Pages

Friday, October 10, 2014

Ukraine: Pertembungan Peradaban?

JUMAAT, 10 Oktober 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Ukraine terus bergolak.  Persengketaan dalaman dan ancaman Rusia menjadi-jadi.  Selepas kehilangan Semenanjung Crimea  yang mengadakan pungutan suara dengan berkeputusan kembali semula ke pangkuan Rusia, wilayah timur pula   bercadang untuk mengambil langkah yang sama. Kehilangan Semenanjung Crimea sewajarnya menjadi  tamparan terhadap rakyat Ukraine yang tidak tahu menghargai “hidup aman,” iaitu gemar mengadakan tunjuk perasaan atau protes jalanan.  Tatkala Kiev bermuram durja dan terpinga-pinga, Moscow melompat keriangan menerima kepulangan bekas wilayahnya itu sambil bersiap sedia untuk menelan wilayah lain. 
            Seperti yang dicatatkan oleh Manuela Hoelterhoff dalam Bloomberg News, Ukraine,  berlumuran darah. “Novel, drama, puisi, dan filem menyediakan jendela untuk merenung sejarah tidak teratur dan kotor Ukraine tentang anjakan sempadan dan perubahan dipertuan, yang mengeluarkan kesakitan maksimum daripada orang yang tinggal di sana.”
            Memang bukan mudah untuk negara pelbagai bahasa, tulis R.L.G. dalam The Economist tentang konflik bahasa.  “Tidak lama selepas Presiden Viktor Yanukovych digulingkan, kerajaan baru Ukraine melakukan kesilapan sukarela memansuhkan undang-undang tahun 2012 yang memberikan status rasmi untuk bahasa Rusia (bersama-sama bahasa Ukraine) di wilayah yang penutur bahasa Rusia yang lebih banyak.”  
            Dengan menggunakan helah  Tsar Nicholas I,  Presiden Vladimir  Putin memberikan alasan untuk menceroboh  Ukraine:  puak fasis berazam untuk menghapuskan semua susur-galur bahasa dan budaya orang Rusia dari bumi Ukraine. Putin dikatakan mempunyai fantasi Eurasia, walaupun dengan sikap agresif terhadap Ukraine itu orang Rusia dikatakan memerlukan satu abad lagi sebelum bersedia menyertai peradaban Eropah.
            Pada tahun 1850-an,  Crimea pernah terjebak ke dalam kancah persengketaan antara dua kuasa besar di Timur Dekat, iaitu Rusia dengan Empayar Ottoman. Tsar Nicholas I mendakwa  hak untuk melindungi nyawa dan harta benda orang Kristian Ortodoks yang di bumi Ottoman, termasuk mereka yang mengawal laluan ke tanah suci Baitumuqqadis.  Sultan Ottoman, Abdülmecid I, menafikan bahawa orang Kristian Ortodoks yang merupakan lebih satu pertiga rakyatnya,  terancam.  Dakwaan Tsar itu, menurut baginda adalah semata-mata helah untuk campur tangan hal ehwal dalam negara baginda.  Kegagalan diplomasi untuk menyelesaikan pertikaian itu, tercetus Perang Crimea antara Rusia dengan Ottoman yang dibantu oleh Britain, Perancis, dan  Sardinia.
            “Crimea selalunya merupakan sebahagian penting Rusia dalam  hati dan minda rakyat,” isytihar Presiden  Putin ketika menyampaikan  amanat  dalam Dewan St.  George di hadapan beratus-ratus orang anggota Parlimen, gabenor, dan hadirin lain pada pertengahan Mac lalu.  Tema ucapan pahlawan Perang Dingin itu ialah memulihkan Rusia selepas zaman keaiban berikutan keruntuhan Kesatuan Soviet yang beliau selalu sebut, “malapetaka geopolitik yang maha dahsyat pada abad ke-20.”              
