Pages

Sunday, January 20, 2013

Kempen Obama Berubah Nama

AHAD, 20 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tidak berapa lama selepas Barack Obama memenangi Pilihan Raya Presiden untuk penggal kedua, timbul tanda tanya tentang masa depan pangkalan data yang kempennya bina pada tahun 2008, yang banyak menyumbang kepada kemenangan beliau pada tahun itu dan tahun 2012.  Adakah pangkalan data itu akan diambil oleh partinya, iaitu Demokratik. 

Persoalan tersebut, mungkin sedikit sebanyak terjawab apabila wanita pertama, Micheele Obama mengumumkan baru-baru ini bahawa kempen Obama menjadi organisasi bukan matlamat keuntungan, iaitu Organizing for Action, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post,   Los Angeles Times, dan The Huffington Post.  Penubuhan itu dikatakan  menjadi bahan perbualan dalam kalangan aktivis dan ahli strategi Demokratik, yang meramalkan dapat memperkukuh struktur kuasa parti itu, dan mempromosikan agenda penggal kedua Obama.

Presiden Barack Obama mempunyai kempen yang cukup mantap yang mampu menghasilkan dua kemenangan untuk beliau.  Dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, yang berlangsung dalam keadaan ekonomi yang teruk, dengan kadar pengangguran 7.8 peratus menjelang Hari Pilihan Raya dan pertumbuhan hanya sekitar dua peratus, Obama pada pandangan umum, sekadar tinggal "nyawa ikan."  

Namun, kempen Obama mampu mengubah permainan,  meletakkan pencabarnya, Mitt Romney tanpa peluang untuk mara sejak awal-awal lagi. Dalam pilihan raya yang lalu, Obama bukan sekadar menang, tetapi beliau menang besar, dengan 332 undi badan perwakilan pemilih berbanding 206 untuk Romney sehingga menyebabkan Republikan terpinga-pinga dan peninjau pendapat yang meramalkan Romney menang dipersoalkan, termasuk yang terbaharu, Gallup yang  digugurkan oleh USA Today

Sejak pilihan raya, pasukan Obama menjadi perdebatan apa yang perlu dilakukan dengan alat kempen yang agam itu.  Anggota Demokrat mendesak Obama for America berkongsi data pengundi yang canggih dan tersusun besar dengan calon Demokratik.  Akan tetapi, tidak wujud kumpulan yang mempunyai sumber teknikal untuk mengurus data, yang kempen sangat ambil berat dan mahu lindungi. 

Dengan penubuhan organisasi bukan matlamat keuntungan itu, pasukan Obama yang dibina sejak tahun 2008 itu masih dapat bersama-sama menyumbangkan kepakaran dan pengalaman mereka yang pastinya dalam jangka panjang  membantu Demokratik.  Pengurus kempen, iaitu Jim Messina akan menjadi pengerusi kumpulan baru, manakala pembatu Rumah Putih, Jon Carson menjadi pengarah eksekutif. Lembaga pengarah terdiri daripada Robert Gibbs, Stephanie Cutter, Jennifer O'Malley-Dillon, Julianna Smoot, Erik Smith, dan Frank White.  Penasihat Rumah Putih, David Plouffe, pengurus kempen tahun 2008 dijangkakan menyertai lembaga pengarah, manakala David Axelrod akan bertindak sebagai perunding.


No comments:

Post a Comment