Pages

Thursday, January 3, 2019

Pertumbuhan dan Taraf Hidup

KHAMIS,  3 Januari 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Joseph E. Stiglitz   dalam prakata bukunya, The Price of Inequality: How Today’s Divided Society Endangers Our Future, mencatatkan bahawa tiga tema bergema di sekitar dunia, iaitu pasaran tidak berfungsi dalam cara pasaran sepatutnya lakukan, kerana pasaran jelas tidak cekap dan tidak stabil; sistem politik tidak membetulkan kegagalan pasaran; dan sistem ekonomi dan politik pada asasnya, tidak adil. Penyataan Stiglitz jelas menunjukkan bahawa pasaran, sistem ekonomi, dan sistem politik di seluruh dunia gagal memainkan peranan untuk mempertingkat kesejahteraan atau taraf hidup rakyat.
Balik ke negara kita Malaysia, kerajaan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, seperti yang ditunjukkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan  Malaysia Kesebelas, 2016-2020 (RMK-11) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad,  pada 18 Oktober lalu, dan kemudian dalam  Belanjawan 2019 oleh yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan  Eng pada 2 November, bertemakan, “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.”
Pada asasnya, tiga perkara yang perlu diberikan penjelasan  dan kejelasan berhubung dengan Belanjawan 2019. Pertama, tentang hutang dan liabiliti sebenar kerajaan hingga akhir Jun 2018, berjumlah RM1,065 bilion. Sejak menerajui portfolio kewangan, Lim berulang-ulang kali menegaskannya dengan motif tertentu.  Sama ada motif menyalahkan kerajaan sebelum ini bijak ataupun tidak, Tun Daim Zainuddin telah pun memberikan peringatannya. Hanya di sini elok ditegaskan bahawa “defisit dan hutang sekadar angka,” menurut    Simon Johnson dan James Kwak dalam buku, White House Burning: Our National Debt and Why it Matters to You: “Akan tetapi, (Merujuk kes Amerika Syarikat), hutang negara lebih AS$10 trilion mungkin lebih AS$30,000 setiap orang, tetapi tiada siapa pun mencari anda kerana bahagian anda dalam wang itu.” Johnson dan Kwak seterusnya mengingatkan, “pertama-tamanya, fakta mudah bahawa kerajaan kita  mengalami defisit hari ini tidak dengan sendirinya menjadikan kita kaya dan cucu kita miskin. Kesejahteraan kebendaan masyarakat bergantung pada volum barang dan perkhidmatan yang dapat diperoleh untuk penggunaan.”
Kedua, penyataan kemerosotan nilai mata wang asing,  iaitu peso Argentina, lira Turki, dan rupiah Indonesia  berbanding dengan dolar Amerika Syarikat, dan peningkatan nilai ringgit berbanding dengan rupee India, rupiah Indonesia,  peso Filipina, renminbi China, dan dolar Singapura. Perlu dinyatakan, lira Turki, peso Argentina, peso Filipina, rupee India, dan rupiah Indonesia, ialah mata wang  yang sedang dilanda krisis. Anehnya, Belanjawan 2019, tidak membandingkan nilai ringgit dengan dolar Amerika Syarikat, mata wang utama dunia.  Menurut laporan Global Research, Kumpulan HSBC yang dikeluarkan pada April, bahawa sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa, pada akhir tahun ini, dijangkakan RM3.70 berbanding AS$1.00. Seperti yang diketahui, sejak September, ringgit mula memasuki wilayah RM4.15 berbanding AS$1.00, dan tidak menunjukkan tanda untuk berundur.
Ketiga, dalam Belanjawan 2019,  Lim mengulangi pendiriannya bahawa   perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China  mewujudkan peluang unik, apabila  Malaysia menjadi tumpuan sebagai tapak perlindungan selamat  untuk pelaburan pembuatan sambil  mengemukakan contoh:Tidak hairanlah Malaysia terus berjaya menarik pelaburan pada kadar yang memberangsangkan. Dari bulan Januari hingga Ogos 2018, jumlah pelaburan bernilai RM61.6 bilion telah diluluskan, satu peningkatan daripada nilai pelaburan RM40.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.” Namun begitu, dalam kegembiraan dan keterujaan itu,  Lim terlepas pandang bahawa perang dagang mula tercetus pada 15 Mac, iaitu antara Amerika Syarikat dengan Kanada dan Kesatuan Eropah, manakala   antara Amerika Syarikat dengan China berlaku mulai Julai.  Dengan merujuk tempoh lapan bulan pertama itu, jelas bahawa Lim seakan-akan mengisytiharkan “kemenangan sebelum perang yang sebenar-benarnya antara dua buah negara kuasa besar ekonomi tercetus.”