            Krisis Ukraine seakan-akan mengheret Barat dan Timur ke dalam kancah Perang Dingin baru, manakala Putin pula dilihat cuba mewujudkan Orde Baru Dunia.  Walau bagaimanapun, Michael Hirsh, cuba melihatnya dalam konteks yang berbeza, dengan membuka “kitab”  Samuel Huntington:  perjuangan global antara budaya, iaitu “pertembungan peradaban,” akan menggantikan perpecahan ideologi antara Barat dengan blok Soviet.  Hirsh yang menulis dalam National Journal, “Ukraine and  the Clash of Civilizations,”  mencatatkan  bahawa tidak ada idea akademik yang lebih banyak dibahaskan dan lebih banyak ditolak, sambil menambah krisis semasa di Ukraine, dan  kebuntuan yang bukan mudah  antara bahagian timur yang lebih pro-Rusia dengan bahagian yang lebih dibaratkan, mengundang perhatian dan lebih menggalakkan pada tesis Huntington, iaitu  antara Eurasia di timur dengan Kesatuan Eropah di barat Ukraine.
            Huntington, tegas Hirsh,  silap kerana pertembungan peradaban tidak berlaku, sebaliknya trend global kelihatan muncul integrasi global, pertumpuan sistem ekonomi (kapitalisme) dan sistem demokrasi (demokrasi) kelihatan bergerak seiringan dengan tesi “Pengakhiran Sejarah” Francis Fukuyama.  Akan tetapi, hujah Hirsh, pertumpuan global akhir-akhir ini kelihatan terbantut berikutan pendudukan  Crimea yang  sepatutnya dilihat sebagai sebahagian usaha  Putin untuk menghidupkan semula budaya dan penguasaan politik Rusia dalam lingkungan bekas Soviet, biarpun akhirnya beliau secara beransur-ansur menjadikan dirinya kuasi-tsar/pemerintah gaya Soviet.  “Kesatuan Ekonomi Eurasia,” termasuk Rusia, Belarus, dan Kazakhstan berasaskan apa yang Putin sebut “nilai terbaik Kesatuan Soviet,” mungkin mempunyai motif politik, tetapi lebih banyak diwajarkan pada alasan budaya.
            Pemimpin Rusia itu dan puak konservatif yang mengelilingi beliau di Kremlin, menurut Hirsh sudah lama berusaha untuk menggalakkan penyusunan semjula kuasa Rusia berasaskan idea bahawa banyak negara ini dengan banyaknya penduduk bertutur dalam bahasa Rusia, termasuk wilayah Ossetia Selatan dan Abkhazia yang berpisah dari Georgia (kini, dikawal oleh Moscow), ialah sebahagian budaya Eurasia yang tersendiri yang berbeza daripada Barat pada banyak tahap, termasuk dari segi rohaniah.  “Rusia  berusaha untuk membawa balik idea perpaduan kaum,”  tulis Hirsh, “pandangan ini berakar umbi dalam kepustakaan  akademik, yang diketengahkan dalam debat tentang konsep, seperti ‘Neo-Eurasianisme’ dan ‘Byzantisme,’ yang tema penyatuan menolak nilai Barat.”
            “Anda tidak boleh mempunyai banyak musuh pada sesuatu masa.”  Nampaknya, pesan ini sedikit sebanyak dipegang oleh Presiden Putin.  Tatkala Putin mengheret negaranya ke dalam kancah persengketaan dengan Barat, sama ada di medan Perang Dingin baru ataupun pertembungan peradaban, hubungan negaranya dengan dunia Islam adalah kritikal.  Pendirian Moscow terhadap perang saudara di Syria yang berlaku  sejak lebih tiga tahun lalu memang jelas: menolak campur tangan asing. Sementara  di peringkat dalaman, dapat dijangkakan bahawa   Moscow  pastinya  tidak sanggup melihat kewujudan satu lagi Chechnya yang bersengketa dengan Rusia sejak pembubaran Kesatuan Soviet.
            Sebagai imbas kembali,  Rusia bersama-sama Perancis dan Jerman bersepakat, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Eropah tiga buah negara ini bersatu, menentang pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Iraq.  Dan, sebagai imbas kembali,  ketika berlangsungnya sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan  Islam (OIC) di Kuala Lumpur pada tahun 2003, Vladimir Putin diundang dan beliau menyampaikan ucapan.  Antara lain, beliau menegaskan sebagai penyertaan komuniti Islam yang besar di Rusia.  Komuniti, yang menurut beliau, tidak lagi mengasingkan diri mereka daripada komuniti Islam antarabangsa, yang bersedia untuk penglibatan produktif dalam kehidupan rohaniah, budaya, dan politik mereka.
