Pages

Saturday, November 1, 2014

Barack Obama Mara

SABTU, 1  November  2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Makalah ini siap ditulis pada 23 September dan memasuki pasaran ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, pada 6 November, telah pun diketahui keputusannya.  Tatkala kempen semakin rancak, model peramalan, tuduh menuduh, cabar mencabar menjadi-jadi,  tinjauan pendapat dan cerdik pandai pula berlumba-lumba untuk meramalkan siapakah pemenangnya:  Adakah Presiden Barack Obama kekal untuk penggal kedua, ataupun pencabarnya, Mitt Romney daripada Parti Republikan mengambil tempat beliau untuk bertakhta di Rumah Putih?
            Sememangnya,  diakui bahawa perlumbaan kali ini memang sengit;  faktor  pekerjaan dan ekonomi, seperti kadar pengangguran yang tinggi dan kadar pertumbuhan yang rendah menyukarkan kedudukan penjawat kini, sebaliknya memberikan kelebihan kepada pencabarnya. Kira-kira 23 juta orang yang hidup tanpa pekerjaan, yang tidak dapat tidak, sesetengahnya  menunjukkan keberangan mereka melalui peti undi.
            Begitulah  tafsiran yang mudah, sedangkan hakikat perlumbaan dalam pilihan raya tidak semudah itu.  Namun, apabila hari demi hari berlalu,   Barack Obama sememangnya,  tidak mudah ditewaskan dan kedudukannya sebagai Presiden dianggap sebagai kelebihan, meskipun ada kalanya sebagai beban.   Tambahan pula, beliau mempunyai kempen yang mantap, yang diakui oleh Republikan dan kempen Romney.  Sebaliknya, kempen Romney, dalam masa kian suntuk, seakan-akan kelihatan goyah kerana bercakaran sesama sendiri.
Lebih-lebih   kali ini,  Obama  mendapat sokongan kuat daripada bekas Presiden Bill Clinton.  Semasa Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina, pada awal September, Clinton berucap menamakan Obama sebagai calon Presiden serta memastikan kemenangan beliau,  dan pada masa yang sama, Clinton menyuntik semangat para perwakilan sambil menyerang Republikan.  Dengan sokongan Clinton, maka Republikan terpaksa akur bahawa laluan calon mereka semakin sukar.
Beberapa model peramalan yang dikeluarkan pada bulan Ogos, menjangkakan Obama muncul sebagai pemenang.   Demikian juga dengan tinjauan pendapat yang dikeluarkan hampir setiap minggu,  kebanyakannya menunjukkan beliau terus mara, meninggalkan pesaingnya, Romney, walaupun diakui bersaing rapat. Jika pilihan raya berlangsung pada bulan September, menurut pandangan banyak pihak, pastinya beliau menang.   Sementara pertarungan di beberapa negeri berayun,  menunjukkan bahawa, sama ada  dikuasai oleh Obama ataupun kedudukan terikat. Dari segi matematik, dengan  “deposit tetap” 237 berbanding 191 untuk Romney, Obama  dijangkakan tidak menghadapi kesukaran untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih untuk melayakkan beliau menjadi Presiden bagi  tempoh satu penggal lagi.  Beliau hanya perlu menang di Florida yang mempunyai 29 undi badan perwakilan pemilih dan sebuah negeri berayun lain, seperti Ohio yang mempunyai 18 undi  badan perwakilan pemilih.  Kedua-dua negeri tersebut kelihatan memihak kepada beliau.
            Sejak Mitt Romney memenangi pemilihan awal Republikan, tetapi belum disahkan oleh Persidangan Parti Republikan, beliau diperhatikan bukan saingan Barack Obama. Bahkan,   kempen Obama  berasa selesa apabila Romney dipilih oleh partinya sebagai calon Presiden.  Romney yang terpaksa menghadapi persaingan sengit daripada Rick Santorum dan Newt Gingrich pada peringkat pemilihan awal, belum sempat memperkukuh kedudukannya,  dibelasah oleh kempen Obama habis-habisan sehingga beliau kelihatan terhuyung-hayang.  Belum pun sempat Romney memperkenalkan dirinya kepada rakyat Amerika,  kempen Obama, melalui iklan, bertindak mentakrifkan  beliau mengikut kehendak mereka.  Langkah ini kelihatan berkesan di beberapa buah negeri berayun bahawa Romney digambarkan sebagai orang yang hidup kaya-raya, tetapi terpisah daripada rakyat dan tidak merasai denyut nadi mereka. Romney juga digambarkan sebagai  pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan gemar berahsia.  Beliau,   antaranya dikatakan mempunyai akaun bank di Switzerland dan mengelakkan daripada membayar cukai pendapatan.  (Setakat ini, beliau mengumumkan penyata cukai pendapatan tahun 2010, dan pada 21 September, penyata cukai pendapatan tahun 2011.) 
