Pages

Saturday, July 19, 2014

Gelombang Autokrasi dan Oligarki di Eropah

SABTU,  19 Julai 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Serangan berkembar yang dilakukan oleh  Anders Behring Breivik seorang diri, meledakkan bangunan kerajaan di Oslo, dan beberapa jam kemudian, menyerang perkhemahan belia di Pulau Utoya pada akhir Julai tahun lalu (2011), mengorbankan 76  nyawa,  membangkitkan kesedaran tentang  kewujudan neo-Nazi bukan sahaja di negara itu, tetapi juga di negara lain, seperti   Sweden, Belgium, dan Jerman.   Banyak orang menyertai neo-Nazi dan ideologi  kanan jauh yang lain berasa diri mereka dilucutkan kuasa dan dipinggirkan, dan percaya bahawa cara untuk mengatasi masalah ini dengan berpatah balik ke masa lalu yang “tulen” yang indah, berasaskan kaum dan pada takat tertentu berasaskan agama.
            Kira-kira empat tahun lalu, pernah ditonjolkan kebangkitan neo-Nazi di Eropah Timur dan Rusia.  Tujuh puluh lima tahun selepas Hitler berkuasa di Jerman pengaruh ideologinya yang mendatangkan keburukan hidup dengan bilangan yang meningkat dari segi serangan rasis yang dilaporkan, terutamanya di negara bekas Kesatuan Soviet. Di Rusia, salah satu kawasan pergolakan utama untuk kegiatan neo-Nazi, aktivis hak asasi manusia menganggarkan wujud kira-kira 70,000 skinheads.  Sementara di republik Baltic, iaitu Estonia, Luthuania, dan Latvia, kumpulan neo-Nazi kebanyakannya terpinggir daripada politik arus perdana.  Negara lain yang menyaksikan kebangkitan neo-Nazi, meskipun kecil, ialah  Ukraine, Slovak, Republik Czech, Poland, dan Hungary.  Negara demokrasi yang lama wujud di Eropah Barat juga didapati tidak kebal daripada sebatan neo-Nazi dengan serangan dan gerakan kanan jauh di negara, seperti Sepanyol dan Greece.  Merentas benua itu, gambaran kelihatan secara meluas adalah sama, puak kanan jauh menarik golongan belia yang menganggur, tidak terpelajar dan mereka yang menentang imigrasi.  
            Dalam keluaran 15 Ogos, 2011, Newsweek muncul dengan rencana utama, “Fascist Russia?”  ditulis oleh Owen Matthews dan Anna Nemtsova, mendedahkan bahawa Kremlin bermain permainan yang bahaya dengan tunduk pada kehendak puak kanan jauh yang menimbulkan kebencian. Beberapa jam selepas tragedi di Norway itu, puak bawah tanah ultranasionalis Rusia meraikan, “Breivik ialah wira kulit putih.”  Parti ultranasionalis yang dikenali sebagai Demokrat Nasional, adalah bertujuan menghentikan “pengisalaman Rusia” dan menghentikan penghijrahan peribumi Caucasus ke Rusia Eropah.  Pemimpinnya, Dmitry Fiaktistov mahukan “kawasan etnik Rusia yang tulen” diwujudkan supaya orang Rusia dapat diasingkan, seperti orang Yahudi Israel dan umat Palestin di Tebing Barat.
            Neo-Nazi dan Fasis di Eropah selalunya dilihat dalam konteks kebangkitan  kanan jauh dan parti populis, seperti yang pernah dicatatkan oleh Jamie Barlett dalam Foreign Policy  bahawa parti-parti  populis melanda Eropah, dan Facebook.  Dalam makalah “Europe Facebook Fascists,”  Barlett menulis. “di Eropah, parti-parti populis ditakrifkan oleh penentangan mereka terhadap penghijrahan dan keprihatinan untuk melindungi budaya kebangsaan dan Eropah, terutamanya terhadap ancaman yang ditanggapi daripada Islam.  Sepanjang dekad lalu, pertumbuhan mereka sungguh luar biasa.  Pernah muncul sebagai parti pinggiran, parti-parti ini kini memperoleh sokongan yang signifikan di Austria, Belgium, Perancis, Italy, Belanda, dan bahkan (atau khususnya) benteng sosialis Scandinavia. Di sesetengah negara, mereka merupakan kedua atau ketiga terbesar dan dianggap anggota perlu banyak kerajaan campuran konservatif.”
