Pages

Wednesday, July 23, 2014

Gajah Lawan Naga

RABU, 23  Julai 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam buku terbarunya, The Origins of Political Order:  From Prehuman Times to the French Revolution, Francis Fukuyama, menulis satu topik yang menarik yang kini sering mendapat perhatian: “China versus India.”  Meskipun tidak panjang, iaitu hanya dua setengah halaman, Fukuyama memerhatikan bahawa pada awal abad ke-21, berjilid-jilid karya diterbitkan tentang prospek relatif  China dan India sebagai negara pasaran sedang muncul yang berkembang pesat.  Beliau juga memerhatikan bahawa banyak perbincangan ini berkisar pada ciri sistem politik.  China sebagai negara autoritarian, banyak mencipta kejayaan jika dibandingkan dengan India dari  segi mempromosikan projek infrastruktur yang besar.  China dapat melaksanakan projek pembangunan dengan mudah, meskipun terpaksa memindahkan jumlah penduduk yang banyak sehingga berjuta-juta orang.   Sebaliknya, India dengan demokrasi majmuk, terpaksa menghadapi tentangan daripada pelbagai kumpulan sekiranya kerajaan ingin melaksanakan sesebuah projek. 
            Fukuyama mengingatkan bahawa masalah banyaknya perbandingan ini adalah gagal mengambil kira bagaimana sistem politik China dan India berakar umbi dalam struktur sosial dan sejarah mereka.  Jelas beliau lagi, jenis kerajaan kuku besi  yang bangkit di China atau Rusia, iaitu sistem yang melucutkan  seluruh masyarakat, bermula dengan golongan elit, harta, dan hak peribadi,  tidak pernah wujud di bumi India, bukan  semasa kerajaan Hindu peribumi, bukan semasa pemerintahan Mogul, dan bukan semasa pemerintahan British.  Keadaan ini membawa kepada situasi paradoks yang protes terhadap ketidakadilan sosial, yang melibatkan bilangan yang sangat besar, secara tipikal tidak pernah ditujukan kepada pihak berkuasa politik pemerintahan India, seperti yang berlaku di Eropah dan China.  Sebaliknya, protes tersebut ditujukan kepada orde sosial yang dikuasai oleh golongan Brahmin. 
Keadaan seperti ini tidak berlaku di China, yang negara yang kuat dengan institusi moden dibangunkan lebih awal. Negara China yang kuat, yang dimajukan dengan cepat selalunya mampu melakukan tugas yang India tidak mampu, daripada pembinaan Tembok Besar untuk berlindung daripada penceroboh nomad, kepada projek hidroelektrik yang sangat besar pada abad ke-21. 
Untuk mengatakan bahawa di China tidak wujud penentangan rakyat, seperti yang Francis Fukuyama perhatikan, sememangnya tidak tepat sama sekali.  Revolusi Melati yang tercetus di Tunisia lebih setahun lalu, dikatakan merebak ke China. Krisis  global juga merebak ke China kerana pertumbuhan ekonomi mula  tegun.  Baru-baru ini, berlaku protes nelayan di Wukan terhadap kader yang korup yang menjual tanah awam, sedangkan penduduk kampung tidak  yang mendapat apa-apa, yang mendapat liputan luas media asing.   Meskipun China mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan dan kemakmuran semakin meningkat, rasa tidak puas hati rakyat semakin mendalam dan semakin merebak. 
Seperti yang dinyatakan oleh Li Xiaorong dalam  blog The New York Review of Books pada Januari tahun lalu, “What I Told Obama About  Beijing’s Human Rights Problem,”  berjuta-juta orang membanjiri pejabat-pejabat kerajaan untuk mengadu tentang ketidakadilan berhubung dengan kurangnya perlindungan buruh, pergaduhan berhubung dengan hak tanah dan rumah, dan demonstrasi yang dianjurkan oleh guru, golongan veteran, pekerja bank, mangsa pencemaran, dan oleh ibu bapa yang anak-anak mereka diracuni oleh produk tenusu atau mati di bangunan sekolah yang ketika gempa bumi Szechuan tahun 2008.  Berlaku protes oleh golongan minoriti etnik dan agama tentang diskriminasi dan pemusnahan budaya.  Menurut statistik kerajaan sendiri, dalam setiap lima tahun lalu, kira-kira 90,000 “protes massa” berlaku.  Jumlah sebenar tanpa diragui adalah lebih tinggi daripada itu.