Dengan belanjawan pengembangan  bernilai RM314.8 bilion, iaitu  RM259.8 bilion untuk perbelanjaan  mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, negara mampu mengekalkan pertumbuhan mapan kira-kira dua dekad. Kecuali  pada tahun 1998 akibat krisis kewangan Asia dan tahun 2009 akibat kemelesetan global,  Malaysia  terus mencatatkan pertumbuhan KDNK,  secara purata kira-kira  lima peratus setahun. Dalam Belanjawan 2019, KDNK negara diunjurkan  4.8 peratus pada 2018 dan 4.9 peratus 2019. Unjuran ini lebih kurang  dengan ramalan Bank Dunia: 4.9 peratus (2018), 4.7 peratus (2019), dan 4.6 peratus (2020) berbanding 5.9 peratus tahun 2017. Kemerosotan kadar pada 2018 daripada 5.4 peratus yang diunjurkan kerana pertumbuhan eksport yang perlahan dan pelaburan awam yang rendah.
Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah, mulai Januari 2019, yang melibatkan kira-kira 4.1 juta isi rumah dengan peruntukan RM5 bilion, dijangkakan dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi pada suku pertama, iaitu merancakkan industri peruncitan. Selain itu, sebagaimana belanjawan tahun-tahun sebelum ini, belanjawan terbaharu ini memberikan tumpuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memainkan peranan penting dari segi KDNK dan guna tenaga. Pelbagai  peruntukan disediakan kepada PKS, antaranya  RM210 juta bagi tahun 2019 hingga 2021, untuk  beralih kepada teknologi Industri 4.0,   RM2 bilion akan disediakan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), dan  kemudahan kredit dan perlindungan takaful kepada pengeksport PKS bernilai RM2 bilion.
Lazimnya, pembinaan  infrastruktur dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan  “kesan pengganda,” bergantung pada kecepatan pelaksanaan projek dan penjelasan  bayaran kepada pihak kontraktor dan pembekal. Dalam Belanjawan 2019, sejumlah peruntukan disediakan bagi infrastruktur, antaranya RM926 juta bagi membina dan menaikkan taraf jalan raya, jalan luar bandar dan jambatan; RM694 juta dan RM738 juta masing-masing untuk meluaskan akses bekalan elektrik dan air di luar bandar dengan peruntukan RM694 juta; RM85 juta untuk kampung baharu bagi tujuan menaiktaraf dan memulihara infrastruktur asas seperti jalan raya, dewan komuniti dan kawasan lapang; dan  RM100 juta untuk memperkasa pembangunan masyarakat Orang Asli.
Dengan mentakfirkan semula peranan kerajaan dalam perniagaan, iaitu  “kerajaan tidak harus menceburi diri dalam perniagaan,”  jelas bahawa dalam Belanjawan 2019, sektor swasta akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Namun begitu,  perlu dinyatakan bahawa sejak Perdana Menteri keempat lagi, Malaysia melaksanakan dasar properniagaan dan membuka peluang perniagaan seluas-luas kepada sektor swasta. Justeru, tidak wujud isu kerajaan berasak-asak dengan sektor swasta dalam merebut peluang perniagaan. Bahkan, sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2019, Bank Dunia menerbitkan Doing Business 2019 Report,  yang menyaksikan kedudukan Malaysia meningkat   ke tangga ke-15 dalam kalangan 190 ekonomi di seluruh dunia. Jika kita mengambil Khazanah Nasional sebagai contoh, penglibatannya dalam bidang perniagaan, ada kalanya kerana terpaksa memikul tanggungjawab “khidmat negara” yang pastinya, perlu diimbangi perniagaan yang menguntungkan.
Dikhuatiri bahawa, berdasarkan pengalaman lalu dan pengalaman banyak negara, sektor swasta tidak mampu memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Meletakkan kepercayaan kepada sektor swasta, bermakna meletakkan kepercayaan kepada pasaran, yang menurut  Joseph Stigliz, “pasaran gagal kerana  tidak stabil dan tidak cekap.”
Selalunya, apabila berlaku krisis kewangan, kerajaan terpaksa melancarkan pelan penyelamat untuk membantu syarikat yang bermasalah, dan apabila berlaku kemelesetan, kerajaan terpaksa memperkenalkan rangsangan fiskal untuk menghidupkan ekonomi yang lemah.  Pendek kata, kerajaan juga yang terpaksa campur tangan sebagai langkah terakhir.
Untuk meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat, sememangnya kita memerlukan pertumbuhan KDNK, meskipun sebagaimana demokrasi, KDNK mempunyai beberapa kelemahanya. Tanpa pertumbuhan, pastinya tidak ada apa-apa yang dapat diagihkan.

No comments:

Post a Comment