Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada tahun
2009, seperti yang pernah diumumkan, terdapat 3.2 juta pemegang kad kredit di
Malaysia. Secara purata, peratusan
pemegang kad kredit yang diisytiharkan muflis hanya 0.04 peratus daripada jumlah pemegang
kad kredit utama dalam masa lima
tahun. Atau hanya 405 orang pemegang
kad kredit, suatu jumlah yang kecil daripada yang difikirkan. Walau bagaimanapun, pemegang kad kredit
sering dinasihatkan supaya berhemat atau bijak menggunakan kemudahan ini: bom di dalam saku yang boleh meletup.
Selain
hutang kad kredit, yang menjadi perhatian ialah hutang isi rumah yang agak tinggi.
Seperti dimaklumkan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar
Aziz pada Januari lalu, “jumlahnya mencecah RM577 bilion atau 74.5
peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat November berbanding RM561.5 bilion atau 78.1 peratus
KDNK pada Ogos 2010. Hutang isi rumah ini adalah kira-kira 50 peratus daripada
jumlah hutang, masih pada tahap hati-hati.” Pada akhir 2009, hutang isi rumah berjumlah RM516.6 bilion atau
76.6 peratus KDNK, berbanding dengan 63.9 peratus KDNK pada 2008. Dari 2005 hingga 2008, seperti yang
dilaporkan, jumlah isi rumah secara
purata kira-kira 67 peratus. Hutang kad
kredit pula RM26.7 bilion daripada hutang isi rumah pada akhir 2009 dan
berjumlah RM23 bilion pada 2008.
Di Malaysia, selain ah long atau lintah darat, orang ramai sering dihubungi oleh pihak
bank yang menawarkan pinjaman peribadi.
Tidak ketinggalan, pengeluar kad
kredit yang juga menawarkan pinjaman tunai, sama ada pelanggan boleh mengeluarkannya di ATM yang
disenaraikan, ataupun dengan mengirimkan
“Ready Cash Form” kepada pelanggannya.
Tawaran demi tawaran seperti ini, pastinya akan menggoda sesiapa
sahaja. Sekali dua mungkin mereka tidak
mempedulikannya, tetapi akhirnya tumbang juga apabila pintu hati mereka sentiasa diketuk. Akibatnya, seperti kata peribahasa, “hutang berbaris” atau “hutang biduk belum
langsai; hutang pengayuh tiba pula.”
Hutang isi rumah yang tinggi merupakan fenomena
global yang sukar dibendung. Ekonomi Eropah, misalnya, dikatakan lemah dan semakin lemah. Banyak isi rumah terpaksa membayar balik
hutang dan bukannya berbelanja. Keadaan
ini diperburukkan lagi oleh produktiviti yang rendah, iaitu 24 peratus lebih
rendah daripada Amerika Syarikat.
Pertumbuhan di Barat, dirangsangkan oleh kredit yang mudah dan
penggunaan, runtuh semasa krisis
kewangan 2008. Sebaliknya, pertumbuhan
di Timur, dirangsangkan simpanan dan pengeluaran, terus stabil. Namun, jika diperhatikan betul-betul, hakikat
budaya simpanan yang diamalkan oleh orang Asia merosot di banyak tempat.
Kelahiran golongan kelas menengah di bandar-bandar mewah Asia,
ternyata bahawa gaya hidup mereka tidak jauh berbeza dengan kelas
menengah di Barat.
“Dengan pertolongan bank-bank yang begitu ghairah
memperkembang perniagaan mereka,” tulis Owen Matthews dan Alexandra A. Seno
dalam “Special Edition: Issues 2011” Newsweek, “berpuluh-puluh juta pengguna merentas pasaran sedang muncul mengambil gadai
janji rumah, kad kredit, pinjaman kenderaan.”
Disubahatkan oleh wang plastik yang mudah, generasi di Asia dikatakan
mendapati sungguh seronok “berbelanja sebelum memperoleh pendapatan.”
