Pages

Friday, October 10, 2014

Kebaikan Bersaing Bahasa Melayu

JUMAAT, 10  Oktober 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Kebaikan bersaing atau dalam bahasa Inggeris disebut competitive advantage ialah konsep  yang lazim diterapkan untuk sesebuah syarikat atau sesebuah negara.  Pada suatu ketika dahulu, para pelajar ekonomi di peringkat prauniversiti sekurang-kurangnya, diajarkan topik kebaikan bersaing, dengan Malaysia mempunyai kelebihan dalam pengeluaran getah.  Sememangnya, tidak sukar untuk memahaminya dalam konteks negara, paling tidak,  untuk pengetahuan asas. 
            Untuk pemahaman yang lebih mendalam, buku Michael E. Porter, The Competitive Advantage of Nations  selalunya dijadikan rujukan.  Dengan menggemakan idea kebaikan bersaing yang dijelaskan oleh David Ricardo, ahli ekonomi pada abad ke-19, buku ini menyediakan rangka pemikiran strategi kepada para pengurus tentang bagaimana mengatasi pesaing mereka.  Seperti yang dibahaskan oleh Porter, kebaikan bersaing ialah fungsi, sama ada menyediakan nilai pembeli setanding lebih cekap berbanding dengan pesaing (kos rendah), ataupun melakukan aktiviti pada kos setanding, tetapi dalam cara unik yang mewujudkan nilai pengguna yang lebih banyak daripada pesaing, dan dengan itu, menguasai harga premium (pembezaan).  Dalam buku ini, Porter memerhatikan bagaimana pilihan lokasi menerusi mengantarabangsakan perniagaan mungkin menjadi sumber kebaikan bersaing.
            Kebaikan bersaing negara, hujah Porter bergantung pada kemampuan industri negara berkenaan untuk inovasi dan peningkatan (upgrade). Syarikat memperoleh kebaikan atau kelebihan berbanding dengan pesaing terbaik global kerana tekanan dan cabaran.  Syarikat mendapat faedah daripada pesaing domestik yang kuat, pembekal tempatan yang agresif, dan pengguna tempatan yang mendesak.   “Di dunia semakin menghadapi persaingan global, negara menjadi semakin penting, bukannya kurang penting.  Oleh sebab asas persaingan beranjak lebih banyak kepada pewujudan dan asimilasi pengetahuan, maka peranan negara semakin penting,” tulis Porter.
            Tiga kata kunci  Michael Porter, ialah inovasi, peningkatan, dan negara; dua yang pertama, lazim diamalkan bukan sahaja dalam syarikat, bahkan juga organisasi kerajaan.  Sesebuah organisasi perlu melakukan inovasi yang berterusan, atau memetik Joseph Schumpeter “pemusnahan kreatif,”  terhadap barang dan perkhidmatan agar barang dan perkhidmatan itu terus berdaya saing dan organisasi tidak menjadi usang.  Demikian juga peningkatan, organisasi, baik awam mahupun swasta, perlu melakukan penambahbaikan secara berterusan, antaranya melalui kualiti.
            Yang menarik, ialah penekanan Porter terhadap pentingnya peranan negara dalam  mengharungi persaingan global.  Dengan mengambil pendirian tersebut, Porter menolak pemikiran sebilangan sarjana atau cerdik pandai bahawa dalam era globalisasi, peranan negara  semakin tidak penting, bahkan dikatakan bahawa peranan dan kedaulatan negara bangsa (nation-state)  turut terhakis.  Kemunculan dan penguasaan Internet dikatakan negara bangsa semakin hilang wibawa dan kuasa kawalan terhadap warga dan wilayahnya. Dengan kata lain, Porter masih meletakkan negara di tengah-tengah pentas dan bukannya  beliau  meminggirkannya.
            Selepas menggarapkan inti pati  kebaikan bersaing, maka adakah konsep ini dapat diterapkan untuk bahasa?  Pastinya, sebagaimana syarikat dan negara, bahasa juga perlu mempunyai daya saing demi memastikan kelangsungannya. 
