Pages

Tuesday, January 1, 2013

Bumi Gersang

SELASA, 1 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Atas alasan tidak mahu berebut-rebut lif dengan tetamu lain di Hurrah's dan berasa "kasihan" akan beg yang semakin memberat ditarik "sekuat hati," saya dan isteri mengambil keputusan untuk turun dari bilik awal, iaitu pada pukul 6.20 pagi. Paling awal dalam kalangan anggota rombongan kami.  Beg perlu diangkat turun ke lobi dua kali. Dari segi angkat mengangkat di hotel saya berpendapat bahawa Turki mempunyai kelebihan: beg hanya diletakkan di luar bilik hotel, pekerja hotel akan mengangkat turun beg hingga ke tempat bas menunggu.  Tugas kita, hanya perlu memastikan beg kita ada sebelum dimasukkan ke dalam bas.    

Sementara menunggu bas datang, saya dan isteri duduk di  kedai aiskrim Baskin Robins yang terletak di lobi, yang masih belum memulakan perniagaan pada hari itu. Membiarkan isteri menunggu beg, saya meninjau kawasan keliling dan mengambil satu dua gambar.

Selepas sarapan, bas kami bertolak pada pukul 8.15 pagi, menuju ke California. Kecuali perjalanan ke Fresno  pada waktu malam - tidak dapat melihat kawasan keliling - perjalanan dari situ ke Nevada dan seterusnya ke Arizona, balik semula ke Nevada, saya dapati kiri kanan jalan berbukit-bukau dan bergurun.  Bahkan, Hotel Harrah's tempat kami menginap satu malam terletak hampir dengan bukit.  

Pada tanggapan saya, diperkukuh oleh filem dan televisyen, Amerika Syarikat dipenuhi oleh bangunan tinggi, dengan pembandaran yang pesat, dan warga kota sebagai majoriti. Saya tidak dapat memastikan, sama ada  ketika mengambil mata pelajaran Geografi di peringkat STP dahulu, saya belajar belajar geografi Amerika Utara ataupun tidak.  Hanya yang saya ingat, saya belajar geografi Eropah.

Dalam perjalanan itu, seperti sebelum ini, kanan jalan mula kelihatan bukit-bukau yang gondol, berbatu; sepanjang jalan, kelihatan bukit.  Dalam10 minit perjalanan, kami melalui dataran dan kelihatan pokok renek, tetapi di kejauhan masih kelihatan bukit-bukau.  Tidak lama kemudian, iaitu pada pukul 8.50, kelihatan kereta api dengan gerabak yang panjang - mungkin 100 buah gerabak - bergerak perlahan-lahan. 

Pukul 9.50 pagi, bas yang kami tumpangi berhenti di Roy's Motel untuk memberikan peluang pada sesiapa yang ingin buang air kecil di tandas yang "ala kadar."  Pada mulanya, saya tidak  ingin turun, tetapi memikirkan betapa seksanya menahan kencing kelak, saya tidak melepas peluang "melepas" ini.  Sementara isteri saya, awal-awal lagi memberitahu "dia tak lalu."  Sebenarnya, semasa dalam perjalanan, pemandu pelancong memberitahu bahawa lebih baik kami melalui jalan lama kerana lebih cepat sampai ke destinasi, tetapi ada masalahnya: tandas. Kami melalui Old US Route 66.  Ketika bas bergerak semula, kelihatan kereta api J.B. Hunt Intermodal lalu.

Sepanjang perjalanan, saya perhatikan adalah kawasan gurun, tidak wujud kawasan kediaman, kecuali beberapa buah pondok kecil yang kedudukannya agak berasingan antara satu sama lain.  Pondok kecil yang daif kalau dilihat dari segi standard sebuah negara maju.  Gurun yang kelihatan ditumbuhi oleh pokok renek.  Kiri kanan terdapat banjaran bukit-bukau gondol, berbatu.  

Apabila perjalanan kami memasuki waktu 11.00 pagi, barulah kelihatan kawasan kediaman dan rumah kedai.  Tiba-tiba saya terpandang High Desert Motel. Sementara pokok-pokok kelihatan kekeringan, tetapi masih hidup.  Di kaki bukit kelihatan kawasan kediaman, dan seterusnya tanda arah Avalon Avenue dan Balsa Avenue.



Secara keseluruhan, sepanjang perjalanan itu kelihatan bukit-bukau, gurun, dan sekali-sekala kawasan kediaman di kaki bukit.  Tidak ketinggalan  Applebees, Starbucks, McDonald's, Taco Bell, US Bank, Union Bank, Chevron, dan Travelodge.  Selepas itu, kami melalui kawasan tanpa kediaman, kiri kanan jalan, hanya bukit-bukau, dan beberapa buah pondok. Sekali lagi saya dapat melihat di kanan jalan, rumah-rumah di kaki bukit.  Terus melalui kawasan gurun, bukit-bukau, dan pokok renek yang kekeringan.  

Selepas melalui sekelompok kawasan kediaman, kiri kanan jalan terdapat alat, seperti "kincir angin."  Kemudian, tanda arah :Whitewater, Rest Area 1 Mile, Los Angeles, Cabazon. Melepasi Morongo Casino Resort Spa dan singgah di Desert Hills Premium Outlets.  


No comments:

Post a Comment