China dan India, ialah dua negara dalam BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) yang dijangkakan mengubah orde dunia baru.  Ketika dunia dilanda kemelesetan pada tahun 2009, kedua-dua negara, iaitu China dan India masih mampu mencipta pertumbuhan. Joel Kotkin yang menulis dalam Newsweek akhir Julai 2011, pernah membayangkan “India Penakluk Dunia” bahawa selepas sekian lama gerhana, negara purba itu akhirnya kembali sebagai kuasa dalam perniagaan dan budaya global. Malangnya, tidak lama selepas itu,  didapati  pertumbuhan dan  pelaburan langsung asing (FDI) India merosot sehingga mendorong Fareed Zakaria yang menulis melalui blognya, membuat spekulasi bahawa “I” bukan lagi untuk India, tetapi berkemungkinan digantikan oleh Indonesia. 
Walau bagaimanapun, pelayaran China juga tidak  selalunya tanpa gelora, seperti yang dibayangkan oleh Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times pada Disember 2011, “Will China Break?” yang menunjukkan kemungkinan China menjadi pusat gempa baru krisis.  Perkara yang paling jelas, bahas Krugman, “tentang ekonomi China sepanjang dekad lalu ialah cara penggunaan isi rumah, meskipun meningkat,  ketinggalan di belakang pertumbuhan secara keseluruhan.  Setakat ini, perbelanjaan pengguna hanya kira-kira 35 peratus KDNK, kira-kira separuh tahap di Amerika Syarikat.”  Jelas Krugman, Amerika Syarikat merupakan pembeli barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh China.  Negara itu juga banyak bergantung pada pelaburan hartanah yang berhadapan dengan risiko keruntuhan.  Sebagaimana Amerika Syarikat beberapa tahun lalu, di China, sistem kewangan mungkin lebih banyak terdedah berbanding dengan data tentang pendedahan perbankan konvesional.
Antara China dengan India, China adalah jauh di hadapan kerana dari segi ekonomi global, negara itu menduduki tempat kedua di belakang Amerika Syarikat, selepas berjaya menyingkirkan Jerman untuk tempat ketiga dan seterusnya Jepun untuk tempat kedua.  Pada Julai tahun lalu, Pew Global Attitudes Project menunjukkan  bahawa dalam 15 daripada 22 negara yang ditinjau, keseimbangan pendapat adalah bahawa China, sama ada akan menggantikan atau telah pun menggantikan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar utama dunia.  Pandangan ini, khususnya meluas di Eropah Barat, apabila sekurang-kurangnya enam dalam 10 di Perancis (72 peratus), Sepanyol (67 peratus), Britain (65 peratus), dan Jerman (61 peratus) melihat China menggantikan Amerika Syarikat.
Jelas kajian itu lagi, sekurang-kurangnya beberapa pandangan yang berubah ini tentang keseimbangan global kuasa mungkin menggambarkan hakikat bahawa Amerika semakin dilihat di belakang China dari segi ekonomi.  Pandangan seperti ini, terutamanya wujud di Eropah Barat, apabila peratusan yang menamakan China sebagai kuasa ekonomi yang teratas telah meningkat oleh digit berganda di Sepanyol, Jerman, Britain, dan Peracis sejak tahu 2009.  Di negara lain di dunia, sebilangan yang yakin bahawa China merupakan kuasa ekonomi global.  Majoriti atau majmuk di Eropah Timur, Asia, dan Amerika Latin masih menamakan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi dominan dunia.  Di Timur Tengah, rakyat Palestin dan orang Israel bersetuju bahawa Amerika terus menduduki tempat teratas ekonomi global, manakala Jordan dan Lubnan  lebih melihat China dalam peranan ini. Dengan ketara,  sebanyak margin hampir 2-dengan-1, orang Cina  masih percaya bahawa Amerika Syarikat  ialah kuasa ekonomi dominan dunia.