            Untuk bahasa Melayu, terutamanya melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, memang berlaku inovasi dan peningkatan yang berterusan.  Hal ini tidak dapat dinafikan, banyak  “produk kebahasaan”   baru diperkenalkan dengan memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi.  Sebagai contoh mudah, ialah kemudahan mengakses sumber  kamus dan istilah melalui Internet: para pengguna tidak perlu lagi membelek halaman demi halaman kamus atau buku istilah. 
            Namun begitu, dari segi peranan kerajaan dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan, timbul pendapat yang berbelah-bahagi.             Beberapa  “dasar” kerajaan sejak dua atau tiga dekad lalu menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.   Bermula  penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang sains dan teknologi di universiti awam pada awal tahun 1990-an,  seterusnya kewujudan pendidikan swasta hingga peringkat universiti, dan kepada pelaksanaan  Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI  pada tahun 2003, yang boleh diibaratkan “meletakkan paku terakhir pada keranda.”  Usaha DBP untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu sejak berpuluh-puluh tahun runtuh dalam sekelip mata.  Sebagai contoh, berjuta-juta istilah yang dibina  dalam pelbagai bidang ilmu  menjadi usang.
            Walaupun bahasa Melayu melalui perjalanan sejarah yang panjang dan sekali gus membuktikan bahawa  bahasa ini mampu berdiri sendiri, yang jelas sejak merdeka, bahasa kebangsaan berkembang maju kerana adanya dasar kerajaan yang tegas dan keazaman politik yang   tinggi.   Malangnya, dua faktor penting ini kelihatan  tidak lagi akrab dengan bahasa Melayu.  Kerajaan Malaysia kelihatan  terperangkap dengan fahaman  pelbagai budaya yang telah ditolak bulat-bulat oleh beberapa buah negara Eropah, seperti Britain, Perancis, dan Jerman, dan sekali gus penolakan penggunaan pelbagai bahasa di negara berkenaan.  Kerajaan Malaysia juga terdorong dengan pelaksanaan pelbagai bahasa, walaupun dasar pelbagai bahasa  itu, seperti yang berlaku di Belgium dan terbaru di Ukraine, boleh membawa kegagalan politik.
            Di sesetengah negara,   pelaksanaan bahasa kebangsaan memang tegas dan seakan-akan tidak ada tolak ansur sama sekali.  Di Britain, Perdana Menteri David Cameron, mengingatkan kaum imigran supaya mereka menggunakan bahasa Inggeris, kalau tidak, mereka akan tercicir daripada arus perdana. Di China, kerajaan begitu gigih mendaulatkan bahasa Mandarin.  Arahan dikeluarkan supaya singkatan organisasi,  seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa)  dan WTO (Organisasi Perdagangan Sedunia)  juga diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin.   Sementara Perancis mempunyai undang-undang yang menyatakan bahawa jika tanda awam (public signage) diterjemahkan ke dalam bahasa lain, mesti diterjemahkan sekurang-kurangnya ke dalam dua bahasa lain lagi.  Langkah ini dengan mudah   menyekat bahasa Inggeris daripada menguasai tanda awam di negara itu. 
            Di  Quebec  – satu-satunya wilayah di Kanada, yang sejumlah besar penduduknya menggunakan bahasa Perancis,   daripada menu makanan kepada nama syarikat, pastikan tidak berbau bahasa lain, seperti bahasa Itali dan bahasa Inggeris.  Seekor  burung kakak tua yang bertutur dalam bahasa Inggeris di Montreal Biodome, Quebec, dihantar pulang ke Toronto. Menurut cerita, wakil Office québecoise de la langue française (OQLF), badan yang dipertanggungjawabkan memastikan keagungan bahasa Perancis di Quebec mengadakan lawatan mengejut ke zoo tempat kakak tua  tinggal, dan burung malang itu bertutur dalam bahasa Inggeris. Kisah  itu yang diterbitkan dalam majalah Beaverton, menjadi olok-olokan, tetapi mencerminkan sikap tidak tolak ansur Quebec terhadap bahasa rasmi wilayah itu memang sentiasa benar. Selain itu, pihak berkuasa wilayah itu pernah menolak permohonan seorang ahli perniagaan untuk menyenaraikan firmanya dengan pendaftar syarikat.  Alasannya, nama syarikat itu terlalu berbunyi bahasa Inggeris. 