            Kanan jauh sedang bangkit di seluruh Eropah, seperti yang didedahkan melalui kajian  kumpulan pemikir British,  Demos, sebagai generasi baru orang muda, penyokong berasaskan web yang menerima kumpulan nasionalis yang tidak mahu bertolak ansur dan  antiimigran.  Kajian itu  mendedahkan bahawa penyokong puak kanan jauh menggunakan periklanan pada halaman kumpulan Facebook, mereka memujuk lebih daripada 10,000 pengikut daripada 14 buah parti dan organisasi jalanan di 11 buah negara. Kajian juga mendedahkan merebaknya seluruh benua itu sentimen nasionalis yagn tidak mahu bertolak ansur dalam kalangan orang muda, terutamanya lelaki.  Amat sinis tentang kerajaan mereka sendiri dan Kesatuan Eropah, mereka membuat generalisasi ketakutan tentang masa hadapan dengan terfokus pada identiti budaya, dengan penghijrahan, terutamanya merebaknya pengaruh Islam yang ditanggapi, untuk membangkitkan kebimbangan.
            Laporan kajian itu diterbitkan selepas tiga bulan Anders Brevik, penyokong kanan jauh, mengganas, memberikan sorotan penting tersebar luasnya perasaan antiimigran, terutamanya rasa syak wasangka terhadap orang Islam.  Sebagaimana antisemitisme merupakan faktor penyatu untuk parti-parti kanan jauh pada tahun 1910-an, 1920-an, dan 1930-an, Islamofobia menjadi faktor penyatu pada dekad awal abad ke-21.
Bagi mereka, “bukan rasis untuk menentang kumpulan imigran jika dilakukan dari sudut pandangan mempertahankan tradisi dalam negara mereka.”   Generasi baru ini terdiri beratus-ratus ribu orang di seluruh Eropah yang kecewa dengan politik arus perdana dan institusi politik Eropah dan bimbang tentang keterhakisan budaya dan jati diri nasional mereka, dan mereka beralih kepada gerakan populis, yang mereka rasakan berbicara kebimbangan ini.
Generasi baru ini mempunyai tahap terlalu rendah kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi politik arus perdana, terutamanya sistem kehakiman.  Mereka melihat Kesatuan Eropah, sekarang khusus, sebagai jauh, tidak berkesan, dan membazirkan wang.  Legasinya bukan kebebasan untuk bepergian (travel) dan sumber peluang ekonomi, tetapi kehilangan kawalan sempadan dan pencairan budaya. 
Meskipun faktor ekonomi memainkan peranan minimum, namun dipercayai bahawa krisis zon euro berkemungkinan merangsang pengambilan ahli untuk parti-parti populis anti-Kesatuan Eropah yang gemar memainkan isu perpecahan nasional.  Krisis zon euro yang berpanjangan menyebabkan banyak rakyat menanggung akibatnya, seperti kehilangan pekerjaan dan hilang hak kelayakan akibat pelaksanaan langkah jimat-cermat, sedangkan para pemimpin masih menunjukkan keadaan tidak dapat membuat keputusan dan penggubal dasar terus  terhegeh-hegeh.
Bagi  kanan jauh, mereka  menjadikan modal daripada krisis zon euro itu.   Di  seluruh Eropah, kanan jauh melihat peluang dalam merebaknya perasaan tidak puas hati terhadap langkah jimat-cermat dan membentuk retorik mereka untuk menawarkan opsyen yang semakin dilihat sebagai alternatif yang boleh dilaksanakan untuk memperjuangkan status quo.
