Pages

Tuesday, January 15, 2013

Pemulihan Tanpa Pekerjaan

SELASA, 15  Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Secara relatif, tahun 2010 lebih baik jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya krisis ekonomi telah pun reda, dan banyak negara boleh menarik nafas lega. Sinar pemulihan kelihatan di hujung terowong, meskipun kadangkala malap, kadangkala suram.   Bayang-bayang krisis yang menakutkan mula diselebungi   oleh impian indah tentang pemulihan, lebih-lebih lagi kerana dunia dapat mengelakkan daripada terhumban ke dalam kemelesetan curam  berganda.
Dengan berarak lalu kemelesetan terburuk sejak tahun 1930-an, manusia yang lazimnya mempunyai memori yang pendek mula melupakan mimpi ngeri.  Ada yang mengatakan krisis ini tidak seteruk mana, lupa bahawa bagaimana kerajaan  terpaksa berhempas-pulas  bertindak  campur tangan secara besar-besaran:  pemiliknegaraan, pelan penyelamat, dan pakej rangsangan ekonomi.  Banyak negara, khususnya di Eropah, tidak sabar-sabar melaksanakan jimat cermat, meskipun rentak pemulihan masih lemah.  
George Soros dalam makalahnya,  “The Real Danger to the Economy,”  cuba menarik perhatian tentang  bahaya  yang sedang menunggu dalam perjalanan pemulihan  yang  penuh  liku.    Beliau mengingatkan bahaya  tanggapan salah  bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan untuk membantu pemulihan ekonomi.  Wujud  bahaya  sebenar  bahawa usaha pramasa  kejujuran fiskal mungkin meranapkan pemulihan.  Tulis Soros dalam The New York Review of Books pada November lalu.  “Idea bahawa kita mesti memotong defisit belanjawan pada masa pengangguran tinggi merupakan tanggapan salah.”
Dasar Keynesian  akibat kemuflisan Lehman Brothers merupakan kemenangan teori ekonomi, isytihar Joseph Stiglitz, dalam guardian.co.uk, pertengahan Oktober lalu.  “Di Eropah, Amerika Syarikat, dan Asia,” tulis Penerima Hadiah Nobel Ekonomi  itu,  “pakej rangsangan berkesan.  Mana-mana negara yang mempunyai pakej rangsangan yang besar (berbanding dengan saiz ekonomi mereka) dan direka bentuk cara terbaik, membuahkan hasil dengan baik, misalnya China yang mengekalkan kadar pertumbuhan lebih lapan peratus.”  Bagi Stiglitz, rangsangan selalunya difikirkan sebagai langkah sementara sehingga sektor swasta dapat pulih.  Beliau juga  mengingatkan   bahaya  melaksanakan jimat cermat:  “Kita tidak mampu melaksanakan jimat cermat.”  
Krisis yang berlaku mendedahkan kecacatan yang ketara akibat pembatalan kawal selia;  justeru, banyak negara kini mula kembali kepada kawal selia.  Pasaran tidak boleh dibiarkan bebas sewenang-wenangnya, tetapi perlu diimbangi oleh peranan kerajaan.  Krisis yang berlaku juga mendedahkan tidak wujud tindakan bersepadu  antara negara di dunia untuk menanganinya  secara berkesan, meskipun agensi antarabangsa, seperti  Tabung Kewangan Antarbangsa (IMF) dan Bank Dunia, serta kumpulan kerjasama ekonomi, seperti G-20, sering mengadakan pertemuan dan perbincangan.  Tatkala bergelut dengan krisis, banyak negara boleh diibaratkan “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing,” dan bahkan,  secara diam-diam  mendakap mesra fahaman perlindungan. 
Kemelesetan ini  ialah akibat krisis kewangan.  Lazimnya,  pemulihan selepas krisis kewangan adalah lemah dan perlahan kerana sistem perbankan dibaiki dan kunci kira-kira dibina semula. Bagi kebanyakan orang, pemulihan yang berlaku diwarnai oleh pengangguran yang tinggi yang berpanjangan.  Justeru, IMF World Economic Outlook  terbaharunya    mencadangkan bank-bank pusat perlu mengekalkan kadar faedah paling rendah dan mempertimbangkan suntikan wang seterusnya menerusi quantitative easing jika kekenduran dalam rentak pertumbuhan berlaku  berterusan. 