Berdasarkan Pew Global Attitudes Project  ini jelas bahawa saingan China ialah Amerika Syarikat, dan bukannya India. Bahkan, ketika zon euro masih bergelut dengan krisis hutang, harapan diberikan terhadap China untuk menjadi penyelamat, dan bukan lagi kepada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa.  
Namun, hal ini tidak bermakna bahawa tidak ada kewajaran atau kerasionalan untuk membandingkan China dengan India.  Majalah Time dalam keluaran 21 November tahun lalu muncul dengan dua liputan utama yang menarik, pertama “The Chindian Century”  dan   “Which One Economic Model Prevail?”  Makalah pertama, yang ditulis oleh Zoher Abdoolcarim membayangkan abad China dan India jika kedua-dua negara berpadu tenaga. Akan tetapi, sebelum menyelamatkan dunia, China dan India perlu menentukan ekonomi dan masyarakat mereka.  Pertumbuhan kedua-dua negara itu mula perlahan, meskipun untuk China, hal ini adalah baik kerana membantu menyejukkan ekonomi yang terlalu panas. 
“Di kedua-dua negara,” tulis Abdoolcarim, “eksport merosot, inflasi pada tahap yang menyakitkan, ketidaksamaan pendapatan semakin melebar, dan ketidakadilan, seperti pengambilan tanah mencetuskan merebaknya protes.”  Tambah beliau, “kedua-kedua negara membebaskan berjuta-juta penduduk daripada belenggu kemiskinan, tetapi tidak terhitung jumlahnya berjuta-juta yang lain, seperti belia, pekerja, petani terus terpinggir dan terdesak untuk mata pencarian yang memuaskan.  Sementara China tidak mematuhi peraturan, India pula mempunyai banyak peraturan yang perlu dipatuhi.”
Makalah kedua mengandungi dua makalah, iaitu “The Case for India:  Free to Succeed” yang ditulis oleh Michael Schuman dan “The Case for China:  The Power of Planning” oleh Bill Powell yang mempertahankan kes masing-masing.  Bagi Schuman, dalam membandingkan India dan China, kebanyakan ahli ekonomi dan komuniti perniagaan melihat perkara yang silap.  Birokrat Beijing mungkin lebih baik dari segi membina jalan raya, tetapi kerajaan yang menentukan dan mencabuli hak asasi manusia  tidak akan memastikan kejayaan ekonomi negara.  Separuh abad lalu sejarah ekonomi Asia memberitahu kita  bahawa pembangunan mapan hakikatnya bergantung pada keusahawanan, sektor swasta yang kuat, kedaulatan undang-undang, dan keterbukaan politik.  “India, bukannya China,”  bahas beliau, “mempunyai building blocks yang penting bagi kemajuan ekonomi.  Dan itulah sebabnya India akan memotong China sebagai ekonomi sedang muncul utama di dunia.” 
Berbanding dengan China, bahas Schuman lagi, “India mempunyai kelebihan demografik dalam menjanakan pertumbuhan pada masa hadapan.  Yang paling penting, India mempunyai model ekonomi yang lebih hebat berbanding dengan China, iaitu tegap, teguh, dan dilengkapi dengan baik untuk mengekalkan kemajuan yang pesat dalam jangka panjang.  Itulah sebabnya ekonomi India mempunyai sumber pertumbuhan seimbang.  Permintaan domestik yang kuat memacu KDNK India, menawarkan perlindungan ekonomi daripada kejutan luaran.”