Melihat  tindak-tanduk Romney yang membiarkan dirinya diterjah bertalu-talu oleh Obama dan kempennya,  anggota dan para penyokong Republikan bersama-sama  cerdik pandai yang memihak kepada parti itu mula gelisah.  Mereka seakan-akan   dapat merasakan bahawa Romney menolak “tuah yang datang bergolek,”  yang pada mulannya terbentang luas.  Hal ini mendorong editorial The Wall Street Journal, William Kristol dalam Weekly Standard, dan Rupert Murdoch, antaranya,   bersuara meluahkan keresahan mereka bahawa adakah calon pilihan mereka bersedia untuk menang atau sebaliknya.
            Romney memasuki gelanggang dengan menggalas bagasi yang dengan mudah dijadikan oleh kempen Obama untuk melancarkan serangan.  Tempoh pemegangan jawatan Romney di Bain Capital sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengerusi yang beliau dengan bangga menggunakannya sebagai “kad panggilan,” akhirnya membawa padah.  Bain Capital, menurut kempen Obama dan pendedahan oleh beberapa akhbar dan majalah, seperti Boston Globe, The Washington Post, The New York Times, The Huffington Post, Los Angeles Times, The Associated Press,  Mother Jones, dan Vanity Fair, menyumberluarkan pekerjaan ke China, India, dan Mexico, melabur di Kepulauan Cayman untuk mengelakkan cukai, memecat pekerja dengan sewenang-wenangnya,  mengaut keuntungan dengan membiarkan syarikat yang diambil alih jatuh muflis, dan bermacam-macam cerita yang tidak elok tentang tentang firma ekuiti ini.
            Pemilihan Paul Ryan oleh Romney sebagai regunya, iaitu sebagai calon Naib Presiden, dianggap oleh banyak pihak sebagai langkah yang silap, meskipun pada mulanya  dianggap sebagai pengubah permainan dan sebagai usaha penjenamaan semula. Romney semata-mata dikatakan memilih Ryan atas desakan puak konservatif dalam Republikan, walaupun penasihat Romney tidak  bersetuju dengan pemilihan itu.  Ryan yang gemar berdusta, dianggap lebih teruk daripada Sarah Palin, iaitu calon Naib Presiden dalam pilihan raya tahun 2008. Rekod prestasinya sebagai anggota  Perwakilan dari Wisconsin  dan Pengerusi Belanjawan Dewan Perwakilan dijadikan modal oleh kempen Obama.  Hari demi hari berlalu, Ryan kelihatan lebih banyak merosakkan daripada membantu Romney.
            Musim panas secara keseluruhannya tidak memihak kepada Romney, bahkan Persidangan Kebangsaan Parti Republikan di Tampa, Florida, pada akhir Ogos tidak banyak membantu beliau.  Tokoh yang diundang untuk berucap, kebanyakannya cenderung memperkenalkan dirinya masing-masing, dan bukannya memperkenalkan calon mereka.  Kehadiran bintang veteran, iaitu Clint Eastwood yang semasa berucap bercakap dengan kerusi kosong yang dianggap sebagai Barack Obama, merosakkan seluruh persidangan yang penting itu kerana tumpuan banyak diberikan terhadap kerusi kosong itu berbanding dengan ucapan penerimaan pencalonan oleh Romney  yang berucap selepas itu. 
Akibatnya, menurut pelbagai tinjauan pendapat, tidak seperti yang diharapkan, tidak banyak lantunan yang berlaku hasil persidangan itu.  Hal ini jauh berbeza dengan Persidangan Parti Demokratik yang dianggap begitu berjaya, walaupun ucapan Obama agak mengecewakan. Hasil  persidangan parti   itu menyaksikan lantuntan yang tinggi, iaitu kepopularan Obama meningkat, jauh meninggalkan Romney, dan rentak ini berlanjutan pada  minggu kedua dan minggu seterusnya selepas persidangan. 
Dalam analisisnya tentang beberapa tinjauan pendapat pascapersidangan, Harry J. Enten yang menulis dalam The Guardian pada 20 September, menegaskan bahawa muktamad bahawa Obama memperkukuh kedudukannya yang mendahului lawannya. “Berita buruk untuk Romney,” tulis Enten, “tidak ada calon Presiden yang dapat bangkit daripada ketinggalan tiga titik peratusan selewat ini dalam kempen dalam masa 60 tahun.”
Dalam tulisannya sehari selepas itu, Harry J. Enten, masih menegaskan bahawa walaupun Obama memperoleh sokongan kurang daripada 50 peratus,  beliau ialah calon pilihan untuk bulan November ini.  Dengan sokongan 48 peratus, Obama sebagai penjawat kini, pada kedudukan yang selesa, dengan andaian, pertama, kemunculan beberapa calon parti ketiga yang lazimnya meraih  undi hingga dua peratus; kedua, dari segi sejarah, para pengundi yang tidak membuat keputusan, tidak akan pergi kepada pencabar; dan ketiga, para pengundi yang tidak membuat keputusan, sebahagian besarnya bukan penyokong Romney.  