Pada akhir September lalu, dunia dikejutkan  oleh “perang mata wang antarabangsa”  kerana kerajaan memaksa turun nilai mata wang mereka untuk merancakkan ekonomi mereka.  Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn, memberikan amaran bahawa dunia terjebak dalam perang mata wang,  yang hasilnya “akan memberikan impak negatif dan sangat merosakkan dalam jangka panjang.”  Mata wang, seperti yang pernah dibahaskan,  merupakan masalah ekonomi yang sangat khusus kerana mata wang ialah satu hubungan menang-kalah sebenar.  Apa-apa jua merit menilai semula atau menurunkan nilai wang tertentu, merit in hanya menang jika ada pihak lain yang kalah.  Status dolar sebagai mata wang rizab  dunia merupakan kelebihan utama terakhir yang Amerika Syarikat miliki dalam sistem dunia hari ini.  Maka,  Amerika Syarikat akan  melakukan apa-apa yang boleh dilakukannya demi mengekalkan kelebihan ini. 
Krisis ekonomi masa kini diibaratkan  epidemik, iaitu merebak dari sebuah negara ke sebuah negara, meskipun negara yang mula-mula terkena   wabak itu telah pulih.  Dengan kata lain, krisis ini sentiasa  merayau-rayau mencari mangsanya.  Apabila Greece dilanda krisis hutang pada Mei lalu,  soalan spontan ialah apakah negara selepas ini? Kemudian,    pada akhir November,   giliran  Ireland  bergelut dengan krisis  hutang sehingga memerlukan pelan  penyelamat antarabangsa yang bernilai lebih  AS$100 bilion, lalu disenaraikan negara yang dijangkakan menerima nasib yang sama:  Portugal, Sepanyol, dan Italy.    Tinjauan Reuters  terhadap 50 penganalisis mendapati bahawa 34 orang menjangkakan Lisbon terpaksa mencari bantuan kewangan dari luar, manakala empat orang berkata bahawa Sepanyol juga perlu diselamatkan.
Sesunggguhnya, masalah  yang membelenggu Eropah tidak memeranjatkan sama sekali,  kerana     IMF mengakui  bahawa pemulihan daripada kemelesetan adalah lemah dan tidak seimbang.  Ekonomi global masih rapuh dan IMF menekankan bahawa kadar pengangguran yang tinggi boleh mencetuskan pergolakan sosial.
Meskipun  kacau-bilau berlaku di sana sini, IMF dalam World Economic Outlook yang dipetik sebelum ini  menjangkakan aktiviti global berkembang sebanyak 4.8 peratus pada tahun 2010 dan 4.2 peratus pada tahun 2011.  Pada 2010, ekonomi maju, Amerika Syarikat dijangkakan berkembang 2.6 peratus, Jepun 2.8 peratus, Kanada 3.1 peratus, Jerman 3.3 peratus, Perancis 1.6 peratus,  dan   United Kingdom  1.7 peratus.   China dan India merupakan ekonomi sedang muncul yang berkembang dengan pesat pada tahun 2010, masing-masing 10.5 peratus dan 9.7 peratus. 
Untuk Asean-5 pada 2010, tinjauan IMF itu mengunjurkan Indonesia tumbuh 6.0 peratus, Thailand 7.5 peratus, Filipina 7.0, Malaysia 6.7 peratus, dan Vietnam 5.3 peratus. Dalam kalangan negara Asean-5 ini, hanya Thailand dan  Malaysia mengalami kemelesetan pada tahun 2009, masing-masing   negatif 2.2 peratus dan  negatif 1.7 peratus. Sementara Singapura yang tergolong dalam Newly Industrialized Asian Economies  dijangkakan mengalami pertumbuhan yang paling tinggi, iaitu 15.0 peratus,  bingkas daripada    negatif 1.3 peratus pada tahun 2009.
Walaupun banyak negara mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya dalam tiga suku tahun, dan  bermakna pertumbuhan untuk 2010 adalah sesuatu yang pasti, tetapi  ada orang yang  merasakan tidak ubah hidup dalam kemelesetan.  Hal ini demikian kerana kadar pertumbuhan adalah rendah, manakalah kadar pengangguran tinggi.  Apabila National Bureau of Economic Research mengumumkan pada 21 September 2010 bahawa kemelesetan terburuk yang dialami oleh Amerika sejak Kemelesetan Besar berakhir pada Jun 2009, banyak orang yang masih tidak percaya, dan merasakan “terlalu awal untuk  membuka champagne”  – tidak ada keterujaan  yang menyambut  berita baik   itu: Pertumbuhan  tidak cukup untuk mengurangkan pengangguran.
