Pages

Wednesday, June 19, 2013

Kajian: Penduduk Dunia, Golongan Kaya, dan Pekerja Pendatang

RABU, 19  Jun 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam World Population Prospects, seperti yang ditunjukkan dalam carta harian The Economist, menjangkakan penduduk dunia meningkat daripada 7.2 bilion  orang sekarang kepada 9.6 bilion orang pada tahun 2050. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh di Asia bersama-sama kesuburan di Afrika menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk, yang menurut carta harian tersebut, "pusat" pertumbuhan penduduk beranjak dari Eropah ke kedua-dua benua itu.  

Dalam kajian lain, yang dikeluarkan oleh RBC Wealth Management and Capgemini Financial Services, yang dipetik oleh The Huffington Post, bilangan jutawan di dunia meningkat 9.2 peratus kepada 12 juta orang pada tahun, 2012, sebahagian kerana kekukuhan serentak dalam pasaran saham, bon, dan hartanah.  Amerika Utara merupakan tempat bilangan jutawan yang paling banyak, iaitu 3.7 juta orang.  Namun, kajian itu menjangkakan bahawa wilayah Asia-Pasifik akan mengambil kedudukan itu.

Kegiatan ekonomi banyak negara, termasuk Malaysia adalah bergantung pada pekerja asing, sebahagiannya kerana pekerja tempatan enggan bekerja dalam sektor tertentu, antaranya kerana upah yang rendah.  Walau bagaimanapun, sesetengah negara Eropah, akibat kemelesetan ekonomi dan krisis hutang, juga alasan lain, bertindak mengetatkan kemasukan pekerja asing, bukan sahaja dari benua lain, bahkan dari benua Eropah sendiri.  

Menurut Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), banyak negara di seluruh dunia mempunyai program pekerja asing sementara, untuk memenuhi keperluan dalam pasaran buruh.  Dalam kalangan negara OECD, Amerika Syarikat adalah di tengah-tengah dari segi nisbah pekerja asing sementara dengan pendatang tetap yang tiba di negara itu pada tahun 2010, iaitu kira-kira empat hingga 10.  Jepun, New Zealand, Jerman, Australia, Finland, dan Mexico menerima lebih banyak pekerja sementara berbanding dengan pendatang tetap, manakala negara lain dalam OECD, menyaksikan lebih banyak ketibaan pendatang berbanding dengan pekerja sementara (rujuk carta di bawah):




No comments:

Post a Comment