Bill Powell yang menulis model China, membahaskan bahawa negara itu kini ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, mengalami pertumbuhan hampir 10 peratus setahun sepanjang dekad pertama abad ini.  Pertumbuhan pendapatan per kapita pada tahun 2010 meningkat sembilan peratus.  Produktiviti pembuatan berkembang 10 peratus setahun.  “Negara itu,” tulis Powell, “tidak seperti India, terus-menerus mempunyai lebihan akaun semasa yang besar dan hanya mencatatkan sedikit defisit belanjawan tahun ini (2011).  China juga mempunyai lebih AS$3 trilion (dan pengiraan) nilai rizab pertukaran asing.”
Tegas Powell, negara autoritarian yang diamalkan oleh China dan tindakan keras kerajaan terhadap puak penentang, seniman, dan wartawan jangan dikelirukan.  Sebaliknya, tegas beliau, tadbir urus kerajaan sepatutnya  dilihat dari segi “mewujudkan keadaan supaya sektor swasta dapat berkembang”  yang telah pun dilaksanakan di negara itu.  Kerajaan bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi juga membangunkan sumber manusia.  Meskipun dari segi demografi India yang menang kerana dalam tempoh 20 tahun, China akan menjadi masyarakat berumur, sedangkan India mempunyai jumlah besar yang orang muda, Powell mengingatkan, “Pertama, India perlu mendidik pekerja pada masa hadapan, seperti yang pernah dilakukan oleh China.” Tanpa menafikan kemungkinan India muncul sebagai ekonomi murah secara relatif  dengan infrastruktur bertaraf dunia, namun bahas beliau, “ketika India sampai di situ, China akan terus mara.  China akan muncul sebagai ekonomi yang paling berkuasa di planet ini.”
Sebenarnya, dari segi jumlah penduduk, umur median (dalam tahun), celik huruf, pengguna Internet, tenaga buruh, dan pariti kuasa beli KDNK, China mendahului India.  Demikian juga dari segi nilai import, eksport, perbelanjaan ketenteraan sebagai peratusan KDNK, dan rizab pertukaran asing dan emas, juga China mendahului India.  Satu-satunya India mendahului China ialah kadar inflasi pada tahun 2010, dengan India 12.0 peratus berbanding China 3.2 peratus.
Dalam The New York Review of Books keluaran Mei 2011, Amartya Sen pernah membandingkan India dengan China dari segi kualiti kehidupan, melampaui pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK).  Memetik statistik daripada Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dari segi jangkaan hayat pada kelahiran di China ialah 73.5 tahun berbanding India 64.4 tahun.  Kadar kematian bayi ialah 50 orang per 1000 orang di India, berbanding hanya 17 orang di China; kadar kematian kanak-kanak di bawah lima tahun ialah 66 orang per 1000 untuk India dan 19 orang untuk China; dan kadar kematian ketika bersalin ialah 230 orang per 100,000  kelahiran yang hidup di India dan 38 orang di China. Tahun min persekolahan  di India dianggarkan 4.4 tahun, berbanding dengan 7.5 tahun di China.  Kadar celik huruf China ialah 94 peratus, berbanding dengan 74 peratus India menurut jadual awalan banci tahun 2011.
Demikian juga perbelanjaan untuk “sektor sosial,” iaitu kesihatan, pendidikan, pemakanan, dan sebagainya, meskipun meningkat di India, tetapi masih di belakang China. Misalnya, perbelanjaan kerajaan terhadap penjagaan kesihatan di China adalah hampir lima kali ganda jika dibandingkan dengan di India.  Sementara kerajaan China membelanjakan hampir dua peratus KDNK (1.9 peratus) untuk penjagaan kesihatan, perkadaran hanya atas satu peratus (1.1 peratus) di India.
China lawan India, bermakna negara autoritarian lawan demokrasi, kapitalisme negara lawan perusahaan swasta. Dari segi politik, kedua-duanya, iaitu China dan India mempunyai Tibet, tetapi yang dimaksudkan Tibet India ialah Kashmir.

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Mac 2012.)

No comments:

Post a Comment