“Walaupun perisytiharan itu menandakan satu peristiwa penting,” tulis Sara Murray, “ekonomi masih berhadapan dengan pertumbuhan perlahan yang sukar dielakkan, dan dengan itu, kadar pengangguran terus tinggi.  Sara yang muncul dengan makalahnya, “Slump Over, Pain Persists” dalam The Wall Street Journal,  merujuk kepada laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang tidak menjangkakan kadar pengangguran Amerika jatuh pada kadar prakemelesetan hingga sekurang-kurangnya  tahun 2013.  Bagi beliau, ekonomi terpaksa menempuh perjalanan yang panjang untuk mendapatkan semula tahap sebelum dilanda oleh kemerosotan.  Amerika hanya baru-baru ini mula menambahkan pekerjaan, itu pun pada kadar yang terlalu rendah, yang bermakna “negara yang kehilangan 7.6 juta pekerjaan sejak bermula kemelesetan pada Disember 2007.”  Hanya untuk menambah pekerjaan yang cukup untuk memastikan kadar pengangguran malar, ekonomi perlu berkembang pada kadar  2.5 peratus. 
Akibat kemelesetan yang bermula pada tahun 2008,  berjuta-juta orang di Amerika dan seluruh dunia hilang rumah dan pekerjaan mereka.   Krisis yang bermula di Amerika, serta-merta merebak di peringkat global, dengan  berjuta-juta orang hilang pekerjaan di seluruh dunia. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan bahawa 27 juta orang kehilangan pekerjaan  di seluruh dunia pada tahun 2009.  Kira-kira 12 juta orang yang baru menganggur di Amerika Utara, Jepun, dan Eropah Barat.  Golongan penganggur meningkat hampir empat juta orang di Eropah Timur dan Amerika Latin, manakala kadar pengangguran adalah lebih stabil di Asia, Afrika, dan Timur Tengah.  Dalam laporan setebal 82 halaman yang disiarkan sempena hari perasmian World Economi Forum di Davos, menjangkakan pengangguran kekal tinggi sepanjang tahun 2010, dengan kemungkinan tambahan tiga juta orang lagi  di dunia kaya yang kehilangan pekerjaan mereka atau tidak dapat mencari pekerjaan apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan.  ILO dalam laporannya itu memaklumkan bahawa  pengangguran dalam kalangan  belia meningkat lebih 10 juta orang dalam dua tahun lalu, terburuk sejak ILO mula menyusun statistik global pada tahun 1991.
“Menyelamatkan generasi yang hilang,” demikian seruan  Dominique Strauss-Kahn semasa beliau di Oslo pada pertengahan September, yang menggambarkan betapa serius kadar pengangguran dalam kalangan orang muda berbanding dengan orang yang lebih tua.   Beliau memberitahu bahawa setiap kerajaan perlu mengenal pasti cara untuk menjanakan pekerjaan demi mencegah generasi pekerja kehilangan kemahiran mereka dan menyertai kumpulan penganggur jangka panjang.  Bagi  Strauss-Kahn, pemotongan  perbelanjaan awam mempunyai “kos insan” dan boleh mengakibatkan “tragedi”  terhadap berjuta-juta golangan  muda.
Oslo  menyaksikan peristiwa yang luar biasa yang mengumpulkan para pemimpin global daripada kerajaan, perniagaan, kesatuan sekerja, dan ahli akademik untuk membincangkan apakah yang disebut oleh kebanyakan mereka “isu yang paling besar mendepani dunia hari ini: krisis pekerjaan.”  Mereka berbincang tentang 210 juta orang yang pada masa sekarang tanpa pekerjaan di seluruh dunia, tahap paling tinggi pengangguran rasmi dalam sejarah. Mereka berbincang tentang impak manusia dari segi kehilangan pendapatan yang berterusan, harapan hidup yang kurang, dan pencapaian pendidikan yang rendah bagi anak-anak daripada keluarga yang menganggur. 