            Pengumuman Crimea untuk  mengadakan pungutan suara yang keputusannya dapat dijangkakan, perhatian turut tertumpu pada orang  Tatar.  Puak  ini, iaitu kumpulan Islam dianggap  menyukarkan Rusia mewujudkan kawalan terhadap Crimea berbanding dengan Ossetia Selatan,  Abkhazia, dan Transnistria.  Daripada lebih dua  juta orang penduduk di wilayah itu,  orang Tatar berjumlah kira-kira 12  peratus.  Secara tradisi, mereka pro-Ukraine, dan oleh itu,  mereka berhati-hati terhadap  peluasan  Rusia.  Tambahan pula, pengalaman pahit mereka  yang  pernah diusir  secara besar-besaran dari Crimea oleh Stalin pada tahun 1944 kerana menyokong Nazi.  Apakah mimpi ngeri berulang lagi?
            “Jika masalah orang Tatar Crimea meledak,” tulis Andrew Wilson, “tiup balik terhadap Moscow akan sangat besar.”  Melalui makalahnya yang diterbitkan dalam The Guardian pada awal Mac, Wilson mengingatkan bahawa hubungan Rusia dengan Turki telah pun terancam.  Reputasinya sebagai sahabat Islam di Timur Tengah akan rosak.  Rusia sendiri,  tambah beliau, mempunyai berjuta-juta orang Islam, yang majoritinya  Sunah, termasuk di Caucasus Utara.  “Dari segi sejarah, orang Tatar Crimea mempunyai hubungan rapat dengan orang Circassian, yang diusir dari kawasan Sochi pada tahun 1864.  Dan satu alasan Putin beria-ia menyokong rejim Alawite Assad di Syria melawan puak Sunah ialah ketakutan beliau terhadap kekacauan puan Sunah di negaranya.”
            Apabila Presiden Putin mengisytiharkan pengilhakan Crimea dalam majlis  yang dinyatakan sebelum  ini, diperhatikan pada barisan ketiga, iaitu di belakang perwakilan pro-Kremlin daripada komuniti Crimea Rusia dan anggota Parlimen serta pegawai Rusia lain, duduk dua ulama Islam pangkat tinggi Persekutuan Rusia.  “Meskipun Putin dalam ucapannya tidak menyebut Islam, kehadiran mereka dalam majlis tersebut diserlahkan oleh serban  dan jubah mereka di tengah-tengah hadirin bersut hitam dan bertali leher, menghantar mesej yang memang jelas,” tulis Robert D. Crews dalam Foreign Affairs. “Krisis Crimea bukan sekadar hubungan Rusia dengan Barat, tetapi juga sangat banyak peranan Islam di Rusia.”   
            Golongan elit Islam Rusia, jelas Crews dalam How Moscow is Trying to Integrate Crimean Muslims,”  sejak sekian lama memainkan peranan dalam peluasan negara Rusia.  Pada waktu penting sejarah Rusia dan Soviet, ulama Islam dari wilayah Volga memujuk penduduk Islam di sepanjang sempadan selatan dan timur empayar menjadi rakyat tzar. Peluasan formal lazimnya diikuti oleh gelombang saudagar Tatar yang berkembang maju di wilayah yang baru digabungkan itu dan membantu mengintegrasikan  orang Islam ke dalam rangkaian perdagangan  empayar.  “Pada zaman Soviet, beberapa usaha yang diterajui oleh orang Tatar untuk mewujudkan sintesis antara sosialisme dengan Islam, dan jambatan antara U.S.S.R. dengan dunia Islam.”
            Putin  nampaknya bertindak balas, memetik Michael Hirsh sekali lagi,  terhadap “dasar Amerika Syarikat dan Barat sejak berakhinya Perang Dingin yang hanya cenderung mengusik kebertahanan budaya (cultural defensiveness)  dan nasionalisme Rusia.”  Percaturan beliau  setakat ini membayangkan bahawa   pertembungan Rusia dan Islam pada satu pihak dengan Barat pada satu pihak yang lain. 

            Terima kasih Ukraine kerana membuka medan pertembungan ini!
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Jun 2014.)

No comments:

Post a Comment