            Dalam memperkatakan kebaikan bersaing bahasa, peranan kerajaan merupakan faktor kritikal.  Tanpa faktor ini, kelangsungan sesuatu bahasa akan terbantut, dan bahasa Melayu tidak terkecuali. Faktor kritikal lain yang perlu dipertimbangkan, ialah kewujudan badan pembinaan dan pengembangan bahasa, seperti DBP,  pelaksanaan dalam bidang pendidikan dan pentadbiran,  penggunaan dalam penulisan dan wacana ilmiah,  penggunaan dalam media, termasuk media sosial, dan penggunaan dalam komunikasi sosial.  Semua faktor kritikal itu adalah sesuatu yang dapat diukur   dan menggambarkan  fungsi bahasa Melayu.
            Malangnya, bahasa Melayu tidak mempunyai kekuatan jika dilihat dari segi  beberapa faktor kritikal yang dikatakan itu.  Penggunaan bahasa Melayu di negara ini masih belum meluas, mungkin tidak meluas selama-lamanya, walaupun negara lebih 50 tahun merdeka.  Seperti yang pernah dicatatkan oleh Rustam A. Sani, “salah satu masalah yang dihadapi oleh bahasa Melayu dalam memartabatkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan adalah  ‘pemasungan’  peranan bahasa itu kepada bidang-bidang tertentu, seperti  bidang hiburan, pengetahuan  tingkatan rendah (hingga SPM), bahasa ucapan rasmi-rasmian, perbincangan tentang sastera dan budaya (seperti yang dilakukan oleh Gapena, Pena, dan DBP), dan sebagainya.”
            Rustam dalam bukunya, Menjelang Reformasi menambah,   “bidang-bidang, seperti hubungan antarabangsa, ekonomi, dan perdagangan, perbincangan umum peringkat tinggi, perbincangan tentang sains dan teknologi, secara lumrahnya bukanlah bidang-bidang yang biasanya sebagai bidang untuk bahasa Melayu.”
            Bahasa Melayu juga perlu keluar dari kepompong ungkapan yang kedengaran gah-gah dan retorik, seperti “bahasa Melayu tonggak tamadun bangsa” dan “bahasa Melayu dalam pembinaan negara bangsa.”  Kita perlu ingat dan banyak orang tahu  bahawa semua tamadun bertunjangkan bahasa (dan agama),  dan oleh itu, faktor ini tidak memberikan kebaikan bersaing untuk bahasa Melayu. 
            Tentang negara bangsa pula, seperti yang diketahui,  Malaysia sebagai negara bangsa sudah lama terbina, terbentuk,  walaupun tidak seunggul konsep itu sendiri,  dan oleh itu, orang yang menyebut, “bahasa Melayu dalam pembinaan negara bangsa”   seakan-akan tidak memahami  konsep negara bangsa.   Negara bangsa, menurut kefahaman umum,  ialah   keunggulan de facto yang ke arahnya dijadikan hasrat atau hampir semua negara moden. Dalam sesebuah negara bangsa, semua orang boleh dikatakan menjadi satu bangsa, dan dengan itu, berkongsi nilai-nilai dan kesetiaan asasi yang tertentu.  Negara yang ditubuhkan berasaskan satu bangsa yang mempunyai pemerintah, kedaulatan, dan sempadan yang jelas.  Dalam negara ini, undang-undang dan dasar pemerintahan dibentuk sesuai dengan aspirasi atau kehendak bangsa yang mendiami negara berkenaan.  Sesebuah negara ialah kawasan tanah yang orang ramai mempunyai kerajaan yang merdeka.  Negara bangsa wujud jika bangsa dan negara mempunyai sempadan yang sama.
            Pada suatu ketika dahulu,  melalui DBP terutamanya, “nilai ekonomi bahasa Melayu”  menjelajah seluruh Malaysia.  Namun demikian, konsep ini tidak pernah diterjemahkan pada peringkat operasi mungkin kerana terlalu abstrak atau kerana  adanya kegemaran untuk bercakap sesuatu  “di awang-awangan.”  Tidak ada usaha untuk mengenal pasti petunjuk nilai ekonomi,  jauh sekali untuk menjadikan petunjuk itu ukuran.   Dan, sekali lagi konsep yang yang diwar-warkan itu, akhirnya  lesap ditelan zaman.