“Pasaran buruh dalam keadaan teruk.  Kemelesetan meninggalkan tanah tandus pengangguran, dan kemusnahan ini mengancam mata pencarian, keselamatan, dan maruah berjuta-juta orang di seluruh dunia,” kata Strauss-Kahn.   Dengan merujuk kepada United Kingdom, Ireland, Sepanyol, dan Amerika Syarikat yang mengalami krisis perbankan,  beliau berkata:  “Kehilangan pekerjaan adalah lebih besar di negara yang pasaran perumahan dan kewangan runtuh.” 
Menurut  anggaran ILO, sepanjang 10 tahun akan datang, lebih daripada 440 juta pekerjaan tambahan diperlukan untuk menyerap kemasukan baru untuk tenaga buruh. ILO yang menganjurkan persidangan itu bersama-sama IMF dan kerajaan Norway, menganggarkan 34 juta orang di seluruh dunia menganggur akibat krisis.
Daripada Persidangan Oslo itu  Strauss-Kahn merumuskan antaranya:  Kita tidak boleh mengatakan krisis kewangan berakhir hingga kadar pengangguran berkurangan.  Kita memerlukan pertumbuhan, tetapi pertumbuhan yang meningkatkan guna tenaga.  “Pemulihan” ekonomi yang tidak menterjemahkan ke dalam pekerjaan akan banyak bermakna kepada kebanyakan orang. 
Semasa di Oslo  beliau yang  juga diwawancara oleh Bloomberg Television, memberitahu bahawa pemulihan tidak mencipta pertumbuhan pekerjaan.  Ekonomi global mungkin tidak menjanakan banyak pertumbuhan pekerjaan dalam tahun-tahun mendatang, dengan Eropah dan tempat-tempat lain paling berhadapan dengan risiko kelembapan dan pemulihan pengangguran.  Tegas beliau, “Pemulihan tidak cukup, anda memerlukan pemulihan dengan pekerjaan.  Perkara yang paling teruk yang perlu dilihat ialah kepercayaan bahawa kerana kita selamat daripada krisis yang teruk yang berlaku satu tahun setengah lalu, kita merasakan kita selamat.  Kita belum selamat lagi.”
Kadar pengangguran yang tinggi yang tidak akan pulih hingga tahun 2015, dua tahun lebih lewat daripada anggaran awal bahawa pasaran buruh akan pulih ke tahap prakrisis pada tahun 2013. Untuk tahun 2010, ILO meramalkan pengangguran global melibatkan 213 juta orang, iaitu pada kadar 6.5 peratus.  Kira-kira 22 juta pekerjaan baru diperlukan, iaitu 14 juta di negara kaya dan lapan juta di negara membangun.  Melihat angka yang sedemikian rupa,   seseorang boleh membayangkan sesuatu yang menakutkan: pergolakan sosial.  ILO yang memberikan amaran “kemelesetan pasaran buruh”  yang panjang, menarik perhatian bahawa pergolakan sosial yang berkait dengan krisis telah pun dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya 25 buah negara, termasuk beberapa ekonomi sedang muncul yang sedang pulih.  Pada akhir September lalu, menyaksikan mogok pekerja di Sepanyol, protes di Greece, Portugal, Ireland, Slovenia, dan Lithuania, di samping di Brussels yang melibatkan berpuluh-puluh ribu pekerja dari seluruh Eropah sebagai sebahagian hari tindakan Eropah menentang pemotongan perbelanjaan awam. 
Sebagaimana   negara lain,  Malaysia,   yang turut terjebak dalam kemelesetan dan turut melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion, kini mula menayang-nayangkan  angka  kegembiraan. Meskipun pada suku tahun ketiga, pertumbuhan agak rendah jika dibandingkan dengan  suku tahun pertama dan kedua,  tetapi  pertumbuhan enam peratus pada tahun 2010 adalah “dalam tangan.”  Tatkala banyak negara dilanda oleh kadar pengangguran yang tinggi, setakat Jun 2010,  kadar pengangguran di Malaysia ialah 3.7 peratus, meningkat sedikit jika dibandingkan dengan kadar tahun sebelumnya, iaitu 3.2 peratus.  Dari 1998 hingga 2010, kadar pengangguran purata ialah 3.43 peratus.  Secara keseluruhannya, kadar pengangguran di negara masih rendah jika dibandingkan dengan banyak negara lain. Suatu angka yang perlu diamati dengan hati terbuka oleh pejuang bahasa Inggeris yang sering membesar-besarkan kadar pengangguran  untuk menjadikan bahasa Melayu sasaran kritikan!
