Pages

Wednesday, January 16, 2013

Ketidakadilan Makanan Dunia

RABU, 16 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala  hampir satu bilion penduduk dunia terpaksa hidup dalam kebuluran, penduduk negara maju didapati membazirkan antara 30 hingga 50 peratus makanan yang mereka beli.  Demikian menurut laporan baru yang dikeluarkan oleh Institution of Mechanical Engineers, yang dipetik oleh The Huffington Post dan The Independent,  bahawa dari segi jumlah, 1.2 hingga dua bilion ton makanan dicampakkan setiap tahun, tanpa masuk ke dalam perut manusia.  

Alasan utama penduduk negara maju membazirkan makanan mereka kerana kedai memaksa mereka membeli terlalu banyak makanan.  Selain itu, pihak pasar raya enggan menerima penghantaran sayuran dan buah-buahan yang tida memenuhi piawai pemasaran mereka.  Akibatnya, 30 hingga 50 peratus makanan yang dihasilkan di dunia ini dianggap tidak berguna, meskipun sesetengahnya memang boleh dimakan.

Sebelum ini, kajian menunjukkan bahawa rakyat Amerika mencampakkan hampir separuh makanan mereka setiap tahun, pembaziran yang bernilai kira-kira AS$165 bilion setahun.

Dalam laporan khasnya, The Independent mendedahkan bahawa seorang dalam lapan orang penduduk dunia menanggung kebuluran setiap hari, iaitu 868 juta orang, jumlahnya lebih besar daripada gabungan penduduk Amerika Syarikat, Kanada, dan Eropah.  Dengan ihsan kempen Makanan untuk Semua untuk menangani kebuluran global yang dilancarkan oleh Oxfam, akhbar itu menunjukkan keluarga di seluruh dunia memperoleh bekalan makanan mingguan mereka.

Menurut Oxfam, wujud ketidakadilan yang mendalam dari segi cara makanan ditanam dan diagihkan.  Orang yang miskin di dunia membelanjakan antara 50 hingga 90 peratus pendapatan mereka untuk makanan, berbanding dengan hanya 10 hingga 15 peratus di negara maju.  Sementara  Bank Dunia menganggarkan bahawa 44 juta orang jatuh di bawah garis kemiskinan pada separuh kedua tahun 2010 kerana harga makanan yang tinggi. 

Namun, tidak hanya negara kaya, seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang mencampakkan makanan yang baik; pembaziran juga berlaku di negara miskin di dunia membangun.  Yang berbeza, adalah bahawa sementara makanan dibiarkan tidak dimakan di peti sejuk, di negara membangun, pembaziran berlaku kerana penuaian, penyimpnan, dan pengangkutan yang teruk.  


No comments:

Post a Comment