Negara-negara Asia Tenggara yang merupakan satu rantau
Asia yang mempunyai tahap kredit peribadi yang tinggi, kini 77 peratus
KDNK. Sementara lebih separuh bahawa
hutang adalah daripada gadai janji rumah dan pinjaman kereta, jumlah besar
selebihnya ialah hutang kad kredit dan pembiyaan pengguna yang lain. Di Hong Kong, baki hutang kad kredit purata
kini lebih tinggi daripada di Eropah Barat.
Bank of International Settlements, menurut Matthews dan
Seno, memberikan amaran seawal tahun
2008 bahawa ledakan hutang yang pesat di
Asia dan pasaran sedang muncul yang lain menimbulkan “risiko baru terhadap
kestabilan kewangan.”
Persoalan
tersebut memperkukuhkan lagi
anggapan bahawa hutang meningkat pada setiap tahap, daripada pengguna kepada
syarikat kepada bank kepada negara keseluruhan.
Jawapan untuk semua masalah, baik bagi
pengguna, syarikat, mahupun negara ialah kumpul lebih banyak
hutang. Pengguna yang beria-ria
membeli-belah menggunakan kad kredit; bagi yang ingin cepat kaya, baik pengguna
mahupun syarikat, gunakan wang yang
dipinjam.
Newsweek dalam keluaran yang sama, mengandungi
makalah William Underhill, “Can Anglo-Saxons Really Stop Spending?” yang
bermula, “sepatutnya, para pengguna yang cuai di dunia maju dalam perasaan
penuh keinsafan” kerana perbelanjaan mereka yang mengikut nafsu terhadap rumah dan barang pengguna turut
menyumbang kepada malapetaka kewangan 2008. Rakyat Amerika dan British, tegas
Underhill, gemar berbelanja. Untuk beberapa tahun, rakyat Amerika hanya
menyimpan sebanyak dua atau tiga peratus pendapatan mereka, jika dibandingkan
dengan 10 peratus atau lebih di negara Eropah dan Asia. British pula, terpaksa menanggung beban hutang peribadi yang besar. Pada tahun 2008, hutang isi rumah purata
mencecah 183 peratus pendapatan boleh guna tahunan, tahap tertinggi bagi
mana-mana ekonomi utama.
Fiil lama sukar berubah, meskipun mungkin serik untuk seketika. Seperti
yang sering dikatakan, manusia mempunyai memori yang pendek; demikian
juga dengan pengalaman pahit untuk menyelesaikan hutang yang bertimbun. Nafsu
untuk berbelanja sukar dikawal, bahkan kalau dicuba, nescaya nafsu itu semakin meronta-ronta. Hidup mati bersama-sama hutang, bersama-sama
bom di dalam saku. Bagi rakyat Amerika, bahas Underhill, meskipun
hutang peribadi merosot pada suku ketiga 2010 sahaja, jatuh AS110 bilion atau
satu peratus, tetapi kemorosatan itu adalah akibat perampasan ruma dan
kemungkiran hutang kad kredit. “Tidak
mungkin petunjuk tabiat kewangan
peribadi yang semakin baik.” Statistik
itu gagal menunjukkan siapakah sebenarnya yang mempunyai simpanan yang kian
meningkat. Di Amerika jika dibandingkan
dengan negara maju lain, isi rumah kaya mampu menyimpan, manakala isi rumah
miskin terbenam dalam hutang. Seluruh generasi pengguna, bahas Underhill lagi, “membesar
dengan idea kepuasan pengguna segera dan budaya kredit yang muncul
bersama-samanya.” Wujud sesuatu dalam budaya Amerika atau British yang
menjadikan orang ramai pemboros selama-lamanya dan berasa gembira hidup dengan
hutang keliling pinggang.