Pada tahun 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun  Abdul Razak melancarkan Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015 (RMK-10) bertemakan “rancangan kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial.”  Kemudian, kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang merupakan pelan drastik untuk membawa Malaysia mencapai taraf negara maju dan negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Ketika menjelaskan ETP pada September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala  menyatakan bahawa ETP menerusi 12 bidang utama ekonomi nasional telah mengenal pasti 131 pintu masuk projek untuk menghasilkan RM1.4 trilion yang diperlukan daripada  sektor swasta untuk mentransformasikan negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.  Beliau  memperincikan sumber pelaburan RM1.4 trilion tersebut untuk tempoh 10 tahun akan datang, iaitu  60 peratus pelaburan sektor swasta, 32 peratus syarikat berkaitan  kerajaan (GLC), dan kerajaan sebanyak lapan peratus.
Harapan yang  tinggi yang diberikan terhadap pelaburan swasta, bagi sesetengah penganalisis, merupakan sesuatu yang tidak “masuk akal.”  Selepas krisis kewangan Asia 1997-1998, Malaysia  belum lagi berjaya menebus “dekad yang hilang,” iaitu   kemerosotan pelaburan swasta yang berpanjangan.  Sebelum krisis, pelaburan  swasta meningkat secara berterusan dan bergerak seiringan dengan KDNK.  Pada tahun 1980, nisbah pelaburan swasta dengan  KDNK  kira-kira 19 peratus, kemudian meningkat kepada 22 peratus (1990), dan mencecah 32 peratus KDNK pada tahun 1997.   Namun begitu, pada tahun 1998, pelaburan swasta  merudum sebanyak 55 peratus dan 23 peratus lagi pada 1999 akibat kesan sampingan  krisis kewangan Asia. 
Bank Dunia dalam  Malaysia Economic Monitor November 2009  menyatakan  pelaburan di Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam kalangan negara di rantau ini sebelum krisis kewangan Asia, tetapi juga kejatuhan seterusnya paling dramatik dan berkekalan.    Pelaburan swasta yang pernah menjadi jentera petumbuhan Malaysia dari awal 1980-an hingga tercetus krisis,   kekal pada kira-kira 10 peratus KDNK antara tahun 2003 hingga 2007.
RMK-10 dan ETP banyak dibincangkan, dan tidak kurang pula yang memperlekehkannya.  Malaysia boleh dikatakan agak ke hadapan dari segi modal fizikal, iaitu tanah, bangunan, dan jentera, dan kini mengorak langkah untuk membangunkan   modal insan, seperti yang dapat dilihat pada teras keempat daripada   lima teras RMK-10: “Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.”  Selain  modal fizikal dan modal insan, yang kurang diberikan perhatian modal sosial –  istilah  yang diperkenalkan oleh Francis Fukuyama, iaitu  modal  yang menghasilkan kekayaan, dan oleh itu, nilai ekonomi untuk ekonomi negara.
Modal sosial, seperti dibahaskan oleh Fukuyama,  iaitu “nilai  atau norma yang tidak formal yang dikongsi dalam anggota kumpulan yang membolehkan wujud kerjasama antara mereka. Norma-norma yang melahirkan modal sosial mesti secara substantif adalah termasuk sifat baik (virtues), seperti memberitahu kebenaran, memenuhi obligasi atau tanggungjawab, dan kesalingan (reciprocity).”  Ketiadaan modal sosial ini mendorong  kerakusan sesetengah kaum di negara ini  merebut habuan  daripada “kek ekonomi,” yang mungkin mengakibatkan  terjebak dalam permainan hasil tambah sifar. 
 Krisis ekonomi buatan Amerika yang melanda dunia menyaksikan keruntuhan ideologi pasaran bebas. Laungan kemenangan kapitalisme yang diraikan selepas berakhirnya Perang Dingin, semakin sayup-sayup kedengaran.  Bahkan, ada yang tidak sabar-sabar mengisytiharkan berakhirnya kapitalisme, sekurang-kurangnya kapitalisme yang kita kenali selama beberapa dekad lalu.  Apabila ideologi pasaran bebas runtuh, maka tidak wajar sekiranya dasar yang diperkenalkan oleh sesebuah negara, misalnya bagi Malaysia, masih berpaut rapat pada “dahan yang patah” ini.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam  Dewan Masyarakat, Januari 2011.)

No comments:

Post a Comment