            Sememangnya, tidak salah untuk membincangkan bahasa Melayu  secara konsep dan abstrak, tetapi  konsep dan abstrak itu, perlu diterjemahkan dalam bentuk realiti dan operasi supaya dengan ini, semua orang “bercakap satu bahasa”, dan bukannya terus menerus ibarat “orang buta dengan gajah.”  Jika tidak, perbincangan  sesuatu konsep dan abstrak  dianggap  sekadar   untuk  tujuan “eskapisme”  dan bukannya  berusaha mewujukan kebaikan bersaing bahasa Melayu. 
          (Nota:  Tulisan asal makalah  yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Jun 2014.)


3 comments:

  1. Penggunaan "Kebaikan Bersaing.." itu sendiri menunjukkan kelemahan bahasa Melayu kini, kerana terikut sinteks Inggeris. Bukankah 'advantage' bermaksud kelebihan dan 'competitiveness': daya saing. Oleh itu takrif yang betul: 'kelebihan daya saing'. Sebutan 'kebaikan' pendek, kemas dan cantik tetapi maksudnya lain.
    Seperti juga "keyboard" disebut 'papan kekunci'. Apa yang hendak dikunci? Dimana kuncinya. 'Key' yang dimaksudkan oleh orang putih disini ialah penekan untuk mengeluarkan bunyi pada peralatan musik seperti piano dan organ, bukan kunci. Jadi terjemahan yang tepat ialah 'papan penekan huruf'. Banyak lagi terjemahan yang tidak betul berlaku kerana penterjemah / pencipta kata tidak menegerti maksud sebenar perkataan asal.
    Sehingga kini begitu ramai sekali lepasan 'Pengajian Melayu'. Apakah sumbangan mereka? Mereka tidak dapat meneyumbang kerana mereka tiada ilmu khusus selain dari kefahaman nahu, olahan dan sebutan bahasa. Yang diperlukan ialah professional yang boleh menulis dan berbincang dalam bahasa Melayu. Galakan perlu ditumpukan kepada mereka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amanasyanti, apabila menulis, lebih-lebih lagi untuk DBP, saya akan merujuk "Kamus Dewan," istilah-istilah yang diterbitkan oleh DBP, dan Kamus Bahasa Inggeris Dewan. "Kebaikan bersaing" saya rujuk Istilah Ekonomi yang diterbitkan oleh DBP, yang dalam BI disebut "competitive advantage." Sebagai penulis dan editor terutamanya, sumber rujukan tersebut, termasuk "Gaya Dewan" menjadi pegangan saya.

      Delete
    2. Amanasyanti, apabila menulis, lebih-lebih lagi untuk DBP, saya akan merujuk "Kamus Dewan," istilah-istilah yang diterbitkan oleh DBP, dan Kamus Bahasa Inggeris Dewan. "Kebaikan bersaing" saya rujuk Istilah Ekonomi yang diterbitkan oleh DBP, yang dalam BI disebut "competitive advantage." Sebagai penulis dan editor terutamanya, sumber rujukan tersebut, termasuk "Gaya Dewan" menjadi pegangan saya.

      Delete