Rakyat Amerika dikatakan mempunyai reputasi yang
buruk kerana hidup di luar kemampuan mereka, menimbunkan hutang. Hutang isi
rumah negara itu berjumlah AS$11.4 trilion pada akhir Disember 2010, jatuh
sebanyak AS$155 bilion atau 1.3
peratus daripada jumlah pada akhir
September. Menurut laporan Rizab
Persekutuan New York, para pengguna telah mengurangkan kira-kira AS$1.08
trilion hutang mereka sejak mencecah tahap tertinggi pada suku ketiga 2008.
Namun, isi
rumah Kanada, menurut Businessweek,
mempunyai nisbah hutang dengan pendapatan yang lebih tinggi daripada isi rumah
Amerika, untuk kali pertama dalam masa 12 tahun. Di Kanada, pada suku tahun ketiga 2010,
nisbah hutang pasaran kredit isi rumah dengan pendapatan boleh guna peribadi
meningkat kepada 148.1 peratus daripada 143.4 peratus kerana pendapatan jatuh
sebanyak 1.5 peratus. Sementara di
Amerika Syarikat, hutang menunjukkan 147.2 peratus daripada pendapatan boleh
guna isi rumah.
Hutang isi
rumah, menurut OECD Factbook 2010, mencecah lebih 120 peratus pendapatan boleh
guna di United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, dan Ireland sebelum
tercetusnya krisis pada tahun 2008. Pada
tahun 2009, Ireland yang paling tinggi, dengan hutang isi rumah 176 peratus pendapatan boleh guna.
Laporan McKinsey tentang Debt and Deleveraging,
memaklumkan tahap hutang rumah negara
BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China pada tahun 2008. Hutang isi rumah China meningkat daripada
empat peratus KDNK pada 2000 kepada 12 peratus KDNK pada 2008, dengan majoriti
hutang ini dalam bentuk gadai janji. Hutang isi rumah India meningkat daripada
dua peratus KDNK pada 2000 kepada 10 peratus KDNK pada 2008; Rusia daripada
satu peratus KDNK kepada 10 peratus KDNK; dan Brazil, daripada enam peratus KDNK
kepada 13 peratus KDNK. Tahap hutang isi
rumah negara BRIC ini jauh lebih rendah
jika diibandingkan dengan Amerika Syarikat, yang hutang isi rumahnya 72
KDNK peratus pada 2000 dan 97 peratus
KDNK pada 2008. Menurut laporan itu lagi, banyak lagi ruang
untuk pertumbuhan bagi pengguna di negara BRIC.
Korea Selatan
pula, hutang isi rumah meningkat sebanyak 6.9 peratus pada 2010,
peningkatan secara ketara jika
dibandingkan dengan tahun sebelumnya.
Pada akhir Disember, institusi kewangan mempunyai 722.8 trilion won (AS$642 bilion) pinjaman
belum bayar untuk sektor isi rumah, menurut Korea Credit Bureau. Angka ini termasuk 124.1 trilion won pinjaman
isi rumah tidak bercagar, meningkat 19.4 peratus daripada jumlah tahun
sebelumnya, dan 311.5 trilion won dalam pinjaman gadai janji, meningkat 9.5
peratus.
Dalam kes
Kanada, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengingatkan bahawa hutang isi rumah
yang tinggi boleh menjelaskan pertumbuhan.
Dan, kerajaan pusat nampaknya sedar akan masalah yang kita membusut
ini. Pada awal tahun ini, Menteri
Kewangannya, Jim Flaherty mengubah tempoh maksimum bagi kebanyakan gadai janji
dari 35 tahun ke 30 tahun. “Kami mahu mengingatkan rakyat Kanada bahawa kami
tidak memudahkan andaian hutang berlebihan oleh sesetengah mereka pada kadar
faedah yang sangat rendah kerana ini akan membawa kepada kesusahan dalam jangka
sederhana dan jangka panjang.