Dalam keluaran Mac 2011, iaitu beberapa bulan sebelum keganasan di Norway,  The Economist memberikan liputan tentang kebangkitan kanan jauh apabila parti-parti antipenghijrahan populis meraih prestasi yang kuat di seluruh Eropah Utara.  Perancis bukan hanya negara Eropah yang menanggung akibat kebangkitan kanan jauh.  Di lengkok negara menjalar ke timur jauh dari Belanda, parti-parti populis memotong lilitan menerusi politik, merayau kepada para pengundi  dengan pelbagai paduan atau campuran nasionalisme,  keraguan Eropah (dan keraguan euro), dan xenofobia secara terus terang.   Jelas majalah itu, negara yang perlu diperhatikan ialah Finland  tempat  True Finns   muncul daripada tidak dikenali kepada mempunyai tawar-menawar politik, menyertai kerajaan selepas Pilihan Raya pada 17 April 2010.  Parti tersebut memperluas rayuannya daripada berasaskan desa dan menebas pengundi dari semua tempat.  Parti itu menerima  pakai gaya antiimigran, tetapi parti itu membangkitkan isu permusuhan terhadap Kesatuan Eropah dan terutamanya pelan penyelamat  anggota zon euro yang  miskin di selatan dengan menggunakan kekayaan negara di utara.
Parti Nordic lain yang memperlihatkan pengaruh terhadap kerajaan ialah Danish People’s Party (DF).  Di bawah pengaruh parti tersebut, pakatan tengah-kanan minoriti, DF menggalang untuk dekad lalu yang mengubah dasar penghijrahan Denmark menjadi satu dasar yang paling ketat di Eropah.  Sementara di Sweden menyaksikan kemenangan besar Sweden Democrats dalam Pilihan Raya Umum pada September 2010, menjejaki kaki ke parlimen untuk kali pertama.  Di Belanda pula,  Freedom Party (PVV) yang antiimigran dan anti-Islam, masih berpengaruh, meskipun prestasi tidak mengagumkan dalam Pilihan Raya wilayah.  Negara lain yang tidak kebal daripada kebangkitan kanan jauh ialah Britain apabila sejak tahun 2009, British National Party menjadi wakil dalam Parlimen Eropah, manakala di Belgium, Vlaams Belang kekal berpengaruh dalam politik disfungsi di negara itu.
Ketika Eropah bergelut dengan kebangkitan kanan jauh, di beberapa negara lain di benua itu  menyaksikan  Rusia kembali semula kepada kediktatoran sedekad lalu, dan Ukrine turut mengikut jejak.  Belarus tidak pernah bebas.  Dan kini sesuatu berlaku yang seseorang tidak pernah terduga ketika beberapa negara Eropah Tengah menyertai Kesatuan Eropah dan Nato, salah satu daripadanya, Hungary kembali semula kepada autokrasi.  Di Budapest, sekurang-kurangnya era penentang kembali semula.  
Hungary yang kini  ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jirannya di Eropah Tengah,  diperintah oleh Fidesz Party  yang  mentakrifkan dirinya sebagai “Kristian, sayap kanan, dan nasionalis.” Selepas kemenangan muktamad, iaitu 52.7 peratus  dalam Pilihan Raya pertengahan tahun 2010, parti  Perdana Menteri Viktor Orban itu berasa gembira.  Orban menggunakan keputusan itu untuk menenggelamkan institusi negara.  Kerajaan populis sayap kanan  itu mendapat perhatian pada awal tahun ini apabila kerajaan tersebut merancang mengenakan kawalan yang ketat  terhadap bank pusat Hungary.  Kerajaan pimpinan Orban bukan hanya berminat menggunakan kawalan yang lebih besar terhadap institusi kewangan, tetapi juga memulakan Kulkturkampf, iaitu revolusi budaya yang dianggap cenderung mengenakan ideologi sayap kanan dan xenofobia terhadap semua lapisan masyarakat, merangkumi daripada golongan minoriti dan agama kepada media, kehakiman, dan seni.
Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times pada Disember tahun lalu,  muncul dengan “Depression and Democracy”  menyentuh persoalan kelunturan  demokrasi  akibat kemelesetan yang berpanjangan.  Beliau  yang menyentuh kebangkitan kanan jauh di Austria dan Finland, mengingatkan:  “Dan ini merupakan negara kaya yang ekonomi adalah diurus dengan agak baik.  Keadaan kelihatan sungguh  tidak menyenangkan di negara miskin Eropah Tengah dan Eropah Timur.”  Bulan lalu, tulis Krugman, European Bank for Reconstruction and Development  mendokumentasikan kejatuhan ketara dalam sokongan  awam untuk demokrasi di negara “Kesatuan Eropah baru,” iaitu negara yang menyertai Kesatuan Eropah selepas keruntuhan Tembok Berlin.  Tidak memeranjatkan, kehilangan kepercayaan terhadap demokrasi adalah sangat besar di negara yang terjejas  akibat kemerosotan ekonomi yang teruk.  Dan, sekurang-kurangnya sebuah negara, iaitu Hungary, institusi demokratik sedang terhakis.
Hujah Krugman, tidak jelas apa yang dapat dilakukan tentang Hungary yang terjerumus ke dalam autoritarian yang nampaknya agak terlewat untuk Kesatuan Eropah untuk bertindak.  Selain itu,  beliau mengingatkan kemungkinan kewujudan semula pemerintahan autoritarian, di bawah topeng nipis demokrasi, di tengah-tengah Eropah.  Dan keadaan ini ialah  contoh apa yang mungkin berlaku lebih banyak lagi jika kemelesetan ini berterusan.   “Meskipun bukan ulang tayang sepenuhnya Kemelesetan Besar, tetapi tidak menolong menyedapkan hati.  Pengangguran di Amerika Syarikat dn Eropah masih membawa kecelakaan yang parah. Para pemimpin dan institusi semakin diragui.  Dan nilai demokratik dikepung.”
Dari perspektif yang lain, tetapi amat serius, apa yang berlaku di Eropah sekarang, jika dirujuk  pemerhatian Michael Hudson, “peralihan yang boleh membawa maut daripada demokrasi sosial kepada oligarki.  Hudson yang menulis dalam CounterPunch secara sinis menulis, “selamat datang era baru polarisasi oligarki kewangan menggantikan kerajaan demokratik dan merendahkan taraf penduduk kepada hamba hutang (debt peonage).”  Bagi beliau, “kewangan lawan kerajaan, oligarki  lawan demokrasi.”  Jelas Hudson, demokrasi sosial zon euro kini digantikan.  Di bawah naungan politik kecemasan kewangan, upah dan taraf hidup akan dikikis  dan kuasa politik beranjar daripada kerajaan yang dipilih kepada pemerintahan teknokrat bagi pihak bank dan institusi kewangan besar. Buruh sektor awam akan diswastakan, dan dinyahkesatuan, manakala keselamatan sosial, rancangan pencen dan insurans kesihatan dikikis.
Menurut Hudson, kuasa negara bangsa terhakis.  Satu daripada tiga ciri mentakrifkan negara bangsa ialah kuasa untuk mencipta wang.  Ciri kedua ialah kuasa untuk mengenakan cukai. Kedua-dua kuasa ini dipindahkan daripada tangan wakil yang dipilih secara demokratik kepada sektor kewangan, sebagai akibat terikatnya tangan kerajaan.  Ciri ketiga negara bangsa ialah kuasa mengisytiharkan peperangan.  Apa yang berlaku kini ialah sama dengan peperangan, tetapi terhadap kuasa kerajaan.  Jelas beliau lagi, “sekurang-kurangnya di negara yang menanggung hutang paling teruk, para pengundi Eropah menyedari tindakan oligarki yang perancangan dan kawalan pencukaian dan belanjawan kerajaan dipindahkan ke dalam tangan eksekutif yang dicalonkan oleh kartel banker antarabangsa.”
Apa yang berlaku di Eropah kini, akibat krisis yang berpanjangan, terutamanya di zon euro, menyaksikan gambaran politik yang bercelaru, antaranya kebangkitan kanan jauh dan demokrasi pula terpaksa demi menyelamatkan kapitalisme.  Sementara modal terus-menerus menundukkan negara bangsa, dalam erti kata bahawa kuasa negara bangsa dirampas oleh sektor kewangan yang amat berkuasa. Meskipun bukan ulang tayang sepenuhnya Kemelesetan Besar 1930-an, tetapi implikasi dari segi politik dan sosial, tetap tidak jauh berbeza.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat,  Mac 2012.)

No comments:

Post a Comment