Sementara kajian di seluruh negara oleh Pew Research Center menunjukkan bahawa Obama mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk memenangi pilhan raya November ini jika dibandingkan dengan mana-mana calon Presiden sejak Bill Clinton.  Kajian yang dikeluarkan pada akhir September menujukkan bahawa beliau mendahului lawan sebanyak lapan titik peratusan dalam kalangan kemungkinan pengundi, iaitu 51 peratus berbanding dengan 43 peratus.
Mitt Romney cenderung melakukan kesilapan yang bodoh, yang boleh menjejaskan peluangnya untuk ke Rumah Putih, walaupun Barack Obama juga melakukan kesilapan seperti itu.  Semasa di kota London sempena Sukan Olimpik, beliau mengeluarkan komen bahawa tuan rumah, tidak bersedia sehingga mencetuskan keberangan Perdana Menteri David Cameron, Datuk Bandar Boris Johnson, dan media di Britain. Seterusnya, ketika di Israel, Romney membandingkan taraf sosioekonomi rakyat Israel yang jauh lebih baik berbanding dengan umat Palestin.  Apabila pada bulan September, kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah dan di Benghazi diserang sehingga seorang diplomat dan tiga orang lain terbunuh, Romney mengambil kesempatan untuk mengkritik Pentadbiran Obama dan bukannya untuk memperlihatkan dirinya sebagai seorang negarawan.  Akibatnya, beliau dikritik oleh pelbagai pihak, manakala Obama menuduh beliau, “tembak dahulu, sasar kemudian,” dan John McCain, bekas calon Presiden tahun 2008, mengingatkan “Romney perlu melihat gambar yang lebih besar.”
Kesilapan bodoh yang teruk yang Romney lakukan  adalah  ketika majlis pengumpulan dana kempennya  di Florida, pada 17 Mei, yang pita videonya didedahkan oleh David Conn dalam Mother Jones, pada pertengahan September.  Beliau dilaporkan berkata bahawa 47 peratus penduduk Amerika, iaitu mereka yang menyokong Presiden Obama ialah “mangsa” yang “bergantung pada kerajaan” dan “tidak membayar cukai pendapatan.”  Beliau menegaskan:  “Tugas saya tidak perlu bimbang akan golongan ini.  Saya tidak akan meyakinkan mereka bahawa mereka sepatutnya mengambil tanggungjawab peribadi dan menjaga diri mereka.”  Kata-kata itu digunakan oleh Obama dan kempennya untuk menyerang Romney, manakala pengulas politik menganggap Romney bodoh dan angkuh, dan beliau menjurus ke arah kekalahan.  “Dalam menghitung detik 48 hari, Romney,” catat Howard Fineman dalam blog The Huffington Post.  Melihat minggu yang penuh gelora yang terpaksa diharungi oleh Romney, maka ulas David Brooks, kolumnis The New York Times yang muncul dalam program televisyen NBC,  “calon yang kurang popular dalam sejarah.”
Obama  mempunyai kekuatan dari segi dasar luar, manakala Romney dari segi ekonomi.  Malangnya, kekuatan Romney ini mula disaingi oleh Obama. Romney dan Republikan  juga  mempunyai kelebihan dari segi kewangan kerana dikelilingi oleh penderma besar, tetapi kekuatan ini juga dapat diimbangi oleh Obama dan Parti Demokratik.     Sebaliknya, kekuatan Obama selain kempen, iaitu tenaga manusia yang sanggup turun ke lapangan untuk mendekati pengundi dan media sosial, tidak dapat disaingi oleh Romney.
 Secara keseluruhannya, Mitt Romney kelihatan  terhuyung-hayang di curam kekalahan kerana terpaksa bergelut dengan masalah dirinya dan masalah kempennya, walaupun masih awal untuk mengatakan beliau berkubur, manakala Barack Obama, terlalu awal untuk meraikan kemenangan. Bahkan, kempennya terpaksa melipatgandakan usaha demi mengelakkan sikap berpuas hati dalam kalangan pengundi.  Selagi  permainan belum tamat, maka selagi itulah wujud persaingan. Di samping faktor dalam negara, seperti pekerjaan dan ekonomi, faktor luar negara, seperti krisis zon euro, pergolakan di Timur Tengah, berikutan penyebaran Innocence of Muslims, dan program nuklear Iran, boleh mengubah permainan yang menyebabkan penjawat kini terpaksa mengharungi minggu yang panjang. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, November 2012.) 


No comments:

Post a Comment