Pages

Wednesday, January 2, 2013

Beli-belah di Bukit

RABU, 2 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tiba di Desert Hills Premium Outlets, Cabazon, California pukul 12.00 tengah hari, hujan renyai-renyai dan cuaca sejuk. Sebelum turun dari bas, pemandu pelancong memberitahu bahawa kami akan bertolak ke hotel penginapan puku 5.45 petang dan tempat di manakah kami akan dijemput. 

Seperti biasa, sebelum kami mula membeli-belah, pemandu pelancong akan ke kaunter penerangan untuk mendapatkan Shopper's Guide yang di dalamnya juga terkandung peta kawasan itu, dan baucar diskaun untuk diagihkan kepada kami.  Saya pula, seperti biasa, mencari tandas terlebih dahulu.  Sebenarnya, peta memang penting bukan sahaja untuk memudahkan kami mencari kedai yang kami ingin beli barang, tetapi untuk mengelakkan daripada kami tersesat, dan sekurang-kurangnya kami tahu di manakah tempat kami berkumpul semula.

Selepas keluar masuk beberapa buah kedai, saya mengajak isteri saya makan tengah hari di Restoran McDonald's yang letaknya tidak berapa jauh dari Premium Outlets.  Oleh sebab hujan masih renyai-renyai, kami membatalkan rancangan itu. Selepas bergerak dari sebuah kedai ke sebuah kedai, dari satu  blok ke satu blok, kami makan  tengah hari di medan selera di Premium Outlets - makan agak lewat dan orang penuh sesak.

Di sini, Premium Outlets terakhir yang kami kunjungi, saya dan isteri tumpukan perhatian untuk mencari barang yang dipesan oleh anak saya, beli jean CK untuknya, dan baju untuk dua orang menantu saya.  Anak sulung saya, yang saya hubungi melalui khidmat pesanan ringkas (sms), tidak mahu dibelikan jean Levi's atau CK untuk dia.  Boleh dikatakan agak lama juga isteri saya mencari baju untuk menantu perempuan saya: masuk kedai keluar kedai. Dalam pada itu, dia membeli baju untuk dirinya sendiri.  Di sini, kami juga membeli jean CK untuk anak lelaki  kami dan baju untuk dua orang  menantu.

Ketika isteri saya asyik memilih pakaian di dalam kedai, saya hanya duduk di bangku di luar.  Saya dapati pada pukul 4.15 petang, hari sudah gelap, tetapi  pengunjung masih banyak kelihatan.  Mereka lalu-lalang dengan menjinjing beg di tangan masing-masing, masuk kedai keluar kedai. Namun, tidak kurang juga yang tangan kosong.  Mana-mana yang berpasangan, mereka sekadar berdakapan. 


Pukul 4.45 hari semakin gelap dan hujan masih turun.  Seorang dua kelihatan berpayung.  Bagi  pengunjung yang membeli-belah, saya perhatikan beg yang mereka jinjing bermacam-macam jenama: CK, UGG, DKNY, OshKosh, Nautica, Coach.  Seorang lelaki, saya perhatikan, menjinjing kiri kanan. 

Kira-kira pukul 5.00 petang, saya bersama-sama isteri dan beberapa orang lain, mula berkumpul di hadapan kedai Levi's - sudah puas  membeli-belah - sebelum beredar ke tempat berkumpul.  Pukul 5.45 petang, bas yang kami tumpangi membawa kami ke hotel penginapan, Double Tree, di Anaheim, Orange County. 


Saya berasa lega untuk menginap di hotel terakhir di Amerika Syarikat sebelum pulang ke tanah air kerana di sini kami menginap selama empat malam.  Justeru, saya tidak perlu mengangkat, mengusung beg, berpindah-randah.  Sempat untuk saya menyidai pakaian dalam bilik hotel, mengeluarkan apa-apa yang tidak perlu dibawa dalam beg galas selama beberapa.  Mengeluarkan mi segera, kopi segera, dan alat masak air dari dalam beg besar. Isteri saya pula mula memikirkan beg mana yang diisi pakaian bersih, minyak wangi, pakaian yang baru beli, beg tangan Coach, dan sebagainya, dan beg mana akan dimuatkan pakaian yang kotor, digulung elok-elok supaya dapat menjimatkan ruang.




No comments:

Post a Comment