pembaca.
(Dewan Ekonomi,
Februari 1994.)
No comments:
Post a Comment