Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Setelah menyendiri bersama-sama keluarga berikutan kekalahannya di tangan +Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada November lalu, +Mitt Romney, sejak akhir-akhir ini kelihatan muncul semula. Baru-baru ini, Romney mengumumkan bahawa beliau akan berkempen untuk Republikan dalam Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2014, yang melibatkan Dewan Perwakilan dan Dewan Senat. Pada masa sekarang, Dewan Perwakilan dikuasai oleh Parti Republikan, manakala Dewan Senat oleh Parti Demokratik.
Bekas calon Presiden daripada Republikan itu juga memberitahu CNN, seperti yang dipetik oleh The Huffington Post, bahawa amat kesal dengan komen beliau yang tidak popular tentang golongan 47 peratus. Golongan tersebut, menurut Romney, akan tetap mengundi Presiden kerana mereka "bergantung pada kerajaan" dan "percaya bahawa mereka mempunyai kelayakan untuk penjangaan kesihatan, makanan, dan perumahan."
Tidak seperti 25 tahun atau 30 tahun lalu, Romney memberitahu, "segala yang anda katakan akan dirakamkan dalam kempen politik hari ini."
Baru-baru ini, Romney juga membangkitkan Taufan Sandy yang melanda Pantai Timur Amerika Syarikat pada akhir Oktober 2012 Taufan Sandy, bagi beliau "datang tidak sesuai dengan masanya," iaitu beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya. Sebagaimana runtuhan Wall Street pada September 2008 yang menyumbang kepada kemenangan Obama ketika itu, demikian juga Taufan Sandy: Obama sekali lagi mendapat "tuah dalam kemalangan."
Namun, bagi sesetengah pengulas, Republikan gemar mencari alasan kekalahan mereka dengan peristiwa tertentu, seperti yang berlaku pada tahun 2008 dan 2012, sambil mengetepikan faktor kelemahan parti itu sendiri yang sering diperkatakan sejak akhir-akhir ini, dan pengaruh pengundi minoriti, seperti Hispanic yang kini semakin dominan dalam politik Amerika Syarikat, dan Republikan, mengikut kajian, kurang boleh dipercayai berbanding dengan Demokrat.
No comments:
Post a Comment