Manusia dilahirkan bebas, dan dia di mana-mana sahaja
dalam rantai. Kata pembukaan Jean-Jacques Rousseau, dalam karyanya yang mengundang perdebatan yang penuh
semangat tanpa kesudahan sejak penerbitan pertamanya, The Social Contract pada tahun 1762. Kini, orang mengungkapkannya
semula, “manusia dilahirkan bebas, tetapi di mana-mana sahaja dalam hutang.” Di negara kaya, memperoleh kad kredit pertama
merupakan rite of passage yang lebih
penting untuk kehidupan harian berbanding dengan seseorang itu membuang undi
pertama. Membeli rumah pertama biasanya
perlu berhutang yang jumlahnya beberapa kali lebih besar daripada pendapatan
tahunan peminjam berkenaan. Ulas The
Economist dalam “A Special Report on Debt:
Repent at Leisure” pada
pertengahan tahun lalu. Hutang mungkin
menjadi beban dan bukannya rahmat kerana orang ramai atau syarikat meminjam untuk mengekalkan keinginan tahap
keinginan perbelanjaan mereka. Satu lagi
alasan ialah optimisme, iaitu mereka percaya pulangan atas wang yang
dipinjamkan lebih besar daripada kos khidmatan hutang berkenaan (cost of servicing the debt). Pemiutang pula percaya bahawa pendapatan
penghutang meningkat; kalau tidak, bagaimana dia mampu membayar hutang
bersama-sama faedah.
Hutang, tambah The
Economist lagi, selalunya dianggap sebagai isu moral, di
samping isu ekonomi. Dengan memetik
Margaret Atwood dalam buku eseinya, Payback: Debt and the Shadow Side of Wealth,
majalah itu menegaskan bahawa dalam tempoh 100 tahun lalu, pertarungan moral
lebih memihak kepada penghutang. Muflis
tidak lagi distigmakan, tetapi sekadar hanya
nasib malang. “Apa para pengguna meminjam di luar kemampuan mereka,
kesalahan dilemparkan terhadap amalan
peminjaman yang longgar dan
bukannya terhadap peminjaman yang tidak bertanggungjawab.” Dengan kata lain, jangan salahkan
mangsa. Kerajaan pula menggalakkan lebih
banyak orang ramai menjadi pemilik rumah, dan dengan itu, terpaksa berhutang. Seperti yang sering didengar, jika tidak berhutang, mana mampu memiliki
rumah, kereta, menanggung pengajian
anak-anak, dan bahkan untuk berkahwin.
Taraf hidup, tegas Christopher Swann dan James
Pethokoukis dalam The New York Times pada Oktober lalu, boleh
menjadi korban utama krisis hutang.
Untuk satu dekad, golongan kelas menengah yang terjebak dalam pendapatan
yang beku menjadi semakin teruk terjerumus ke dalam hutang. Bayaran untuk mengurangkan beban hutang
bukanlah mudah. Meskipun mereka menulis pengalaman Amerika, tetapi pengajaran
yang serupa boleh diterapkan untuk tempat-tempat lain apabila tahap hutang
tidak terkawal. Dengan kadar hutang 123 peratus pendapatan isi
rumah, tulis Swann dan Pethokoukis “pada kadar simpanan semasa hampir enam
peratus pendapatan boleh guna, untuk mengurangkan hutang kepada 100 peratus
pendapatan boleh guna akan mengambil masa selama empat tahun.”
Pada kulit hadapan edisi khas Newsweek yang dipetik di atas terpampang, “The Key to Power,” dengan mukadimah, “Untuk negara, syarikat,
dan pengguna, persoalan kritikal dalam tahun mendatang ialah: Mampukah anda
menangani hutang anda?” Untuk pengguna
sekurang-kurangnya, jawapannya adalah sukar kerana sikap mereka terhadap hutang
berakar umbi dalam sejarah bertapak kukuh dalam sikap nasional, dan pengguna di
Malaysia, tidak terkecuali. Seperti
arak, ledakan hutang cenderung membangkitkan rasa sangat gembira. Dan, lazimnya, ledakan akan disusuli oleh
dentuman.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, April 2011.)
No comments:
Post a Comment